Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label History. Show all posts
Showing posts with label History. Show all posts

Thursday, January 14, 2021

RICHARD JEWELL (2019)



TAHUN: 2019
PENGARAH: Clint Eastwood
SKRIP: Billy Ray
PELAKON: Paul Walter Hauser, Sam Rockwell, Kathy Bates, Olivia Wilde, Jon Hamm
GENRE: Drama, Biopik
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 129 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix (Japan)
Clint Eastwood sekali lagi mengarahkan sebuah filem drama biopik dan kali ini beliau mengangkat kisah pengeboman di Centennial Olympic Park pada tahun 1996 ketika acara Olimpik Musim Panas sedang berlangsung. Richard Jewell (Paul Walter Hauser) merupakan seorang pengawal keselamatan di tempat kejadian dan telah menjadi hero kerana berjaya mengesan bom dengan lebih awal. Tetapi malang tidak berbau buat Richard, sebaik diangkat menjadi hero, beliau telah menjadi suspek utama pengeboman tersebut oleh FBI. Pendedahan yang dibuat oleh wartawan Kathy Scruggs (Olivia Wilde) yang dahagakan berita panas memburukkan lagi keadaan apabila Richard yang belum pun lagi didakwa telah menjadi mangsa 'trial by media'. Richard meminta pertolongan peguam bela Watson Bryant (Sam Rockwell) untuk menjernihkan namanya dan kembali hidup normal bersama ibunya, Bobi Jewell (Kathy Bates).
Filem ini antara kisah teladan yang menunjukkan bagaimana seorang yang tidak bersalah telah dieksploitasi dan dimanipulasi untuk menjadi kambing hitam pihak kerajaan dan menjadi mangsa kerakusan media. Kerajaan US, atau lebih tepat lagi pihak berkuasa, FBI dan media massa menjadi antagonis utama dalam filem ini bagaimana dengan kuasa yang mereka ada mampu mengheret sebuah keluarga bahagia hidup dalam keadaan tidak tenteram. Kredibiliti dan etika pihak berkuasa serta wartawan dalam filem ini juga dipersoalkan hanya kerana masing-masing cuba mendapatkan kredit untuk kerja yang dilakukan.
Paul Walter Hauser muncul sebagai pelakon 'breakthrough' selepas berjaya membawakan watak Richard Jewell ini dengan sangat baik. Lakonannya sebagai seorang lelaki yang lurus dan optimis menjadi pemangkin untuk keseluruhan plot filem ini. Ianya juga bertambah menarik apabila digandingkan dengan Sam Rockwell yang bagi pendapat admin memang seorang pelakon yang sangat sesuai untuk membawa watak peguam Watson Bryant yang nampak kasar, tapi mempunyai hati yang baik. Begitu juga lakonan dari Jon Hamm sebagai Agent Shaw dan Olivia Wilde yang menimbulkan sedikit rasa jelik terhadap watak 'negatif' yang mereka bawa. Menariknya lagi, Kathy Bates yang menjadi ibu Richard telah mendapat pencalonan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam anugerah Academy Awards ke-92.
Serahkan sahaja kepada Clint Eastwood untuk mengarah filem drama biopik sebegini kerana ianya memang sudah menjadi makanan beliau. Eastwood tahu tema bagaimana untuk disampaikan bagi filem-filem biopik tertentu. Dan beliau juga bijak untuk tidak menjadikan filem biopik ini bosan dengan menggunakan babak-babak dan dialog-dialog yang menarik. Kekuatan filem biopik arahan Eastwood ini kebiasaannya terletak pada watak dan perwatakan dalam filem tersebut.
Penonton juga mampu berhubung dan berasa empati terhadap watak utama, dan dalam waktu sama berasa jengkel dengan watak-watak antagonis. Satu lagi yang menarik tentang gaya pengarahan Eastwood adalah bagaimana beliau mampu menghidupkan kembali suasana pada tahun 1996 lebih-lebih lagi ketika upacara Olimpik tersebut. Tanpa memerlukan babak aksi atau kesan khas berlebihan, Eastwood berjaya membuktikan filem berbentuk drama biopik juga sangat menghiburkan untuk ditonton.
"You know, I actually feel sorry for you guys: when the real bomber does it again, and the country asks, 'where was the FBI?' you're gonna say, 'we were busy getting hair samples from Richard Jewel.'"
RATING: 4/5
Share:

The Queen (2006) - Ulasan Filem


Kisah keluarga di-Raja Britain, keluarga Queen Elizabeth II kali ini berlatarbelakangkan sekitar peristiwa tragik berkenaan kematian Princess Diana akibat kemalangan kereta di Perancis. Penonton dibawa menyelusuri kehidupan Queen Elizabeth II (Helen Mirren) yang mendapat cemuhan dari rakyat Britain kerana tidak menunjukkan empati dan enggan melabelkan kematian Diana sebagai kematian di-Raja. Dalam waktu yang sama Tony Blair (Michael Sheen) baru sahaja diangkat sebagai Perdana Menteri yang muda, perlu menjadi orang tengah kepada Queen dalam perihal pengebumian Diana.

Penulis lakon layar filem ini, Peter Morgan memang sudah cukup dikenali sebagai penulis biopik keluarga di-Raja Britain dan drama-drama politikal UK. Antara karya beliau adalah seperti siri TV The Crown, filem The Special Relationship, Frost/Nixon, The Other Boleyn Girl, The Deal dan banyak lagi. Tidak boleh dinafikan bahawa genre sebegini sememangnya makanan ruji beliau.
Penceritaan banyak memfokuskan pada perspektif Queen Elizabeth dan Tony Blair berkaitan kematian dan pengebumian rasmi Princess Diana. Tony Blair menjadi kegemaran orang ramai kerana menunjukkan empati kepada kemaitan Princess Diana dan sifat merendah diri beliau yang cuba untuk meyakinkan keluarga Windsor melakukan perkara yang sama. Secara tidak langsung Blair sendiri sudah terjebak dengan drama kekeluargaan ini. Bagaimana Prince Charles (James Cromwell) juga cuba menggunakan Blair menjadi orang tengah supaya pihak media akan mengalihkan kecaman kepada ibunya, Queen Elizabeth, hanya untuk mengajar ibunya tentang apa yang dia alami selama ini.
Hubungan antara watak Blair dan Queen dapat dirasai apabila kedua watak ini mempunyai refleksi antara satu sama lain, tetapi mempunyai persamaan dari segi tanggungjawab yang mereka pikul. Mungkin pada awalnya kita sebagai penonton juga akan merasa jelik dengan sikap dingin Queen, tetapi pada pengakhirannya, dapat dirasai apa yang sebenarnya Queen ini perlu lakukan untuk menjadi seorang 'Queen'.
Konsep penceritaan yang mudah dan santai menjadikan filem ini tidak terlalu bosan untuk ditonton. Tema utama tentang kematian Princess Diana menjadi 'selling point' filem ini dan menambahkan lagi rencah dalam penontonan. Sudah tentu kisah yang penuh dengan skandal dari keluarga di-Raja Britain ini kekal menjadi sebuah kisah yang paling 'mahal' sekali dan kebolehan Peter Morgan mengangkat kisah ini ke layar perak harus dipuji. Peter tidak saja-saja ingin menconteng arang ke muka keluarga Windsor, tapi dalam waktu yang sama memberikan satu perspektif berbeza kepada rakyat Britain tentan keluarga paling kontroversi ini.
“A job she watched kill her father. She's executed it with honor, dignity, and, as far as I can tell, without a single blemish, and now we're all baying for her blood! All because she's struggling to lead the world in mourning for someone who... who threw everything she offered back in her face.” - Tony Blair
Rating Hady - 4/5
Sumber tontonan: Netflix US
Share:

The Other Boleyn Girl (2008) - Ulasan Filem



Filem ini membawa latar belakang England pada kurun ke-15 ketika pemerintahan King Henry VIII (Eric Bana). Permaisuri England, Catherine of Aragon yang hanya mempunyai seorang anak perempuan, gagal untuk mendapatkan pewaris takhta seorang lelaki. Thomas Howard (David Morissey) mencadangkan kepada abang iparnya, Thomas Boleyn (Mark Rylance) supaya mengarahkan anaknya Anne Boleyn (Natalie Portman) menjadi gundik raja England dengan harapan supaya mendapat waris takhta lelaki dari keluarga Boleyn yang mampu memberikan kemewahan. Perkara menjadi sulit apabila King Henry jatuh hati pula dengan Mary Boleyn (Scarlett Johansson) yang telah berkahwin dengan William Carey (Benedict Cumberbatch)

Filem ini menunjukkan betapa kacau bilaunya hubungan kekeluargaan baik dalam keluarga Boleyn atau kelurga raja England yang berpaksikan atas konflik pewaris takhta. Watak Anne Boleyn pula menunjukkan tentang bagaimana seorang wanita boleh memanipulasi perasaan seorang raja sehingga sanggup mengubah sejarah negaranya buat selamanya.
Lakonan-lakonan di dalam filem ini memang hebat-hebat belaka terutamanya pada watak Anne Boleyn lakonan Natalie Portman. Natalie berjaya membawa watak ini dengan cukup cemerlang dan mampu berevolusi dalam perwatakan untuk tsekelip mata. Scarlett Johansson juga harus dipuji kerana membawa watak Mary Boleyn yang lemah lembut dengan berjaya.
Walaupun filem ini merupakan sebuah filem 'period' atau sejarah, tetapi teras utama filem ini lebih ke arah 'soap opera' atau drama kekeluargaan dan politik yang sulit. Ianya mengangkat kisah hitam yang berlaku pada zaman feudal England satu ketika dulu dan dari sini juga lah kita merungkai tentang beberapa peristiwa penting dalam sejarah England, contohnya terciptanya Church of England selepas England keluar dari Catolic Church dan bagaimana susur galur keluarga Tudors dan Boleyn ini membawa kepada lahirnya Queen Elizabeth I.
Ianya bukanlah filem sejarah yang membosankan walaupun ada yang mempersoalkan beberapa ketepatan sejarah yang terdapat dalam filem ini. Tetapi untuk sebuah filem yang penuh dengan konflik dan drama, ianya mampu memberikan sejenis intensiti yang mendalam kepada audiens.
“A man's love is worthless. Our mother's loved, look where it got her, a feeble husband. Love is of no value without power and position.”
Rating Hady: 4/5
Share:

Monday, November 9, 2020

The Current War (2017) - Ulasan Filem



Pada tahun 1880, Thomas Edison (Benedict Cumberbatch) telah berjaya mencipta mentol elektrik yang bakal menggantikan lampu minyak tanah yang banyak digunakan di Amerika Syarikat ketika itu. Edison menggunakan Direct Current (DC) untuk menyalurkan arus elektrik walaupun arusnya agak terhad. Tetapi George Westinghouse (Michael Shannon), seorang usahawan memperkenalkan Alternative Current (AC) yang lebih murah dan dapat disalurkan ke kawasan yang lebih luas. Maka bermula perseteruan antara Edison dan Westinghouse dalam membuktikan AC/DC yang lebih sesuai digunakan.

Filem ini menggunakan nama-nama besar seperti Benedict Cumberbatch, Michael Shannon, Nicholas Hoult dan Tom Holland sebagai sebuah daya penarik untuk audiens menikmati genre sejarah sebegini. Pengarah Alfonso Gomez-Rejon juga berjaya menghidupkan zaman 1880an dengan berjaya disamping menggunakan shot-shot menarik di dalam filem ini.
Walaubagaimanapun, jalan cerita filem ini tidak mampu menarik minat dan terlalu banyak perkara yang ingin diceritakan tidak begitu kesampaian. Lebih-lebih lagi apabila membabitkan watak Nicola Tesla lakonan Nicholas Hoult yang sepatutnya menjadi antara watak penting, tetapi disia-siakan dengan tempelan biasa dan tidak memberi impak sangat kepada plot penceritaan.
Lakonan pelakon-pelakon dalam filem ini juga wajar dipuji, lebih-lebih lagi oleh Michael Shannon. Sekuens antara babak juga cuba dipaparkan dengan lebih energetik dan ini dapat dirasai dalam sesetengah babak, tetapi secara keseluruhannya filem ini cuba untuk menjadi relevan dan tidak membosankan, cumanya perkara itu tidak berapa kesampaian.
Ianya masih lagi sebuah filem sejarah yang bagus sekiranya kita ingin tahu tentang perseteruan antara Edison dan Westinghouse dalam membuktikan arus elektrik mana yang lebih bagus. Kita juga dapat menyelami perasaan dua sosok individu ini dan melihat bagaimana perspektif mereka terhadap 'current war' yang berlaku ketika itu. Tetapi, adakah Thomas Edison ini seorang yang menjengkelkan? Kerana kalau ya, perasaan menjengkelkan itu tidak begitu dirasai dari Cumberbatch.
"If you want to be remembered, it's simple: shoot a president. But if you prefer to have what I call a legacy, you leave the world a better place than you found it."
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Changeling (2008) - Ulasan Filem



Christine Collins (Angelina Jolie) kehilangan anaknya pada tahun 1928 di Los Angeles, tetapi pihak polis LAPD berjaya menjumpai anaknya itu, cuma tak disangka-sangka, budak lelaki yang dijumpai itu bukanlah anaknya. Pihak polis mengesahkan bahawa budak lelaki itu adalah anak Christine dan melabel Christine sebagai tidak siuman kerana menidakkan perkara tersebut. Christine kemudiannya dimasukkan ke wad institusi mental secara paksa oleh ketua polis Captain J.J. Jones (Jefrey Donovan). Nasib menyebelahinya bila Reverend Gustav Briegleb (John Malkovich) menghulurkan bantuan dengan berusaha keras mendedah salah laku pihak polis. Secara tak langsung, kes kehilangan anak Christine berkait rapat dengan kes jenayah terbesar pada zaman itu.

Filem ini secara keseluruhannya menyelami perasaan Christine yang kehilangan anaknya dan bagaimana beliau dipaksa untuk menerima hakikat bahawa budak lelaki yang dijumpai polis itu adalah anaknya. Kita dapat melihat kecekalan hati seorang ibu dalam diri Christine yang sedaya upaya mencari jalan untuk menemui anaknya yamg sebenar. Pengalaman Christine dalam cuba mengesahkan bahawa budak lelaki itu bukan anaknya kepada pihak polis sedikit sebanyak menimbulkan perasaan empati terhadap watak Christine ini.
Terasa emosi marah dan geram juga bila melibatkan watak kapten polis dan doktor sakit jiwa yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk memastikan institusi kepolisan dijaga dengan baik. Jefrey Donovan berjaya membawa watak kapten polis yang cukup menjengkelkan kita. Disini dapat dilihat bagaimana mereka yang diberikan tanggungjawab untuk melindungi orang awam sanggup menggunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.
Clint Eastwood semestinya seorang pengarah yang sangat berkaliber. Beliau berjaya menghidupkan suasana tahun 1920an dengan cukup realisitik. Sinematografi filem ini sangat cantik dan membuatkan kita menyelami dunia retro ini dan durasi masa terasa sekejap berlalu. Ianya sebuah filem biopik yang memberikan pengalaman istimewa ketika menonton. Filem Changeling kini boleh ditonton di Netflix.
"Fuck you and the horse that you rode in on."
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Wednesday, December 23, 2009

Demokrasi atau Kuku Besi? *sebuah reviu Bodyguards and Assassins


Revolusi di China bermula dengan wujudnya perkataan 'demokrasi' yang mula digembar-gemburkan. Tetapi empayar China mula terasa tercabar kerana telah berabad lamanya China diperintah di bawah maharaja dan dinasti-dinasti, akhirnya akan dimusnahkan. Rakyat China dalam kesusahan dibawah pemerintahan Dinasti Qing pada tahun 1907. Akhirnya wujud seorang lelaki bernama Sun yang akan menwujudkan reformasi demokrasi yang semuanya bermula di Hong Kong, yang ketika itu dibawah jajahan British. Dari sini, bermulalah kisah The Bodyguards and The Assassins.

Dibarisi pelaon ternama dari Hong Kong seperti Donnie Yen (Ip Man), Nicholas Tse (Storm Warriors) dan Tony Leung Ka-Fai (I Corrupt All Cops), movie ini semestinya movie yang menarik ditonton oleh peminat movie-movie Hong Kong dan Kung Fu.

Apa yang menariknya movie ini adalah period timenya yang berplot masa kedatangan Mr. SUn ke Hong Kong. Tetapi kedatangannya itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana kerajaan China akan menghantar pembunuh upahan yang terdiri dari askar-askar setianya untuk menumbangkan mana-mana pakar revolusi dari membebaskan negara China dari pemerintahan empayar maharaja.

Kedatangan Mr. Sun juga telah mewujudkan 'pengawal peribadi'nya yang tersendiri terdiri dari anak-anak muda berjiwa bebas dalam memikir soal negara. Mr. Chen (Tony Leung) atau The Revolutionary adalah orang yang bertanggungjawab dalam kedatangan Mr. Sun untuk mengadakan mesyuarat untuk mengadakan pemberontakan di beberapa wilayah negara China.

Secara keseluruhannya, movie ini memang menarik untuk ditonton kerana melihatkan dua sisi pandang, iaitu bodyguards, orang yang ingin revolusi dijalankan, serta assassins, orang yang taat setia kepada kerajaan sedia ada. Timbul isu bagaimana ingin menyelamatkan orang yang akan menyelamatkan negara China.

Kerajaan China ketia ini dianggap sebagai kerajaan yang penuh dengan kejahatan dan kerana membunuh semua pakar reformasi dan revolusi serta mencampak mereka eluar negara China bagi memastikan negara China kekal dibawah Dinasti Qing.

Movie ini mengkut fakta sejarah yang sebenar hingga ianya terlalu benar sekaligus menghilangkan situasi rekaan dalam movie-movie sejarah yang lain. Muingkin ketelitian fakta membuatkan movie ini kehilangan nilai suspens dan terlalu jujur dipertontonkan.

Namun begitu, aku tertarik dengan sub-plot dari watak-watak sampingan yang saling berkaitan dengan satu sejarah ini. Aksi kung fu yang ditonjolkan juga menarik serta membuatkan ramai orang percaya akan babak kung fu tersebut.

Babak menarik dalam movie ini sudah tentu disaat ketibaan Mr. Sun yang dilindungi oleh orang-orang yang inginkan revolusi. Saat Tuan Muda Liu berkung fu juga antara babak yang menarik perhatian aku.

Penulis skrip movie ini juga bijak mewujudkan elemen dramatik yang diselitkan dengan tujuan fakta sejarah ini ditonton tanpa rasa bosan. Lakonan Nicholas Tse sebagai A-si atau penarik beca harus diberi pujian kerana karakter yang dibawakannya amat terasa.

Movie ini sememangnya harus ditonton.

p/s : aku rasa scene establish hong kong, yang diulang tayang sebanyak tiga kali dalam movie ini, adalah scene yang sama...haha
Share: