Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Bollywood. Show all posts
Showing posts with label Bollywood. Show all posts

Tuesday, January 26, 2021

THE WHITE TIGER (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Ramin Bahrani
LAKON LAYAR: Ramin Bahrani
PELAKON: Adarsh Gourav, Rajkummar Rao, Priyanka Chopra
GENRE: Drama
BAHASA: Inggeris, Hindi
DURASI: 125 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Kemiskinan, penghambaan moden dan korupsi merupakan antara isu paling kritikal di dunia, dan negara mana lagi yang lebih sinonim dengan permasalahan ini dan sering diketengahkan dalam filem jika bukan negara India. Di dalam filem ini, kita dibawa menyelusuri kisah Balram Halwai (Adarsh Gourav), seorang pemuda miskin yang tinggal di Laxmangarh yang cuba untuk keluar dari 'reban ayam' yang memerangkap beliau sejak kecil.
Balram seorang yang celik akal, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk sambung belajar kerana terpaksa menyara keluarganya. Kemudian Balram mendapat peluang keemasan untuk menjadi pemandu tuan tanahnya, The Stork (Mahesh Manjrekar) dan anaknya Ashok (Rajkummar Rao). Satu insiden malang telah menyebabkan Balram tersentak dan sedar akan realiti sekalipun beliau sudah ke bandar dan mempunyai kerja yang stabil, tetapi beliau masih lagi berada dalam 'reban ayam' dan menunggu masa untuk 'disembelih'.
The White Tiger keluaran terbaru dari Netflix merupakan filem adaptasi dari novel karya Aravind Adiga dengan judul yang sama. Secara ringkasnya, filem ini lengkap dari sudut jalan cerita bagus, persembahan lakonan para teraju yang berbakat dan lakon layar yang menakjubkan. Untuk sebuah filem keluaran laman strim, ianya tidak disangkal lagi tetap mempunyai nilai sinematik yang tinggi.
Kita masuk perihal lakon layar, jika diikutkan ianya tiada beza dengan beberapa filem drama yang menggunakan konsep 'pencerita'. Tetapi konsep sebegini masih lagi berkesan kerana ianya mampu membawa penonton mengalami sendiri hikayat kisah Balram dari awal hingga akhir. Filem yang berdurasi dua jam ini melayari babak demi babak sehinggakan kita tidak tersedar masa sudah berlalu.
Tentang pelakon pula memang sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Lakonan Adarsh Gourav yang 'mentah' ini sangat sesuai melakonkan watak Balram Halwai, seorang pemuda yang sebenarnya bijak, tetapi terperangkap dalam mentaliti yang memerlukannya menyanjung tuan-tuannya seperti Tuhan. Watak ini jika diikutkan lebih nampak sisi realismnya, tetapi mungkin perubahan perwatakan pada bahagian akhir filem ini sedikit nampak terburu-buru. Gabungan Rajkummar Rao dan Priyanka Chopra juga menyerikan lagi jalan penceritaan filem. Kedua-dua pelakon ini mampu berhubung dengan watak Balram dengan baik.
Berbalik pula kepada isu yang cuba disampaikan, ianya lebih 'pahit' untuk ditelan oleh penonton. Contoh jika hendak dibandingkan dengan Slumdog Millionaire yang juga cuba menyampaikan isu yang sama, tetapi ianya lebih kepada bersifat eskapism dan fantasi permasalahan utama sahaja. The White Tiger juga sebenarnya menyajikan fantasi bagi golongan miskin di sana, tetapi kesan yang cuba dibawakan itu lebih mendalam lagi. Akhir sekali, jika ingin disentuh pula sedikit kekurangan dari filem ini, mungkin 'turning point' watak Balram itu sahaja agak lambat panas yang menyebabkan pengakhirannya terlalu cepat dan kurang memuaskan. Lain-lain, ianya sebuah filem original Netflix yang terbaik setakat ini.
"Rich men born with opportunity they can waste."
RATING: 4/5
Share:

TRIBHANGA: TEDHI MEDHI CRAZY (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Renuka Shahane
SKRIP: Renuka Shahane
PELAKON: Kajol, Tanvi Azmi, Mithila Palkar
GENRE: Drama
BAHASA: Hindi
DURASI: 95 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Milan (Kunaal Roy Kapur) menemu bual penulis terkenal, Nayantara "Nayan" Apte (Tanvi Azmi) untuk menghasilkan buku biografi kisah kehidupannya. Milan menyelusur sejarah kehidupan Nayan bersama anaknya, Anuradha "Anu" Apte (Kajol) yang penuh dengan konflik kekeluargaan. Nayan dan Anu mempunyai hubungan ibu dan anak perempuan yang dingin setelah Nayan bercerai dengan suaminya dan berkahwin dengan orang lain. Anu mula teringat kembali kisah silamnya bersama ibunya selepas Nayan jatuh koma. Dalam waktu yang sama, tersingkap juga kisah rahsia anak Anu, Masha (Mithila Palkar) yang juga mempunyai konflik dengan keluarga mertuanya.
Kajol menjadi tunjang utama filem ini dengan wataknya sebagai seorang penari professional yang mempunyai kehidupan yang terbuka. Tetapi tumpuan filem ini terletak pada Nayan yang cuba menjadi seorang ibu dan dalam waktu yang sama, bergelut dengan kariernya sebagai seorang penulis yang terkenal. Filem ini menunjukkan sisi seseorang yang disanjung oleh orang ramai, tetapi secara zahiriahnya mempunyai sebuah keluarga yang berantakan.
Menariknya lagi apabila filem ini menunjukkan kisah tiga orang wanita dari zaman yang berbeza iaitu Nayan, Anu dan Masha. Dan tema utama yang menjadi tulang belakang filem ini adalah sisi drama tentang pilihan dalam hidup dan karma kehidupan. Setiap apa yang Nayan lakukan sewaktu menjadi isteri dan ibu, mempunyai refleks terhadap masa depan Anu, dan begitu juga dengan apa yang Anu lakukan mempunyai refleks pada Masha.
Ianya cuba mengajar kita bahawa setiap orang mempunyai pilihan di dalam hidup. Dan setiap apa sahaja keputusan yang mereka pilih, akan mempunyai karma dan kesannya pada diri sendiri atau orang yang disayangi pada masa akan datang. Menyentuh soal lakonan, Kajol memberikan sebuah watak yang luar dari kebiasaan watak selalu dibawanya. Di dalam ini Kajol kelihatan sangat 'terbuka' dan melontarkan lakonannya sebaik dan 'sekasar' yang mungkin kepada penonton.
Kajol menjadi penggerak utama filem ini dan jalan cerita ini menjadi bertambah rancak dengan wujudnya hubungan antara watak Kajol dan watak-watak lain dalam filem ini. Ianya sebuah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan memberikan satu perspektif baru terhadap drama kekeluargaan filem-filem dari India. Walaupun durasinya agak pendek dan ada sesetengah subplot kelihatan sangat cepat hendak dihabiskan, ianya masih lagi sebuah filem dari Netflix yang menghiburkan.
"Nobody imposed their choices on us."
RATING: 4/5
Share:

Monday, January 18, 2021

AK VS AK (2020)



TAHUN: 2020
PENGARAH: Vikramaditya Motwane
SKRIP: Anurag Kashyap
PELAKON: Anil Kapoor, Anurag Kashyap, Yogita Bihani, Sonam Kapoor, Harshvardhan Kapoor
GENRE: Komedi Gelap, Thriller
BAHASA: Bahasa Hindi
DURASI: 108 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Anurag Kashyap dan Anil Kapoor membawa watak sebagai diri mereka sendiri yang berkonsepkan 'bigger than life' dalam filem ini di mana mereka berdua berseteru selepas satu insiden di sebuah rancangan TV yang menyebabkan karier Anurag berada di hujung tanduk. Anurag bersama Yogita, seorang pembikin filem muda merangka pelan untuk mengenakan kembali Anil Kapoor dengan menculik anaknya Sonam Kapoor dan merakam aksi Anil dalam mencari anaknya yang diculik itu. Anil mempunyai masa sehingga matahari terbit dan sepanjang filem ditunjukkan Anurag dan Anil dirakam oleh Yogita dengan aksi-aksi seakan sebuah filem, tetapi ianya realiti.
Menariknya filem ini yang terutamanya adalah penggunaan watak-watak menggunakan nama sebenar pelakon-pelakon dalam filem ini. Bertambah pula dengan dinamik antara Anurag Kashyap, seorang pengarah filem Bollywood yang terkenal dan Anil Kapoor seorang superstar Bollywood yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Begitu juga anak-anak Anil seperti Sonam dan Harsh Kapoor yang juga melakonkan watak sendiri dalam filem ini. Konsep sebegini kelihatan sangat 'meta' dan membuatkan penonton melihat dari perspektif realiti.
Sememangnya konsep 'filem dalam filem' ini memberikan nafas segar terhadap filem Bollywood yang semakin berani meneroka genre yang berbeza. Malahan apa yang boleh dipuji adalah teknik realism yang ditunjukkan oleh pelakon-pelakon yang memberikan sebuah persembahan yang luar biasa. Anil Kapoor berjaya memberikan sebuah watak yang boleh dikatakan antara lakonannya paling berjaya sepanjang kariernya sebagai seorang superstar Bollywood. Pujian juga wajib diberi kepada Anurag yang walaupun lebih terkenal sebagai seorang pengarah tetapi beliau juga seorang pelakon yang sangat berkaliber.
Cuma satu kelemahan kecil dalam filem ini adalah babak pengakhirannya yang dirasakan boleh diperbaiki sedikit. Tetapi itu tidak mencacatkan keseluruhan pengalaman menonton filem ini kerana untuk melakukan sebuah filem thriller realistik sebegini, memang agak payah sebenarnya untuk memberikan pengakhiran yang benar-benar memuaskan. Dan plot twist demi plot twist yang dipaparkan telah berjaya memberikan perasaan saspens terhadap penonton.
Penonton tidak akan berganjak dari tempat duduk ketika menonton filem ini kerana dari babak ke babak disajikan dengan sekuens yang menarik. Perasaan mendebarkan dapat dirasai sepanjang filem dan membuatkan durasi filem ini terasa sangat sekejap. Sehinggakan penonton sendiri yang menyaksikan filem ini juga dapat merasai dan mempersoalkan adakah ianya benar-benar sebuah realiti atau rekaan semata-mata? Filem AK VS AK arahan Vikramaditya Motwane ini sedang ditayangkan di Netflix.
"Your search for her is real, you'll get hurt for real, you will cry for real, you will laugh for...you won't laugh."
RATING: 4/5
Share:

Wednesday, June 24, 2020

Billu Barber (2009) - Ulasan Filem





Kisah filem in bermula apabila pelakon Bollywood terkenal, Sahir Khan (lakonan SRK) membuat keputusan untuk melangsungkan pengambaran filem terbarunya di kampung terpencil, Budbuda. Di situ, tinggal seorang tukang gunting rambut, Billu (lakonan Irrfan Khan) dan keluarganya. Billu pernah memberitahu keluarganya yang dia dan Sahir Khan adalah kawan sepermainan sewaktu kecil. Anak-anaknya yang teruja telah memberitahu tentan perkara itu dan khabar angin itu pun tersebar dengan luas di kampungnya.




Seronok bila menonton filem ini kerana kita dapat melihat sikap sesebuah masyarakat dalam menilai seorang individu. Hal ini ditunjukkan oleh penduduk kampung Budbuda, yang selalu melayan Billu dengan teruk kerana dia adalah seorang yang miskin. Tetapi sikap mereka terhadap Billu berubah bila mendapat tahun Billu merupakan kawan kepada seorang yang ternama. Jika di India, selebriti Bollywood memang diagung-agungkan seperti Tuhan. Itu sebabnya mengapa Billu di anggap sangat istimewa oleh penduduk kampung.




Filem ini memainkan isu hipokritikal dalam masyarakat terhadap status seseorang. Ini sebenarnya sesuatu yang lumrah dan memang terjadi didalam dunia realiti. Jika seseorang itu mempunyai status yang tinggi, maka merekalah yang akan disanjung dan diberikan layanan yang cukup istimewa.




Billu terpaksa melayan kerenah orang kampung dan juga keluarganya. Walhal Billu sendiri pun tidak yakin jika Sahir ingat akan dia atau tidak. Apa yang lebih menarik, filem ini menunjukkan 'misteri' tentang benarkah Billu dan Sahir ini berkawan dari kecil? Aku puji lakonan Irrfan Khan sebagai Billu yang dibawa dengan cukup selamba. Begitu juga lakonan SRK sebagai Sahir yang aku lihat agak kontra dengan lakonannya sebagai Om Kapoor dalam Om Shanti Om yang juga seorang pelakon Bollywood, tapi kedua-dua watak Om dan Sahir ini sangat berbeza.




Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Monday, June 22, 2020

3 Idiots (2009) - Ulasan Filem



Mengangkat kisah tiga orang pelajar kejuruteraan di India, Rancho, Farhan dan Raju dalam mencapai cita-cita masing-masing serta mempelajari erti sebenar kehidupan. Perjalanan cerita lebih fokus pada perspektif Farhan dan Raju, di mana kehidupan mereka banyak dipengaruhi Rancho, seorang yang penuh visi dan memandang kehidupan dari sisi berbeza dari orang lain. Rancho cuba menepis pemikiran skeptikal pensyarahnya Viru Sahastrabuddhe (Virus), tentang kehidupan bukanlah semata-mata sebuah perlumbaan. Tetapi ikutlah kehendak hati dan pasti impian serta kebahagian dapat dicapai.

Filem ini membawa tema yang sangat popular iaitu ibarat sebuah filem motivasi yang memberi inspirasi kepada mereka yang cuba mencari erti kehidupan. Latar belakangnya juga sangat bersesuaian dengan meletakkan kehidupan pelajar kejuruteraan di India sebagai fokus utama filem. Ramai antara kita juga tahu betapa payahnya kursus kejuruteraan ini dan betapa ramai pelajar yang tertekan dan bersusah payah dalam subjek ini. Jadi banyak apa yang watak Rancho lakonan Aamir Khan ini sedikit membuka matakita tentang apa yang sepatutnya kita lakukan dalam kehidupan.

Perjalanan cerita 3 Idiots sangat menghiburkan dari awal hingga ke akhir. Di tambah pula dengan keserasian antara watak beserta lakonan dari pelakon-pelakon seperti R. Madhavan dan Sharman Joshi. Aku sangat suka dengan watak Farhan lakonan Madhavan yang kelihatan sangat positif dan suka tergelak setiap kali bergandingan dengan watak Rancho. Pujian juga aku berikan pada Kareena Kapoor yang membawa watak sebagai Pia yang lain dari yang selalu kita lihat dari pelakon jelita ini. Begitu juga Bomani Irani sebagai Virus dan Omi Vaidya sebagai Chatur 'Silencer' Ramalingam yang masing-masing membawa watak dengan cukup cemerlang.

Gaya penceritaan filem ini juga sangat segar dan kemudiannya menjadi ikutan filem-filem hindustan yang menyusul. Dan sudah tentu kalau sebut pasal filem hindustan, dah tentu ada lagu, dan lagu-lagu yang dipaparkan dalam filem ini memang berlainan dari filem-filem hindustan yang lain. Dengan terhasilnya filem ini, kita didedahkan tentang kehidupan yang bukan lah sebuah perlumbaan dalam menumpaskan pesaing semata-mata. Kehidupan lebih luas jika kita membuka jendela dan memberi peluang untuk datang kepada kita.

Utthamum dadhdadaath paadam (A loud fart is respectable)...
Madhyam paadam thuchuk chuk (A medium fart is tolerable)...
Ghanisthah thud thudi paadam (A slight fart is fearful)...
Surr surri praan gatakam (A silent fart is deadly and unbearable)...

Rating Peribadi: 4.5/5
Share: