Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, January 14, 2021

The Other Boleyn Girl (2008) - Ulasan Filem



Filem ini membawa latar belakang England pada kurun ke-15 ketika pemerintahan King Henry VIII (Eric Bana). Permaisuri England, Catherine of Aragon yang hanya mempunyai seorang anak perempuan, gagal untuk mendapatkan pewaris takhta seorang lelaki. Thomas Howard (David Morissey) mencadangkan kepada abang iparnya, Thomas Boleyn (Mark Rylance) supaya mengarahkan anaknya Anne Boleyn (Natalie Portman) menjadi gundik raja England dengan harapan supaya mendapat waris takhta lelaki dari keluarga Boleyn yang mampu memberikan kemewahan. Perkara menjadi sulit apabila King Henry jatuh hati pula dengan Mary Boleyn (Scarlett Johansson) yang telah berkahwin dengan William Carey (Benedict Cumberbatch)

Filem ini menunjukkan betapa kacau bilaunya hubungan kekeluargaan baik dalam keluarga Boleyn atau kelurga raja England yang berpaksikan atas konflik pewaris takhta. Watak Anne Boleyn pula menunjukkan tentang bagaimana seorang wanita boleh memanipulasi perasaan seorang raja sehingga sanggup mengubah sejarah negaranya buat selamanya.
Lakonan-lakonan di dalam filem ini memang hebat-hebat belaka terutamanya pada watak Anne Boleyn lakonan Natalie Portman. Natalie berjaya membawa watak ini dengan cukup cemerlang dan mampu berevolusi dalam perwatakan untuk tsekelip mata. Scarlett Johansson juga harus dipuji kerana membawa watak Mary Boleyn yang lemah lembut dengan berjaya.
Walaupun filem ini merupakan sebuah filem 'period' atau sejarah, tetapi teras utama filem ini lebih ke arah 'soap opera' atau drama kekeluargaan dan politik yang sulit. Ianya mengangkat kisah hitam yang berlaku pada zaman feudal England satu ketika dulu dan dari sini juga lah kita merungkai tentang beberapa peristiwa penting dalam sejarah England, contohnya terciptanya Church of England selepas England keluar dari Catolic Church dan bagaimana susur galur keluarga Tudors dan Boleyn ini membawa kepada lahirnya Queen Elizabeth I.
Ianya bukanlah filem sejarah yang membosankan walaupun ada yang mempersoalkan beberapa ketepatan sejarah yang terdapat dalam filem ini. Tetapi untuk sebuah filem yang penuh dengan konflik dan drama, ianya mampu memberikan sejenis intensiti yang mendalam kepada audiens.
“A man's love is worthless. Our mother's loved, look where it got her, a feeble husband. Love is of no value without power and position.”
Rating Hady: 4/5
Share:

The Crown Musim-4 (2020) - Ulasan Siri TV



Seperti yang sudah diketahui, siri tv ini membawa kisah keluarga di-Raja British ketika zaman pemerintahan Queen Elizabeth II. Untuk musim keempat ini, siri memfokuskan pula pada tahun 1977 - 1990 yang membabitkan kisah-kisah dari watak Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita United Kingdom yang pertama dan kisah Princess Diana dan Prince Charles yang sememangnya antara kisah paling kontroversi untuk keluarga Queen Elizabeth.

Kisah Princess Diana ini tidak perlu disangkal lagi sebagai sebuah skandal terbesar yang paling diingati ramai. Perkahwinannya dengan Prince Charles mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia. Untuk siri ini, pelakon Emma Corrin yang membawa watak Princess Diana berjaya menghidupkan watak ini dan sedikit sebanyak mewujudkan perasaan seram sejuk kerana riak dan wajahnya yang hampir serupa dengan Princess Diana. Josh O'connor pula yang telah membawa watak Prince Charles sejak musim ketiga lagi mewujudkan perwatakan berbeza untuk musim keempat ini. Jika di musim ketiga penonton akan rasa sedikit bersimpati dengan watak Charles ini, tetapi berbeza untuk musim terbaru ini apabila Charles menunjukkan sisi gelapnya selepas berkahwin dengan Diana. Kisah Diana dan Charles ini tidak terus tamat di musim ini, ianya akan bersambung ke musim kelima dimana pelakon Elizabeth Debicki pula yang akan menggantikan Emma Corrin untuk membawa watak Diana yang lebih dewasa.
Pujian aku berikan kepada Gillian Anderson yang berjaya membawa watak Margaret Thatcher dengan cukup baik. Gillian berjaya mengubah wajah, bahasa badan dan vokalnya untuk cuba menterjemahkan watak 'Iron Lady' ini ke kaca tv dengan sebaik mungkin. Dinamik watak ini lebih dirasai setiap kali berkongsi babak dengan watak Queen Elizabeth lakonan Olivia Colman. Kedua-dua wanita ini berjaya mengangkat watak mereka dan menjadikan musim ini antara musim paling menarik untuk siri tv The Crown.
Penulis dan pencipta siri ini, Peter Morgan memang terkenal dengan karya-karya beliau yang menjurus ke arah sejarah keluarga di-Raja Britain dan kisah-kisah politik Britain. Antara karya dari beliau sebelum ini adalah The Queen, The Deal, The Special Relationship, The Other Boleyn Girl dan kini beliau dapat meluaskan lagi sejarah dan kisah keluarga Queen Elizabeth ini dengan lebih panjang dalam The Crown. Apa yang menariknya untuk siri The Crown ini adalah ianya tidak hanya fokus pada satu jalan cerita sahaja. Peter Morgan bijak menggunakan kisah-kisah benar yang besar pernah berlaku satu ketika dahulu dan berjaya mengadaptasinya dengan cukup baik.
Mungkin ada yang berasa bosan dengan cerita berbentuk sejarah sebegini, tetapi bezanya siri The Crown ini adalah ianya memasukkan juga elemen ala 'soap opera' yang menyaksikan konflik-konflik kekeluargaan dan yang menariknya, ianya dari kisah benar. Memang ramai tahu keluarga di-Raja British ini memang penuh dengan drama, dan terima kasih kepada Peter Morgan yang berjaya menterjemahkan drama keluarga Windsor ini ke kaca tv dengan berjaya.
"Your marriage, all our marriages, are a reflection on the integrity of the Crown."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

The Lord of the Rings (2001-2003) - Ulasan Siri Filem


Francais filem epik fantasi ini mempunyai sebanyak 3 filem, The Fellowship of the Ring (2001), The Two Towers (2002) dan The Return of the King (2003). Ketiga-tiga filem ini berjaya dari segi komersial dan kritikal. Ianya merupakan sebuah fenomena dari novel hasil nukilan penulis hebat, J.R.R. Tolkien dan diarahkan oleh pengarah bervisi tinggi, Peter Jackson. Francais ini secara langsung menjadi antara francais fantasi yang terbaik pernah dihasilkan. Kejayaan francais ini mengizinkan Peter Jackson untuk membikin siri prekuelnya pula iaitu francais The Hobbit (2012-2014).

Berikut adalah beberapa info menarik tentang francais ini:
1) Ketiga-tiga filem ini dibikin secara sekaligus dengan bajet sebanyak USD281 Juta.
2) Francais ini berjaya mengutip secara total USD2.981 Billion.
3) Jumlah durasi ketiga-tiga filem bagi edisi panggung wayang adalah sepanjang 9 jam 18 minit. Manakala untuk edisi 'extended' pula sepanjang 11 jam 26 minit.
4) Kesemua filem ini mendapat rating 90% ke atas dari Rotten Tomatoes dan A ke atas dari Cinemascore.
5) Ketiga-tiga filem ini berjaya mendapat sebanyak 30 pencalonan dari Academy Awards (Oscar) dan berjaya memenangi sebanyak 17 anugerah.
6) Filem The Return of the King sahaja telah mendapat sebanyak 11 pencalonan di Oscar dan telah memenangi kesemua pencalonan tersebut termasuklah Best Picture dan Best Director.
7) Ini menjadikan The Return of the King antara filem 'blockbuster' yang berjaya memenangi anugerah Best Picture di Oscar.
______________________________________________________________________
Tidak dinafikan, francais The Lord of the Rings ini antara francais fantasi yang paling diminati ramai. Walaupun sudah hampir 20 tahun ditayangkan di panggung wayang, filem-filem dari francais ini masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat filem dan masih mempunyai pengikutnya tersendiri. Apa yang paling boleh dipuji berkenaan francais ini adalah kesan khasnya yang sehingga kini kelihatan sangat luar biasa. Karakter CGI seperti Gollum mempunyai kesan khas yang paling menakjubkan, pujian kepada pelakon Andy Serkis juga dalam menjayakan 'motion capture' untuk karakter ini.
Francais ini juga kaya dengan watak-watak yang pelbagai seperti Gandalf si ahli sihir, Frodo, Sam, Merry dan Pippin si Hobbit yang licik, Legolas, Galadriel, Arwen dan Elrond si orang bunian, Gimli si orang kerdil dan juga watak-watak manusia lain seperti Aragorn, Boromir, Faramir dan Eowyn. Ramai pelakon-pelakon hebat yang menjayakan watak-watak ini seperti Ian McKellen, Elijah Wood, Viggo Mortensen, Liv Tyler, Orlando Bloom, Hugo Weaving, Cate Blanchett, Sean Bean, Karl Urban, Christopher Lee dan ramai lagi.
Walaupun plot utama filem ini adalah berkisarkan misiFrodo Baggins dan Samwise Gamgee bersama rakan-rakan mereka untuk memusnahkan 'The One Ring' di Mordor, tetapi filem-filem ini kaya dengan subplot-subplot yang menarik. Contohnya tentang Aragorn dan hubungannya dengan Arwen serta pergelutannya dengan dirinya yang sebenar sebagai pewaris takhta Gondor, kisah persahabatan luar biasa antara Legolas dan Gimli, kekuasaan seorang wanita bernama Eowyn yang berjaya menumpaskan Nazgul yang dahsyat, persahabatan Sam dan Frodo serta Merry dan Pippin serta banyak lagi subplot yang menggerakkan keseluruhan francais ini.
Dunia Middle-Earth yang dipaparkan juga sebenarnya terlalu banyak boleh dirungkaikan, didalam trilogi ini mungkin akan mengelirukan sedikit penonton kerana tidak diperjelaskan dengan begitu terperinci kisah-kisah disebalik dunia ini. Malahan didalam filem prequel, The Hobbit juga tidak mampu untuk menceritakan kesemuanya tentang dunia ciptaan Tolkien ini. Sekalipun begitu, tidak mencacatkan pengalaman tontonan kita sepanjang filem ini berlangsung. Filem-filem ini juga mempunyai nilai tontonan semula yang sangat tinggi dan menjadikan penontonan secara marathon lebih seronok.
Walaupun telah ditonton berkali-kali, perasaan teruja tetap muncul terutama pada babak-babak yang mudah diingati. Babak ketika Aragorn dan yang lain-lain memberikan tunduk hormat kepada Frodo, Sam, Merry dan Pippin memberikan kesan yang paling mendalam sekali sepanjang penontonan. Pengakhiran filem ini juga sekaligus menimbulkan rasa kelam dan sedih kepada sesiapa yang betul-betul menghayati perjalanan cerita francais ini. The Lord of the Rings kekal sebagai antara francais epik fantasi terhebat untuk abad ini.
"I can't carry it for you, but I can carry you!" - Samwise Gamgee
Rating Peribadi:
The Fellowship of the Ring: 5/5
The Two Towers: 4.5/5
The Return of the King: 5/5
Share:

The Queen's Gambit (2020-) - Ulasan Siri TV


Siri TV mini yang ditayangkan di Netflix ini membawa kisah Beth Harmon (Anya Taylor-Joy) yang merupakan seorang anak yatim piatu dan seorang pemain catur yang hebat. Sepanjang siri ini mengisahkan perjalanan Beth Harmon dari tahun 1950an hingga ke 1960an dalam misi beliau menjadi seorang pemain catur yang hebat. Beth juga perlu bergelut dengan pelbagai konflik dalaman yang membabitkan hubungannya dengan pemain catur lain dan masalah ketagihan pil dan minuman keras.

Pelakon muda, Anya Taylor-Joy menjadi tunjang utama filem ini dan aku sangat kagum dengan kewibawaan beliau mengangkat siri TV ini menjadi sebuah siri TV yang menarik dengan hanya berbekalkan watak Beth Harmon yang berkembang dengan sangat cantik dari awal hingga ke akhir siri. Kredibiliti Anya tidak boleh disangkal lagi kerana secara keseluruhannya, siri TV ini memerlukan sebuah watak yang sangat kuat untuk berhubung dengan jalan cerita dan penonton, dan Anya berjaya melakukan perkara ini.
Siri TV ini juga berjaya menunjukkan evolusi watak Beth Harmon yang minat bermain catur sejak dari kecil hinggalah menjadi seorang pemain catur yang disegani apabila dewasa. Perkembangan watak ini tidak perlu dipaksa dan ianya berkembang dengan cukup lancar seiring dengan plot penceritaan. Begitu juga hubungkait antara watak Beth dan watak-watak lain seperti Harry Beltik (Harry Melling), Benny Watts (Thomas Brodie-Sangster), Ms Alma Wheatley (Marielle Haller) dan Jolene (Moses Ingram). Beth walaupun nampak seperti seorang yang introvert, tetapi Anya berjaya menggunakan perwatakan itu dengan menjalinkan interaksi yang bersesuaian dengan watak-watak sampingan yang lain.
Berkenaan tema permainan catur yang menjadi isu utama dalam filem ini pula, ianya berjaya membuka satu perspektif yang baru kepada penonton tentang permainan ini. Bagaimana pengarah Scott Frank bijak menggunakan sudut sinematografi dan muzik latar yang menjadi pemangkin ketika babak-babak permainan catur berlangsung. Dan sekalipun ada penonton yang tidak biasa dengan permainan ini, tetap tidak menjadi masalah dan jalan cerita yang disampaikan cukup mudah difahami.
Netflix tidak selalunya menghasilkan sebuah siri TV yang betul-betul bagus, tetapi kadangkala apabila wujudnya siri TV yang menarik, ianya sememangnya sebuah siri TV yang bakal diingati untuk tahun ini. The Queen's Gambit menambahkan lagi rencah di dalam isi kandungan rancangan-rancangan Netflix yang kadangkala 'hit and miss'. Dan siri ini adalah sebuah karya yang 'hit'.
"The strongest person is the person who isn't scared to be alone." - Alice Harmon
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Bikin Filem (2020) - Ulasan Filem


Apa gunanya sebuah filem jika mempunyai sinematografi dan dibarisi pelakon-pelakon handalan sekirangya implementasi plot dan lakon layar mengecewakan. Filem ini membuktikan dengan adanya presentasi visual dan penataan seni yang gah sebagai sebuah filem, tetapi lemah dari segi jalan penceritaan, tidak menjadikan ianya sebuah filem yang bagus.

Bikin Filem mengisahkan bekas pelakon terkenal, Kathy (Sherry Al-Hadad) yang menjadi produser filem, memilih pengarah terkenal Rahim G (Azhan Rani) untuk membikin sebuah filem. Dari sini ditunjukkan bagaimana sesebuah produksi filem itu berfungsi dan bagaimana perit jerih krew-krew produksi perlu hadapi untuk menghasilkan sebuah filem. Filem ini dijayakan oleh barisan pelakon ternama lain seperti Amerul Affendi, Sharifah Sakinah, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Erra Fazira, Roy Azman dan Scha Al-Yahya.
Berdurasi selama 70 minit sahaja, filem ini gagal dalam menjadi sebuah filem dan bagaimana ironinya apabila filem ini ingin mengangkat kisah pembikinan sesebuah filem yang tidak siap, tetapi filem ini sendiri juga seolah sedemikian. Pada awal penceritaan lagi telah diselitkan dengan banyak babak-babak yang diluar konteks sehingga boleh mengelirukan penonton yang tidak dapat berhubung dengan watak-watak dan sekuens yang dipaparkan akibat kekurangan pembinaan plot.
Filem ini tidak mempunyai babak pembukaan dan terus menunjukkan konflik watak krew-krew filem dalam produksi filem. Selepas separuh filem dipaparkan, barulah ada nampak sedikit peningkatan dalam 'pacing' penceritaan, tetapi apa yang lebih lucu, sebaik 'pacing' filem ini baru ingin diangkat, filem ini terus tamat. Ianya bukan sahaja menimbulkan perasaan yang tidak puas, tetapi membuatkan aku terfikir mengapa filem ini dibikin sebegini? Adakah ianya merupakan satu mesej tersembunyi yang ingin disampaikan pengarah bahawa filem inilah apa yang cerita ini ingin sampaikan?
Masih ada beberapa kritikan sosial yang diberi dalam filem ini tentang permasalahan dalam membikin filem dan bagaimana konflik-konflik dalaman ini terjadi. Sekalipun begitu, kritikan sosial ini seolah sia-sia sahaja kerana filem ini tidak berjaya untuk menjadi sebuah 'filem'. Filem ini menjadi contoh sebagai sebuah filem yang nampak sangat cantik secara lahiriah, tetapi zahiriahnya tidak mampu memberikan apa yang sepatutnya sebuah filem berikan.
Rating Peribadi: 2/5
Tonton review video: https://youtu.be/Jns7vX_k6OA
Share: