Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Showing posts with label Netflix. Show all posts
Showing posts with label Netflix. Show all posts

Wednesday, September 22, 2021

Squid Game 2021 - Netflix Series KDrama Review

SQUID GAME - MUSIM PERTAMA (2021)

TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
PENGARAH: Hwang Dong-hyuk
LAKON LAYAR: Hwang Dong-hyuk
PELAKON: Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-joon, Jung Ho-yeon, Heo Sung-tae, Kim Joo-ryoung, Tripathi Anupam, Yoo Sung-joo, Lee Yoo-mi.
GENRE: Thriller, Drama
BAHASA: Korea (Korea Selatan)
DURASI: 32-63 minit setiap episod


Seong Gi-hun (Lee Jung-jae), seorang yang kuat berjudi dan mempunyai hutang yang banyak telah ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia untuk bermain sebuah permainan dengan tawaran sejumlah wang lumayan. Tetapi tanpa disedari Gi-hun, permainan tersebut merupakan permainan 'survival' yang disertai oleh 456 orang peserta lain. Mereka dikehendaki bermain permainan tradisional Korea dan nyawa mereka menjadi pertaruhan demi hadiah wang sebanyak 4.6 billion won.
Jika ada satu perkara yang boleh dipuji tentang siri ini, sudah tentulah penataan seninya dengan latarbelakang premis dan busana dari watak-watak yang penuh dengan bewarna-warni serta mempunyai konsep minimalis. Malahan elemen serta gaya yang ditunjukkan merupakan daya penarik utama untuk siri ini. Siri ini berjaya memberikan permainan-permainan tradisional yang nampak ringkas, tetapi dihiasi dengan set yang sangat gah.
Mesej yang cuba disampaikan dari siri ini tentang kelangsungan hidup sangat jelas apabila memberikan kontra antara dunia luar dan dunia di dalam permainan. Di sini ianya menggunakan watak-watak yang mempunyai masalah kewangan seperti Gi-hun, seorang yang cuba melarikan diri dari masalah dunia luar. Tapi motif sebegini juga ditemui dalam hampir kesemua watak tetapi diselaputi dengan matlamat yang berbeza. Contohnya watak Cho Sang-woo (Park Hae-soo) yang mempunyai perwatakan luaran yang berbeza dari Gi-hun, iaitu seperti seorang yang berjaya, tetapi tetap ada masalah yang sama dengan Gi-hun. Siri ini menggunakan psikologi untuk setiap watak pemain supaya melihat perbezaan antara dunia realiti dengan dunia permainan.
Ceritanya juga tidak hanya bergantung kepada permainan sahaja, malahan dengan hanya enam permainan yang diketengahkan, ianya hanya menjadi elemen sampingan yang menghiasi siri ini. Siri ini tidak dapat lari dari mengetengahkan emosi sekaligus meleretkan jalan cerita menjadi panjang demi untuk memfokuskan cerita pada setiap watak. Bagi aku perkara ini tiada masalah kerana sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit nafas baru kepada cerita berkonsepkan 'permainan maut' sebegini. Kita dapat melihat pelbagai perspektif dan tidak hanya pada watak pemain sahaja.
Cuma mungkin satu kelemahan yang menjadi kekuatan siri ini adalah kebarangkalian serta aspek kebetulan yang diwujudkan dalam siri ini hanya untuk menunjukkan sisi ironi sekaligus menimbulkan babak-babak penuh emosi dan mengejutkan. Ya, sudah tentu cerita sebegini akan dibekalkan dengan 'plot twist' untuk menambah selera penonton, tetapi ini bukan kekuatan siri ini. Bagi aku kekuatannya adalah pada 20 minit terakhir setiap episod yang mampu menimbulkan perasaan berdebar-debar di hati penonton.
Jika ingin dilihat pada aspek keganasan dalam siri ini, rasanya terdapat siri atau filem lain yang lebih ganas dan menggerunkan. Siri ini masih menunjukkan babak pembunuhan beramai-ramai, tetapi cara pembunuhan itu tidaklah sekreatif atau seganas mana pun. Berbalik pada apa yang aku katakan tadi, fokusnya bukan pada itu, tetapi pada pembangunan karakter serta kewujudan babak saspens setiap episod.
Perlu aku sebutkan juga disini bahawa pelakon Jung Ho-yeon yang membawakan watak wanita dari Korea Utara bernama Kang Sae-byeok merupakan antara watak yang aku gemari dalam siri ini. Siri ini merupakan debut untuk beliau dan persembahan yang diberikan sangat memberangsangkan. Sudah tentu nama Ho-yeon ini akan sentiasa diperhatikan untuk melihat projek akan datang darinya. Secara keseluruhannya, mungkin ramai yang akan berkata ada banyak lagi siri dan filem yang lebih bagus dari siri ini. Namun sebagai seorang penonton drama Korea yang tidak kasual seperti aku ini, dapat menghabiskan siri ini dalam masa satu hari telah membuktikan ianya sebuah siri yang menarik buat aku.
Link untuk menonton siri ini: https://www.netflix.com/title/81040344
Share:

Friday, January 29, 2021

FATE: A WINX SAGA - MUSIM PERTAMA (2021)



TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 6 Episod
CIPTAAN: Brian Young
PELAKON: Abigail Cowen, Hannah van der Westhuysen, Precious Mustapha, Eliot Salt, Elisha Applebaum, Danny Griffin, Sadie Soverall, Freddie Thorp
GENRE: Drama Remaja, Fantasi
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 47 - 53 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Bloom (Abigail Cowen) merupakan seorang pari-pari api, mendaftarkan diri ke Alfea College For Fairies, sebuah sekolah khas untuk pari-pari mempelajari dan mengembangkan kuasa mereka. Di situ, Bloom berkawan dengan Aisha (Precious Mustapha) pari-pari air, Musa (Elisha Applebaum) pari-pari minda, Terra (Eliot Salt) pari-pari tanah dan Stella (Hannah van der Westhuysen) pari-pari cahaya. Bloom juga ingin membongkar rahsia sejarah asal-usulnya yang cuba diselindungi oleh pengetua sekolah tersebut, Farah Dowling (Eve Best). Mereka juga bersama-sama cuba untuk menghadapi ancaman dari The Burned One yang disangkakan telah pupus sewaktu Bloom dilahirkan.
Siri TV ini merupakan adaptasi 'live action' animasi Winx Club yang terkenal. Adaptasi animasi kanak-kanak ke siri 'live action' remaja yang lebih gelap dan serius ini seakan sama seperti apa yang dilakukan Riverdale dan The Chilling Adventures of Sabrina. Mungkin ianya sebuah trend baru, walaupun ada juga beberapa rungutan dari peminat setia animasi ini.
Perkara paling ketara sekali perbezaan antara siri TV dan animasi Winx Club adalah kekurangan elemen 'magis' yang disampaikan. Keseluruhan tema dan konsep dalam siri TV ini terlalu 'generic' dan tiada bezanya dengan cerita cinta remaja yang sering dipaparkan. Dan pada episod awal juga lagi dah ada penjelasan kenapa pari-pari ini semua tiada sayap, tidak seperti animasi. Ini kononnya untuk terus memberitahu peminat, tak payah lah berharap siri tv ni akan sama macam animasi yang menjadi kenangan kanak-kanak kita.
Watak utama siri ini, Bloom juga disampaikan tidak berapa kuat dengan cerita yang dipaparkan. Ada ketikanya hubungan watak utama dengan watak-watak sampingan tidak kelihatan berhubung, tetapi tidak semena-mena mereka menjadi akrab pula. Naik turun hubungan antara mereka ini sedikit sebanyak menjenjaskan penceritaan. Tetapi konflik untuk menunjukkan siapa watak jahat dan siapa watak baik memberikan perasaan berbolak balik pada penonton untuk meneka objektif sebenar plot siri ini.
Tidak dilupa juga plot twist yang bertubi-tubi dihidangkan pada episod-episod terakhir, tetapi twist sebegini lebih kepada menjadi sebuah mekanism untuk menjadikan siri ini lebih menarik dan untuk mengelakkan penonton berasa bosan dengan kisah drama remaja yang telah banyak kali disuapkan kepada kita. Sekalipun begitu, siri ini tetap mampu menghiburkan penonton dan seperti yang diperkatakan tadi, sekurang-kurangnya plot twist yang dipaparkan itu mampu memberi fokus sebenar pada jalan cerita.
"So presumptuous. You must be a fairy."
RATING: 3.5/5
Share:

Tuesday, January 26, 2021

THE WHITE TIGER (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Ramin Bahrani
LAKON LAYAR: Ramin Bahrani
PELAKON: Adarsh Gourav, Rajkummar Rao, Priyanka Chopra
GENRE: Drama
BAHASA: Inggeris, Hindi
DURASI: 125 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Kemiskinan, penghambaan moden dan korupsi merupakan antara isu paling kritikal di dunia, dan negara mana lagi yang lebih sinonim dengan permasalahan ini dan sering diketengahkan dalam filem jika bukan negara India. Di dalam filem ini, kita dibawa menyelusuri kisah Balram Halwai (Adarsh Gourav), seorang pemuda miskin yang tinggal di Laxmangarh yang cuba untuk keluar dari 'reban ayam' yang memerangkap beliau sejak kecil.
Balram seorang yang celik akal, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk sambung belajar kerana terpaksa menyara keluarganya. Kemudian Balram mendapat peluang keemasan untuk menjadi pemandu tuan tanahnya, The Stork (Mahesh Manjrekar) dan anaknya Ashok (Rajkummar Rao). Satu insiden malang telah menyebabkan Balram tersentak dan sedar akan realiti sekalipun beliau sudah ke bandar dan mempunyai kerja yang stabil, tetapi beliau masih lagi berada dalam 'reban ayam' dan menunggu masa untuk 'disembelih'.
The White Tiger keluaran terbaru dari Netflix merupakan filem adaptasi dari novel karya Aravind Adiga dengan judul yang sama. Secara ringkasnya, filem ini lengkap dari sudut jalan cerita bagus, persembahan lakonan para teraju yang berbakat dan lakon layar yang menakjubkan. Untuk sebuah filem keluaran laman strim, ianya tidak disangkal lagi tetap mempunyai nilai sinematik yang tinggi.
Kita masuk perihal lakon layar, jika diikutkan ianya tiada beza dengan beberapa filem drama yang menggunakan konsep 'pencerita'. Tetapi konsep sebegini masih lagi berkesan kerana ianya mampu membawa penonton mengalami sendiri hikayat kisah Balram dari awal hingga akhir. Filem yang berdurasi dua jam ini melayari babak demi babak sehinggakan kita tidak tersedar masa sudah berlalu.
Tentang pelakon pula memang sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Lakonan Adarsh Gourav yang 'mentah' ini sangat sesuai melakonkan watak Balram Halwai, seorang pemuda yang sebenarnya bijak, tetapi terperangkap dalam mentaliti yang memerlukannya menyanjung tuan-tuannya seperti Tuhan. Watak ini jika diikutkan lebih nampak sisi realismnya, tetapi mungkin perubahan perwatakan pada bahagian akhir filem ini sedikit nampak terburu-buru. Gabungan Rajkummar Rao dan Priyanka Chopra juga menyerikan lagi jalan penceritaan filem. Kedua-dua pelakon ini mampu berhubung dengan watak Balram dengan baik.
Berbalik pula kepada isu yang cuba disampaikan, ianya lebih 'pahit' untuk ditelan oleh penonton. Contoh jika hendak dibandingkan dengan Slumdog Millionaire yang juga cuba menyampaikan isu yang sama, tetapi ianya lebih kepada bersifat eskapism dan fantasi permasalahan utama sahaja. The White Tiger juga sebenarnya menyajikan fantasi bagi golongan miskin di sana, tetapi kesan yang cuba dibawakan itu lebih mendalam lagi. Akhir sekali, jika ingin disentuh pula sedikit kekurangan dari filem ini, mungkin 'turning point' watak Balram itu sahaja agak lambat panas yang menyebabkan pengakhirannya terlalu cepat dan kurang memuaskan. Lain-lain, ianya sebuah filem original Netflix yang terbaik setakat ini.
"Rich men born with opportunity they can waste."
RATING: 4/5
Share:

TRIBHANGA: TEDHI MEDHI CRAZY (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Renuka Shahane
SKRIP: Renuka Shahane
PELAKON: Kajol, Tanvi Azmi, Mithila Palkar
GENRE: Drama
BAHASA: Hindi
DURASI: 95 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Milan (Kunaal Roy Kapur) menemu bual penulis terkenal, Nayantara "Nayan" Apte (Tanvi Azmi) untuk menghasilkan buku biografi kisah kehidupannya. Milan menyelusur sejarah kehidupan Nayan bersama anaknya, Anuradha "Anu" Apte (Kajol) yang penuh dengan konflik kekeluargaan. Nayan dan Anu mempunyai hubungan ibu dan anak perempuan yang dingin setelah Nayan bercerai dengan suaminya dan berkahwin dengan orang lain. Anu mula teringat kembali kisah silamnya bersama ibunya selepas Nayan jatuh koma. Dalam waktu yang sama, tersingkap juga kisah rahsia anak Anu, Masha (Mithila Palkar) yang juga mempunyai konflik dengan keluarga mertuanya.
Kajol menjadi tunjang utama filem ini dengan wataknya sebagai seorang penari professional yang mempunyai kehidupan yang terbuka. Tetapi tumpuan filem ini terletak pada Nayan yang cuba menjadi seorang ibu dan dalam waktu yang sama, bergelut dengan kariernya sebagai seorang penulis yang terkenal. Filem ini menunjukkan sisi seseorang yang disanjung oleh orang ramai, tetapi secara zahiriahnya mempunyai sebuah keluarga yang berantakan.
Menariknya lagi apabila filem ini menunjukkan kisah tiga orang wanita dari zaman yang berbeza iaitu Nayan, Anu dan Masha. Dan tema utama yang menjadi tulang belakang filem ini adalah sisi drama tentang pilihan dalam hidup dan karma kehidupan. Setiap apa yang Nayan lakukan sewaktu menjadi isteri dan ibu, mempunyai refleks terhadap masa depan Anu, dan begitu juga dengan apa yang Anu lakukan mempunyai refleks pada Masha.
Ianya cuba mengajar kita bahawa setiap orang mempunyai pilihan di dalam hidup. Dan setiap apa sahaja keputusan yang mereka pilih, akan mempunyai karma dan kesannya pada diri sendiri atau orang yang disayangi pada masa akan datang. Menyentuh soal lakonan, Kajol memberikan sebuah watak yang luar dari kebiasaan watak selalu dibawanya. Di dalam ini Kajol kelihatan sangat 'terbuka' dan melontarkan lakonannya sebaik dan 'sekasar' yang mungkin kepada penonton.
Kajol menjadi penggerak utama filem ini dan jalan cerita ini menjadi bertambah rancak dengan wujudnya hubungan antara watak Kajol dan watak-watak lain dalam filem ini. Ianya sebuah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan memberikan satu perspektif baru terhadap drama kekeluargaan filem-filem dari India. Walaupun durasinya agak pendek dan ada sesetengah subplot kelihatan sangat cepat hendak dihabiskan, ianya masih lagi sebuah filem dari Netflix yang menghiburkan.
"Nobody imposed their choices on us."
RATING: 4/5
Share:

Thursday, January 14, 2021

PIECES OF A WOMAN (2021)

 


TAHUN: 2021
PENGARAH: Kornél Mundruczó
LAKON LAYAR: Kata Wéber
PELAKON: Vanessa Kirby, Shia LaBeouf, Ellen Burstyn, Molly Parker, Sarah Snook.
GENRE: Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 128 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pengalaman bersalin merupakan satu pengalaman paling istimewa untuk setiap ibu. Ada ibu yang memilih untuk bersalin di rumah kerana ianya dirasakan lebih mempunyai nilai sentimental yang mendalam. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Matha Weiss (Vanessa Kirby) dan Sean Carson (Shia LaBeouf), sepasang suami isteri yang sedang menanti kelahiran anak mereka yang pertama. Mereka memutuskan untuk bersalin di rumah, tetapi bidan mereka, Barbara tidak dapat datang kerana sibuk dengan urusan lain, lalu diganti dengan bidan lain bernama Eva. Perkara tidak diingin terjadi yang akhirnya mengakibatkan konflik rumahtangga antara Martha dan Sean serta kemelut mereka dengan keluarga Martha.
Isu yang disampaikan tentang 'postpartum' seorang ibu lebih-lebih lagi dalam mengharungi trauma yang sangat dahsyat merupakan sebuah isu yang jarang disentuh dalam sesebuah filem. Tetapi untuk filem kali ini ianya ditunjukkan melalui watak Martha lakonan Vanessa Kirby di mana lakonannya itu telah memberikan satu perspektif baru tentang masalah kemurungan ibu yang baru bersalin. Hampir keseluruhan jalan cerita ini menunjukkan perjalanan Martha dalam mengharungi dan menghadapi trauma yang dialaminya itu.
Filem ini juga banyak menggunakan teknik 'one continuous shot' dan paling utama digunakan pada babak Martha ingin bersalin. Pada awal lagi babak ini telah ditunjukkan dan memberi satu pengalaman kepada penonton untuk menyaksikan sendiri betapa peritnya pengalaman bersalin ini, tetapi pengalaman perit ini bertukar menjadi sebuah kenangan manis selepas anak dilahirkan. Dalam babak ini ditunjukkan dengan cukup saspens dan walaupun hanya babak bersalin, tetapi suasana yang ditunjukkan babak ini seakan sebuah babak seram yang sering kita tonton dalam filem-filem ngeri yang lain.
Shia Labeouf dan Ellen Burstyn yang melakonkan watak suami dan ibu kepada Martha juga memberikan satu watak yang mempunyai sisi berbeza dan tidak seperti yang pernah ditonjolkan sebelum ini. Begitu juga Vanessa Kirby berjaya membawa penonton ke sebuah dunia penuh emosional yang berbeza dalam menjayakan watak yang mengharungi tempoh postpartum menyedihkan. Lakonan ketiga-tiga pelakon ini wajib diberikan penghargaan kerana berjaya memberikan reaksi dan emosi berbeza kepada audiens yang menonton. Watak-watak yang dibawakan ini memberikan satu sisi 'kelabu' yang sebenarnya lebih dekat dengan dunia realiti.
Ya, filem ini mempunyai aliran cerita yang sangat perlahan. Perkataan yang tepat untuk keseluruhan mood cerita ini adalah 'muram'. Walaubagaimanapun ianya mampu lagi menarik perhatian kerana banyak menggunakan perlambangan seperti buah epal dan pembinaan jambatan untuk dijadikan sebagai penggerak cerita utama. Filem ini tidak sesuai ditonton seisi keluarga kerana terdapat babak-babak yang tidak ditapis. Untuk penonton dewasa, ianya mampu memberi satu pengalaman atau perspektif baru tentang dunia postpartum.
"That's what I'm asking you to do now. Lift your head and fight for yourself, for God's sakes!"
RATING: 4/5
Share:

COBRA KAI - MUSIM KETIGA


TAHUN: 2021

JUMLAH MUSIM: 3
JUMLAH EPISOD: 10 per musim
CIPTAAN: Josh Heald, Jon Hurwitz, Hayden Schlossberg
PELAKON: William Zabka, Ralph Machio, Courtney Henggeler, Xolo Maridueña, Tanner Buchanan, Mary Mouser
GENRE: Komedi, Aksi, Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 22 - 40 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Siri TV Cobra Kai kembali dengan musim ketiga selepas pengakhiran tergantung pada musim kedua yang sungguh mendebarkan. Pada musim sebelum ini kita diberikan pengakhiran di mana Robby Keene (Tanner Buchanan) secara tidak sengaja telah mengakibatkan Miguel Diaz (Xolo Maridueña) cedera teruk kesan dari pergaduhan karate besar-besaran di sekolah mereka.
Untuk musim ketiga ini, fokus lebih kepada Johnny Lawrence (William Zabka) yang cuba menebus kesalahannya dengan menolong Miguel berjuang dan konfliknya terhadap sensei lamanya, John Kreese (Martin Kove) yang telah merampas Cobra Kai darinya. Fokus juga tertumpu pada watak Daniel LaRusso yang cuba menjernihkan kembali nama Miyagi-Do dan syarikatnya yang tercemar akibat insiden karate di sekolah anaknya, Samantha LaRusso (Mary Mouser). Johnny dan Daniel juga masih lagi berseteru tetapi kini mereka tahu ancaman sebenar adalah bila Cobra Kai kendalian Kreese mula merekrut pembuli-pembuli dan menjadi masalah besar di San Fernando Valley.
Jujurnya boleh dikatakan Cobra Kai musim ketiga ini telah berjaya meneruskan momentum yang terdapat dari musim pertama dan kedua. Malahan musim ketiga ini telah menjadi batu asas untuk penonton tidak sabar menantikan musim yang keempat. Timbul perasaan tidak puas kerana sepuluh episod untuk musim ketiga ini tidak cukup untuk memenuhi kehendak penonton. Walaupun jalan ceritanya semakin lama menjadi semakin serius, tetapi ianya masih lagi mengekalkan humor yang mewujudkan suasana segar sepanjang siri. Malahan aksi karate yang ditunjukkan juga lebih banyak berbanding sebelum ini.
Ianya juga seakan sebuah drama percintaan remaja sekolah menengah, tetapi kehadiran aksi karate di setiap episod menjadikan siri ini sebuah siri yang lain dari yang lain. Peminat siri filem The Karate Kid juga akan suka menonton siri ini kerana ianya banyak mengimbau kembali babak-babak dalam filem-filem sebelum ini. Musim ini juga mengembalikan watak-watak ikonik dari filem-filem klasik tersebut sekaligus menimbulkan perasaan nostalgik kepada peminat setia siri The Karate Kid.
Apa yang menariknya lagi tentang siri ini adalah konflik hubungan antara watak-watak. Perhubungan antara Johnny dan Daniel serta anak-anak murid mereka iaitu Robby, Miguel, Samantha, Hawk dan Demetri. Kisah antara mereka ini sentiasa bertukar-tukar sifat dan bertukar-tukar dari sisi baik dan jahat. Tetapi kebanyakkan karakter dalam siri ini adalah 'grey character' yang mempunyai kisah silam yang sedih tetapi memilih sisi gelap bagi melunaskan sifat kebencian dalam diri. Kalau diperhatikan ianya seakan sebuah drama opera sabun, tetapi dengan karate! Pujian harus diberikan pada pelakon-pelakon yang berjaya membawa watak mereka dengan cukup berkesan, terutama sekali watak Tory Nichols yang dilakonkan oleh Peyton List yang memberikan sebuah watak antagonis yang mempunyai latarbelakang yang mendalam.
Pujian juga kepada barisan penulis siri ini yang mampu memberikan sebuah siri yang nostalgik tetapi masih mempunyai sebuah jalan cerita yang menjamin kepuasan menonton. Bagi yang belum menonton siri ini, amatlah digalakkan menonton, dan jika anda bukan penonton siri filem The Karate Kid, boleh sahaja tonton siri ini, mungkin lepas menonton anda akan mencari pula siri filem tersebut.
"In life, we always lose our way. But it is people, not the signs, that guide us back to the right path."
RATING: 4.5/5
Share:

We Can Be Heroes (2020) - Ulasan Filem


Bumi dilindungi oleh sekumpulan superhero yang diselia oleh organisasi Heroic. Sehinggalah bila superhero-superhero tumpas di tangan makhluk asing yang ingin menakluk bumi. Tugasan menyelamatkan superhero-superhero itu terletak di tangan anak-anak mereka yang juga mempunyai kuasa luar biasa, tetapi mereka hanyalah kanak-kanak kecil. Dengan pimpinan Missy Moreno (Yaya Gosselin), mereka bersama-sama merancang untuk menumpaskan makhluk asing tersebut.

Filem ini merupakan filem 'stand-alone sequel' kepada filem The Adventure of Sharkboy and Lavagirl. Perkara yang paling menarik perhatian ketika promo filem ini adalah kelibat Sharkboy (JJ Dashnaw) dan Lavagirl (Taylor Dooley) yang sudah pun dewasa selepas filem pertama mereka. Tetapi watak mereka hanya mempunyai waktu skrin yang sekejap sahaja dan watak-watak superhero kanak-kanak merupakan tumpuan utama untuk filem ini.
Sebenarnya aku tahu filem ini merupakan sebuah filem untuk kanak-kanak dengan tahap hiburan yang ringan. Malahan aku juga meletakkan jangkaan untuk berasa jengkel dengan 'cringe level' yang diterapkan dalam filem ini seperti filem-filem Robert Rodriguez yang lain sebelum ini. Tetapi mengejutkan juga kerana filem ini mampu menambat perhatian aku untuk terus menonton tanpa sebarang ngomelan dan rungutan sepanjang filem. Jalan cerita yang disampaikan walaupun biasa-biasa sahaja, tetapi masih lagi mampu menarik perhatian.
Perkara utama yang paling aku suka adalah kombinasi dan 'chemistry' antara watak-watak superhero kanak-kanak ini. Pelakon-pelakon cilik ini mampu mewujudkan babak-babak yang menghiburkan dan sekaligus menimbulkan juga gelak tawa. Pedro Pascal juga tidak menunjukkan sangat sisi komedinya dalam filem ini, malahan masih lagi kelihatan 'cool'. Berbeza dengan Priyanka Chopra yang cuba mewujudkan karakteristik komikal untuk menyesuaikan wataknya dengan persekitaran tema filem.
Filem ini mungkin mampu menjadi filem kegemaran anak-anak kita dan semestinya watak-watak yang disampaikan mampu memberikan sebuah mesej yang berguna juga pada anak-anak. Ianya sebuah filem yang sangat seronok untuk ditonton oleh seisi keluarga, dan ternyata Robert Rodriguez sudah menjadi otai dalam menghasilkan filem fiksyen sains kanak-kanak.
"Alone our powers are special but together, we are unstoppable."
Sumber tontonan: Netflix
Rating: 3/5
Share:

Criminal: UK - Musim 1 & 2 (2019 & 2020) - Ulasan Siri TV



Siri ini merupakan siri antologi yang memaparkan prosedur interogasi antara pihak polis UK dengan pihak tertuduh. Premisnya sangat mudah sekali dengan berlokasikan bilik interogasi sahaja. Dengan mengekalkan pelakon-pelakon watak polis yang sama untuk hampir setiap episod, siri ini juga menggunakan pelakon-pelakon ternama untuk watak-watak tertuduh seperti David Tenant, Hayley Atwell, Kit Harrington dan Kunal Nayyar.

Siri Criminal dari Netflix ini mempunyai banyak versi lain iaitu Criminal: Spain, Criminal: France dan Criminal: Germany. Tapi aku baru berkesempatan menonton Criminal: UK sahaja yang kini sudah memasuki musim kedua dengan 4 episod keseluruhan. Untuk musim pertama ianya mempunayi 3 episod dan setiap episod siri ini berdurasi sepanjang hampir 50 minit.
Jujur cakap, siri ini banyak berbual. Jangan harap nak ada babak aksi kerana ianya hanya berbekalkan drama interogasi antara polis dan tertuduh sahaja. Tapi apa yang menariknya, kita dapat melihat bagaimana polis-polis ini menggunakan teknik psikologi yang mendebarkan dari awal hingga ke akhir episod. Penceritaan yang dipaparkan hanyalah dari dialog-dialog sahaja tanpa ada babak imbas kembali. Penonton perlu menggunakan imaginasi mereka untuk mencipta sendiri gambaran jenayah-jenayah yang berlaku. Apa yang menariknya lagi, penonton diberikan debaran dan perlu merungkai misteri adakah benar yang tertuduh itu bersalah atau tidak.
Mungkin ramai yang akan anggap siri ini membosankan, malahan aku tak nafikan ada yang akan tertidur bila menghadap babak interogasi dalam ni. Apa pun, premisnya walaupun mudah tetapi membuka satu persepsi dan ruang cerita yang baru dalam sebuah drama kepolisan. Hanya dengan 50 minit setiap episod, perspektif kita tentang tertuduh boleh berubah dengan cepat.
Rating Hady: 4/5
Share:

The Crown Musim-4 (2020) - Ulasan Siri TV



Seperti yang sudah diketahui, siri tv ini membawa kisah keluarga di-Raja British ketika zaman pemerintahan Queen Elizabeth II. Untuk musim keempat ini, siri memfokuskan pula pada tahun 1977 - 1990 yang membabitkan kisah-kisah dari watak Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita United Kingdom yang pertama dan kisah Princess Diana dan Prince Charles yang sememangnya antara kisah paling kontroversi untuk keluarga Queen Elizabeth.

Kisah Princess Diana ini tidak perlu disangkal lagi sebagai sebuah skandal terbesar yang paling diingati ramai. Perkahwinannya dengan Prince Charles mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia. Untuk siri ini, pelakon Emma Corrin yang membawa watak Princess Diana berjaya menghidupkan watak ini dan sedikit sebanyak mewujudkan perasaan seram sejuk kerana riak dan wajahnya yang hampir serupa dengan Princess Diana. Josh O'connor pula yang telah membawa watak Prince Charles sejak musim ketiga lagi mewujudkan perwatakan berbeza untuk musim keempat ini. Jika di musim ketiga penonton akan rasa sedikit bersimpati dengan watak Charles ini, tetapi berbeza untuk musim terbaru ini apabila Charles menunjukkan sisi gelapnya selepas berkahwin dengan Diana. Kisah Diana dan Charles ini tidak terus tamat di musim ini, ianya akan bersambung ke musim kelima dimana pelakon Elizabeth Debicki pula yang akan menggantikan Emma Corrin untuk membawa watak Diana yang lebih dewasa.
Pujian aku berikan kepada Gillian Anderson yang berjaya membawa watak Margaret Thatcher dengan cukup baik. Gillian berjaya mengubah wajah, bahasa badan dan vokalnya untuk cuba menterjemahkan watak 'Iron Lady' ini ke kaca tv dengan sebaik mungkin. Dinamik watak ini lebih dirasai setiap kali berkongsi babak dengan watak Queen Elizabeth lakonan Olivia Colman. Kedua-dua wanita ini berjaya mengangkat watak mereka dan menjadikan musim ini antara musim paling menarik untuk siri tv The Crown.
Penulis dan pencipta siri ini, Peter Morgan memang terkenal dengan karya-karya beliau yang menjurus ke arah sejarah keluarga di-Raja Britain dan kisah-kisah politik Britain. Antara karya dari beliau sebelum ini adalah The Queen, The Deal, The Special Relationship, The Other Boleyn Girl dan kini beliau dapat meluaskan lagi sejarah dan kisah keluarga Queen Elizabeth ini dengan lebih panjang dalam The Crown. Apa yang menariknya untuk siri The Crown ini adalah ianya tidak hanya fokus pada satu jalan cerita sahaja. Peter Morgan bijak menggunakan kisah-kisah benar yang besar pernah berlaku satu ketika dahulu dan berjaya mengadaptasinya dengan cukup baik.
Mungkin ada yang berasa bosan dengan cerita berbentuk sejarah sebegini, tetapi bezanya siri The Crown ini adalah ianya memasukkan juga elemen ala 'soap opera' yang menyaksikan konflik-konflik kekeluargaan dan yang menariknya, ianya dari kisah benar. Memang ramai tahu keluarga di-Raja British ini memang penuh dengan drama, dan terima kasih kepada Peter Morgan yang berjaya menterjemahkan drama keluarga Windsor ini ke kaca tv dengan berjaya.
"Your marriage, all our marriages, are a reflection on the integrity of the Crown."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share: