Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Action. Show all posts
Showing posts with label Action. Show all posts

Wednesday, September 22, 2021

Squid Game 2021 - Netflix Series KDrama Review

SQUID GAME - MUSIM PERTAMA (2021)

TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
PENGARAH: Hwang Dong-hyuk
LAKON LAYAR: Hwang Dong-hyuk
PELAKON: Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-joon, Jung Ho-yeon, Heo Sung-tae, Kim Joo-ryoung, Tripathi Anupam, Yoo Sung-joo, Lee Yoo-mi.
GENRE: Thriller, Drama
BAHASA: Korea (Korea Selatan)
DURASI: 32-63 minit setiap episod


Seong Gi-hun (Lee Jung-jae), seorang yang kuat berjudi dan mempunyai hutang yang banyak telah ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia untuk bermain sebuah permainan dengan tawaran sejumlah wang lumayan. Tetapi tanpa disedari Gi-hun, permainan tersebut merupakan permainan 'survival' yang disertai oleh 456 orang peserta lain. Mereka dikehendaki bermain permainan tradisional Korea dan nyawa mereka menjadi pertaruhan demi hadiah wang sebanyak 4.6 billion won.
Jika ada satu perkara yang boleh dipuji tentang siri ini, sudah tentulah penataan seninya dengan latarbelakang premis dan busana dari watak-watak yang penuh dengan bewarna-warni serta mempunyai konsep minimalis. Malahan elemen serta gaya yang ditunjukkan merupakan daya penarik utama untuk siri ini. Siri ini berjaya memberikan permainan-permainan tradisional yang nampak ringkas, tetapi dihiasi dengan set yang sangat gah.
Mesej yang cuba disampaikan dari siri ini tentang kelangsungan hidup sangat jelas apabila memberikan kontra antara dunia luar dan dunia di dalam permainan. Di sini ianya menggunakan watak-watak yang mempunyai masalah kewangan seperti Gi-hun, seorang yang cuba melarikan diri dari masalah dunia luar. Tapi motif sebegini juga ditemui dalam hampir kesemua watak tetapi diselaputi dengan matlamat yang berbeza. Contohnya watak Cho Sang-woo (Park Hae-soo) yang mempunyai perwatakan luaran yang berbeza dari Gi-hun, iaitu seperti seorang yang berjaya, tetapi tetap ada masalah yang sama dengan Gi-hun. Siri ini menggunakan psikologi untuk setiap watak pemain supaya melihat perbezaan antara dunia realiti dengan dunia permainan.
Ceritanya juga tidak hanya bergantung kepada permainan sahaja, malahan dengan hanya enam permainan yang diketengahkan, ianya hanya menjadi elemen sampingan yang menghiasi siri ini. Siri ini tidak dapat lari dari mengetengahkan emosi sekaligus meleretkan jalan cerita menjadi panjang demi untuk memfokuskan cerita pada setiap watak. Bagi aku perkara ini tiada masalah kerana sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit nafas baru kepada cerita berkonsepkan 'permainan maut' sebegini. Kita dapat melihat pelbagai perspektif dan tidak hanya pada watak pemain sahaja.
Cuma mungkin satu kelemahan yang menjadi kekuatan siri ini adalah kebarangkalian serta aspek kebetulan yang diwujudkan dalam siri ini hanya untuk menunjukkan sisi ironi sekaligus menimbulkan babak-babak penuh emosi dan mengejutkan. Ya, sudah tentu cerita sebegini akan dibekalkan dengan 'plot twist' untuk menambah selera penonton, tetapi ini bukan kekuatan siri ini. Bagi aku kekuatannya adalah pada 20 minit terakhir setiap episod yang mampu menimbulkan perasaan berdebar-debar di hati penonton.
Jika ingin dilihat pada aspek keganasan dalam siri ini, rasanya terdapat siri atau filem lain yang lebih ganas dan menggerunkan. Siri ini masih menunjukkan babak pembunuhan beramai-ramai, tetapi cara pembunuhan itu tidaklah sekreatif atau seganas mana pun. Berbalik pada apa yang aku katakan tadi, fokusnya bukan pada itu, tetapi pada pembangunan karakter serta kewujudan babak saspens setiap episod.
Perlu aku sebutkan juga disini bahawa pelakon Jung Ho-yeon yang membawakan watak wanita dari Korea Utara bernama Kang Sae-byeok merupakan antara watak yang aku gemari dalam siri ini. Siri ini merupakan debut untuk beliau dan persembahan yang diberikan sangat memberangsangkan. Sudah tentu nama Ho-yeon ini akan sentiasa diperhatikan untuk melihat projek akan datang darinya. Secara keseluruhannya, mungkin ramai yang akan berkata ada banyak lagi siri dan filem yang lebih bagus dari siri ini. Namun sebagai seorang penonton drama Korea yang tidak kasual seperti aku ini, dapat menghabiskan siri ini dalam masa satu hari telah membuktikan ianya sebuah siri yang menarik buat aku.
Link untuk menonton siri ini: https://www.netflix.com/title/81040344
Share:

Tuesday, January 26, 2021

PSYCHOKINESIS (2018)

 


TAHUN: 2018
PENGARAH: Yeon Sang-ho
SKRIP: Yeon Sang-ho
PELAKON: Ryu Seung-ryong, Shim Eun-kyung, Park Jung-min, Kim Min-jae, Jung Yu-mi
GENRE: Aksi, Fiksyen Sains
BAHASA: Korea
DURASI: 101 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Shin Roo-mi (Shim Eun-kyung) dan ibunya terpaksa berhadapan dengan pemaju projek yang ingin mengambil tanah tempat mereka berniaga. Hal ini mengakibatkan kematian ibunya sehingga Roo-mi terpaksa menelefon ayahnya yang sudah lama dia tidak berjumpa untuk memberitahu berita sedih itu. Sementara itu ayah Roo-mi, Shin Seok-heon (Ryu Seung-ryong) yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, telah memperoleh kuasa luar biasa dari air gunung yang tercemar dari kesan radioaktif meteor. Seok-heon mempunyai kuasa telekinesis yang membolehkannya menggerakkan objek menggunakan minda. Seok-heon cuba memperbaiki hubungannya dengan Roo-mi dan dalam waktu yang sama menolong untuk menghalang pihak kapitalis dari menganiaya peniaga di kawasan Roo-mi bekerja.
Sekalipun filem bertemakan superhero sudah terlalu biasa dalam zaman kini, tetapi pengarah Yeon Sang-ho sebolehnya ingin membawakan tema ini ke sudut yang berbeza. Kali ini ianya memfokuskan pada watak seorang ayah yang dari luarannya tidak menampakkan sisi seorang hero. Ianya cuba disampaikan dengan begitu dekat terhadap realiti sekiranya kuasa luar biasa itu diberikan kepada orang yang...biasa.
Tetapi ianya masih lagi tidak dapat mengelakkan suasana komikal terutama pada beberapa watak. Isu yang dibawakan itu juga merupakan satu isu yang serius sekalipun telah banyak kali diterjemahkan ke layar perak. Dan isu yang serius ini diganggu pula dengan watak-watak komikal seperti watak President Min (Kim Min-jae) dan Jung Director Hong (Yu-mi). Ianya tidaklah terlalu teruk kerana seronok juga sebenarnya melihat kedua-dua watak komikal ini, lebih-lebih lagi mereka adalah watak antagonis. Tetapi kelihatan kedua-dua watak ini dikembangkan dengan separuh jalan sahaja dan mempunyai pengakhiran yang tidak memuaskan.
Perkara paling menarik dalam filem ini tentulah bila setiap kali Seok-heon menggunakan kuasa telekinesisnya. Adakala beliau terlalu slapstik dalam menggunakan kuasa ini dan terlalu mencuba untuk mewujudkan komedi yang akhirnya kelihatan seolah terpaksa. Sekalipun begitu lakonan Ryu Seong-ryong ini sangat menghiburkan. Sudah pasti filem sebegini memerlukan babak pertarungan yang menarik dan mendebarkan. Dan ya, ianya berjaya menyampaikan babak itu. Mungkin masalah utama filem ini pada permulaan dan pertengahannya sahaja, cuma bila sudah sampai ke pengakhiran, kuasa telekinesis Seok-heon hanya mampu membantu sedikit sahaja pada keseluruhan filem.
"If I give up, I will not do this from the beginning."
RATING: 3.5/5
Share:

Friday, January 22, 2021

TARUNG SARUNG (2020)



TAHUN: 2020
PENGARAH: Archie Hekagery
LAKON LAYAR: Archie Hekagery
PELAKON: Panji Zoni, Yayan Ruhian, Cemal Faruk, Maizura, Surya Saputra
GENRE: Drama, Aksi
BAHASA: Indonesia
DURASI: 115 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Deni Ruso (Panji Zoni) merupakan anak tunggal dari pemilik syarikat besar di Indonesia, Ruso Corp yang dikendalikan oleh ibunya, Dina Ruso (Imelda Therine) . Kehidupan serba mewah telah memanjakan Deni yang suka berfoya-foya sehingga tidak percaya kepada agama sendiri. Sehinggalah ibunya membuat keputusan untuk menghantar Deni ke Makassar untuk mengajarnya erti kesusahan. Di waktu yang sama, Deni juga mengendalikan projek Ruso Corp di situ. Di Makassar, Deni berkenalan dengan Tenri (Maizura) yang juga memperkenalkan Deni dengan sukan rakyat di situ, Tarung Sarung. Deni mendapat ancaman dari Sanrego (Cemal Faruk) yang mencintai Tenri dan merupakan juara Tarung Sarung. Deni meminta pertolongan dari Pak Khalid (Yayan Ruhian), seorang mahaguru Tarung Sarung, dan ternyata Pak Khalid telah mengajar Deni lebih dari sekadar seni mempertahankan diri.
Sekali imbas sahaja sudah dapat dilihat bahawa filem ini mendapat inspirasi yang banyak dari filem The Karate Kid (yang lama, bukan yang baru, seperti kata Tenri, masakan Kung Fu ada dalam filem Karate). Dari nama Deni Ruso itu sendiri yang seakan sama dengan Daniel LaRusso, teknik-teknik tarung sarung yang diajarkan Pak Khalid yang lebih kurang sama dengan apa Mr Miyagi ajar, pertandingan tarung sarung itu sendiri juga, semua elemen-elemen ini terinspirasi dari filem The Karate Kid.
Walaupun begitu, ianya masih lagi cuba untuk menyelitkan perbezaan terutama pada watak Deni dan motif penceritaan yang mempunyai konsep keagamaan. Boleh jugalah nak dikatakan ianya filem The Karate Kid bergabung dengan filem keagamaan, maka terhasil-lah Tarung Sarung! Fokus pada konsep keagamaan filem ini, ada momen-momen yang mampu menarik perhatian audiens, tetapi ianya hanya dicakar pada permukaannya sahaja. Filem ini cuba menjadi sebuah filem yang mempunyai maksud mendalam, tetapi sayangnya pembikin filem ini seolah-olah buntu dan terpaksa memasukkan cerita yang separuh jiwa sahaja.
Perjalanan cerita agak perlahan pada awalnya, sehinggakan perasaan bosan mula menyelubungi dan hampir saja untuk tidak meneruskan penontonan. Tiada dialog yang menarik dan babak-babak yang mampu melekatkan penonton untuk terus menyaksikan babak seterusnya. Tetapi apabila Yayan Ruhian mula munculkan diri, dan babak aksi pun mula disajikan, dari situ barulah terasa aura dalam filem ini.
Lawak jenaka dan plot tentang Ruso Corp yang ingin membina sebuah projek di Makassar juga tidak begitu meyakinkan. Penggunaan mesej tentang alam sekitar dan golongan kapitalis yang menindas tidak disampaikan dengan begitu baik. Sepatutnya filem ini memfokuskan pada satu plot, dan menggunakan subplot-subplot lain sebagai penghubung antara sekuens. Tetapi nasib baik kehadiran Yayan Ruhian memberikan sedikit perasaan berbaloi kerana beliau adalah 'Jackie Chan' Asia Tenggara dan kemunculannya memberikan satu kepuasan kepada penonton.
"Jadi adakah awak jadi orang yang lebih baik selepas tidak percayakan Tuhan?"
RATING: 3/5
Share:

Monday, January 18, 2021

OUTSIDE THE WIRE (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Mikael Håfström
LAKON LAYAR: Rob Yescombe, Rowan Athale
PELAKON: Anthony Mackie, Damson Idris, Emily Beecham, Michael Kelly, Pilou Asbæk
GENRE: Fiksyen Sains, Thriller, Aksi
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 115 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pada tahun 2036, perang saudara telah tercetus di Ukraine yang menyebabkan pihak Amerika Syarikat terlibat dalam operasi keamanan yang membabitkan tentera marin AS dan 'gumps' yang merupakan sejenis robot askar. Juruterbang drone, Lt. Thomas Harp (Damson Idris) telah ingkar arahan pegawai atasannya dan mengakibatkan dua orang tentera terkorban. Kesan dari tindakannya itu menyebabkan Harp terpaksa ditugaskan berada dibawah arahan Captain Leo (Anthony Mackie), sejenis android berteknologi canggih yang juga merupakan pegawai askar tertinggi. Mereka bersama-sama cuba untuk menghalang pengganas pro-Rusia, Victor Koval dari mengambil alih kawalan misil nuklear yang tersorok di Ukraine.
Tiada apa yang istimewa pun untuk filem ini sekalipun ianya cuba membawakan tema fiksyen sains yang digabungkan dengan konsep perang. Apa sahaja teknologi fiksyen yang dipaparkan dalam filem ini terutama pada badan android Leo, tidak mampu mengujakan kerana persembahan plot yang disampaikan tidak mampu memberikan sebuah jalan cerita yang menarik.
Filem ini hanya sekadar sebuah filem yang sarat dengan aksi dan beberapa motif watak utama yang sudah dicanang banyak kali dalam filem-filem Hollywood sebelum ini. Mungkin masih ada lagi yang mampu terhibur dengan apa yang dipersembahkan dalam filem ini kerana aksinya yang padat. Tetapi ianya tidak dapat mengelak dari menjadi sebuah filem yang terlalu biasa akibat kelemahan skrip yang tidak cukup berkembang.
Sekiranya skrip dan plot filem ini digilap lagi, pasti ianya mampu memberikan sebuah filem yang lebih bagus. Lakonan Anthony Mackie sendiri juga tidak mampu untuk menyelamatkan filem ini dari terus tenggelam sehingga ke babak terakhir. Jika ingin diambil perkara positif, mungkinlah boleh diambil kira perubahan watak Captain Leo sepanjang filem yang memberikan sedikit plot twist pada penceritaan.
"Listen, I’m a combat soldier, but I feel more than you think. I can’t do this with eyes on me."
RATING: 3/5
Share:

GERAN (2019)

 


TAHUN: 2019
PENGARAH: Areel Abu Bakar
SKRIP: Hafiz Derani
PELAKON: Namron, Khoharullah, Feiyna Tajudin, Fad Anuar, Azlan Komeng, Taiyuddin Bakar
GENRE: Aksi
BAHASA: Bahasa Melayu
DURASI: 101 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pak Nayan (Namron) mempunyai tiga orang anak yang diajarnya ilmu persilatan, Ali (Khoharullah), Fatimah (Feiyna Tajudin) dan Mat Arip (Fad Anuar). Pada satu hari, anak-anak buah Haji Daud telah datang untuk memaksa Pak Nayan menukar nama tanah miliknya kepada Haji Daud setelah Mat Arip memberi geran tanah tersebut sebagai cagaran hutang yang dipinjamnya dari Haji Daud. Ali dan Fatimah berasa marah dengan sikap Mat Arip yang suka berjudi dan melakukan aktiviti lumba kereta haram sehingga sanggup berhutang. Tetapi terpaksa akur kerana ayah mereka yang selalu menyebelahi Mat Arip. Sehinggalah berlakunya kemelut apabila Mat Arip tidak lagi dapat keluar dari bebanan hutangnya yang mengakibatkan campur tangan Ali untuk menyelamatkannya.
Jalan cerita filem ini sebenarnya sangat ringkas dan bukanlah sebuah cerita yang kita tidak pernah lihat sebelum ini. Tetapi perkara paling utama yang menjadikan filem ini sebuah filem yang unik adalah aksi silat yang dipertontonkan. Koreografi silat dalam filem ini wajib dipuji kerana ianya satu-satunya 'highlight' dalam filem ini yang memberikan kepuasan menonton. Lebih-lebih lagi bila ditunjukkan watak wanita seperti Fatimah lakonan Feiyna Tajudin yang memberikan sebuah perspektif baru terhadap wanita melayu bertudung yang sangat kuat.
Mungkin satu kelemahan yang ketara dalam filem ini adalah plot penceritaannya sahaja. Sekiranya jalan cerita filem ini diperluaskan dan dikembangkan lagi mungkin mampu memberikan kepuasan yang lebih lagi ketika menonton. Ini kerana filem ini hanya bergantung pada watak dan aksi persilatan yang dipaparkan. Jika diperhatikan juga, filem ini seakan sebuah permainan video di mana watak utama perlu berhadapan dengan musuh demi musuh sehinggalah bertemu musuh yang paling utama.
Sememangnya tidak boleh disangkal lagi perasaan seronok apabila melihat orang kampung, baik yang tua atau pun muda dalam filem ini mempersembahkan teknik silat mereka yang sangat menakjubkan. Tetapi jalan cerita masih lagi satu perkara yang sangat penting dalam sesebuah filem. Untuk dialog yang menggunakan dialek Kedah juga tiada masalah, semuanya berhubung dengan cukup baik antara babak dan watak.
Walaupbagaimanapun, dengan bajet yang rendah dan penggunaan pelakon-pelakon yang tidak ternama, filem ini masih mampu lagi berada dalam satu aras yang berbeza sebagai filem aksi tempatan. Ianya membuka mata ramai bahawa filem tempatan tidak memerlukan bajet yang besar untuk menyampaikan sebuah filem yang bagus. Dan tidak dinafikan juga, mungkin jalan cerita yang tidak dikembangkan ini merupakan satu tujuan untuk menghasilkan sekuel pada masa akan datang.
"Yang benar tetap benar, yang batil pasti akan lenyap."
RATING: 3.5/5
Share:

Thursday, January 14, 2021

LUPIN - MUSIM PERTAMA BAHAGIAN 1

 


TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 5 episod (satu bahagian)
CIPTAAN: George Kay, François Uzan
PELAKON: Omar Sy, Ludivine Sagnier, Clotilde Hesme, Hervé Pierre, Fargass Assandé
GENRE: Misteri, Komedi
BAHASA: Bahasa Perancis
DURASI: 40- 50 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Jika Britain mempunyai Sherlock Holmes sebagai watak penyiasat fiksyen terkenal, Perancis pula mempunyai Arsène Lupin, seorang pencuri budiman fiksyen yang terkenal di sana. Assane Diop (Omar Sy) merupakan seorang pencuri yang sering menjadikan Lupin dari novel-novel Maurice Leblanc sebagai inspirasi. Diop ingin membalas dendam terhadap Hubert Pellegrini yang telah menuduh ayahnya, Babakar Diop mencuri seutas rantai milik Ratu Marie Antoinette. Akibat fitnah itu, Babakar telah membunuh dirinya sendiri di dalam penjara dan menjadikan Assane hidup keseorangan. Bermula dari situ Assane belajar untuk menjadi seorang pencuri budiman setaraf Arsène Lupin.
Siri ini merupakan sebuah siri tv yang sangat menarik untuk pembukaan tahun 2021 ini. Untuk bahagian pertama ini, ianya hanya mempunyai 5 episod dan bahagian kedua akan menayangkan baki 5 episod menjadikan musim pertama ini mempunyai 10 episod secara keseluruhan. Memang sebenarnya rasa tidak puas hati juga apabila bahagian pertama ini berakhir dengan jalan cerita tergantung, malahan bila bahagian kedua nak keluar pun masih belum diketahui. Tetapi ianya sedikit sebanyak menimbulkan perasaan teruja untuk menanti apa lagi yang siri ini akan sajikan pada masa depan.
Berbeza dengan siri misteri penyiasatan yang lain, siri kali ini menunjukkan sisi seorang pencuri budiman (gentleman) yang professional dan yang menariknya dapat dilihat bagaimana liciknya Assane Diop dalam merangka pelannya. Omar Sy sebagai Diop merupakan pilihan yang sangat tepat dan beliau berjaya membawa siri ini ke dalam kelasnya yang tersendiri.
Lebih menarik lagi kerana siri ini berlatarbelakangkan suasana sekeliling Perancis yang memberikan satu perasaan takjub terhadap keseluruhan jalan cerita. Jangan risau terhadap bahasa yang dipaparkan dalam filem ini kerana sebaik sahaja cerita bermula, segala dialog dan babak berhubung dengan cukup baik dan dapat diterima dengan mudah oleh penonton. Menonton siri ini memberikan satu nafas segar yang baru dalam sebuah siri misteri. Siri ini juga bijak menggunakan babak bersama skor muzik di waktu-waktu yang mendebarkan sekaligus menimbulkan perasaan saspens.
Dan sudah pasti apa yang penonton akan dapat ketika menonton siri ini adalah perasaan tertanya-tanya dari awal dan kepuasan yang dikecapi apabila segala persoalan itu dijawab dengan kelicikan Diop sebagai pencuri. Pada permulaannya kita mungkin akan tertanya-tanya dimana kehebatan Diop ini, tetapi akhirnya ianya terungkai dan tidak boleh disangkal lagi karakter Diop sebagai pencuri yang genius.
"Even when we think he lose, he still wins."
RATING: 4.5/5
Share:

COBRA KAI - MUSIM KETIGA


TAHUN: 2021

JUMLAH MUSIM: 3
JUMLAH EPISOD: 10 per musim
CIPTAAN: Josh Heald, Jon Hurwitz, Hayden Schlossberg
PELAKON: William Zabka, Ralph Machio, Courtney Henggeler, Xolo Maridueña, Tanner Buchanan, Mary Mouser
GENRE: Komedi, Aksi, Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 22 - 40 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Siri TV Cobra Kai kembali dengan musim ketiga selepas pengakhiran tergantung pada musim kedua yang sungguh mendebarkan. Pada musim sebelum ini kita diberikan pengakhiran di mana Robby Keene (Tanner Buchanan) secara tidak sengaja telah mengakibatkan Miguel Diaz (Xolo Maridueña) cedera teruk kesan dari pergaduhan karate besar-besaran di sekolah mereka.
Untuk musim ketiga ini, fokus lebih kepada Johnny Lawrence (William Zabka) yang cuba menebus kesalahannya dengan menolong Miguel berjuang dan konfliknya terhadap sensei lamanya, John Kreese (Martin Kove) yang telah merampas Cobra Kai darinya. Fokus juga tertumpu pada watak Daniel LaRusso yang cuba menjernihkan kembali nama Miyagi-Do dan syarikatnya yang tercemar akibat insiden karate di sekolah anaknya, Samantha LaRusso (Mary Mouser). Johnny dan Daniel juga masih lagi berseteru tetapi kini mereka tahu ancaman sebenar adalah bila Cobra Kai kendalian Kreese mula merekrut pembuli-pembuli dan menjadi masalah besar di San Fernando Valley.
Jujurnya boleh dikatakan Cobra Kai musim ketiga ini telah berjaya meneruskan momentum yang terdapat dari musim pertama dan kedua. Malahan musim ketiga ini telah menjadi batu asas untuk penonton tidak sabar menantikan musim yang keempat. Timbul perasaan tidak puas kerana sepuluh episod untuk musim ketiga ini tidak cukup untuk memenuhi kehendak penonton. Walaupun jalan ceritanya semakin lama menjadi semakin serius, tetapi ianya masih lagi mengekalkan humor yang mewujudkan suasana segar sepanjang siri. Malahan aksi karate yang ditunjukkan juga lebih banyak berbanding sebelum ini.
Ianya juga seakan sebuah drama percintaan remaja sekolah menengah, tetapi kehadiran aksi karate di setiap episod menjadikan siri ini sebuah siri yang lain dari yang lain. Peminat siri filem The Karate Kid juga akan suka menonton siri ini kerana ianya banyak mengimbau kembali babak-babak dalam filem-filem sebelum ini. Musim ini juga mengembalikan watak-watak ikonik dari filem-filem klasik tersebut sekaligus menimbulkan perasaan nostalgik kepada peminat setia siri The Karate Kid.
Apa yang menariknya lagi tentang siri ini adalah konflik hubungan antara watak-watak. Perhubungan antara Johnny dan Daniel serta anak-anak murid mereka iaitu Robby, Miguel, Samantha, Hawk dan Demetri. Kisah antara mereka ini sentiasa bertukar-tukar sifat dan bertukar-tukar dari sisi baik dan jahat. Tetapi kebanyakkan karakter dalam siri ini adalah 'grey character' yang mempunyai kisah silam yang sedih tetapi memilih sisi gelap bagi melunaskan sifat kebencian dalam diri. Kalau diperhatikan ianya seakan sebuah drama opera sabun, tetapi dengan karate! Pujian harus diberikan pada pelakon-pelakon yang berjaya membawa watak mereka dengan cukup berkesan, terutama sekali watak Tory Nichols yang dilakonkan oleh Peyton List yang memberikan sebuah watak antagonis yang mempunyai latarbelakang yang mendalam.
Pujian juga kepada barisan penulis siri ini yang mampu memberikan sebuah siri yang nostalgik tetapi masih mempunyai sebuah jalan cerita yang menjamin kepuasan menonton. Bagi yang belum menonton siri ini, amatlah digalakkan menonton, dan jika anda bukan penonton siri filem The Karate Kid, boleh sahaja tonton siri ini, mungkin lepas menonton anda akan mencari pula siri filem tersebut.
"In life, we always lose our way. But it is people, not the signs, that guide us back to the right path."
RATING: 4.5/5
Share:

We Can Be Heroes (2020) - Ulasan Filem


Bumi dilindungi oleh sekumpulan superhero yang diselia oleh organisasi Heroic. Sehinggalah bila superhero-superhero tumpas di tangan makhluk asing yang ingin menakluk bumi. Tugasan menyelamatkan superhero-superhero itu terletak di tangan anak-anak mereka yang juga mempunyai kuasa luar biasa, tetapi mereka hanyalah kanak-kanak kecil. Dengan pimpinan Missy Moreno (Yaya Gosselin), mereka bersama-sama merancang untuk menumpaskan makhluk asing tersebut.

Filem ini merupakan filem 'stand-alone sequel' kepada filem The Adventure of Sharkboy and Lavagirl. Perkara yang paling menarik perhatian ketika promo filem ini adalah kelibat Sharkboy (JJ Dashnaw) dan Lavagirl (Taylor Dooley) yang sudah pun dewasa selepas filem pertama mereka. Tetapi watak mereka hanya mempunyai waktu skrin yang sekejap sahaja dan watak-watak superhero kanak-kanak merupakan tumpuan utama untuk filem ini.
Sebenarnya aku tahu filem ini merupakan sebuah filem untuk kanak-kanak dengan tahap hiburan yang ringan. Malahan aku juga meletakkan jangkaan untuk berasa jengkel dengan 'cringe level' yang diterapkan dalam filem ini seperti filem-filem Robert Rodriguez yang lain sebelum ini. Tetapi mengejutkan juga kerana filem ini mampu menambat perhatian aku untuk terus menonton tanpa sebarang ngomelan dan rungutan sepanjang filem. Jalan cerita yang disampaikan walaupun biasa-biasa sahaja, tetapi masih lagi mampu menarik perhatian.
Perkara utama yang paling aku suka adalah kombinasi dan 'chemistry' antara watak-watak superhero kanak-kanak ini. Pelakon-pelakon cilik ini mampu mewujudkan babak-babak yang menghiburkan dan sekaligus menimbulkan juga gelak tawa. Pedro Pascal juga tidak menunjukkan sangat sisi komedinya dalam filem ini, malahan masih lagi kelihatan 'cool'. Berbeza dengan Priyanka Chopra yang cuba mewujudkan karakteristik komikal untuk menyesuaikan wataknya dengan persekitaran tema filem.
Filem ini mungkin mampu menjadi filem kegemaran anak-anak kita dan semestinya watak-watak yang disampaikan mampu memberikan sebuah mesej yang berguna juga pada anak-anak. Ianya sebuah filem yang sangat seronok untuk ditonton oleh seisi keluarga, dan ternyata Robert Rodriguez sudah menjadi otai dalam menghasilkan filem fiksyen sains kanak-kanak.
"Alone our powers are special but together, we are unstoppable."
Sumber tontonan: Netflix
Rating: 3/5
Share:

Wonder Woman 1984 (2020) - Ulasan Filem


Diana Prince (Gal Gadot) kembali pada tahun 1984 setelah berdekad meninggalkan Perang Dunia Pertama dari filem pertamanya. Kali ini pada zaman 80-an yang penuh dengan 'pop culture' yang menggamit kenangan. Tetapi kali ini Diana bertemu dengan konflik baharu yang menyelebungi sejenis batu 'Dreamstone' yang mampu menunaikan apa sahaja hajat manusia. Steve Trevor (Chris Pine), kekasih Diana yang mati ketika Perang Dunia Pertama, hidup kembali hasil dari hajat hati Diana. Manakala rakannya, Barbara Minnerva (Kristen Wiig) menjadi seorang yang berkuasa dan menawan seperti Diana. Konflik juga muncul apabila seorang ahli niaga, Maxwell Lord (Pedro Pascal), ingin menggunakan Dreamstone atas tujuan jahat.

Perkara paling utama yang boleh dipuji untuk filem Wonder Woman kali ini adalah bagaimana pengarah dan penulis lakon layar, Patty Jenkins menggunakan sebaik mungkin medium filem buku komik dan elemen-elemen komik dalam filem ini. Audiens tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang tidak logik kerana filem ini sebolehnya menggunakan elemen fantasi diadaptasi ke dunia moden 80-an. Elemen fantasi dan komikal ini juga memberikan satu mesej yang cukup jelas terutama lagi dengan dunia realiti sekarang.
Ada banyak elemen-elemen komik yang dipaparkan mampu menarik perhatian audiens, lebih-lebih lagi yang membabitkan kuasa Wonder Woman. Filem ini tidak takut untuk memanipulasi kuasa Diana ini ke layar perak dan apa yang menariknya, tema 80-an itu sangat sesuai dengan elemen sebegini. Mungkin ada yang kata ianya 'corny' dan 'cheezy', tetapi elemen sebegitu kadang-kadang memberikan satu kepuasan dalam filem buku komik sebegini.
Pedro Pascal sekali lagi menunjukkan kebolehannya sebagai seorang pelakon yang sangat berkaliber. Sekalipun begitu, watak ini terlalu kecil untuk dimainkan oleh pelakon berbakat besar ini. Perkembangan watak yang ditunjukkan dari awal filem bertemu pengakhiran yang agak suam-suam kuku. Perihal sama juga terhadap watak Barbara Minnerva lakonan Kristen Wiig. Tidak boleh disangkal lagi kebolehan Kristen dalam menjayakan watak 'supervillain' Cheetah ini, tapi sayangnya ianya dibazirkan begitu sahaja, malahan evolusi Barbara kepada Cheetah juga tidak diperhalusi dengan baik.
Pujian juga harus diberikan kepada Gal Gadot yang mempunyai lakonan yang jauh lebih bagus dari filem-filemnya sebelum ini. Kali ini Gal mampu menunjukkan emosi-emosi yang lebih mendalam untuk diselami penonton. Hubungannya dengan Steve Trevor semakin dapat dirasai berbanding filem yang pertama. Tidak dinafikan Gal adalah tulang belakang filem ini, dan ternyata telah menjadi sebuah ikon yang mampu diminati ramai.
Antara perkara yang sedikit mengecewakan dalam filem ini adalah aksi dan babak pengakhirannya. Jika diikutkan, sebuah jalan cerita yang komikal sememangnya tidak logik, tetapi kita tidak boleh mengelak dari timbulnya persoalan demi persoalan sepanjang penontonan. Aksi yang dipaparkan pula ada yang cukup menarik, tetapi sebaliknya pada babak pertarungan akhir antara Wonder Woman dan Cheetah. Tak tahu lah kenapa DC dan WB suka benar dengan tona gelap pada babak perlawanan akhir menyukarkan sedikit untuk mendapat pengalaman penontonan yang memuaskan. Apa pun, filem ini masih lagi sebuah filem yang seronok untuk ditonton seisi keluarga kerana mesej yang ingin disampaikan itu sangat jelas.
"I need to find a way to touch them all at the same time!" - Maxwell Lord
Sumber tontonan: Panggung Wayang
Rating Hady: 3.5/5
Share: