Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Movie Reviews. Show all posts
Showing posts with label Movie Reviews. Show all posts

Thursday, September 23, 2021

Mencari Rahmat (2021) - Movie Review

MENCARI RAHMAT

TAHUN: 2017
PENGARAH: Al Jafree Md Yusop
LAKON LAYAR: Al Jafree Md Yusop
PELAKON: Nam Ron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Eric Fuzi
GENRE: Komedi, Drama
BAHASA: Bahasa Melayu (Malaysia)
DURASI: 101 minit


Razak (Nam Ron) yang merupakan seorang usahawan berjaya dari Pulau Pinang, menggunakan nama Rahmat di Kuala Lumpur dan cuba untuk memikat hati Rose (Nadia Aqilah) yang merupakan sepupu kepada Azman (Amerul Affendi) dan anak kepada Datin Azizah (Adibah Noor). Azman pula dibesarkan oleh Datin Azizah dan cuba untuk memikat Ratna (Sharifah Amani) yang merupakan anak saudara dibawah jagaan Razak. Razak memberitahu Ratna bahawa dia mempunyai adik bernama Rahmat di Kuala Lumpur, lalu Azman menggunakan peluang itu untuk menyamar sebagai Rahmat ketika ingin memikat Ratna di Pulau Pinang.
Filem ini merupakan sebuah adaptasi dari sebuah pementasan yang ditulis oleh Oscar Wilde berjudul 'The Importance of Being Earnest'. Sebuah filem yang diadaptasikan dari karya luar, lalu diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan diberikan suntikan nafas kemelayuan itu oleh pengarah Al Jafree Md Yusop, kemudian dihembuskan pula dengan semangat-semangat tipikaliti drama lokal, maka terhasil lah filem Mencari Rahmat ini.
Dengan berbekalkan sebuah penulisan skrip dan dialog yang cukup jitu besertakan barisan pelakon yang hebat, filem ini berfungsi sebagai sebuah medium untuk menyampaikan sebuah plot tentang keghairahan watak-watak yang mendambakan 'cinta' dan 'perhatian' melalui sebuah pembohongan. Premisnya mudah sahaja dengan memfokuskan pada watak Razak dan Azman serta satu lagi karakter bernama Rahmat yang menjadi titik punca segala permasalahan yang berlaku sehingga memberikan penamat yang 'haram jadah'.
Mungkin boleh aku katakan pada babak pertama filem ini mampu menimbulkan perasaan bosan kepada penonton yang menonton, kerana ianya dipersembahkan lebih dekat sebagai satu pementasan teater dan menjadi titik utama permulaan kisah penipuan yang dibikin oleh Razak dan Azman. Tetapi tempo penceritaan mula bergerak dengan laju apabila sampai ke babak pertengahan hinggalah ke pengakhiran. Seperti aku katakan tadi, ianya diterjemahkan dari sebuah pementasan, lalu filem ini juga mempunyai semangat seperti sebuah pementasan, cuma pada penghujung filem ini akan ada satu tipikaliti yang sering kita dapati dalam drama-drama lokal atau paling dekat seperti yang kita boleh dapat dari filem Keluarga 69.
Terdapat pertembungan antara dialog kaku dan dialog bersahaja dalam filem ini, bukti ianya sebuah penterjemahan dari teks berbahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Ianya akan nampak sedikit janggal pada mulanya, namun kejanggalan itu beransur hilang kerana keberkesanan para pelakon dalam memberikan persembahan menakjubkan. Perkara berkaitan lakonan ini tidak boleh disangkal lagi kerana umum mengetahui bahawa Nam Ron, Amerul Affendi, Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Fauziah Nawi dan Azman Hassan sudah termaktub sebagai pelakon-pelakon yang handal. Cuma jika aku diberi pilihan untuk memilih pelakon kegemaran dalam filem ini, aku akan pilih Adibah Noor kerana beliau menjayakan watak Datin Azizah dengan sangat hidup serta auranya setiap kali berada dalam setiap babak merancakkan lagi perjalanan cerita.
Jujur aku katakan filem ini bukan untuk semua orang. Ianya tidak mempunyai kebiasaan yang sering ditunjukkan dalam filem-filem lokal yang lain. Tetapi satu perkara yang filem ini dapat menangkap perhatian penonton dari awal, sudah tentu sinematografi dan visualnya. Jadi dengan jalan cerita dan skrip yang luar dari normal, pengarah filem ini bijak dengan mengeksploitasi pandangan penonton supaya tertarik dengan visualnya terdahulu. Ini satu pujian buat pengarah sinematografi, Madnor Kassim yang bijak menggunakan sudut-sudut dan pergerakkan kamera untuk menjadikan cerita yang seakan pementasan ini ke bentuk sebuah filem yang indah untuk ditonton.
Ada filem yang terlalu memfokuskan pada visual dan sinematografi tetapi lupa untuk menitikberatkan jalan cerita serta skrip. Ada juga yang terlalu menyelami jalan cerita serta skrip tetapi lupa untuk meneliti aspek teknikal. Mencari Rahmat berjaya mengimbangi kedua-dua faktor teknikal dan skrip menjadikannya antara filem lokal yang bagus. Sekalipun begitu, kritikan sosial serta sindiran yang disampaikan melalui watak-watak dalam filem ini mungkin menjadi satu kesukaran untuk penonton fahami. Atau yang sukar difahami itu lah lebih seronok untuk diselami.
Filem ini boleh ditonton secara strim di MUBI Malaysia.

"Jika nama aku bukan Rahmat adakah kau masih lagi mencintai aku?"


Share:

Wednesday, September 22, 2021

Cruella (2021) - Movie Review

CRUELLA
TAHUN: 2021
PENGARAH: Craig Gillespie
LAKON LAYAR: Dana Fox, Tony McNamara
PELAKON: Emma Stone, Emma Thompson, Joel Fry, Paul Walter Hauser, Emily Beecham, Kirby Howell-Baptiste, Mark Strong, John McCrea
GENRE: Komedi, Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 134 minit


Estella Miller (Emma Stone) adalah seorang yang berbakat dalam bidang fesyen tetapi mempunyai satu perangai yang mudah memberontak. Ibunya, Catherine (Emily Beecham) sampai terpaksa membawa Estella keluar dari sekolah tersebut dan ingin berpindah ke London. Dalam perjalanan, Catherine bertemu dengan seorang wanita kaya untuk meminta bantuan kewangan. Tetapi malapetaka berlaku apabila Catherine ditolak hingga jatuh ke gaung oleh anjing-anjing 'dalmation' milik wanita kaya tersebut. Estella membesar tanpa ibu bapa di London bersama dua orang kawan baiknya, Jasper (Joel Fry) dan Horace (Paul Walter Hauser). Minat Estella terhadap bidang fesyen tidak pernah malap sehingga dia berjumpa dengan ikon fesyen dunia, seorang wanita kaya bergelar Baroness von Hellman (Emma Thompson). Sebaik Estella mendapat tahu Baroness ini adalah individu yang berkait dengan kematian ibunya, Estella mula menggunakan nama Cruella untuk menggugat kedudukan Baroness sebagai ikon fesyen di London.
Filem dari Walt Disney Studios ini merupakan adaptasi atau berdasarkan filem dan animasi 101 Dalmations yang merupakan antara jenama popular dari Disney. Ianya sama seakan filem Malificent sebelum ini yang mengambil watak jahat dari filem animasi Sleeping Beauty. Kali ini Disney menggunakan pula watak Cruella yang ditonjolkan sebagai 'villain' dalam 101 Dalmations, tapi memberikan 'origin story' dalam filem ini sekaligus mengubah sedikit watak Cruella ini dari menjadi watak jahat semata-mata.
Kalau dilihat dari luaran dan konsep utama filem ini, ianya ada sedikit semangat ala filem Devil Wears Prada seperti yang ditunjukkan dalam watak Baroness. Kita diperlihatkan dengan dunia fesyen terutama di dalam rumah fesyen terkemuka milik Baroness ini dan bagaimana Cruella cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai pereka fesyen yang muda dan meningkat naik. Cara filem ini menunjukkan perang fesyen antara Baroness dan Cruella sangat unik, terutama setiap kali Cruella cuba untuk sailang populariti Baroness dengan rekaan-rekaannya yang radikal dan kreatif.
Kita juga dapat menyelusuri perkembangan watak Cruella yang pada mulanya hanyalah seorang gadis yang hanya ingin mencari kebenaran tentang kematian ibunya, tetapi secara perlahan berubah juga menjadi seorang yang narsisis. Emma Stone benar-benar menjiwai watak sebagai Estella/Cruella ini dengan mengimbangi emosi serta motif watak sekaligus bersesuaian dengan jalan cerita yang disampaikan. Dinamik antara Emma Stone dan Emma Thompson juga merupakan elemen yang paling menarik sekali dalam filem ini kerana kedua-dua Emma ini telah memberikan persembahan yang sangat cemerlang.
Terdapat banyak babak-babak yang menarik dalam filem ini dan jujur kata ianya sedikit sebanyak kurang menampakkan filem ini sebagai sebuah filem Disney. Mungkin kalau nak dikeluhkan tentang filem ini adalah perubahan watak Cruella yang kita kenali sebagai watak jahat sebelum ini. Tapi itu pun kita tak dapat nak keluhkan sangat kerana jalan cerita dan watak Cruella yang baharu ini merupakan sesuatu yang segar dan tak boleh dianggap lagi sebagai Cruella yang lama. Disney juga yakin dengan watak ini sehingga filem sekuelnya sudah pun di dalam perancangan. Jadi memang satu pilihan yang bagus kerana mereka memilih Emma Stone untuk membawa watak ikonik ini.
Filem Cruella boleh ditonton secara strim di Disney+ Hotstar.

"I guess they were always scared that I’d be… a psycho."

Share:

Thursday, January 14, 2021

The Queen (2006) - Ulasan Filem


Kisah keluarga di-Raja Britain, keluarga Queen Elizabeth II kali ini berlatarbelakangkan sekitar peristiwa tragik berkenaan kematian Princess Diana akibat kemalangan kereta di Perancis. Penonton dibawa menyelusuri kehidupan Queen Elizabeth II (Helen Mirren) yang mendapat cemuhan dari rakyat Britain kerana tidak menunjukkan empati dan enggan melabelkan kematian Diana sebagai kematian di-Raja. Dalam waktu yang sama Tony Blair (Michael Sheen) baru sahaja diangkat sebagai Perdana Menteri yang muda, perlu menjadi orang tengah kepada Queen dalam perihal pengebumian Diana.

Penulis lakon layar filem ini, Peter Morgan memang sudah cukup dikenali sebagai penulis biopik keluarga di-Raja Britain dan drama-drama politikal UK. Antara karya beliau adalah seperti siri TV The Crown, filem The Special Relationship, Frost/Nixon, The Other Boleyn Girl, The Deal dan banyak lagi. Tidak boleh dinafikan bahawa genre sebegini sememangnya makanan ruji beliau.
Penceritaan banyak memfokuskan pada perspektif Queen Elizabeth dan Tony Blair berkaitan kematian dan pengebumian rasmi Princess Diana. Tony Blair menjadi kegemaran orang ramai kerana menunjukkan empati kepada kemaitan Princess Diana dan sifat merendah diri beliau yang cuba untuk meyakinkan keluarga Windsor melakukan perkara yang sama. Secara tidak langsung Blair sendiri sudah terjebak dengan drama kekeluargaan ini. Bagaimana Prince Charles (James Cromwell) juga cuba menggunakan Blair menjadi orang tengah supaya pihak media akan mengalihkan kecaman kepada ibunya, Queen Elizabeth, hanya untuk mengajar ibunya tentang apa yang dia alami selama ini.
Hubungan antara watak Blair dan Queen dapat dirasai apabila kedua watak ini mempunyai refleksi antara satu sama lain, tetapi mempunyai persamaan dari segi tanggungjawab yang mereka pikul. Mungkin pada awalnya kita sebagai penonton juga akan merasa jelik dengan sikap dingin Queen, tetapi pada pengakhirannya, dapat dirasai apa yang sebenarnya Queen ini perlu lakukan untuk menjadi seorang 'Queen'.
Konsep penceritaan yang mudah dan santai menjadikan filem ini tidak terlalu bosan untuk ditonton. Tema utama tentang kematian Princess Diana menjadi 'selling point' filem ini dan menambahkan lagi rencah dalam penontonan. Sudah tentu kisah yang penuh dengan skandal dari keluarga di-Raja Britain ini kekal menjadi sebuah kisah yang paling 'mahal' sekali dan kebolehan Peter Morgan mengangkat kisah ini ke layar perak harus dipuji. Peter tidak saja-saja ingin menconteng arang ke muka keluarga Windsor, tapi dalam waktu yang sama memberikan satu perspektif berbeza kepada rakyat Britain tentan keluarga paling kontroversi ini.
“A job she watched kill her father. She's executed it with honor, dignity, and, as far as I can tell, without a single blemish, and now we're all baying for her blood! All because she's struggling to lead the world in mourning for someone who... who threw everything she offered back in her face.” - Tony Blair
Rating Hady - 4/5
Sumber tontonan: Netflix US
Share:

Tuesday, June 30, 2020

Eurovision Song Contest: The Story of Fire Saga (2020) - Ulasan Filem


Lars Erickssong (Will Ferrel) dan Sigrit Ericksdottir (Rachel McAddams) yang berasal dari Iceland mempunyai sebuah band bernama Fire Saga dan berhasrat untuk bertanding di Eurovision Song Contest, sebuah pertandingan nyanyian antara negara-negara eropah yang sangat berprestij. Walaupun sering dipandang rendah oleh orang kampung mereka sendiri di Husavik, tetapi tidak mematahkan semangat mereka untuk membawa lagu mereka ke pentas antarabangsa.
Jalan cerita filem ini sebenarnya agak padat dan kusut dengan jalan cerita yang tidak begitu disusun dengan baik. Pelbagai watak yang tidak dikembangkan dengan sebaiknya dan dibazirkan begitu sahaja hingga ke penghujung. Tetapi aku pasti ramai yang jatuh cinta dengan lakonan dan kelibat Rachel McAddams. Rachel kini menjadi antara pelakon wanita filem komedi kegemaran aku lebih-lebih lagi dengan persembahan komedi menakjubkan dari filem Game Night.
Mungkin jalan cerita serta komedi dalam filem ini masih boleh dipersoalkan, tetapi tidak pada muzik dan lagu. Lagu-lagu dalam filem ini banyak yang menarik lebih-lebih lagu lagu Volcano Man dan Double Trouble dengan genre 'Icelandic Pop' yang rancak sekaligus mampu menjadi antara lagu kegemaran mereka yang menonton. Begitu juga lagu Husavik yang dinyanyikan oleh My Marianne (lipsync oleh Rachel dalam filem) yang sangat indah. Will Ferrel juga menyumbangkan suaranya sendiri untuk soundtrack filem ini dan ya, suaranya boleh tahan merdu juga , Will memang dah banyak buktikan beliau seorang penyanyi yang bagus.
Ironinya, Eurovision Song Contest 2020 yang sebenar tidak dapat berlangsung kerana pandemik coronavirus yag melanda dunia. Filem ini tidak dapat lah nak isi kekosongan tersebut, tapi bolehlah tonton untuk mendapatkan hiburan secara santai.
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Friday, June 26, 2020

Interstellar (2014) - Ulasan Filem

Pada tahun 2067, dunia mengalami pelbagai kerosakan alam, banyak tumbuh-tumbuhan yang mati, ribut habuk pula berleluasa. Tanaman yang masih bertahan adalah jagung. Ramai penduduk di bumi menjadi petani untuk kelangsungan hidup. Begitu juga Joseph Cooper (Mattherw McConaughey) yang merupakan bekas juruterbang NASA yang terpaksa menjadi petani untuk meneruskan hidup bersama bapa mertuanya Donald (John Lithgow) dan dua orang anaknya, Tom dan Murphy. Sehinggalah Cooper diberikan peluang oleh Professor Brand (Michael Caine) dari NASA untuk misi penjelajahan angkasa lepas dalam mencari dunia baru untuk umat manusia.
Dari segi teknikal, filem ini cemerlang dalam semua aspek. Penataan seninya sangat menakjubkan, walaupun Christopher Nolan memaksimakan penggunaan efek praktikal, tetapi beliau cuba dengan sebolehnya menggunakan efek khas secara tepat bagi menghasilkan imej-imej seperti lubang hitam dan babak Cooper di dalam tesseract. Muzik latar belakang filem ini juga sangat mengagumkan hasil air tangan Hans Zimmer yang menambah rasa dalam perasaan kita ketika menonton. Begitu juga sinematografi filem ini, pergerakan kamera yang indah sekaligus menyajikan kita dengan dunia angkasa lepas yang penuh misteri.
Kita boleh lihat bagaimana Nolan cuba memperhalusi garisan antara fiksyen dan realiti sehalus yang mungkin dalam filem ini. Seperti filem-filem Nolan yang lain, walaupun ianya dekat dengan realiti, tetapi Nolan tetap menggunakan medium filem untuk menghidangkan suatu fantasi dan fiksyen yang menghiburkan. Jadi filem ini nampak seimbang dengan khayalan dan kenyataan, sekaligus mampu menjadi antara filem sains fiksyen yang paling hampir dengan dunia sebenar.
Barisan pelakon yang mantap seperti Anne Hathaway, Jessica Chastain, Matt Damon, Wes Bentley, Casey Affleck, Topher Grace menyinari keseluruhan jalan cerita Interstellar. Babak paling menarik dalam filem ini adalah ketika Cooper, Dr Brand dan Dr Doyle berada di Miller's Planet. Akibat dari daya tarikan gravity yang kuat dari lubang hitam Gargantua, peredaran masa di Miller's Planet bergerak dengan laju berbanding di Bumi. Akibat dari 'gravitational time dilation' ini, selepas Cooper kembali ke kapal Endurance, 23 tahun telah berlalu, Murphy ketika itu sudah mencapai usia dewasa.
Arus penceritaan tidak terlalu meleret dan audiens seolah berada dalam kelas fizik dan mempelajari pelbagai teori tentang ruang dan masa. Tetapi penjelasan itu sebenarnya dipaparkan dengan ringkas dan memberi satu kepuasan kepada audiens yang menonton. Ianya sebuah sains fiksyen yang penuh dengan teori dan fakta dan bukan sekadar sains fiksyen yang kosong. Mungkin itulah sebabnya Interstellar menjadi filem kegemaran ramai.
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Sunday, October 6, 2013

Ini Movie Ada Sengat! *sebuah review KL Gangster 2



Akhirnya movie paling ditunggu-tunggu pada tahun ini sudah keluar. Eah, tapi kenapa macam semua pun tak berapa nak excited sangat bila movie ni keluar panggung? Oh, rupa-rupanya sebulan sebelum movie ni keluar panggung, dah pun bocor di pasar-pasar malam, kedai-kedai dvd cetak rompak dan di laman-laman sesawang...kesian. Memang nampak kekecewaan pada diri Abang Soul kita...yalah, mana taknye, buat movie makan masa sampai 2 tahun lebih, banyak korban tenaga, korban masa, korban duit lagi, tapi kesudahannya, hampir semua audiens tonton di skrin medium.

Tapi semuanya ada hikmah, mungkin lepas ni Abang Soul boleh buat movie bercirikan Islamik pulak, jangan nak harapkan David Teo saja. Apa salahnya pengarah-pengarah muda kita buat kisah para nabi, para sahabat, buat cerita sejarah Salahudin Al-Ayubi, cerita zaman kegemilangan Bani Uthmaniyah ke. Guna je pelakon Melayu kita yang ada sekarang. Cerita Islamik pun universal jugak, jangan asyik nak harapkan movie bertemakan Greek atau Norse macam Vikingdom tu. Kalau sekali penonton kita percaya apa yang kita paparkan, kita sendiri yang kena tanggung tau.

Mukadimah review ni je OtakMovie dah banyak membebel...padahal poin utama OtakMovie nak menonjolkan movie KL Gangster 2 yang sememangnya gempak. Dan apa yang menarik, lepas tengok KL Gangster 2 ni OtakMovie terus tengok balik movie KL Gangster. Nak tengok macam mana dua-dua movie ni relate antara satu sama lain. Dan bagusnya juga KL Gangster 2 ni, bagi sesiapa yang belum tengok KL Gangster, pun akan faham jalan ceritanya kerana ianya merupakan cerita prequel.

Pertama sekali OtakMovie nak sentuh pasal kegempakkan movie ni, nampak sangat ianya merupakan permainan dan hobi Abang Soul kita. Kalau takde kereta meletup, tembak menembak, gedebak-gedebuk dan bahasa-bahasa kasar (tapi kelakar), memang bukan movie Abang Soul lah. Dan kita sendiri boleh enjoy dengan apa yang Abang Soul ni paparkan. Satu lagi keistimewaan Abang Soul, sekali pun dia ni berjiwa muda dan mudah memberontak, tapi dia still tak lupakan pelakon-pelakon otai. Habis semua pelakon-pelakon yang pernah kerja dengan ayahandanya dia panggil sekali berlakon, kalau dengan DY Haslam diorang jadi polis, tapi dengan Abang Soul, jadi gangster, bapak gangster pulak tu. Contohnya macam Angeline Tan (jadi mak kepada Shark), Deen Maideen (ketua kongsi gelap Brickfields), Rosyam Nor (Tailong, villain utama movie ni yang sadis gila) dan Adam Corrie Lee (Dragon, orang kanan Tailong yang berpaling tadah). Seriously OtakMovie teringin sangat nak buat wish list untuk Abang Soul, kalau ada KL Gangster 3, tolonglah ambik DY Haslam sebagai bapak segala bapak gangster. Siapa yang tak rindu dengan watak gangster Yusof Haslam macam dalam movie Lagu dan Cinta zaman 70an (atau 80an, tak ingat) dulu. Tapi sebelum tu, OtakMovie juga berdoa DY Haslam cepat sembuh dan semakin sihat...

Selain tu, kekuatan movie ni dah tentulah pada pelakon-pelakonnya juga. Movie ni memang betul-betul movie jantan, kalau korang tercari-cari siapa heroin dalam movie ni, lupakan jelah, memang takde pun. Watak Zati, adik kepada Malek (Aaron Aziz) dan Jai (Ady Putra) dalam movie ni kalau takde pun takpe, mungkin Abang Soul boleh cari cara lain macam mana nak kaitkan Tailong dengan Malek dan Jai. Cuma mungkin bagi Abang Soul elemen drama boleh disuntik sedikit kalau ada watak perempuan dalam movie ni. Tapi kalau betul nak suntik elemen drama, pacak je satu heroin disamping Malek...mungkin juga Abang Soul taknak movie gangsternya terlalu streotaip.

Watak Ajib dalam movie ni juga sangat lah terlebih-lebih, nak nak dia punya pantun. Yelah, Ajib dalam KL Gangster 2 kan muda sikit, jadi mulutnya pun masih banyak tenaga. Dan kalau bab berlawan pula, memang sama macam gaya cakapnya, tak payah pistol pun boleh tembak peluru guna mulut, memang kerja nak memangkah orang je. Mana lah Tailong tak menyirap, tapi sepedas-pedas mulut Ajib, pedas lagi mulut Jai, dah lah dalam movie ni dia baru nak up, rambut pun blonde, tak kira siapa semua dia nak cantas. Dan dalam movie ni juga ditunjukkan Malek yang masih muda, dan kekeringan hatinya serta misinya untuk familynya yang membuatkan dia digeruni oleh kepala-kepala gangster yang lain. Malek ni tak banyak cakap sangat, tapi kalau orang sentuh pasal family dia, memang dia lagi mafia lah dari mafia Itali tu.

Itulah satu benda yang OtakMovie nampak dalam duology KL Gangster ni, Abang Soul mahu mengangkat karakter dalam movie ini menjadi satu ikon yang mempunyai sifat, misi dan personaliti tersendiri. Kalau Malek orangnya bersikap sabar tapi cepat mengamuk kalau orang kacau family dia, Jai pula pantang ditaburkan duit depan mata mesti dia setia, Ajib pula sangat mementingkan geng dia sendiri yang dianggap sebagai blood brothers sampai sanggup lakukan apa saja asal gengnya tak dikacau, Dragon pula cuma hanya mahukan jajahan takluknya dijadikan pusat bisnes buat dirinya, Tailong memang gilakan kuasa dan sangat sadis, manakala Shark pula lebih kurang macam Tailong tapi tak berapa sadis sangat, cuma agak terlampau kebiadapannya. Oh, dan Fadhil pula dengan cakap-cakapnya yang sama besar dengan hidungnya.

Jadi bagi OtakMovie, memang terhibur sangat tonton movie ni. Dapat jugaklah hilangkan bosan di hari-hari minggu ni. Dan dalam movie ni pun nampak lah yang Abang Soul sangat enjoy dan berhabis beras untuk mendapatkan hasil yang baik. Tak dinafikan memang movie ini boleh disamakan dengan movie Hong Kong dan Hollywood. Cuma mungkin kaitan antara KL Gangster 2 dan KL Gangster belum digilap dengan lebih berkilat lagi. Apapun, KL Gangster 2 memang lagi gempak, lagi langsi dan lagi gangster dari movie KL Gangster.
Share:

Saturday, August 24, 2013

Legasi Sempit Berterusan *sebuah review Adnan Sempit 3



David Teo sendiri dah kata, kalau boleh dia nak buat movie Adnan Sempit tu sebagai satu siri movie yang panjang. Mungkin sampai Adnan Sempit 10, dan bukti kesungguhan David Teo ni terbukti sebaik sahaja movie Adnan Sempit 3 keluar setahun selepas movie Adnan Sempit 2 yang korang sendiri tau, memang kelakar. Malah lebih kelakar dari Adnan Sempit yang pertama, tapi adakah movie Adnan Sempit 3 ini satu movie yang wajar atau sekadar memenuhi impian David Teo terhadap francais idamannya.

Dalam review kali ni, OtakMovie tak nak taip panjang berjela. Cukup je lah OtakMovie ulas satu dua perkara kerana bagi OtakMovie, movie Adnan Sempit 3 ini memang kelakar, tapi terlalu banyak sangat main-main. OtakMovie nak kata movie ni ibarat melepaskan batuk di tangga pun tak boleh jugak, tapi nampak gayanya memang sedemikianlah movie ini di paparkan.

Shaheizy Sam pula dah macam taknak buat lawak lebih-lebih dengan watak sebagai Adnan, cukup sekadar copy pakai kertas karbon terhadap watak itu dalam movie sebelum ini. Begitu jugalah dengan watak Nadia, Wawa dan Bobby. Kalau korang pernah tengok movie Adnan Sempi dan Adnan Sempit 2, takde banyak beza pun watak diorang ni. Mungkin perubahan besar yang dirasai dalam movie ini adalah dari segi perwatakan ibu dan ayah Nadia yang di lakonkan oleh Ahmad Tarmimi Siregar dan Aznah Hamid. Kalau movie sebelum ni diorang lebih menunjukkan sisi negatif menentang hubungan Nadia dan Adnan, tapi dalam movie ini mereka yang dah insaf pula jadi orang tengah yang cuba membaik pulih hubungan dua orang pasangan itu.

Dari segi plot pula, OtakMovie rasa silapnya movie ini kerana hanya meletak plot pada Adnan, Nadia, Wawa dan Bobby yang struggle nak bina family sendiri. Memang betul dalam movie ni mereka dah berkahwin, tapi plot setakat nak tunjuk betapa diorang nak hadapi masalah mendatang bila Nadia dan Wasa di sahkan mengandung. Rasanya korang tahu sendiri je lah apa obstacle yang diorang kena hadapi. OtakMovie rasa mungkin tahun depan akan ada Adnan Sempit 4, dan plotnya pun OtakMovie dah agak, mungkin lepas ni diorang struggle nak jadi parents pulak. Haha.

Kesimpulannya, movie ni memang boleh dijadikan teman waktu kita nak bersantai, tetapi disebabkan terlalu banyak nilai-nilai eskapisme yang membuatkan plot-plot dalam movie ini berlubang telah menjadikan movie ini semakin tenggelam. Dan kewujudan terlalu banyak produk placement dalam movie ni membuatkan kita pun rasa mual nak tonton sampai habis. Apa pun, Adnan Sempit tetap antara yang kelakar.
Share:

Friday, June 14, 2013

Ini Superman ke SuperNolan? *sebuah review Man of Steel.



Hampir tiga tahun menuggu movie paling dinantikan ini untuk siap. Zack Snyder dengan bantuan dari David S. Goyer dan Christopher Nolan bertungkus lumus menyempurnakan kisah superhero paling tua ini. Adakah semua itu berbaloi? Akan termakbulkan expectation yang sangat tinggi dari peminat mahupun yang mengaku minat kat superhero ni? Dengan hadirnya Christopher Nolan (The Dark Knight Trilogi), sekaligus menjawab persoalan kemana hala tuju jalan cerita movie ini. Superman tidak akan sama seperti selalu. Ini adalah satu nafas baru untuk Superman hirup di dunia yang penuh dengan unsur logikal, atau mungkin, dunia Nolan sendiri. Dalam persefahaman OtakMovie, mereka telah dengan bersungguh-sungguh ingin menjadikan dunia Superman ini lebih realiti walhal kewujudan Superman itu tidak logik langsung. Apa yang OtakMovie rasa selepas menonton movie ini, ya, puas.

EFEK KHAS/AKSI

Walaupun ada secubit babak yang nampak agak sedikit kartun, tetapi efek dan aksi dalam movie ini tidak boleh dipertikaikan. Pada awal cerita lagi telah ditunjukkan kesan visual yang memukau yang menonjolkan dunia Krypton. Snyder tidak teragak-agak dengan mengambil masa yang lama untuk menceritakan kisah Krypton yang tragik. Dan dalam kisah ini lah digunakan sebaik mungkin kesan visual dengan mengetengahkan bumi Krypton dan makhluk yang terdapat disitu. Babak aksi dalam movie ini pula memang betul-betul dihabis guna dengan alasan Superman adalah superhero yang kebal. Begitu juga dengan makhluk-makhluk Krypton yang lain. Kesemua mereka memang kuat dan dalam movie ini, babak aksi antara mereka adalah diluar batasan. Cuma kadang-kadang banyak kali juga OtakMovie tengok Superman ni suka sangat menghempaskan diri dia dengan musuh kat bangunan-bangunan. Setiap kali terbang, rempuh bangunan. Rasanya mungkin sebab Superman dalam movie ni masih dalam proses nak belajar. Satu lagi, ikutkan rugi jugak tak tengok movie ni dalam IMAX 3D, sebab seperti yang OtakMovie katakan tadi, walaupun movie ni berat, tapi tetap penuh dengan aksi yang sangat padat.

SKOR MUZIK

Hans Zimmer. Muzik yang menyayat hati setiap kali muncul babak sedih, muzik yang mendebarkan setiap kali muncul sekuens aksi, muzik yang merdu setiap kali keindahan di skrin ditunjukkan. Hans Zimmer. Itu saja yang boleh OtakMovie kata.

LAKONAN


OtakMovie boleh senaraikan nama-nama pelakon dalam movie ini yang mana semuanya telah memainkan peranan yang penting. Michael Shannon sebagai General Zod; seorang villains yang sebenarnya mempunyai visi yang noble, tetapi caranya saja yang tidak humble. Zod ingin menyelamatkan bangsanya, tetapi caranya saja yang salah. Keangkuhannya akhirnya menyebabkan beliau menjadi makhluk yang tiada belas ehsan. Dan Michael Shannon berjaya membawa watak ini dengan jayanya tanpa teragak-agak untuk membawanya dengan cara tersendiri. Kevin Costner dan Diane Lane sebagai Jonathan Kent dan Martha Kent. Ibu bapa angkat Clark Kent/Kal-El ini memang sangat optimis dengan kebolehan anaknya. Mereka ini lah penyebab Clark menjadi Superman yang disanjung. Dan Kevin serta Diane, terutama Diane, telah menghidupkan kembali watak ikonik ini dengan meninggalkan kesan kepada penonton.

Christopher Meloni dan Richard Schiff sebagai Colonel Nathan Hardy dan Dr. Emil Hamilton. Orang sangka mereka ini hanyalah watak picisan. Tetapi mereka juga antara penggerak jalan cerita movie ini. Meloni dan Schiff telah membuktikan mereka adalah pelakon senior yang tak boleh dipertikaikan kewujudan mereka dalam movie ini. Antje Traue sebagai Faora-Ul. Perwatakan karakter Faora ini agak kabur sedikit. Walaumacamanapun, kekuatan karakter Faora ini turut terasa terutama pada babak yang membabitkan beliau dengan Clark. Laurence Fishburn sebagai Perry White. Sedikit kurang dalam watak Perry ini. Sekalipun begitu, tetap nampak kewibawaannya sebagai Chief Editor untuk Daily Planet.

Amy Adams sebagai Lois Lane. Lois dalam movie ini bukanlah seperti Lois yang biasa. Sebagai wartawan yang pernah memenangi anugerah Pulitzer, Lois menunjukkan kebolehannya dalam menyiasat sesuatu perkara contohnya dalam movie ini, Clark Kent. Amy Adams juga tidak skeptikal dalam melakonkan watak ini. Ayelet Zurer dan Russel Crowe sebagai Lara Lor Van dan Jor-El. Lara dalam movie ini menunjukkan kekuatannya sebagai seorang isteri kepada seorang saintis. Beliau tabah sekalipun mengetahui dunianya akan hancur.Begitu juga Jor-El, beliau lah mentor sebenar Clark Kent atau Kal-El. Bapa kepada Superman ini adalah penyebab hidupnya Kal-El sebagai penyelamat di muka bumi. Russel Crowe mungkin tidak mampu menandingi Marlon Brando yang ikonik. Tetapi beliau telah mencipta satu sisi yang berbeza dalam diri Jor-El untuk movie ini.

 Henry Cavill sebagai Clark Kent/Kal-El/Superman. Ah, kemanalah perginya movie ini kalau tiada watak utama ini. Clark Kent dalam movie ini telah menunjukkan sisi dirinya yang depresi dalam mencari peluang untuk menyembunyikan identitinya yang sebenar. Dan Henry Cavill pula telah berjaya menyarung sut Superman itu dan benar-benar layak untuk menerima watak sebegini. Lupakan saja movie-movie Superman sebelum ini, kerana Clark Kent dalam movie ini sangatlah lain.

JALAN CERITA



Jalan cerita gaya Nolan. Okay, mungkin tak sepenuhnya gaya Nolan, tapi konsepnya tu masih ada. Kalau anda tonton cerita ni, takkan tak boleh nak kaitkan langsung dengan movie Batman Begins. Nolan dan Goyer telah seboleh mungkin menghasilkan skrip yang bagus dan selayaknya untuk francais Superman ini. Mereka tahu cerita Superman memang sebegitu rupa, jauh dari norma kehidupan yang sebenar. Dan disinilah kreativiti terhasil dengan merealisasikan sesuatu yang susah diterjemahkan kepada satu asas yang logik. Mungkin benar Supeman itu adalah alien, jadi mereka gunakan medium 'alien' itu sebagai salah satu kekuatan movie ini. Mereka juga tahu wujud planet Krypton dalam dunia Man of Steel, jadi mereka hasilkan sebuah planet dan menjadikan planet itu sebagai Krypton sekaligus membuatkan kita sedikit terimbas dengan cerita-cerita seperti Star Trek dan John Carter.

Mereka tahu misi utama General Zod adalah untuk menjadikan bumi sebagai pengganti planet Krypton, jadi mereka jadikan movie ini ada sedikit ala-ala Armageddon atau movie 2012. Apa yang OtakMovie nak katakan adalah, jalan cerita movie ini adalah secara total menggunakan sebaik mungkin medium yang dipanggil movie 'Superman'. Tiada rasa teragak-agak dari Goyer, Nolan mahupun Snyder untuk mengubah sedikit cerita asal dalam masa sama menambahkan lagi rencah yang sedia ada. Ya, movie ini bukanlah movie yang menunjukkan Superman telah wujud dan pandai dalam membanteras jenayah. Tetapi kehadiran tentera General Zod adalah misi pertama Superman untuk menyelamatkan bumi.

Sekalipun Superman dan Zod saling bergaduh, tetapi ikatan tetap dirasai antara mereka kerana mereka sama-sama adalah anak Krypton. Dalam movie ini dapat disaksikan sisi depresi Clark sebagai Superman yang cuba untuk melindungi manusia yang bukan dalam kalangannya, dan cuba menumpaskan bangsanya sendiri. Benar kata Clark dalam movie ini, Krypton telah diberi peluang untuk hidup, tetapi keangkuhan sekali lagi telah menewaskan mereka. Jadi Clark perlu menyesuaikan dirinya dalam dunia angkatnya.

KESIMPULAN


Kita tak boleh nak expect yang movie ini akan sama sepeti The Avengers, Iron Man mahupun Batman. Kerana Superman, atau, Man of Steel ini terletak dalam liganya tersendiri. Man of Steel wujud dalam dunia Bruce Wayne, tetapi juga wujud dalam dunia di mana wujudnya alien. Persoalan utama movie ini adalah kompleks antara realiti dan fiksyen sains bergabung dan menghasilkan satu entiti yang dipuja ramai. Movie ini bukanlah movie popcorn, kerana setiap sekuens yang diletakkan pasti ada penyebabnya tersendiri. Dan pengarah takkan dengan sesenang hatinya meninggalkan persoalan yang terdapat dalam movie ini tanpa jawapannya. Nescaya ramai anak muda yang sudah tidak dihidangkan lagi dengan movie Superman, akan mula menaruh minat terhadap superhero ini. Dan akhirnya dalam movie ini ditunjukkan, Clark sedar dirinya adalah Kal-El, dan alter egonya bukanlah Superman, tetapi Clark Kent.
Share:

Tuesday, June 11, 2013

Tak Nampak Tak Bermaksud Tak Ada. *sebuah review Epic.


Epic adalah sebuah lagi animasi keluaran syarikat animasi terbesar, Blue Sky, yang sebelum ini sangat feymes dengan francais Ice Age nya, antara animasi lain keluaran syarikat ini adalah Rio, yang juga antara animasi berjaya dan bakal keluar dengan francaisnya tersendiri. Dan tak mustahil juga Epic akan mewujudkan francaisnya yang sendiri, mungkin lepas ini kita akan dapat saksikan Epic 2, Epic 3...sedangkan movie Epic yang pertama ini sahaja telah menunjukkan tanda-tanda bakal keluar sekuel nya tidak lama lagi. Tapi apakah yang membezakan movie Epic ini berbanding keluaran Blue Sky yang sebelum ini. Apa istimewanya movie ini hinggalah boleh meletakkan ia di tempat setaraf movie animasi lain? Apa yang epik sangat pasal animasi Epic ini???

EFEK KHAS / AKSI

Jujur kata, OtakMovie tak berapa gemar dengan animasi yang memaparkan manusia sebagai watak utama. Bagi OtakMovie, animasi adalah sebuah medium yang boleh kita gunakan untuk melangkaui imaginasi luar biasa yang keluar dari batasan pemikiran minda manusia. Dengan animasi, kita boleh wujudkan berbagai karakter yang mustahil untuk direalisasikan dalam filem live action. Tapi ini tidak, nak juga kita jadikan manusia sebagai watak animasi, bukankah mereka dah puas berada dalam medium live action? Tengok saja movie animasi negara kita seperti movie Puteh, movie tu boleh je nak di live action kan. Ya, Geng : Pengembaraan Bermula pun guna watak manusia juga, tapi anda lihat tak pengembaraan mereka di dunia mistik yang penuh dengan makhluk tak logik dek akal. Itu lah kreativiti! Berbalik pada movie Epic ini pula, ya, efeknya boleh tahan. Memang telah membuktikan Blue Sky bukanlah produksi picisan. Mereka juga mampu mencipta sebuah dunia manusia kerdil yang sangat tersendiri. Mungkin boleh diperluaskan lagi khayalan mereka terhadap dunia misteri itu. Tapi secara keseluruhannya OtakMovie berpuas hati dengan efek khas dan aksi yang cuba dipaparkan dalam movie ini.

SKOR MUZIK

Epic juga tak nak kalah dengan melantunkan skor-skor yang epik. Kita dapat rasa kewujudan situasi babak-babak tertentu tak kira lah sama ada sedih atau mendebarkan. Tapi perasanya masih kurang cukup. Movie ini seolah sedikit kehilangan sentuhan dari bab muzik. Tak ada apa yang istimewa pun kalau nak dikatakan. Apapun, masih seronok sebab tidak kacau bilau kita mendengar muzik dalam movie ini.

LAKONAN

Ikutkan, OtakMovie tak rasa kagum pun dengan watak manusia dalam movie ini. Ronin (Colin Farrel), Nod (Josh Hutcherson) dan MK (Amanda Seyfried) dalam movie ini tidak pun meninggalkan kesan untuk penonton. Mungkin lah ada sedikit babak yang boleh membuatkan kita tergelak. Tapi OtakMovie agak tertarik sedikit dengan watak Queen Tara (Beyonce Knowles), walaupun sedikit babak untuk beliau, tetapi personanya sebagai seorang ratu sangat boleh dirasai. Untuk watak siput dan slug Mub dan Grub pula, memang diwujudkan sebagai badut untuk mengisi suasana komedik dalam movie ini. Bagi watak villain Mandrake (Christoph Waltz) pula, di mana aura jahatnya?! Ah, sayang sekali pelakon yang hebat diberi watak sebegini. Apa jenis skrip yang si Mandrake ni dapat? Ok, OtakMovie faham motif kejahatan si Mandrake untuk memusnahkan hutan, tapi kejahatannya itu tak berapa nak sampai sangat. Oh ya, kehadiran Steven Tyler sebagai Nim Galuu dan Pitbull sebagai Bufo juga mungkin mampu menghiburkan...peminat mereka.

JALAN CERITA

Untuk plot movie ini pulak, bagi OtakMovie memang agak menarik. Bagaimana magisnya wujud sebuah kehidupan kecil disebalik hutan di bumi yang dipenuhi dengan manusia-manusia biasa. Dan bagaimana movie ini menginterpretasi dengan menjelaskan bagaimana kewujudan makhluk-makhluk kerdil ini tidak dapat dikesan oleh manusia biasa. Cuma mungkin jalan ceritanya sedikit ringan membuatkan  movie ini hanyalah movie untuk waktu santai. Babak-babak komedi dalam movie ini juga, bolehlah dikatakan klise, tapi masih lagi boleh dibuat gelak ketawa. Ada juga persoalan yang wujud dalam movie ini bagi menambahkan lagi perasaan saspen di hati penonton. MK yang tidak percaya akan kewujudan dunia kerdil ini, akhirnya perlu akur malahan terlibat dengan konflik yang berlaku antara Leafmen dan Mandrake. Di sinilah wujudnya kepercayaan dan kesetiaan.

KESIMPULAN

Epic bukan lah sebuah animasi yang se gah dengan namanya, tetapi kehadiran movie ini telah memeriahkan lagi industri animasi dunia. Mungkin dari segi kuantiti, bukan kualiti.


Share:

Sunday, June 9, 2013

Laluan Ke Tokyo Drift! *sebuah review Fast & Furious 6.


Francais Fast & Furious ini belum bertemu penghujung lagi nampaknya. Di kala semua menyangka yang movie FF6 ini adalah yang terakhir, rupanya ianya adalah satu permulaan kepada jalan cerita yang baru. Masih ingat lagi Fast and Furious : Tokyo Drift? Movie tersebut adalah satu-satunya movie yang tidak berada dalam landasan jalan cerita siri Fast and Furious, tapi masih dalam garisan masa yang sama. Ramai juga yang terkejut bila watak Han dari Tokyo Drift yang dah mati tiba-tiba muncul dalam FF5 dan apa kaitannya dengan grup Toretto? Di sini, dalam FF6 segalanya itu akan terjawab. Ternyata FF6 adalah laluan terus ke jalan cerita Tokyo Drift.

EFEK KHAS/AKSI



Tak logik! Tapi best! Itulah gambaran OtakMovie terhadap aksi dalam movie ini. Memang ikutkan babak-babak lumba dalam kereta ini mendebarkan, tapi tak lah banyak sangat pun babak seperti itu kalau nak dibandingkan dengan movie-movie sebelum ini. Ikutkan movie ini tidak lagi menjurus ke arah perlumbaan kereta. Yelah, Dom dan Brian pun masing-masing dah tua, dah ada hidup masing-masing, takde masanya nak berlumba lagi. Tambahan watak Hobbs (Dwayne Johnson) pula sekaligus menjadikan movie ini adalah sebuah movie aksi semata. Dan memang ada satu dua babak aksi yang langsung tak masuk akal. Mungkin pengarah cuba menggunakan medium 'movie bukan realiti' sebagai satu eskapism untuk memasukkan aksi-aksi sebegini. Efek khasnya pula tidak lah sehebat mana. Terutama pada babak ketika Dom melayang dilangit untuk menangkap Letty, tersangatlah fail! Apapun, siapa yang taknak tengok babak-babak tak logik dalam movie aksi kan? Kita semua memang suka ditipu oleh aksi dan CGI yang merepek meraban.

SKOR MUZIK



Masih lagi mengekalkan genre muzik yang sama seperti dalam movie-movie sebelum ini. Tiada sesuatu yang baru dalam skor muzik movie kali ini. Takkanlah babak-babak ketika menunjukkan kereta-kereta mewah kita nak letak lagu pop pulak kan. Kehadiran muzik dalam movie ini membuatkan kita sendiri terasa mood perlumbaan kereta dan aksi yang cuba disampaikan.

LAKONAN



Dwayne Johnson telah menyelamatkan segala-galanya, walaupun bukan dari segi lakonan yang mantap. Kehadirannya dalam francais FF ini saja telah mewujudkan satu fenomena yang baru. Ada sesetengah pelakon yang tak perlu berkorban dan berusaha keras untuk berlakon pun, tapi kehadiran diri mereka dalam sesebuah movie saja telah menyelamatkan movie itu sendiri. Kehadiran dua pelakon tambahan seperti Gina Carano dan Luke Evans pula sekadar pencukup rasa untuk watak penjahat dalam movie ini. Evans yang membawa watak Owen Shaw, iaitu penjahat yang sangat dikehendaki oleh Interpol, telah mencuba dengan sebaiknya untuk menjadi seorang villain yang ikonik. Lakonan Evans tak boleh dipertikaikan lagi, tak dinafikan beliau adalah seorang aktor yang bagus. Tapi tidak sebagus aktor British yang lain. OtakMovie rasa Luke Evans perlu cuba research lagi banyak untuk menjadi seorang villain yang lagi bagus pada masa akan datang. Sung Kang dan Tyrese Gibson sebagai Han dan Roman pula, lakonan mereka sangat menghiburkan. Sung Kang yang memang dah serasi dengan watak Han memang sangat cool dan Gibson pula masih mengekalkan charmnya sebagai watak komedi dalam movie ini. Walau macam mana sekalipun, mereka semua ini tidak dapata mengalahkan Hobbs lakonan Dwayne Johnson.

JALAN CERITA



Kalau dalam FF5 kita disajikan dengan jalan cerita yang berlatarkan Rio de Janeiro, tapi dalam FF6 pula kita dihidangkan dengan pemandangan Kota London. Dan jalan ceritanya pula bagi OtakMovie adalah lebih baik dari movie sebelumya. Walaupun tak lah hebat mana, tapi OtakMovie akui FF6 adalah antara movie FF paling berjaya. Kalau sebelum ini kita selalu lihat grup Toretto ini dipaparkan sebagai penjenayah yang sering menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa, tetapi dalam movie ini, grup Toretto inilah yang akan membanteras jenayah. Ini kerana semuanya gara-gara Toretto sendiri yang ingin menyiasat kisah benar disebalik kematian Letty dalam movie FF4. FF6 adalah sebuah movie FF yang telah mengaitkan semua movie FF dan ianya saling berhubung antara satu sama lain. Kita dapat lihat kesemua movie FF telah digabungkan menjadi movie FF6. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana plot cerita movie ini telah menghubungkan persoalan yang tak terjawab dalam movie sebelum ini. Movie ini juga akan menjawab pemergian Han ke Tokyo dan penyebab sebenar kematian Han dalam Tokyo Drift. Semuanya ada kaitan dengan Toretto, Braga, Giselle dan Owen Shaw sendiri.

KESIMPULAN



Untuk peminat francais FF, movie ini adalah sesuatu yang wajib untuk ditonton. Ini kerana seperti yang OtakMovie katakan, movie ini akan menjawab segala persoalan dari movie sebelum ini. Disamping aksi tidak logik yang mendebarkan, jalan cerita movie ini juga mampu untuk kita merasakan yang movie ini tak lah seteruk mana. Kewujudan FF6 telah membuatkan kita semua sedar bahawa francais FF bukanlah satu francais picisan yang boleh kita pandang sambil lewa. Sudah jauh pengembaraan movie FF dan di dalam movie FF6 ini, kita akan dapat merasa perkembangan yang matang dari segi jalan cerita, serta watak-watak dalam movie ini sendiri.

Share:

Friday, May 24, 2013

Tak Sekental Mana...*sebuah review Bikers Kental.



Ini lah yang ditunggu-tunggu dari bikers-bikers kental seluruh Malaysia, iaitu sebuah movie tentang bikers! Akhirnya impian mereka itu terjawab dengan hadirnya buah tangan pertama dari saudara Helmi Yusof, yang asalnya adalah pengarah fotografi terkenal yang telah menghasilkan beberapa karya dengan pengarah-pengarah ternama. Kini muncul movie Bikers Kental, lakonan Zizan dan Awie, memang menderum-derum panggilan mereka memanggit bikers-bikers serta awek-awek untuk menyaksikan kekentalan mereka membawa motor berkuasa besar. Takkan nak tengok Awie bawak motor dalam cerita Sembilu je kot, rindu dah rasanya ni. Apa lagi dengan Zizan pulak, boleh ke brader ni menonjolkan imej sebagai seorang biker? Dan apa yang menarik, movie ini membawa kita perjalanan ke Krabi, Thailand. Mungkin ini satu kelainan yang cuba ditonjol oleh saudara pengarah. Tapi bagi OtakMovie, movie ini tidaklah sehebat yang disangka. Slow sikit 'rem' dia tu kata kan...

EFEK KHAS/AKSI



Agak amatur. Tu je yang boleh OtakMovie katakan tentang efek dalam movie ini. Dan ini juga menyentuh dari sudut editing untuk movie ini. Serius OtakMovie katakan, mendengar nama Helmi Yusof sebagai pengarah, OtakMovie agak teruja nak tonton sekuens dalam movie ini. Yelah kalau tak mana nak nya OtakMovie tonton movie Melayu. Tapi selepas menonton movie ini, sangat sedih. Sebab sekuens antara babak ke babak dan bab-bab editing dalam movie ini sangat lemah. OtakMovie kekadang sampai terbingung dengan apa yang cuba disampaikan. Satu lagi, jangan sesekali tertipu dengan poster Bikers Kental ini yang nampak seolah gah dengan aksi. Walhal sebenarnya hanya seciput saja babak aksi yang ditonjolkan. Nasib baiklah babak aksi yang satu-satunya ini boleh OtakMovie puji sebab ada babak Awie bawak motor sambil ngejor kerete....haha

SKOR MUZIK



Pun biasa-biasa jugak. Tak boleh nak bangga mana pun. Tapi kira ok lah jugak skor muzik dalam movie ni. Contohnya pada babak kita disajikan dengan perjalanan bikers-bikers ni ke Thailand, dihiaskan dengan lagu-lagu Thailand. Maksudnya mood yang cuba disampaikan agak menjadi. Cuma sedikit masalah, iaitu pengulangan lagu yang sama membuatkan movie ini sedikit bosan. Dengan jalan ceritanya yang slow, menambahkan lagi kebosanan untuk ditonton. Nasib baik ada muka Zizan, terdengar pulak suara gadis-gadis dalam panggung dok tergelak-gelak tanpa reason. Ok lah tu...

LAKONAN



Zizan masih lagi dengan karakternya yang biasa. Tak payah buat dialog lebih-lebih, tengok mukanya saja memang dah boleh buat kita tergelak. Tambah pula dengan ekspresi muka yang dibuat oleh Awie, rasanya dalam movie ni Awie lebih menjadi seperti dirinya sendiri. Tapi jangan terkejut kalau tiba-tiba terjumpa Husin dari Hantu Kak Limah muncul dalam movie ni. Zulkifli Ariffin juga boleh dipuji dengan watak seorang biker yang kononnya kerek dan selalu nak cantas si Zizan. Dalam movie ini juga kita dihiaskan dengan dua orang pelakon wanita dari Thailand. Boleh lah dijadikan penyejuk mata selepas beberapa minit menyaksikan babak bikers-bikers konvoi kat highway.

JALAN CERITA



OtakMovie tak rasa pun movie ni seolah ada jalan cerita. Sebab bagi OtakMovie, movie ni lebih kepada seperti sebuah dokumentari tentang bikers yang berkonvoi dari Malaysia ke Thailand. Dekat berapa belas minit jugaklah OtakMovie rasa mengantuk menonton babak mereka berkonvoi. Malah pada pertengahan cerita juga lemah. Sepatutnya pada awal cerita ini lah digunakan untuk memperkenalkan watak utama dan menguatkan lagi watak-watak tersebut, tetapi semua itu dibazirkan. Konflik yang ditunjuk adalah pada babak watak Zizan iaitu Bidin Al-Zaifa terjumpa mayat lelaki dalam kereta yang kena tembak, dan dia ternampak ada satu beg penuh duit, dan dia merembat beg tersebut untuk kepentingan diri sendiri. Tapi ini kah ciri hero yang nak ditonjol dalam movie sebegini. Awal-awal lagi dah tunjuk watak Bidin ni memang takde moraliti.Dan dengan duit itu, dibelinya pula motor yang diidamkan. Hingga pada akhir penceritaan, tak dinyatakan pun apa kena mengena mamat yang mati tu dengan duit tu? Apa sebenarnya yang lelaki-lelaki Thailand tu rancangkan terhadap lelaki itu dan kenapa mereka tak tembak saja Bidin seperti mereka tembak lelaki tersebut? Apa cerita di sebalik konspirasi lelaki yang mati itu dengan lelaki-lelaki Thailand itu? Banyak sangat persoalan yang timbul tetapi tak terjawab pun di akhir cerita. Semua ini sekaligus menjadikan movie ini satu movie yang lemah.

KESIMPULAN



Adoi, rasa membazir beli tiket tengok movie ni. Rasa macam kalau tunggu kat Astro First lagi bagus. OtakMovie cuba bagi peluang untuk movie Melayu menarik hati penonton Malaysia. Tapi hati OtakMovie ni tak tertarik langsung. Rasa macam lepas ni lagi takut nak tonton movie Melayu, takut dikecewakan lagi. Tapi mungkin penonton lain suka dengan movie ni. Maklumlah, di dalamnya saja ada beberapa hero kegemaran Malaya. Itu saja lah kekuatan movie ini. Tetapi secara keseluruhannya, OtakMovie seolah macam nak berdepan dengan Helmi Yusof dan kata...LU APEHAL BRADER?
Share: