Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Korea. Show all posts
Showing posts with label Korea. Show all posts

Wednesday, September 22, 2021

Squid Game 2021 - Netflix Series KDrama Review

SQUID GAME - MUSIM PERTAMA (2021)

TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
PENGARAH: Hwang Dong-hyuk
LAKON LAYAR: Hwang Dong-hyuk
PELAKON: Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-joon, Jung Ho-yeon, Heo Sung-tae, Kim Joo-ryoung, Tripathi Anupam, Yoo Sung-joo, Lee Yoo-mi.
GENRE: Thriller, Drama
BAHASA: Korea (Korea Selatan)
DURASI: 32-63 minit setiap episod


Seong Gi-hun (Lee Jung-jae), seorang yang kuat berjudi dan mempunyai hutang yang banyak telah ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia untuk bermain sebuah permainan dengan tawaran sejumlah wang lumayan. Tetapi tanpa disedari Gi-hun, permainan tersebut merupakan permainan 'survival' yang disertai oleh 456 orang peserta lain. Mereka dikehendaki bermain permainan tradisional Korea dan nyawa mereka menjadi pertaruhan demi hadiah wang sebanyak 4.6 billion won.
Jika ada satu perkara yang boleh dipuji tentang siri ini, sudah tentulah penataan seninya dengan latarbelakang premis dan busana dari watak-watak yang penuh dengan bewarna-warni serta mempunyai konsep minimalis. Malahan elemen serta gaya yang ditunjukkan merupakan daya penarik utama untuk siri ini. Siri ini berjaya memberikan permainan-permainan tradisional yang nampak ringkas, tetapi dihiasi dengan set yang sangat gah.
Mesej yang cuba disampaikan dari siri ini tentang kelangsungan hidup sangat jelas apabila memberikan kontra antara dunia luar dan dunia di dalam permainan. Di sini ianya menggunakan watak-watak yang mempunyai masalah kewangan seperti Gi-hun, seorang yang cuba melarikan diri dari masalah dunia luar. Tapi motif sebegini juga ditemui dalam hampir kesemua watak tetapi diselaputi dengan matlamat yang berbeza. Contohnya watak Cho Sang-woo (Park Hae-soo) yang mempunyai perwatakan luaran yang berbeza dari Gi-hun, iaitu seperti seorang yang berjaya, tetapi tetap ada masalah yang sama dengan Gi-hun. Siri ini menggunakan psikologi untuk setiap watak pemain supaya melihat perbezaan antara dunia realiti dengan dunia permainan.
Ceritanya juga tidak hanya bergantung kepada permainan sahaja, malahan dengan hanya enam permainan yang diketengahkan, ianya hanya menjadi elemen sampingan yang menghiasi siri ini. Siri ini tidak dapat lari dari mengetengahkan emosi sekaligus meleretkan jalan cerita menjadi panjang demi untuk memfokuskan cerita pada setiap watak. Bagi aku perkara ini tiada masalah kerana sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit nafas baru kepada cerita berkonsepkan 'permainan maut' sebegini. Kita dapat melihat pelbagai perspektif dan tidak hanya pada watak pemain sahaja.
Cuma mungkin satu kelemahan yang menjadi kekuatan siri ini adalah kebarangkalian serta aspek kebetulan yang diwujudkan dalam siri ini hanya untuk menunjukkan sisi ironi sekaligus menimbulkan babak-babak penuh emosi dan mengejutkan. Ya, sudah tentu cerita sebegini akan dibekalkan dengan 'plot twist' untuk menambah selera penonton, tetapi ini bukan kekuatan siri ini. Bagi aku kekuatannya adalah pada 20 minit terakhir setiap episod yang mampu menimbulkan perasaan berdebar-debar di hati penonton.
Jika ingin dilihat pada aspek keganasan dalam siri ini, rasanya terdapat siri atau filem lain yang lebih ganas dan menggerunkan. Siri ini masih menunjukkan babak pembunuhan beramai-ramai, tetapi cara pembunuhan itu tidaklah sekreatif atau seganas mana pun. Berbalik pada apa yang aku katakan tadi, fokusnya bukan pada itu, tetapi pada pembangunan karakter serta kewujudan babak saspens setiap episod.
Perlu aku sebutkan juga disini bahawa pelakon Jung Ho-yeon yang membawakan watak wanita dari Korea Utara bernama Kang Sae-byeok merupakan antara watak yang aku gemari dalam siri ini. Siri ini merupakan debut untuk beliau dan persembahan yang diberikan sangat memberangsangkan. Sudah tentu nama Ho-yeon ini akan sentiasa diperhatikan untuk melihat projek akan datang darinya. Secara keseluruhannya, mungkin ramai yang akan berkata ada banyak lagi siri dan filem yang lebih bagus dari siri ini. Namun sebagai seorang penonton drama Korea yang tidak kasual seperti aku ini, dapat menghabiskan siri ini dalam masa satu hari telah membuktikan ianya sebuah siri yang menarik buat aku.
Link untuk menonton siri ini: https://www.netflix.com/title/81040344
Share:

Tuesday, January 26, 2021

PSYCHOKINESIS (2018)

 


TAHUN: 2018
PENGARAH: Yeon Sang-ho
SKRIP: Yeon Sang-ho
PELAKON: Ryu Seung-ryong, Shim Eun-kyung, Park Jung-min, Kim Min-jae, Jung Yu-mi
GENRE: Aksi, Fiksyen Sains
BAHASA: Korea
DURASI: 101 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Shin Roo-mi (Shim Eun-kyung) dan ibunya terpaksa berhadapan dengan pemaju projek yang ingin mengambil tanah tempat mereka berniaga. Hal ini mengakibatkan kematian ibunya sehingga Roo-mi terpaksa menelefon ayahnya yang sudah lama dia tidak berjumpa untuk memberitahu berita sedih itu. Sementara itu ayah Roo-mi, Shin Seok-heon (Ryu Seung-ryong) yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, telah memperoleh kuasa luar biasa dari air gunung yang tercemar dari kesan radioaktif meteor. Seok-heon mempunyai kuasa telekinesis yang membolehkannya menggerakkan objek menggunakan minda. Seok-heon cuba memperbaiki hubungannya dengan Roo-mi dan dalam waktu yang sama menolong untuk menghalang pihak kapitalis dari menganiaya peniaga di kawasan Roo-mi bekerja.
Sekalipun filem bertemakan superhero sudah terlalu biasa dalam zaman kini, tetapi pengarah Yeon Sang-ho sebolehnya ingin membawakan tema ini ke sudut yang berbeza. Kali ini ianya memfokuskan pada watak seorang ayah yang dari luarannya tidak menampakkan sisi seorang hero. Ianya cuba disampaikan dengan begitu dekat terhadap realiti sekiranya kuasa luar biasa itu diberikan kepada orang yang...biasa.
Tetapi ianya masih lagi tidak dapat mengelakkan suasana komikal terutama pada beberapa watak. Isu yang dibawakan itu juga merupakan satu isu yang serius sekalipun telah banyak kali diterjemahkan ke layar perak. Dan isu yang serius ini diganggu pula dengan watak-watak komikal seperti watak President Min (Kim Min-jae) dan Jung Director Hong (Yu-mi). Ianya tidaklah terlalu teruk kerana seronok juga sebenarnya melihat kedua-dua watak komikal ini, lebih-lebih lagi mereka adalah watak antagonis. Tetapi kelihatan kedua-dua watak ini dikembangkan dengan separuh jalan sahaja dan mempunyai pengakhiran yang tidak memuaskan.
Perkara paling menarik dalam filem ini tentulah bila setiap kali Seok-heon menggunakan kuasa telekinesisnya. Adakala beliau terlalu slapstik dalam menggunakan kuasa ini dan terlalu mencuba untuk mewujudkan komedi yang akhirnya kelihatan seolah terpaksa. Sekalipun begitu lakonan Ryu Seong-ryong ini sangat menghiburkan. Sudah pasti filem sebegini memerlukan babak pertarungan yang menarik dan mendebarkan. Dan ya, ianya berjaya menyampaikan babak itu. Mungkin masalah utama filem ini pada permulaan dan pertengahannya sahaja, cuma bila sudah sampai ke pengakhiran, kuasa telekinesis Seok-heon hanya mampu membantu sedikit sahaja pada keseluruhan filem.
"If I give up, I will not do this from the beginning."
RATING: 3.5/5
Share:

Thursday, January 14, 2021

The Call (2020) - Ulasan Filem



Ketika berada di rumah lamanya, Seo-yeon (Park Shin-hye) terjumpa sebuah telefon 'cordless' lama dan beliau mendapat panggilan kecemasan dari Young-sook (Jeon Jong-seo) yang meminta Seo-yeon menyelamatkannya dari ibu tirinya. Apa yang bertambah aneh, mereka berdua berada di dua garisan masa yang berbeza. Young-sook berada 20 tahun lepas dan menjadikan perhubungan antara dua watak ini bertembung antara masa silam dan masa hadapan.

Konsep 'komunikasi antara dua garisan masa' sebegini bukanlah satu konsep yang baru diperkenalkan. Tetapi mekanisme yang cuba ditampilkan kali ini lebih segar dan memberikan sebuah gabungan genre fiksyen sains dan thriller yang menjanjikan sebuah penceritaan menarik. Pengarah Lee Chung-hyun bijak mengimbangi kedua-dua genre ini supaya tidak membendung satu sama lain dengan menyajikan sebuah plot yang agak berterus-terang (straightforward).
Plot cerita juga bergerak dengan cukup pantas tanpa perlu membabitkan babak-babak permulaan yang meleret. Hubungan antara Seo-yeon dan Young-sook dipaut dengan begitu pantas pada awal filem sekaligus memberikan masa yang panjang untuk kedua watak ini menjalinkan keserasian sehingga dapat dirasai penonton sendiri. Bagaimana kedua watak yang berlainan garisan masa ini refleks antara satu sama lain hingga berevolusi dan mewujudkan ketegangan di dalam penceritaan.
Lakonan Jeon Jong-seo berjaya menghidupkan keseluruhan cerita dengan perwatakan psikotiknya yang meyakinkan. Jong-seo mungkin cuba membawa sebuah watak psiko yang berbeza dari watak-watak yang pernah dipaparkan sebelum ini, sekalipun tidak begitu 'diingati', tetapi masih lagi sebuah 'kemuncak' yang menarik untuk filem ini. Tiada apa yang benar-benar menakjubkan pada watak Seo-yeon yang dilakonkan oleh Park Shin-hye, tetapi beliau tetap berjaya membawakan watak ini dengan baik.
Bolehlah kiranya kalau ingin memasukkan filem ini ke dalam senarai filem-filem 'mind-blown' tetapi kedudukan filem ini mungkin agak sedikit ke bawah berbanding filem lain yang mempunyai tema yang sama. Pujian diberikan pada babak yang memfokuskan pada 'perubahan garisan masa' setiap kali kejadian masa lalu diubah kerana ianya memberikan satu konsep berbeza di dalam idea yang sama. Permainan hukum alam dan manipulasi masa boleh dikatakan satu perjudian berani yang cuba dipaparkan dalam filem ini, dan ianya merupakan antara elemen kegemaran aku untuk filem ini. The Call merupakan filem 'inventif' dari Korea Selatan yang seronok untuk ditonton.
Rating Hady: 4/5
Share:

Thursday, September 17, 2020

Alive (2020) - Ulasan Filem


Joon-woo adalah seorang lelaki Korea tipikal yang sedang bermain video game di rumah tidak sedar dunia luar sedang mengalami zombi apokalips yang merebak dengan sangat cepat. Selepas menyedari pandemik zombi itu, Joon-woo tekad mengurungkan dirinya sendiri dalam rumah dan menunggu pasukan penyelamat.
Cerita ni sebenarnya sangat ringkas premisnya. Ianya bermain dengan satu watak dan bagaimana watak itu cuba menjalani kehidupan seharian dan terus bertahan dalam dunia yang kacau bilau dengan zombi apokalips. Tapi sayangnya, terlalu ringkas dan mudah sahaja jalan ceritanya dan konflik-konflik yang ditunjukkan juga tidaklah terlalu kompleks. Atau mungkin penterjemahan konflik dalam filem ini tidak terlalu kuat.
Jika diambil kira tema zombi yang dipaparkan, filem ini tidak mencetuskan sangat perasaan mendebarkan, perasaan takut dan hubungan perasaan antara audiens dengan watak itu sendiri. Apa yang ingin dipaparkan itu sebenarnya dahsyat, tapi cara penyampaiannya itu tidak begitu memberi impak.
Mungkin apa yang ingin dipaparkan dalam filem ini adalah tentang watak yang biasa-biasa, yang sememangnya wujud dalam dunia realiti, dan bagaimana realiti sebenar sekiranya perkara tersebut berlaku pada diri kita. Kadang-kadang sebuah filem akan 'exaggerate' dengan lebih untuk memaparkan kesan dramatik dan aksi yang tinggi. Tapi filem ini seolah terlalu ingin mencapai realiti hingga menimbulkan sedikit perasaan bosan ketika menonton.
Hingga ke akhir filem, tiada apa yang betul-betul menarik berlaku. Ada juga diletakkan sedikit plot twist atau konflik tentang sikap manusia dalam filem ini, tetapi semuanya seolah ditunjuk dengan tidak sepenuh hati. Nasib baik efek dan make-up watak-watak zombi tu boleh tahan mengerikan juga, tipikal zombi Korea.
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Tuesday, July 21, 2020

Peninsula (2020) - Ulasan Filem




Rasanya tak perlu untuk filem ini menggunakan semangat atau 'trademark' Train To Busan, ini kerana filem TTB sepatutnya berdiri dengan sendirinya dan langsung tidak memerlukan sekuel. Tapi itulah, mungkin permintaan dan 'fanbase' filem ini sebegitu hebat, maka terpaksa jugalah menghasilkan filem 'sekuel', Peninsula yang berlatarbelakangkan 4 tahun selepas kejadian dalam TTB.
Jujur kata, filem ini mempunyai permulaan yang cukup kuat, malahan aku sendiri bergenang air mata apabila dipaparkan babak pengorbanan di awal filem. Maksudnya 'semangat' TTB itu terasa di awal filem. Cumanya bila masuk di pertengahan filem, perjalanan cerita dan perkembangan watak menjadi statik dan hambar. Hinggalah filem hampir-hampir mengangkat kembali momentum di penghujung, tapi itu sudah tidak mampu menyelamatkan jalan cerita.
Secara keseluruhan, filem ini seolah sebuah permainan video dimana watak-watak mempunyai misi yang perlu diselesaikan. Aksi kejar mengejar kereta pula sangat keterlaluan seolah ingin berlawan dengan filem Fast & Furious pula. Tiada 'character attachment' yang dirasai, mungkin sedikitlah rasa tertarik dengan watak budak perempuan bawak kereta tu.
Share:

Thursday, June 25, 2020

I Saw The Devil (2010) - Ulasan Filem

Ini merupakan antara filem yang bertemakan 'pembalasan dendam klasik' pada era moden yang terbaik pernah aku tonton. Cerita mengambil tempat apabila Jang Kyung-chul (Choi Min-sik) membunuh tunang kepada ejen Perkhidmatan Perisikan Rahsia Korea Selatan, Kim Soo-hyun (Lee Byung-hun) secara kejam dengan mengerat-ngerat badan dan di campakkan ke merata tempat. Soo-hyun yang berasa sangat marah nekad untuk mencari pembunuh tunangnya dan mendapatkan pembalasan yang setimpal.
Filem ini bergerak sangat pantas pada awalnya, hinggakan pada 40 minit pertama, seolah macam filem ni sudah hampir ke pengakhiran. Rupanya untuk jam berikutnya, kita disajikan lagi dengan penceritaan yang lebih mendalam tentang pembalasan dendam Soo-hyun terhadap Kyung-Chul. Sinematografi dan gaya penceritaan filem ini memainkan peranan penting dalam melayani perasaan kita semasa menonton. Banyak babak-babak ngeri dan memualkan, tetapi disajikan secara 'biasa' dan 'selamba' tanpa terlalu menggunakan muzik latar atau pergerakan kamera yang dramatik.
Intipati filem ini adalah memfokuskan pada isu pembalasan dendam yang ditunjukkan sebagai sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana manusia. Personifikasi 'syaitan' yang ditunjukkan adalah melalui pelbagai bentuk, baik pada diri Kyung-chul yang sememangnya seorang yang kejam dan rakus, dan juga pada diri Soo-hyun kerana ingin membalas dendam, beliau sendiri melepaskan 'syaitan' yang berada dalam diri dan menghukum Kyung-chul sepuas hati.
Apa yang menariknya filem ini agak seimbang dalam memberikan kepuasan dan turut sama menyakitkan hati audiens yang menonton. Ada masanya kita melihat kemenangan terletak pada Soo-hyun yang berjaya sedikit demi sedikit membalas dendam, tetapi hingga ke penghujung kita dihidangkan pula dengan kerakusan Kyung-chul yang sangat dahsyat kerana ingin membalas kembali perbuatan Soo-hyun terhadapnya. Jika kita inginkan filem yang mempunyai pengakhiran bahagia, ini bukan filemnya. Filem ini memberi sedikit rasa 'realiti' sebenar yang berlaku dalam kehidupan sekiranya kita membiarkan 'syaitan'menguasai diri.
Pujian yang tinggi aku berikan pada Lee Byung-hun yang kita tahu memang seorang pelakon yang hebat. Byung-hun tahu berapa banyak emosi yang perlu ditunjukkan dalam setiap babak, dan kebanyakkan lakonannya ditunjukkan melalui matanya. Begitu juga Choi Min-sik yang memang terkenal dengan aura menggerunkan sekaligus memberikan lakonan yang tak tertanding.
Mengambil petikan kata-kata dari Confucius,
"Before you embark on a journey of revenge, dig two graves."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share: