Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Political. Show all posts
Showing posts with label Political. Show all posts

Thursday, January 14, 2021

The Other Boleyn Girl (2008) - Ulasan Filem



Filem ini membawa latar belakang England pada kurun ke-15 ketika pemerintahan King Henry VIII (Eric Bana). Permaisuri England, Catherine of Aragon yang hanya mempunyai seorang anak perempuan, gagal untuk mendapatkan pewaris takhta seorang lelaki. Thomas Howard (David Morissey) mencadangkan kepada abang iparnya, Thomas Boleyn (Mark Rylance) supaya mengarahkan anaknya Anne Boleyn (Natalie Portman) menjadi gundik raja England dengan harapan supaya mendapat waris takhta lelaki dari keluarga Boleyn yang mampu memberikan kemewahan. Perkara menjadi sulit apabila King Henry jatuh hati pula dengan Mary Boleyn (Scarlett Johansson) yang telah berkahwin dengan William Carey (Benedict Cumberbatch)

Filem ini menunjukkan betapa kacau bilaunya hubungan kekeluargaan baik dalam keluarga Boleyn atau kelurga raja England yang berpaksikan atas konflik pewaris takhta. Watak Anne Boleyn pula menunjukkan tentang bagaimana seorang wanita boleh memanipulasi perasaan seorang raja sehingga sanggup mengubah sejarah negaranya buat selamanya.
Lakonan-lakonan di dalam filem ini memang hebat-hebat belaka terutamanya pada watak Anne Boleyn lakonan Natalie Portman. Natalie berjaya membawa watak ini dengan cukup cemerlang dan mampu berevolusi dalam perwatakan untuk tsekelip mata. Scarlett Johansson juga harus dipuji kerana membawa watak Mary Boleyn yang lemah lembut dengan berjaya.
Walaupun filem ini merupakan sebuah filem 'period' atau sejarah, tetapi teras utama filem ini lebih ke arah 'soap opera' atau drama kekeluargaan dan politik yang sulit. Ianya mengangkat kisah hitam yang berlaku pada zaman feudal England satu ketika dulu dan dari sini juga lah kita merungkai tentang beberapa peristiwa penting dalam sejarah England, contohnya terciptanya Church of England selepas England keluar dari Catolic Church dan bagaimana susur galur keluarga Tudors dan Boleyn ini membawa kepada lahirnya Queen Elizabeth I.
Ianya bukanlah filem sejarah yang membosankan walaupun ada yang mempersoalkan beberapa ketepatan sejarah yang terdapat dalam filem ini. Tetapi untuk sebuah filem yang penuh dengan konflik dan drama, ianya mampu memberikan sejenis intensiti yang mendalam kepada audiens.
“A man's love is worthless. Our mother's loved, look where it got her, a feeble husband. Love is of no value without power and position.”
Rating Hady: 4/5
Share:

The Crown Musim-4 (2020) - Ulasan Siri TV



Seperti yang sudah diketahui, siri tv ini membawa kisah keluarga di-Raja British ketika zaman pemerintahan Queen Elizabeth II. Untuk musim keempat ini, siri memfokuskan pula pada tahun 1977 - 1990 yang membabitkan kisah-kisah dari watak Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita United Kingdom yang pertama dan kisah Princess Diana dan Prince Charles yang sememangnya antara kisah paling kontroversi untuk keluarga Queen Elizabeth.

Kisah Princess Diana ini tidak perlu disangkal lagi sebagai sebuah skandal terbesar yang paling diingati ramai. Perkahwinannya dengan Prince Charles mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia. Untuk siri ini, pelakon Emma Corrin yang membawa watak Princess Diana berjaya menghidupkan watak ini dan sedikit sebanyak mewujudkan perasaan seram sejuk kerana riak dan wajahnya yang hampir serupa dengan Princess Diana. Josh O'connor pula yang telah membawa watak Prince Charles sejak musim ketiga lagi mewujudkan perwatakan berbeza untuk musim keempat ini. Jika di musim ketiga penonton akan rasa sedikit bersimpati dengan watak Charles ini, tetapi berbeza untuk musim terbaru ini apabila Charles menunjukkan sisi gelapnya selepas berkahwin dengan Diana. Kisah Diana dan Charles ini tidak terus tamat di musim ini, ianya akan bersambung ke musim kelima dimana pelakon Elizabeth Debicki pula yang akan menggantikan Emma Corrin untuk membawa watak Diana yang lebih dewasa.
Pujian aku berikan kepada Gillian Anderson yang berjaya membawa watak Margaret Thatcher dengan cukup baik. Gillian berjaya mengubah wajah, bahasa badan dan vokalnya untuk cuba menterjemahkan watak 'Iron Lady' ini ke kaca tv dengan sebaik mungkin. Dinamik watak ini lebih dirasai setiap kali berkongsi babak dengan watak Queen Elizabeth lakonan Olivia Colman. Kedua-dua wanita ini berjaya mengangkat watak mereka dan menjadikan musim ini antara musim paling menarik untuk siri tv The Crown.
Penulis dan pencipta siri ini, Peter Morgan memang terkenal dengan karya-karya beliau yang menjurus ke arah sejarah keluarga di-Raja Britain dan kisah-kisah politik Britain. Antara karya dari beliau sebelum ini adalah The Queen, The Deal, The Special Relationship, The Other Boleyn Girl dan kini beliau dapat meluaskan lagi sejarah dan kisah keluarga Queen Elizabeth ini dengan lebih panjang dalam The Crown. Apa yang menariknya untuk siri The Crown ini adalah ianya tidak hanya fokus pada satu jalan cerita sahaja. Peter Morgan bijak menggunakan kisah-kisah benar yang besar pernah berlaku satu ketika dahulu dan berjaya mengadaptasinya dengan cukup baik.
Mungkin ada yang berasa bosan dengan cerita berbentuk sejarah sebegini, tetapi bezanya siri The Crown ini adalah ianya memasukkan juga elemen ala 'soap opera' yang menyaksikan konflik-konflik kekeluargaan dan yang menariknya, ianya dari kisah benar. Memang ramai tahu keluarga di-Raja British ini memang penuh dengan drama, dan terima kasih kepada Peter Morgan yang berjaya menterjemahkan drama keluarga Windsor ini ke kaca tv dengan berjaya.
"Your marriage, all our marriages, are a reflection on the integrity of the Crown."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Monday, November 9, 2020

The Wolf of Wall Street (2013) - Ulasan Filem



Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan seorang broker saham yang jatuh sebentar selepas kejatuhan saham pada tahun 1987. Beliau bangkit kembali dengan mengasaskan syarikat Stratton Oakmont dan kembali menjadi seorang broker saham yang kaya raya. Beliau bersama kawan-kawan seperjuangannya seperti Donnie Azoff (Jonah Hill) mengamalkan gaya hidup mewah dan bergelumang dengan dunia parti, dadah dan seks sehingga menimbulkan minat pihak FBI.

Sejujurnya aku memang tak berapa tahu langsung tentang dunia saham, lebih-lebih lagi dengan terma-terma yang dipaparkan dalam filem ini. Tetapi tak bermaksudn filem ini secara keseluruhannya susah difahami. Ini kerana dengan lakon layar dan penyuntingan sekuens yang 'fast pace' membuatkan filem ini seronok untuk ditonton. Pujian diberikan kepada pengarah, Martin Scorsese dan penulis lakon layar, Terence Winter yang berjaya memberikan sebuah filem tentang broker saham yang menghiburkan dan kelakar seperti ini.
Filem ini diceritakan oleh watak Jordan Belfort lakonan Leonardo DiCaprio dan boleh dikatakan ini adalah watak paling ikonik yang pernah dibawa oleh Leo. Jika nak dibandingkan dengan wataknya dalam filem The Revenant yang membolehkan beliau memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik Oscar, filem yang mengangkat beliau sebagai Jordan Belfort ini lebih meyakinkan. Leo membawa watak ini dengan cukup selamba dan kombinasinya dengan Jonah Hill adalah antara kombinasi pelakon yang terbaik pernah ditunjukkan dalam filem.
Durasi filem ini juga agak panjang hingga 3 jam, tetapi dengan plot penceritaan yang menarik dari awal hingga akhir membuatkan 3 jam ini berjalan dengan cukup pantas. Cumanya filem ini terlalu banyak dengan babak-babak seks melampau, penggunaan bahasa-bahasa yang kesat serta babak penggunaan dadah yang serba sedikit memberikan satu sudut yang tidak bermoral dan harus ditonton dengan hati terbuka. Ya, ianya sebuah filem yang menunjukkan sisi tidak bermoral watak utama tetapi masih ada pengajaran yang ingin disampaikan.
Ini adalah satu permata dari Martin Scorsese yang wajib ditonton oleh semua peminat filem mahupun peminat Leo. Kita juga dapat melihat bagaimana broker saham melakukan kerja dengan menipu orang awam sehingga membolehkan mereka menyedut duit dengan sangat banyak dan menjadi kaya raya dalam sekelip mata. Mungkin dari sudut lain, kita boleh juga mengambil filem ini sebagai sebuah motivasi dengan matlamat untuk menyelesaikan masalah dengan menjadi kaya, tetapi sebagai pengajaran, janganlah scam orang.
"Let me tell you something. There's no nobility in poverty. I've been a rich man and I've been a poor man. And I choose rich every fucking time."
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Monday, July 6, 2020

The Report (2019) - Ulasan Filem


Selepas tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat, Presiden George W. Bush telah mengarahkan pihak Central Intelligence Agency (CIA) untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek pengganas. Pihak CIA telah merekruit pakar psikologi, Bruce Jensen dan James Elmer Mitchell dalam merangka dan menjalankan sejenis teknik soal siasat digelar Enhanced Interrogation Techniques (EIT) yang membabitkan penyeksaan terhadap tahanan CIA.
Daniel J. Jones (Adam Driver) dipilih oleh Senator Diane Feinstein (Annette Benning) untuk menjalankan penyiasatan tentang pemusnahan pita rakaman soal siasat CIA pada tahun 2005. Penyiasatan dan penyediaan laporan itu mengambil masa lima tahun dan membabitkan jutaan bahan dan dokumen rasmi dari CIA. Dari siasatan ini lah Dan Jones membongkar rahsia CIA yang telah menyeksa ratusan tahanan yang menjadi suspek pengganas.
Adam Driver menunjukkan kebolehannya sebagai seorang pelakon yang berkaliber dengan membawa watak Daniel Jones secara bersahaja. Lakonannya nampak sangat memberangsangkan setiap kali pelakon ini dipadankan dengan Annette Benning dalam satu babak dan dinamik antara pasangan ini membuatkan filem ini semakin menarik untuk ditonton.
Tetapi filem politikal drama ini tidak dapat mengelakkan sedikit rasa bosan kepada audiens yang menonton. Mungkin kerana ianya lebih cenderung ke arah tema dokudrama dan setiap fakta atau dialog yang dilemparkan dalam filem ini ibarat kita sedang membaca halaman wikipedia tentang CIA dan EIT.
Walaupun jalan ceritanya agak perlahan, tapi tak bermaksud ianya langsung tak bagus. Aku sendiri mempunyai sifat ingin tahu bila menonton dari babak ke babak tentang konspirasi dalam agensi terbesar dunia. Bagaimana agensi ini mencalarkan imej demokrasi dengan menggunakan langkah primitif dan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanannya dan apa yang lebih teruk, hasil teknik ini adalah tidak seberapa.
Mungkin filem ini tak mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap CIA atau AS dan mereka mungkin tetap menjalankan metod penyiasatan sebegitu sekarang. Tetapi sekurangnya filem ini memberi satu sinaran kepada kita tentang sisi gelap agensi ini dan bagaimana di AS masih ada individu yang cuba melakukan sesuatu perkara yang betul. Kontra antara personafikasi Dan Jones dan Edward Snowden adalah Dan Jones tetap mahu menyalurkan laporannya sebanyak 7,000 helai itu dengan cara yang betul dan sah, berbeza dengan Snowden. Cuma adakah dengan pengeluaran laporan itu mampu mengubah 'the system'?
Rating Peribadi: 3.5/5
Share: