Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Adventure. Show all posts
Showing posts with label Adventure. Show all posts

Thursday, January 14, 2021

LUPIN - MUSIM PERTAMA BAHAGIAN 1

 


TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 5 episod (satu bahagian)
CIPTAAN: George Kay, François Uzan
PELAKON: Omar Sy, Ludivine Sagnier, Clotilde Hesme, Hervé Pierre, Fargass Assandé
GENRE: Misteri, Komedi
BAHASA: Bahasa Perancis
DURASI: 40- 50 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Jika Britain mempunyai Sherlock Holmes sebagai watak penyiasat fiksyen terkenal, Perancis pula mempunyai Arsène Lupin, seorang pencuri budiman fiksyen yang terkenal di sana. Assane Diop (Omar Sy) merupakan seorang pencuri yang sering menjadikan Lupin dari novel-novel Maurice Leblanc sebagai inspirasi. Diop ingin membalas dendam terhadap Hubert Pellegrini yang telah menuduh ayahnya, Babakar Diop mencuri seutas rantai milik Ratu Marie Antoinette. Akibat fitnah itu, Babakar telah membunuh dirinya sendiri di dalam penjara dan menjadikan Assane hidup keseorangan. Bermula dari situ Assane belajar untuk menjadi seorang pencuri budiman setaraf Arsène Lupin.
Siri ini merupakan sebuah siri tv yang sangat menarik untuk pembukaan tahun 2021 ini. Untuk bahagian pertama ini, ianya hanya mempunyai 5 episod dan bahagian kedua akan menayangkan baki 5 episod menjadikan musim pertama ini mempunyai 10 episod secara keseluruhan. Memang sebenarnya rasa tidak puas hati juga apabila bahagian pertama ini berakhir dengan jalan cerita tergantung, malahan bila bahagian kedua nak keluar pun masih belum diketahui. Tetapi ianya sedikit sebanyak menimbulkan perasaan teruja untuk menanti apa lagi yang siri ini akan sajikan pada masa depan.
Berbeza dengan siri misteri penyiasatan yang lain, siri kali ini menunjukkan sisi seorang pencuri budiman (gentleman) yang professional dan yang menariknya dapat dilihat bagaimana liciknya Assane Diop dalam merangka pelannya. Omar Sy sebagai Diop merupakan pilihan yang sangat tepat dan beliau berjaya membawa siri ini ke dalam kelasnya yang tersendiri.
Lebih menarik lagi kerana siri ini berlatarbelakangkan suasana sekeliling Perancis yang memberikan satu perasaan takjub terhadap keseluruhan jalan cerita. Jangan risau terhadap bahasa yang dipaparkan dalam filem ini kerana sebaik sahaja cerita bermula, segala dialog dan babak berhubung dengan cukup baik dan dapat diterima dengan mudah oleh penonton. Menonton siri ini memberikan satu nafas segar yang baru dalam sebuah siri misteri. Siri ini juga bijak menggunakan babak bersama skor muzik di waktu-waktu yang mendebarkan sekaligus menimbulkan perasaan saspens.
Dan sudah pasti apa yang penonton akan dapat ketika menonton siri ini adalah perasaan tertanya-tanya dari awal dan kepuasan yang dikecapi apabila segala persoalan itu dijawab dengan kelicikan Diop sebagai pencuri. Pada permulaannya kita mungkin akan tertanya-tanya dimana kehebatan Diop ini, tetapi akhirnya ianya terungkai dan tidak boleh disangkal lagi karakter Diop sebagai pencuri yang genius.
"Even when we think he lose, he still wins."
RATING: 4.5/5
Share:

We Can Be Heroes (2020) - Ulasan Filem


Bumi dilindungi oleh sekumpulan superhero yang diselia oleh organisasi Heroic. Sehinggalah bila superhero-superhero tumpas di tangan makhluk asing yang ingin menakluk bumi. Tugasan menyelamatkan superhero-superhero itu terletak di tangan anak-anak mereka yang juga mempunyai kuasa luar biasa, tetapi mereka hanyalah kanak-kanak kecil. Dengan pimpinan Missy Moreno (Yaya Gosselin), mereka bersama-sama merancang untuk menumpaskan makhluk asing tersebut.

Filem ini merupakan filem 'stand-alone sequel' kepada filem The Adventure of Sharkboy and Lavagirl. Perkara yang paling menarik perhatian ketika promo filem ini adalah kelibat Sharkboy (JJ Dashnaw) dan Lavagirl (Taylor Dooley) yang sudah pun dewasa selepas filem pertama mereka. Tetapi watak mereka hanya mempunyai waktu skrin yang sekejap sahaja dan watak-watak superhero kanak-kanak merupakan tumpuan utama untuk filem ini.
Sebenarnya aku tahu filem ini merupakan sebuah filem untuk kanak-kanak dengan tahap hiburan yang ringan. Malahan aku juga meletakkan jangkaan untuk berasa jengkel dengan 'cringe level' yang diterapkan dalam filem ini seperti filem-filem Robert Rodriguez yang lain sebelum ini. Tetapi mengejutkan juga kerana filem ini mampu menambat perhatian aku untuk terus menonton tanpa sebarang ngomelan dan rungutan sepanjang filem. Jalan cerita yang disampaikan walaupun biasa-biasa sahaja, tetapi masih lagi mampu menarik perhatian.
Perkara utama yang paling aku suka adalah kombinasi dan 'chemistry' antara watak-watak superhero kanak-kanak ini. Pelakon-pelakon cilik ini mampu mewujudkan babak-babak yang menghiburkan dan sekaligus menimbulkan juga gelak tawa. Pedro Pascal juga tidak menunjukkan sangat sisi komedinya dalam filem ini, malahan masih lagi kelihatan 'cool'. Berbeza dengan Priyanka Chopra yang cuba mewujudkan karakteristik komikal untuk menyesuaikan wataknya dengan persekitaran tema filem.
Filem ini mungkin mampu menjadi filem kegemaran anak-anak kita dan semestinya watak-watak yang disampaikan mampu memberikan sebuah mesej yang berguna juga pada anak-anak. Ianya sebuah filem yang sangat seronok untuk ditonton oleh seisi keluarga, dan ternyata Robert Rodriguez sudah menjadi otai dalam menghasilkan filem fiksyen sains kanak-kanak.
"Alone our powers are special but together, we are unstoppable."
Sumber tontonan: Netflix
Rating: 3/5
Share:

Wonder Woman 1984 (2020) - Ulasan Filem


Diana Prince (Gal Gadot) kembali pada tahun 1984 setelah berdekad meninggalkan Perang Dunia Pertama dari filem pertamanya. Kali ini pada zaman 80-an yang penuh dengan 'pop culture' yang menggamit kenangan. Tetapi kali ini Diana bertemu dengan konflik baharu yang menyelebungi sejenis batu 'Dreamstone' yang mampu menunaikan apa sahaja hajat manusia. Steve Trevor (Chris Pine), kekasih Diana yang mati ketika Perang Dunia Pertama, hidup kembali hasil dari hajat hati Diana. Manakala rakannya, Barbara Minnerva (Kristen Wiig) menjadi seorang yang berkuasa dan menawan seperti Diana. Konflik juga muncul apabila seorang ahli niaga, Maxwell Lord (Pedro Pascal), ingin menggunakan Dreamstone atas tujuan jahat.

Perkara paling utama yang boleh dipuji untuk filem Wonder Woman kali ini adalah bagaimana pengarah dan penulis lakon layar, Patty Jenkins menggunakan sebaik mungkin medium filem buku komik dan elemen-elemen komik dalam filem ini. Audiens tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang tidak logik kerana filem ini sebolehnya menggunakan elemen fantasi diadaptasi ke dunia moden 80-an. Elemen fantasi dan komikal ini juga memberikan satu mesej yang cukup jelas terutama lagi dengan dunia realiti sekarang.
Ada banyak elemen-elemen komik yang dipaparkan mampu menarik perhatian audiens, lebih-lebih lagi yang membabitkan kuasa Wonder Woman. Filem ini tidak takut untuk memanipulasi kuasa Diana ini ke layar perak dan apa yang menariknya, tema 80-an itu sangat sesuai dengan elemen sebegini. Mungkin ada yang kata ianya 'corny' dan 'cheezy', tetapi elemen sebegitu kadang-kadang memberikan satu kepuasan dalam filem buku komik sebegini.
Pedro Pascal sekali lagi menunjukkan kebolehannya sebagai seorang pelakon yang sangat berkaliber. Sekalipun begitu, watak ini terlalu kecil untuk dimainkan oleh pelakon berbakat besar ini. Perkembangan watak yang ditunjukkan dari awal filem bertemu pengakhiran yang agak suam-suam kuku. Perihal sama juga terhadap watak Barbara Minnerva lakonan Kristen Wiig. Tidak boleh disangkal lagi kebolehan Kristen dalam menjayakan watak 'supervillain' Cheetah ini, tapi sayangnya ianya dibazirkan begitu sahaja, malahan evolusi Barbara kepada Cheetah juga tidak diperhalusi dengan baik.
Pujian juga harus diberikan kepada Gal Gadot yang mempunyai lakonan yang jauh lebih bagus dari filem-filemnya sebelum ini. Kali ini Gal mampu menunjukkan emosi-emosi yang lebih mendalam untuk diselami penonton. Hubungannya dengan Steve Trevor semakin dapat dirasai berbanding filem yang pertama. Tidak dinafikan Gal adalah tulang belakang filem ini, dan ternyata telah menjadi sebuah ikon yang mampu diminati ramai.
Antara perkara yang sedikit mengecewakan dalam filem ini adalah aksi dan babak pengakhirannya. Jika diikutkan, sebuah jalan cerita yang komikal sememangnya tidak logik, tetapi kita tidak boleh mengelak dari timbulnya persoalan demi persoalan sepanjang penontonan. Aksi yang dipaparkan pula ada yang cukup menarik, tetapi sebaliknya pada babak pertarungan akhir antara Wonder Woman dan Cheetah. Tak tahu lah kenapa DC dan WB suka benar dengan tona gelap pada babak perlawanan akhir menyukarkan sedikit untuk mendapat pengalaman penontonan yang memuaskan. Apa pun, filem ini masih lagi sebuah filem yang seronok untuk ditonton seisi keluarga kerana mesej yang ingin disampaikan itu sangat jelas.
"I need to find a way to touch them all at the same time!" - Maxwell Lord
Sumber tontonan: Panggung Wayang
Rating Hady: 3.5/5
Share:

The New Mutants (2020) - Ulasan Filem


Setelah berkali-kali ditangguhkan tayangannya, akhirnya filem ini berjaya juga dikeluarkan dan menemui penonton. The New Mutants merupakan filem terakhir dari francais X-Men Fox Studios sebelum dibeli oleh Disney. Menjanjikan sebuah genre seram yang segar dalam genre 'superhero', filem ini berakhir dengan tragedi buruk, sama ada dari segi kutipan mahupun jalan ceritanya.

Mengisahkan tentang sekumpulan Mutan muda yang baru sahaja ingin meneroka kuasa masing-masing, mereka dikurung di sebuah fasiliti atas tujuan kajian oleh Dr Cecilia Reyes (Alicia Braga). Bersama-sama, Dani Moonstar (Mirage), Rahne Sinclair (Wolfsbane), Ilyana Rasputin (Magik), Sam Guthrie (Cannonball) dan Bobby Da Costa (Sunspot) cuba merungkai misteri fasiliti tersebut dan motif sebenar Dr Reyes.
Menonton filem ini seolah menonton sebuah episod pilot untuk siri tv superhero. Premis yang cuba disampaikan tergantung sebaik sahaja konflik dan pendedahan yang dipaparkan muncul pada saat-saat akhir. Ianya rasa tidak lengkap lebih-lebih lagi dengan kekurangan perkembangan watak antara satu sama lain. Watak 'villain' yang ditunjukkan dalam filem ini juga tidak mampu memberikan tekanan yang cukup pada watak-watak utama.
Tema seram yang diguna pakai juga tidak lah seseram mana pun. Ianya sekadar ada sahaja dan elemen seram itu walaupun agak tipikal tetapi tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Malahan filem ini dicacatkan pula dengan sekuens-sekuens yang tidak bersambung dengan sempurna. Suntingan babak ke babak menimbulkan kekeliruan dalam penceritaan, menjadikan plot berterabur dan perkembangan watak menjadi kelam kabut. Perasaan menonton terasa hambar bila melihat cerita yang tiba-tiba begitu, tiba-tiba begini, dan kesudahannya? Mengecewakan.
Malahan genre superhero itu sendiri pun disampaikan dengan separuh jiwa sahaja. Mungkin babak kuasa Ilyana agak mengagumkan tetapi pengarah tidak bijak untuk menggunakan kuasa-kuasa ini dalam menonjolkan sebuah babak aksi yang bagus. Apa yang menariknya, filem ini masih lagi mengekalkan hubungkait dengan filem X-Men yang lain. Hubungan paling dekat sekali adalah dengan filem Logan dan X-Men Apocalypse. Beberapa kali juga francais ini cuba untuk memberikan kelibat supervillain Mr Sinister, tapi tinggal menjadi habuk sahajalah.
"This place takes your greatest fear and makes you live through it, until it kills you."
Rating Hady: 2/5
Boleh ditonton di: Astro Best
Share:

The Lord of the Rings (2001-2003) - Ulasan Siri Filem


Francais filem epik fantasi ini mempunyai sebanyak 3 filem, The Fellowship of the Ring (2001), The Two Towers (2002) dan The Return of the King (2003). Ketiga-tiga filem ini berjaya dari segi komersial dan kritikal. Ianya merupakan sebuah fenomena dari novel hasil nukilan penulis hebat, J.R.R. Tolkien dan diarahkan oleh pengarah bervisi tinggi, Peter Jackson. Francais ini secara langsung menjadi antara francais fantasi yang terbaik pernah dihasilkan. Kejayaan francais ini mengizinkan Peter Jackson untuk membikin siri prekuelnya pula iaitu francais The Hobbit (2012-2014).

Berikut adalah beberapa info menarik tentang francais ini:
1) Ketiga-tiga filem ini dibikin secara sekaligus dengan bajet sebanyak USD281 Juta.
2) Francais ini berjaya mengutip secara total USD2.981 Billion.
3) Jumlah durasi ketiga-tiga filem bagi edisi panggung wayang adalah sepanjang 9 jam 18 minit. Manakala untuk edisi 'extended' pula sepanjang 11 jam 26 minit.
4) Kesemua filem ini mendapat rating 90% ke atas dari Rotten Tomatoes dan A ke atas dari Cinemascore.
5) Ketiga-tiga filem ini berjaya mendapat sebanyak 30 pencalonan dari Academy Awards (Oscar) dan berjaya memenangi sebanyak 17 anugerah.
6) Filem The Return of the King sahaja telah mendapat sebanyak 11 pencalonan di Oscar dan telah memenangi kesemua pencalonan tersebut termasuklah Best Picture dan Best Director.
7) Ini menjadikan The Return of the King antara filem 'blockbuster' yang berjaya memenangi anugerah Best Picture di Oscar.
______________________________________________________________________
Tidak dinafikan, francais The Lord of the Rings ini antara francais fantasi yang paling diminati ramai. Walaupun sudah hampir 20 tahun ditayangkan di panggung wayang, filem-filem dari francais ini masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat filem dan masih mempunyai pengikutnya tersendiri. Apa yang paling boleh dipuji berkenaan francais ini adalah kesan khasnya yang sehingga kini kelihatan sangat luar biasa. Karakter CGI seperti Gollum mempunyai kesan khas yang paling menakjubkan, pujian kepada pelakon Andy Serkis juga dalam menjayakan 'motion capture' untuk karakter ini.
Francais ini juga kaya dengan watak-watak yang pelbagai seperti Gandalf si ahli sihir, Frodo, Sam, Merry dan Pippin si Hobbit yang licik, Legolas, Galadriel, Arwen dan Elrond si orang bunian, Gimli si orang kerdil dan juga watak-watak manusia lain seperti Aragorn, Boromir, Faramir dan Eowyn. Ramai pelakon-pelakon hebat yang menjayakan watak-watak ini seperti Ian McKellen, Elijah Wood, Viggo Mortensen, Liv Tyler, Orlando Bloom, Hugo Weaving, Cate Blanchett, Sean Bean, Karl Urban, Christopher Lee dan ramai lagi.
Walaupun plot utama filem ini adalah berkisarkan misiFrodo Baggins dan Samwise Gamgee bersama rakan-rakan mereka untuk memusnahkan 'The One Ring' di Mordor, tetapi filem-filem ini kaya dengan subplot-subplot yang menarik. Contohnya tentang Aragorn dan hubungannya dengan Arwen serta pergelutannya dengan dirinya yang sebenar sebagai pewaris takhta Gondor, kisah persahabatan luar biasa antara Legolas dan Gimli, kekuasaan seorang wanita bernama Eowyn yang berjaya menumpaskan Nazgul yang dahsyat, persahabatan Sam dan Frodo serta Merry dan Pippin serta banyak lagi subplot yang menggerakkan keseluruhan francais ini.
Dunia Middle-Earth yang dipaparkan juga sebenarnya terlalu banyak boleh dirungkaikan, didalam trilogi ini mungkin akan mengelirukan sedikit penonton kerana tidak diperjelaskan dengan begitu terperinci kisah-kisah disebalik dunia ini. Malahan didalam filem prequel, The Hobbit juga tidak mampu untuk menceritakan kesemuanya tentang dunia ciptaan Tolkien ini. Sekalipun begitu, tidak mencacatkan pengalaman tontonan kita sepanjang filem ini berlangsung. Filem-filem ini juga mempunyai nilai tontonan semula yang sangat tinggi dan menjadikan penontonan secara marathon lebih seronok.
Walaupun telah ditonton berkali-kali, perasaan teruja tetap muncul terutama pada babak-babak yang mudah diingati. Babak ketika Aragorn dan yang lain-lain memberikan tunduk hormat kepada Frodo, Sam, Merry dan Pippin memberikan kesan yang paling mendalam sekali sepanjang penontonan. Pengakhiran filem ini juga sekaligus menimbulkan rasa kelam dan sedih kepada sesiapa yang betul-betul menghayati perjalanan cerita francais ini. The Lord of the Rings kekal sebagai antara francais epik fantasi terhebat untuk abad ini.
"I can't carry it for you, but I can carry you!" - Samwise Gamgee
Rating Peribadi:
The Fellowship of the Ring: 5/5
The Two Towers: 4.5/5
The Return of the King: 5/5
Share:

Monday, November 9, 2020

Harry Potter (2001-2011) - Ulasan Siri Filem



Francais Harry Potter yang dicipta penulis novel J.K. Rowling merupakan antara francais filem paling berjaya setaraf dengan francais Marvel Cinematic Universe (MCU), Star Wars dan Lord of the Rings. Harry Potter mempunyai peminat yang sangat ramai semenjak buku pertamanya dikeluarkan pada tahun 1997. Francais filem yang memfokuskan demografik kanak-kanak dan 'young adult' ini mendapat tempat dikalangan peminat seluruh dunia dan menjadi antara budaya popular di zaman kini.

Berikut adalah antara info tentang kehebatan francais filem ini:
- Francais ini telah mengumpul sebanyak USD7.7 Billion seluruh dunia dengan bajet terkumpul sebanyak USD1.155 Billion.
- Ini menjadikan francais ini berada di tempat ketiga sebagai siri filem dengan kutipan tertinggi di belakang siri filem MCU dan Star Wars.
- Filem Harry Potter & the Deathly Hallows Part 2 mendapat tempat ke-13 dalam senarai filem kutipan tinggi di dunia.
- Kesemua filem Harry Potter mendapat rating 'fresh' dari Rotten Tomatoes dengan peratusan atas 70%.
- Kesemua filem ini juga mendapat 'score' A ke atas dari Cinemascore.
- Ini menjadikan francais Harry Potter antara francais yang mendapat pengiktirafan dari sudut 'critically' dan 'commercially'.
- Sekalipun mendapat pengiktirafan tersebut, francais ini tidak pernah memenangi sebarang anugerah di Academy Awards (Oscar), tetapi masih mendapat 12 pencalonan.
- Francais ini kemudian diluaskan lagi dengan kemunculan filem prequel, Fantastic Beasts and Where To Find Them sekaligus mewujudkan dunia Wizarding World.
_______________________________________________________________________________
Apa yang menarik tentang francais ini adalah ianya melalui proses evolusi yang mendadak dari filem pertama hingga terakhir. Kebanyakkan audiens dan peminat filem ini juga membesar bersama-sama dan melalui satu pengalaman sinematik yang jarang didapati. Tidak seperti francais Lord of the Rings, francais Harry Potter kelihatan sangat berbeza antara satu sama lain kerana menggunakan pengarah yang berbeza-beza. Manakala LotR menggunakan pengarah yang sama dan proses produksinya dilakukan serentak.
Francais ini telah diarahkan oleh sebanyak 4 orang pengarah secara keseluruhan iaitu Chris Columbus, Alfonso Cuaron, Mike Newell dan David Yates. Menurut pendapat aku, filem Harry Potter and the Prisoner of Azkaban adalah sebuah filem yang menunjukkan identiti pengarah filem tersebut, Alfonso Cuaron. Beliau membikin filem itu sebagai sebuah filem ala 'stand alone' dengan menggunakan babak-babak dan sekuens yang lucu tetapi ada elemen 'gothic' sedikit. Dalam filem itu jugalah bermulanya tema 'dark and gritty' yang mengubah lanskap francais ini.
Tetapi tak boleh dinafikan antara pengarah-pengarah ini, Chris Columbus adalah yang paling berjaya menterjemahkan novel ke layar perak dengan berjaya. Filem Harry Potter and the Chamber of Secrets mendapat pujian yang tinggi dengan adaptasi dari novel yang cukup bagus. Mike Newell pula menghadapi sedikit kesukaran untuk filem Harry Potter and the Goblet of Fire apabila ingin mengadaptasi novel dengan jumlah halaman buku yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan tiga novel sebelumnya. Itulah sebabnya jika dilihatkan hubung-kait antara filem keempat dengan filem kelima iaitu Harry Potter and the Order of Phoenix kelihatan agak longgar. Banyak info-info tidak dapat dimasukkan dalam filem keempat dan menjadikan filem kelima nampak goyah dengan plot penceritaan.
Manakala filem keenam pula iaitu Harry Potter and the Half-Blood Prince memang seronok ditonton, tetapi sayangnya dibazirkan dengan info-info yang kurang berguna dan mengenepikan info yang kritikal untuk filem Harry Potter and the Deathly Hallows. David Yates merupakan pengarah filem Harry Potter paling aku kurang gemar atas sebab adaptasi yang tidak begitu konkrit. Ada sesetengah babak dalam filem keenam yang boleh digantikan dengan babak yang lebih berguna supaya kesinambungan untuk filem ketujuh akan lebih difahami.
Sekalipun terdapat pendapat yang bercampur aduk dikalangan pembaca novel, tetap tidak dinafikan francais Harry Potter ini masih mendapat tempat dan sambutan yang memberangsangkan. Malahan J.K. Rowling sendiri bersetuju sekiranya ada beberapa perkara yang diubah untuk mendapatkan kesesuaian filem. Francais ini juga sangat popular dikalangan bukan pembaca novel dan ini antara salah satu sebab kenapa francais ini cukup popular. Sebut sahaja nama Harry Potter, Ron Weasley, Hermione Granger, Hogwarts, Draco Malfoy, Dumbledore, Snape, pasti ramai yang akan kenal.
Agak sedih juga bila francais ini tamat pada tahun 2011, tetapi dengan pengalaman dan perjalanan yang menarik sepanjang francais, membuatkan kita tidak teragak-agak untuk melakukan marathon francais ini sesekali. Harry Potter sehingga kini kekal sebagai antara francais filem yang berjaya.
Rating Peribadi:
Harry Potter and the Sorcerer's Stone - 4/5
Harry Potter and the Chamber of Secret - 4.5/5
Harry Potter and the Prisoner of Azkaban - 5/5
Harry Potter and the Goblet of Fire - 3.5/5
Harry Potter and the Order of Phoenix - 3.5/5
Harry Potter and the Half-Blood Prince - 4/5
Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1 - 4.5/5
Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 - 5/5
Share:

The Witches (2020) - Ulasan Filem



Seorang kanak-kanak lelaki, Hero Boy (Jahzir Kadeem Bruno) hidup bersama neneknya (Octavia Spencer) selepas kematian ibu bapanya. Pada satu hari, Hero telah bertemu dengan seorang wanita misteri, dan neneknya mendedahkan bahawa wanita itu adalah seorang ahli sihir yang jahat. Neneknya kemudian memberitahu kisah tentang organisasi ahli sihir yang diketuai Grand High Witch (Anne Hathaway) dan bagaimana neneknya sebelum ini adalah seorang pemburu ahli sihir. Cerita bermula selepas mereka berdua bertembung dengan organisasi ahli sihir ini ketika menginap di sebuah hotel. Lantas Hero dan neneknya merangka pelan untuk melawan ahli sihir-ahli sihir ini.

Dari sinopsis kelihatan filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik, tetapi ianya hanya indah khabar dari rupa. Implementasi plot ke layar untuk filem ini sangat lemah sehingga aku merasakan filem ini memang sepatutnya ditayangkan di laman strim berbanding panggung wayang. Ianya seolah sebuah filem masa lapang Robert Zemeckis yang tiada projek lain beliau nak bikin.
Tetapi lakonan Anne Hathaway sebagai Grand High Witch dan Octavia Spencer menyelamatkan filem ini dari menjadi sebuah tontonan yang tidak menghiburkan. Anne berjaya menghidupkan watak ketua ahli sihir ini tetapi itu pun dibazirkan dengan jalan cerita yang mendatar. Lakonan Octavia tidak perlu disangkal lagi kerana beliau sememangnya seorang pelakon yang hebat.
The Witches merupakan adaptasi novel hasil karya penulis buku kanak-kanak terkenal, Roald Dahl. Tak tahulah di mana silapnya, sebelum ini Steven Spielberg telah mengadaptasi The BFG, juga tidak berapa bagus, kini giliran Robert Zemeckis pula memberikan sebuah adaptasi yang tidak memuaskan. Ditambah lagi dengan nama-nama besar seperti Guillermo Del Toro dan Alfonso Cuaron sebagai produser, masih tidak menjaminkan kehebatan filem ini. Malahan filem ini juga di 'narrate' kan oleh Chris Rock! Masih lagi tidak mampu memberikan kepuasan tontonan.
Apapun ianya masih lagi sebuah filem yang sesuai ditonton seisi keluarga, dan mungkin anak-anak kecil akan lebih terhibur menonton filem ini. Jika kita melihatnya sebagai sebuah filem untuk kanak-kanak, barangkali persepsi terhadap filem ini berlainan. Tetapi ekspektasi terhadap filem ini pada awalnya agak tinggi kerana kelibat nama-nama besar yang membikin filem ini. Aku akan cari peluang untuk menonton filem The Witches pada tahun 1990 pula nanti, mesti lagi bagus dari yang ini.
“Witches. They’re real. And they hate children.”
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Hubie Halloween (2020) - Ulasan Filem



Nampaknya Netflix memang gemar betul dengan Adam Sandler. Selepas filem The Ridiculous 6, The Do Over, Sandy Wexler, The Week Of, The Meyerowitz Stories dan Murder Mystery, kini muncul pula filem terbaru gabungan beliau bersama Netflix, Hubie Halloween. Sebuah filem komedi yang mempunya elemen serta rencah yang sama seperti filem-filem komedi dari Adam Sandler.

Hubie merupakan seorang lelaki berpewatakan pelik sering menjadi mangsa buli penduduk Salem. Tetapi Hubie menunjukkan tauladan yang baik dengan tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang berkelakuan kasar dengannya. Di malam Halloween, mengisi masanya dengan mengawal pekan Salem dari perkara tidak sepatutnya. Tetapi malangnya pada malam ini berlaku pelbagai kejadian aneh yang memaksa Hubie merungkai misteri yang berlaku.
Tonton sajalah filem ini kalau memang dah peminat Adam Sandler. Rasanya 'expectation' kita pun sudah ditetapkan pada tahap tertentu bila membabitkan filem-filem komedi dari beliau. Formula sama yang digunakan Adam Sandler, beliau mengambil elemen komedi dengan memasukkan watak-watak 'cringe', selitkan jenaka-jenaka 'slapstik', Steve Buschemi/Kevin James/Rob Schneider mesti ada, heroin yang cantik, serta seorang pelakon serious; campurkan semua elemen-elemen ini dalam 'blender' dan kisar, maka terjadilah filem komedi Adam Sandler.
Tetapi, filem ini bagi aku bukanlah filem komedi paling teruk dari Adam Sandler, yang tu tetap jatuh pada Jack and Jill dan duologi Grown Ups. Masih ada mesej-mesej penting yang ingin diberikan lebih-lebih lagi tentang gejala buli yang sering berlaku. Watak Hubie ditunjukkan sebagai seorang yang mulia kerana tidak langsung menyimpan dendam terhadap pembuli-pembulinya.
Rasanya itu sajalah kot apa yang boleh diulaskan tentang filem ini. Ianya sebuah komedi yang boleh ditonton jika kita tiada apa-apa untuk ditonton. Ada juga beberapa babak yang masih mampu membuat kita ketawa keterujaan. Selain dari itu, tiada apa yang istimewa.
“You’re always thinking of everyone else, never thinking of yourself. But I guess that’s why you’re a hero.”
Rating Peribadi: 2/5
Share:

Gundala (2019) - Ulasan Filem



Filem adiwira dari Indonesia ini membawa kisah Sancaka (Abimana Aryasatya), kehilangan ayahnya akibat rusuhan menentang penindasan majikan di kilang. Ibunya pula meninggalkannya untuk mencari pekerjaan dan memaksa Sancaka untuk hidup sendiri. Beliau berjumpa dengan Awang dan mempelajari ilmu bela diri untuk terus hidup di gelandangan. Setelah dewasa, Sancaka dan kawan-kawannya ingin melawan penindasan dan kekejaman yang dilakukan Pengkor (Bront Palarae) sehingga menyebabkan huru-hara di seluruh negara. Sancaka yang memperoleh kuasa kilat berubah menjadi adiwira untuk menyelamatkan rakyat.

Filem ini merupakan filem pertama untuk BumiLangit Universe sekaligus menjadi batu loncatan untuk filem-filem susulan dalam francais ini. Perihal ini sedikit membuatkan filem ini tidak mampu berdiri dengan sendirinya kerana terlalu banyak persoalan yang tidak dirungkai. Persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan lagi dalam filem-filem akan datang. Walaupun ianya sedikit berjaya sebagai filem permulaan 'universe superhero', tetapi sebagai filem 'standalone', filem ini agak mengecewakan.
Banyak perkara yang membuatkan babak-babak yang ditunjukkan agak anti-klimaks. Jujur cakap, premisnya sangat menarik. Cara pengarah menggunakan visual dan sekuens memang menjadikan filem ini sebuah filem 'superhero' dari Indonesia yang matang. Penggunaan dialog serta lakonan-lakonan dari pelakon yang penuh dinamik turut memberi suatu aura menakjubkan. Tetapi sayangnya penceritaan filem ini agak 'separuh hati'.
Jika kita melihat filem ini sebagai sebuah permulaan 'universe superhero', kita akan teruja dengan babak-babak yang menimbulkan 'kejutan'. Isu yang cuba dibawakan dalam filem ini juga sesuatu yang menarik walaupun tidak logik, tetapi itulah formula untuk membikin filem 'superhero'.
Penonton akan menanti filem-filem akan datang dari BumiLangit Universe ini kerana filem Gundala ini berjaya menimbulkan rasa teruja untuk kita menanti apa lagi yang akan dihidangkan akan datang. Biarlah ianya menjadi kambing hitam asalkan batu asas untuk mencipta sebuah 'francais' dan 'universe' telah pun terletak di tempatnya.
"Kalau kita diam saja melihat ketidakadilan di depan kita, maka kita bukan manusia lagi"
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Friday, October 9, 2020

Predator (1987) - Ulasan Filem


Masih ingat lagi zaman di mana filem Predator tidak memerlukan premis dan jalan cerita yang terlalu terperinci dan kompleks. Cukup hanya berbekalkan beberapa pelakon-pelakon aksi yang katang-katang belaka, sebuah lokasi di hutan dan seekor watak 'alien' yang tidak diceritakan langsung asal-usulnya. Seronok betul tonton filem aksi klasik sebegini. Ditambah pula dengan kehadiran Arnold Schwazenegger yang sememangnya seorang ikon filem aksi pada era 80an.

Predator mengisahkan tentang sekumpulan askar upahan yang dipimpin oleh askar veteran, Dutch (Arnold Schwazenegger) dipanggil oleh pegawai CIA, Dillon (Carl Weathers) yang juga merupakan kawan Dutch. Mereka ditugaskan dalam misi menyelamatkan menteri luar negeri yang menjadi tebusan askar Soviet. Dalam misi itu mereka berhadapan dengan ancaman yang tidak dijangka. Sejenis makhluk pemburu berada di dalam hutan tersebut dan tugasnya hanyalah untuk memburu askar-askar upahan tersebut.
Jalan ceritanya memang cukup mudah, ambil beberapa watak askar upahan, letakkan mereka di dalam hutan, dan pastikan mereka dibunuh satu persatu oleh 'predator', dan tinggalkan Arnold seorang sahaja untuk berlawan 'one by one' dengan 'predator' itu. BAM! Kau dapat filem aksi terhebat abad ini. Dan hasilnya, filem Predator menjadi perintis untuk sebuah francais yang berkekalan hingga sekarang.
Karisma Arnold sebagai pelakon aksi tidak boleh disangkal lagi. Pedulikanlah kalau ada yang kata beliau kayu, biarkan saja, ini kayu balak bukan biasa-biasa punya. Filem aksi sebegini memberikan hiburan yang tidak memerlukan kita berfikir banyak dalam menonton filem ini. Kita hanya perlu berhibur dengan setiap babak-babak aksi yang dipaparkan. Oh ya, jangan lupa 'epic handshake' antara Dillon dan Dutch tu.
"You're one...ugly motherfucker!"
Rating Peribadi: 4/5
Share: