Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Japan. Show all posts
Showing posts with label Japan. Show all posts

Friday, January 22, 2021

THE GARDEN OF WORDS (2013)



TAHUN: 2013
PENGARAH: Makoto Shinkai
SKRIP: Makoto Shinkai
PELAKON: Miyu Irino, Kana Hanazawa, Fumi Hirano, Takeshi Maeda, Yuka Terasaki.
GENRE: Romantis, Drama, Anime
BAHASA: Jepun
DURASI: 46 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Di suatu hari yang dilimpahi dengan air hujan di taman Shinjuku Gyoen, Takao Akizuki, seorang pelajar sekolah menengah dan juga seorang yang mempunyai bakat sebagai tukang kasut, telah berjumpa dengan Yukari Yukino, seorang wanita yang lebih berusia darinya. Kedua-dua mereka kemudiannya kerap berjumpa di taman tersebut setiap kali hari hujan dan mula beramah mesra dan berborak. Akizuki memberitahu Yukino tentang dirinya, tetapi Yukino lebih gemar berahsia. Sehinggalah Akizuki menyatakan perasaan sayangnya kepada Yukino.
Anime ini mempunyai durasi yang pendek, tetapi jalan cerita yang disampaikan cukup dengan isi dan lengkap dengan babak permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Bertambah pula dengan gaya anime-nya yang cukup indah dan memukau membuatkan pengalaman menonton filem ini sebuah perkara yang manis untuk kita sebagai audiens lalui. Kesan hujan, pencahayaan malahan gerak gaya karakter dalam filem ini sekalipun berbentuk 'anime', tetapi sangat realistik.
Malahan cerita romantis antara dua watak yang jika dilihat sebenarnya agak canggung untuk dunia sebenar, tetapi perasaan itu tidak dirasai. Apa yang dirasai adalah perasaan menyayat hati dan juga rasa sayang kita terhadap hubungan watak Akizuki dan Yukino. Dengan menggunakan simbol seperti kasut, manisan dan puisi Jepun, menguatkan lagi cerita di dalam filem ini.
Jika kita inginkan sebuah filem yang bergerak perlahan tetapi dalam waktu yang sama mampu memberikan adrenalin berbeza pada perasaan kita, ini adalah filemnya. Jiwa kita seolah diserap masuk ke dalam dunia dua watak ini dan membuatkan masa yang berlalu walaupun pendek, tetapi seakan selamanya berada di dalam hati.
"I realize now, I was learning how to walk as well. I haven't mastered the steps, I fall too. But I'm on my path, MY path, and one day that path, will take me to her."
RATING: 4/5
Share:

Thursday, January 14, 2021

WHISPER OF THE HEART (1995)

 


TAHUN: 1995
PENGARAH: Yoshifumi Kondō
LAKON LAYAR: Hayao Miyazaki
PELAKON: Yōko Honna, Issei Takahashi, Shigeru Tsuyuguchi, Keiju Kobayashi
GENRE: Anime, Drama, Romantis
BAHASA: Bahasa Jepun
DURASI: 111 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Shizuku Tsukishima (Yōko Honna) merupakan seorang murid sekolah menengah yang juga seorang ulat buku dan penulis yang kreatif. Pada satu hari, Shizuku perasan setiap buku yang dibacanya di perpustakaan pasti ada nama Seiji Amasawa dalam kad perpustakaan. Perkara ini membuatkan Shizuku keliru dan mula mencari siapa Seiji Amasawa. Sehinggalah Shizuku terserempak dengan sebuah kedai antik milik orang tua bernama Shiro Nishi yang juga merupakan datuk kepada Seiji. Dari situ Shizuku dan Seiji mula berkawan dan perasaan mula terjalin. Tetapi Seiji ingin ke Italy untuk mempelajari seni penciptaan violin. Shizuku yang mengagumi cita-cita Seiji juga berjanji untuk fokus pada bakatnya dalam penulisan kreatif.
Whisper of the Heart merupakan sebuah filem anime klasik dari produksi anime terkenal, Studio Ghibli. Sesiapa yang meminati anime-anime dari studio ini pasti akan berasa sangat dekat dengan anime ini. Seperti biasa Hayao Miyazaki mengangkat seorang kanak-kanak perempuan menjadi watak utama untuk filem ini. Menonton filem ini memang boleh nampak tema awal yang cuba disampaikan yang akan menjadi templat filem-filem Hayao Miyazaki selepas itu.
Penceritaan anime kali ini menunjukkan bagaimana sebuah percintaan itu mampu memberikan motivasi dalam mencapai cita-cita melalui bakat yang sedia ada. Banyak simbol-simbol yang ditunjukkan dalam filem ini refleks kepada perkembangan watak Shizuku untuk terus menjadi seorang penulis yang kreatif. Begitu juga persekitaran suasana filem yang dipenuhi dengan watak-watak sampingan menarik terutamanya kucing bernama Moon/Muta.
Walaupun anime kali ini lebih dekat dengan realiti dan merupakan sebuah anime yang berkonsepkan 'coming-of-age drama', tetapi masih lagi ingin memberikan secebis babak fantasi antara Shizuku dan watak kucing The Baron. Watak ini kemudiannya nanti diberikan sebuah filem spin-off, The Cat Returns. Cuma untuk filem kali ini ianya menjadi sebuah 'plot device' bagi kisah Shiro Nishi yang menyayat hati.
Sekali lagi perasaan menenangkan dapat dirasai setiap kali menonton filem dari Studio Ghibli ini. Plot yang berjalan dengan cukup lancar dan santai dari awal sehingga bertemu dengan pertengahan dan pengakhiran yang bergabung dengan cukup sempurna. Tentunya mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini mampu memberikan perspektif dan motivasi yang baru kepada penonton.
"Country road...
Kono michi...Zutto...Yukeba
Ano machi ni...Tsuzuiteru...Ki ga suru
Country road..."
RATING: 4/5
Share:

Tuesday, September 29, 2020

Confessions (2010) - Ulasan Filem




Filem bermula dengan pendedahan dari guru sekolah, Yuko Miroguchi (Takako Matsu) di dalam kelasnya tentang kematian anaknya Manami yang dibunuh oleh dua orang pelajar di dalam kelas tersebut, Shuya Watanabe (Yukito Nishii) dan Naoki Shimomura (Kaoru Fujiwara). Tetapi Miroguchi tidak mendedahkan secara langsung identiti mereka berdua, hanya menggunakan label nama 'Student A' dan 'Student B'. Miroguchi juga memberitahu kelasnya tentang undang-undang juvana di Jepun yang melindungi remaja bawah umur dihukum berat jika melakukan jenayah bunuh. Jadi dengan penuh teliti, Miroguchi merangka strategi untuk membalas dendam terhadap pembunuh anaknya itu.
Gaya penceritaan dalam filem ini menggunakan naratif yang dipaparkan dari sudut pandangan watak-watak berbeza dalam filem ini. Antaranya adalah dari sudut pandangan Miroguchi, Shuya, Naoki, Mizuki Kitahara (Ai Hashimoto) dan Yuko Shimomura (Yoshino Kimura) ibu kepada Naoki.
Pada awal filem, ianya seperti sebuah kisah pendek apabila Miroguchi menceritakan dan mendedahkan terus plot utama filem ini. Ini yang menariknya apabila pada babak awal lagi penonton telah disedut ke dalam filem untuk mengetahui perkara yang awal-awal lagi dah diberitahu. Tetapi dari 'pengakuan-pengakuan' watak-watak tadi tentang perkara sebenar yang berlaku secara perlahan meluaskan lagi konteks penceritaaan.
Dari 'pengakuan-pengakuan' ini diceritakan secara mendalam tentang setiap perkara yang berlaku. Hingga ke akhir filem, segala motif, asbab dan kesan yang terjadi mula dirungkai. Ianya sebuah filem tentang pembalasan dendam, tetapi olahan plotnya tidak terlalu fokus pada pembalasan dendam, tapi lebih kepada ingin menunjukkan bagaimana setiap watak itu terjerumus ke dalam tindakan yang mereka pilih sehingga mengakibatkan pembalasan dendam dari Miroguchi.
Satu lagi perkara yang menarik adalah penggunaan watak-watak remaja yang mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pembunuh. Ini menunjukkan bagaimana remaja pada usia yang sangat muda juga tidak terlindung dari perbuatan jahat walaupun sifat itu datangnya dari impak perbuatan orang dewasa. Filem ini menjentik kekhilafan undang-undang yang melindungi remaja-remaja ini dan menafikan hukuman yang berat hanya kerana mereka masih muda. Ini boleh dikaitkan juga dengan dunia realiti sekarang di mana gejala buli merebak di sekolah-sekolah dan dikalangan anak muda.
Audiens diberikan perspektif baru dalam melihat diri seorang pembunuh. Dari setiap babak ke babak adalah sebuah 'revelation' yang memaut erat emosi dan minda ke dalam filem ini. Tema yang digunakan juga merenggut pengalaman tontonan dengan sisi yang sangat gelap dan menyakitkan. Pengolahan cerita, emosi watak dan 'plot twist' yang dipertontonkan sangat cantik diterjemahkan.
Secara tak langsung, filem tentang pengakuan atau 'confessions' antara watak ini menjadi antara filem 'pembalasan dendam' yang terbaik pernah ditonton. Dan seperti yang diperkatakan tadi, ianya tidaklah menggunakan si pembalas dendam sebagai penggerak utama cerita. Tetapi sebagai seorang audiens, babak pembalasan dendam itu sangatlah puas ditonton!
Filem ini merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh Kanae Minato. Ianya sebuah filem yang wajib ditonton oleh penggemar filem, malahan semua manusia di muka bumi ini wajib menonton filem ini untuk mengubah sedikit perspektif kita tentang realiti.
"Nobody taught me that killing people was wrong. Where other kids got read picture books and fairy tales, my mom taught me Ohm's Law and Norton's theorum. She only ever talked about electronics."
Rating Peribadi: 4.5/5

#Confessions #HDABDHMD #HadyMovieReview 

Share:

Monday, June 22, 2020

A Whisker Away (2020) - Ulasan Filem



Jika dilihat pada tajuk anime ni, nampak comel je kan. Ianya macam 'Spirited Away' tapi versi kucing. Miyo atau sering dipanggil Muge oleh kawan-kawannya mendapat peluang untuk sekali sekala menjadi kucing sebaik menerima topeng kucing dari 'Penjual Topeng', yang merupakan sejenis kucing yang menjual topeng kucing kepada manusia yang ingin menjadi kucing dan juga topeng manusia kepada kucing yang ingin menjadi manusia.

Miyo menggunakan peluang ini untuk mendekati budak lelaki yang dicintainya dari sekolah, Hinode (takda kena mengena dengan Hinode Shop satu barang RM5). Miyo merupakan seorang gadis sekolah yang ceria, riang dan sentiasa kelihatan positif. Tetapi jauh dalam sudut hati Miyo mempunyai perasaan yang kelam terhadap keluarga dan keadaan sekelilingnya.

Anime ini boleh tahan menghiburkan, lebih-lebih lagi pada watak Miyo yang berjaya mengangkat keseluruhan jalan cerita anime ini. Cuma mungkin pengakhiran filem ini agak sedikit mengecewakan dengan memberikan sesuatu yang terlalu tipikal bagi sebuah filem romantis 'cinta remaja'. Tetapi masih banyak nilai-nilai yang boleh diambil selain dari 'kisah cinta remaja' yang dipaparkan. Rasanya jika diperhalusi lagi jalan cerita dan fokus utama plot, mungkin anime ini boleh menjadi lebih bagus.

Rating Peribadi: 3/5
Share: