Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Monday, November 9, 2020

Hubie Halloween (2020) - Ulasan Filem



Nampaknya Netflix memang gemar betul dengan Adam Sandler. Selepas filem The Ridiculous 6, The Do Over, Sandy Wexler, The Week Of, The Meyerowitz Stories dan Murder Mystery, kini muncul pula filem terbaru gabungan beliau bersama Netflix, Hubie Halloween. Sebuah filem komedi yang mempunya elemen serta rencah yang sama seperti filem-filem komedi dari Adam Sandler.

Hubie merupakan seorang lelaki berpewatakan pelik sering menjadi mangsa buli penduduk Salem. Tetapi Hubie menunjukkan tauladan yang baik dengan tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang berkelakuan kasar dengannya. Di malam Halloween, mengisi masanya dengan mengawal pekan Salem dari perkara tidak sepatutnya. Tetapi malangnya pada malam ini berlaku pelbagai kejadian aneh yang memaksa Hubie merungkai misteri yang berlaku.
Tonton sajalah filem ini kalau memang dah peminat Adam Sandler. Rasanya 'expectation' kita pun sudah ditetapkan pada tahap tertentu bila membabitkan filem-filem komedi dari beliau. Formula sama yang digunakan Adam Sandler, beliau mengambil elemen komedi dengan memasukkan watak-watak 'cringe', selitkan jenaka-jenaka 'slapstik', Steve Buschemi/Kevin James/Rob Schneider mesti ada, heroin yang cantik, serta seorang pelakon serious; campurkan semua elemen-elemen ini dalam 'blender' dan kisar, maka terjadilah filem komedi Adam Sandler.
Tetapi, filem ini bagi aku bukanlah filem komedi paling teruk dari Adam Sandler, yang tu tetap jatuh pada Jack and Jill dan duologi Grown Ups. Masih ada mesej-mesej penting yang ingin diberikan lebih-lebih lagi tentang gejala buli yang sering berlaku. Watak Hubie ditunjukkan sebagai seorang yang mulia kerana tidak langsung menyimpan dendam terhadap pembuli-pembulinya.
Rasanya itu sajalah kot apa yang boleh diulaskan tentang filem ini. Ianya sebuah komedi yang boleh ditonton jika kita tiada apa-apa untuk ditonton. Ada juga beberapa babak yang masih mampu membuat kita ketawa keterujaan. Selain dari itu, tiada apa yang istimewa.
“You’re always thinking of everyone else, never thinking of yourself. But I guess that’s why you’re a hero.”
Rating Peribadi: 2/5
Share:

Judy (2019) - Ulasan Filem



Renée Zellweger membawakan watak sebagai bintang lagenda Hollywood, Judy Garland pada umur 40-an di dalam filem ini. Ianya membawa kisah ketika zaman tahun terakhir dalam hayat Judy ketika beliau sedang membuat konsert di London. Persembahannya di sana semakin hari semakin merosot akibat masalah kesihatan. Diselitkan juga babak-babak imbas kembali ketika Judy masih remaja dan ketika beliau terlibat dalam penggambaran filem Wizard of Oz sebagai watak ikonik, Dorothy Gale.

Ianya bukan sebuah biopik yang kebiasaannya mengisahkan perjalanan kehidupan seorang bintang lagenda dari awal kehidupan hingga kepengakhiran. Tetapi skop biografi Judy ini diperkecilkan supaya ianya fokus untuk menceritakan kisah Judy di penghujung kariernya. Sebenarnya bagus sebah penceritaannya lebih fokus dan tidak berkecamuk dengan kisah-kisah hidup yang lain. Tetapi plot penceritaannya tidak begitu berkembang dengan baik dan terasa sedikit kosong di antara babak-babak.
Satu-satunya perkara yang terbaik dalam filem ini adala Renée yang mampu menghidupkan kembali persona bintang lagenda ini dan memberikan satu persembahan lakonan yang menakjubkan. Memang tidak disangkal lagi kelayakan beliau memperoleh anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards ke-92. Dengan hanya menggunakan karisma dan aura darinya telah berjaya mengangkat keseluruhan filem dan menjadi antara pelakon yang berjaya membawa watak biopik dengan tersebut dengan cemerlang.
Penceritaan dalam filem ini juga lebih fokus pada sisi negatif yang dialami Judy sejak dari zaman muda dalam mengejar status 'bintang Hollywood'. Bagaimana masa silam sering menghantui masa hadapan dan membuatkan Judy berasa trauma setiap kali ingin melakukan persembahan. Filem ini juga membuka mata audiens tentang sisi gelap dalam dunia penuh 'glamorous' seorang bintang besar.
Pengakhiran babak dalam filem ini juga agak menyentuh hati walaupun filem ini tidak bermain dengan babak 'penghujung hayat bintang' seperti kebiasaan filem biopik lain. Ada banyak perkara yang filem ini persembahkan untuk memberi kelainan. Tetapi secara keseluruhannya, filem ini tidak begitu cukup menghiburkan dan bernasib baik kerana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak Judy mampu menarik minat sepanjang penontonan.
" I just want what everybody wants. I just seem to have a harder time getting it."
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Gundala (2019) - Ulasan Filem



Filem adiwira dari Indonesia ini membawa kisah Sancaka (Abimana Aryasatya), kehilangan ayahnya akibat rusuhan menentang penindasan majikan di kilang. Ibunya pula meninggalkannya untuk mencari pekerjaan dan memaksa Sancaka untuk hidup sendiri. Beliau berjumpa dengan Awang dan mempelajari ilmu bela diri untuk terus hidup di gelandangan. Setelah dewasa, Sancaka dan kawan-kawannya ingin melawan penindasan dan kekejaman yang dilakukan Pengkor (Bront Palarae) sehingga menyebabkan huru-hara di seluruh negara. Sancaka yang memperoleh kuasa kilat berubah menjadi adiwira untuk menyelamatkan rakyat.

Filem ini merupakan filem pertama untuk BumiLangit Universe sekaligus menjadi batu loncatan untuk filem-filem susulan dalam francais ini. Perihal ini sedikit membuatkan filem ini tidak mampu berdiri dengan sendirinya kerana terlalu banyak persoalan yang tidak dirungkai. Persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan lagi dalam filem-filem akan datang. Walaupun ianya sedikit berjaya sebagai filem permulaan 'universe superhero', tetapi sebagai filem 'standalone', filem ini agak mengecewakan.
Banyak perkara yang membuatkan babak-babak yang ditunjukkan agak anti-klimaks. Jujur cakap, premisnya sangat menarik. Cara pengarah menggunakan visual dan sekuens memang menjadikan filem ini sebuah filem 'superhero' dari Indonesia yang matang. Penggunaan dialog serta lakonan-lakonan dari pelakon yang penuh dinamik turut memberi suatu aura menakjubkan. Tetapi sayangnya penceritaan filem ini agak 'separuh hati'.
Jika kita melihat filem ini sebagai sebuah permulaan 'universe superhero', kita akan teruja dengan babak-babak yang menimbulkan 'kejutan'. Isu yang cuba dibawakan dalam filem ini juga sesuatu yang menarik walaupun tidak logik, tetapi itulah formula untuk membikin filem 'superhero'.
Penonton akan menanti filem-filem akan datang dari BumiLangit Universe ini kerana filem Gundala ini berjaya menimbulkan rasa teruja untuk kita menanti apa lagi yang akan dihidangkan akan datang. Biarlah ianya menjadi kambing hitam asalkan batu asas untuk mencipta sebuah 'francais' dan 'universe' telah pun terletak di tempatnya.
"Kalau kita diam saja melihat ketidakadilan di depan kita, maka kita bukan manusia lagi"
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Aruna Dan Lidahnya (2018) - Ulasan Filem


Filem ini menggabungkan kembali Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, tetapi kali ini bukan sebagai pasangan kekasih, tetapi sebagai kawan baik. Aruna (Dian) merupakan seorang epidemiologis dan 'kaki makan', ditugaskan untuk menyiasat sejenis wabak yang dikatakan seakan wabak selsema burung bersama agensi kerajaan, PWP2. Bermula dengan penyiasatannya ke Surabaya, Aruna turut membawa kawan baiknya Bono (Nicholas) yang merupakan seorang chef profesional yang ingin mengkaji makanan tradisi Indonesia. Mereka juga ditemani Nadezhda (Hannah Al Rashid), seorang pengkritik kulinari yang ingin menulis buku tentang makanan Indonesia.

Di Surabaya, Aruna bertemu dengan bekas rakan sekerjanya, Farish (Oka Antara) yang kini bekerja dengan PWP2. Sepanjang penyiasatan dan aktiviti 'jalan-jalan cari makan', Aruna merungkai serba sedikit misteri di sebalik penularan wabak tersebut. Manakala Bono dan Nadezhda menikmati juadah-juadah di sepanjang perjalanan dan konflik percintaan mula wujud antara mereka berempat.
Sepanjang filem ini kita akan dihidangkan dengan pelbagai juadah dari Indonesia yang mampu membuatkan kita terliur. Menonton filem ini ibarat menonton sebuah dokumentari tentang kulinari Indonesia yang kaya dengan makanan-makanan yang menyelerakan. Jadi kalau boleh janganlah ditonton ketika kita sedang kelaparan.
Bercerita sedikit berkenaan plot filem ini, secara keseluruhannya ianya berjalan dengan cukup lancar dan cukup santai. Subjek tentang wabak dan panik jarang-jarang disentuh dan sangat unik apabila subjek ini diulitkan pula dengan tema kulinari yang disampaikan. Dan hubungan antara Farish dan Aruna yang pada awalnya kelihatan sangat tidak serasi antara satu sama lain, dileraikan dengan perkembangan watak dari pertengahan filem hingga kepengakhiran.
Keseluruhan pelakon-pelakon menjayakan watak mereka dengan cukup bersahaja. Komedi yang dibawakan juga kesampaian walaupun tidaklah keterlaluan. Ada juga diselitkan dengan beberapa simbolism dari watak Aruna yang memberi bayangan tentang plot penceritaan. Disertakan pula dengan visual-visual yang memukau menjadikan filem ini sebuah filem yang berkualiti tinggi untuk tontonan umum. Senang cerita, menonton filem ini seakan bukan menonton, tapi merasai sendiri pengalaman dari empat orang watak ini. Sebuah filem yang menyelerakan dan cukup rasa. Filem ini boleh ditonton di Netflix.
“Hidup itu kayak makanan, dalam satu piring ini ni, lo bisa ngerasain yang pahit sepahit-pahitnya, apa asin seasin-asinnya, kalo lo makannya sendiri-sendiri”
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Emily In Paris (2020-) - Ulasan Siri TV


Emily, seorang pakar media sosial strategis yang optimis dan penuh bersemangat dipindahkan ke Paris untuk membantu sebuah firma pemasaran dari perspektif Amerika. Akibat dari pertembungan budaya Amerika dan Perancis, Emily bertemu kesukaran dalam tugasnya itu. Dalam waktu yang sama, Emily berkawan dengan Gabriel, jirannya dan beliau mula menaruh hati. Tetapi Gabriel telah pun mempunyai kekasih hati, Camille yang secara kebetulan adalah kawan baru Emily di Paris. Sepanjang siri menunjukkan bagaimana Emily menyesuaikan diri di Paris dengan masalah yang terpaksa dihadapinya dengan majikannya, Sylvie.

Siri tv ini tak lain tak bukan merupakan sebuah 'chick flick' yang bermain dengan tema fesyen di Paris dengan busana-busana menarik yang diperagakan oleh pelakon-pelakon. Ditambah pula dengan lakonan bersahaja dari Lily Collins yang bagi aku sangat-sangat berjaya menarik perhatian. Lily membawa watak Emily yang sentiasa tersenyum dan optimis dan membuatkan penonton mendapat semangat yang positif dari watak tersebut.
Konflik yang ditonjolkan pula tidaklah terlalu banyak, tetapi setiap masalah yang dihadapi Emily di tempat kerja membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana akan diselesaikannya. Begitu juga dengan konflik percintaan tiga segi antara Emily-Gabriel-Camille, ditunjukkan dengan cukup santai dan tidak terlalu mencuba untuk menunjukkan yang Emily ini terdesak untuk menagih cinta Gabriel.
Antara watak lain yang positif ditunjukkan dalam ini adalah watak Mindy dan Camille sebagai kawan rapat Emily. Mindy diwujudkan untuk memberi perspektif komikal dalam siri ini. Manakala Camille membawa watak yang sentiasa memberi aura positif setiap kali beliau muncul dalam setiap babak. Mungkin satu watak yang sedikit negatif dalam siri ini adalah watak majikan Emily, Sylvie yang tidak senang dengan kehadiran Emily dalam syarikatnya.
Walaupun mempunyai jalan cerita yang ringkas, siri tv ini cukup menghiburkan dan mampu membuatkan aku melekat di depan tv untuk menantikan setiap episod. Tetapi siri ini tidak sesuai ditonton seisi keluarga kerana mempunyai babak-babak dewasa walaupun tidak terlalu melampau. Mungkin kalau nak perjelaskan sedikit tentang siri ni, ianya ada sedikit 'vibe' Sex In The City.
"It's Paris, everyone's serious about dinner."
Rating Peribadi: 3.5/5
Share: