Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Monday, November 9, 2020

Gundala (2019) - Ulasan Filem



Filem adiwira dari Indonesia ini membawa kisah Sancaka (Abimana Aryasatya), kehilangan ayahnya akibat rusuhan menentang penindasan majikan di kilang. Ibunya pula meninggalkannya untuk mencari pekerjaan dan memaksa Sancaka untuk hidup sendiri. Beliau berjumpa dengan Awang dan mempelajari ilmu bela diri untuk terus hidup di gelandangan. Setelah dewasa, Sancaka dan kawan-kawannya ingin melawan penindasan dan kekejaman yang dilakukan Pengkor (Bront Palarae) sehingga menyebabkan huru-hara di seluruh negara. Sancaka yang memperoleh kuasa kilat berubah menjadi adiwira untuk menyelamatkan rakyat.

Filem ini merupakan filem pertama untuk BumiLangit Universe sekaligus menjadi batu loncatan untuk filem-filem susulan dalam francais ini. Perihal ini sedikit membuatkan filem ini tidak mampu berdiri dengan sendirinya kerana terlalu banyak persoalan yang tidak dirungkai. Persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan lagi dalam filem-filem akan datang. Walaupun ianya sedikit berjaya sebagai filem permulaan 'universe superhero', tetapi sebagai filem 'standalone', filem ini agak mengecewakan.
Banyak perkara yang membuatkan babak-babak yang ditunjukkan agak anti-klimaks. Jujur cakap, premisnya sangat menarik. Cara pengarah menggunakan visual dan sekuens memang menjadikan filem ini sebuah filem 'superhero' dari Indonesia yang matang. Penggunaan dialog serta lakonan-lakonan dari pelakon yang penuh dinamik turut memberi suatu aura menakjubkan. Tetapi sayangnya penceritaan filem ini agak 'separuh hati'.
Jika kita melihat filem ini sebagai sebuah permulaan 'universe superhero', kita akan teruja dengan babak-babak yang menimbulkan 'kejutan'. Isu yang cuba dibawakan dalam filem ini juga sesuatu yang menarik walaupun tidak logik, tetapi itulah formula untuk membikin filem 'superhero'.
Penonton akan menanti filem-filem akan datang dari BumiLangit Universe ini kerana filem Gundala ini berjaya menimbulkan rasa teruja untuk kita menanti apa lagi yang akan dihidangkan akan datang. Biarlah ianya menjadi kambing hitam asalkan batu asas untuk mencipta sebuah 'francais' dan 'universe' telah pun terletak di tempatnya.
"Kalau kita diam saja melihat ketidakadilan di depan kita, maka kita bukan manusia lagi"
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Aruna Dan Lidahnya (2018) - Ulasan Filem


Filem ini menggabungkan kembali Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, tetapi kali ini bukan sebagai pasangan kekasih, tetapi sebagai kawan baik. Aruna (Dian) merupakan seorang epidemiologis dan 'kaki makan', ditugaskan untuk menyiasat sejenis wabak yang dikatakan seakan wabak selsema burung bersama agensi kerajaan, PWP2. Bermula dengan penyiasatannya ke Surabaya, Aruna turut membawa kawan baiknya Bono (Nicholas) yang merupakan seorang chef profesional yang ingin mengkaji makanan tradisi Indonesia. Mereka juga ditemani Nadezhda (Hannah Al Rashid), seorang pengkritik kulinari yang ingin menulis buku tentang makanan Indonesia.

Di Surabaya, Aruna bertemu dengan bekas rakan sekerjanya, Farish (Oka Antara) yang kini bekerja dengan PWP2. Sepanjang penyiasatan dan aktiviti 'jalan-jalan cari makan', Aruna merungkai serba sedikit misteri di sebalik penularan wabak tersebut. Manakala Bono dan Nadezhda menikmati juadah-juadah di sepanjang perjalanan dan konflik percintaan mula wujud antara mereka berempat.
Sepanjang filem ini kita akan dihidangkan dengan pelbagai juadah dari Indonesia yang mampu membuatkan kita terliur. Menonton filem ini ibarat menonton sebuah dokumentari tentang kulinari Indonesia yang kaya dengan makanan-makanan yang menyelerakan. Jadi kalau boleh janganlah ditonton ketika kita sedang kelaparan.
Bercerita sedikit berkenaan plot filem ini, secara keseluruhannya ianya berjalan dengan cukup lancar dan cukup santai. Subjek tentang wabak dan panik jarang-jarang disentuh dan sangat unik apabila subjek ini diulitkan pula dengan tema kulinari yang disampaikan. Dan hubungan antara Farish dan Aruna yang pada awalnya kelihatan sangat tidak serasi antara satu sama lain, dileraikan dengan perkembangan watak dari pertengahan filem hingga kepengakhiran.
Keseluruhan pelakon-pelakon menjayakan watak mereka dengan cukup bersahaja. Komedi yang dibawakan juga kesampaian walaupun tidaklah keterlaluan. Ada juga diselitkan dengan beberapa simbolism dari watak Aruna yang memberi bayangan tentang plot penceritaan. Disertakan pula dengan visual-visual yang memukau menjadikan filem ini sebuah filem yang berkualiti tinggi untuk tontonan umum. Senang cerita, menonton filem ini seakan bukan menonton, tapi merasai sendiri pengalaman dari empat orang watak ini. Sebuah filem yang menyelerakan dan cukup rasa. Filem ini boleh ditonton di Netflix.
“Hidup itu kayak makanan, dalam satu piring ini ni, lo bisa ngerasain yang pahit sepahit-pahitnya, apa asin seasin-asinnya, kalo lo makannya sendiri-sendiri”
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Emily In Paris (2020-) - Ulasan Siri TV


Emily, seorang pakar media sosial strategis yang optimis dan penuh bersemangat dipindahkan ke Paris untuk membantu sebuah firma pemasaran dari perspektif Amerika. Akibat dari pertembungan budaya Amerika dan Perancis, Emily bertemu kesukaran dalam tugasnya itu. Dalam waktu yang sama, Emily berkawan dengan Gabriel, jirannya dan beliau mula menaruh hati. Tetapi Gabriel telah pun mempunyai kekasih hati, Camille yang secara kebetulan adalah kawan baru Emily di Paris. Sepanjang siri menunjukkan bagaimana Emily menyesuaikan diri di Paris dengan masalah yang terpaksa dihadapinya dengan majikannya, Sylvie.

Siri tv ini tak lain tak bukan merupakan sebuah 'chick flick' yang bermain dengan tema fesyen di Paris dengan busana-busana menarik yang diperagakan oleh pelakon-pelakon. Ditambah pula dengan lakonan bersahaja dari Lily Collins yang bagi aku sangat-sangat berjaya menarik perhatian. Lily membawa watak Emily yang sentiasa tersenyum dan optimis dan membuatkan penonton mendapat semangat yang positif dari watak tersebut.
Konflik yang ditonjolkan pula tidaklah terlalu banyak, tetapi setiap masalah yang dihadapi Emily di tempat kerja membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana akan diselesaikannya. Begitu juga dengan konflik percintaan tiga segi antara Emily-Gabriel-Camille, ditunjukkan dengan cukup santai dan tidak terlalu mencuba untuk menunjukkan yang Emily ini terdesak untuk menagih cinta Gabriel.
Antara watak lain yang positif ditunjukkan dalam ini adalah watak Mindy dan Camille sebagai kawan rapat Emily. Mindy diwujudkan untuk memberi perspektif komikal dalam siri ini. Manakala Camille membawa watak yang sentiasa memberi aura positif setiap kali beliau muncul dalam setiap babak. Mungkin satu watak yang sedikit negatif dalam siri ini adalah watak majikan Emily, Sylvie yang tidak senang dengan kehadiran Emily dalam syarikatnya.
Walaupun mempunyai jalan cerita yang ringkas, siri tv ini cukup menghiburkan dan mampu membuatkan aku melekat di depan tv untuk menantikan setiap episod. Tetapi siri ini tidak sesuai ditonton seisi keluarga kerana mempunyai babak-babak dewasa walaupun tidak terlalu melampau. Mungkin kalau nak perjelaskan sedikit tentang siri ni, ianya ada sedikit 'vibe' Sex In The City.
"It's Paris, everyone's serious about dinner."
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Friday, October 9, 2020

Predator (1987) - Ulasan Filem


Masih ingat lagi zaman di mana filem Predator tidak memerlukan premis dan jalan cerita yang terlalu terperinci dan kompleks. Cukup hanya berbekalkan beberapa pelakon-pelakon aksi yang katang-katang belaka, sebuah lokasi di hutan dan seekor watak 'alien' yang tidak diceritakan langsung asal-usulnya. Seronok betul tonton filem aksi klasik sebegini. Ditambah pula dengan kehadiran Arnold Schwazenegger yang sememangnya seorang ikon filem aksi pada era 80an.

Predator mengisahkan tentang sekumpulan askar upahan yang dipimpin oleh askar veteran, Dutch (Arnold Schwazenegger) dipanggil oleh pegawai CIA, Dillon (Carl Weathers) yang juga merupakan kawan Dutch. Mereka ditugaskan dalam misi menyelamatkan menteri luar negeri yang menjadi tebusan askar Soviet. Dalam misi itu mereka berhadapan dengan ancaman yang tidak dijangka. Sejenis makhluk pemburu berada di dalam hutan tersebut dan tugasnya hanyalah untuk memburu askar-askar upahan tersebut.
Jalan ceritanya memang cukup mudah, ambil beberapa watak askar upahan, letakkan mereka di dalam hutan, dan pastikan mereka dibunuh satu persatu oleh 'predator', dan tinggalkan Arnold seorang sahaja untuk berlawan 'one by one' dengan 'predator' itu. BAM! Kau dapat filem aksi terhebat abad ini. Dan hasilnya, filem Predator menjadi perintis untuk sebuah francais yang berkekalan hingga sekarang.
Karisma Arnold sebagai pelakon aksi tidak boleh disangkal lagi. Pedulikanlah kalau ada yang kata beliau kayu, biarkan saja, ini kayu balak bukan biasa-biasa punya. Filem aksi sebegini memberikan hiburan yang tidak memerlukan kita berfikir banyak dalam menonton filem ini. Kita hanya perlu berhibur dengan setiap babak-babak aksi yang dipaparkan. Oh ya, jangan lupa 'epic handshake' antara Dillon dan Dutch tu.
"You're one...ugly motherfucker!"
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Mekah, I'm Coming! (2019) - Ulasan Filem



Isu penipuan agensi haji dan umrah di Indonesia malahan Malaysia sendiri adalah sebuah isu yang bukan perkara biasa. Setiap tahun akan ada berita tentang penipuan atau 'scam' yang melibatkan ribuan bakal haji tertipu dengan agensi-agensi ini. Filem Mekah, I'm Coming menggunakan isu ini dan memberikan nafas segar berserta komedi yang tidak kering gusi dari awal filem hingga kepengakhiran. Keseluruhan filem memberikan sebuah semangat segar dan sebagai penonton, perasaan 'feel good' itu muncul tiap kali babak-babak dipaparkan.

Di sebuah kampung di Jawa Tengah, setiap kali ada penduduk kampung yang menunaikan haji akan disambut dengan meriah dan penuh keterujaan. Eddy (Ricky Nazar) seorang anak muda kampung yang ada sahaja perkara tidak kena dengan setiap apa yang dia lakukan, bercinta dengan Eni (Michelle Ziudith), anak kepada Pak Soleh (Totos Rasiti), seorang yang baru sahaja bergelar Haji. Pak Soleh ingin menikahkan Eni dengan Pietoyo (Dwi Sasono) dan ini merunsingkan hati Eddy dan Eni.
Eddy kemudiannya bercadang untuk menunaikan Haji pada tahun itu juga dan niatnya diberkati ibunya (Ria Irawan). Tetapi untuk mendapatkan visa haji bukanlah mudah, Eddy kemudiannya berdaftar dengan agensi haji swasta. Malang sekali lagi menimpa Eddy bila beliau ditipu oleh agensi haji tersebut dan terkandas di sebuah pekan di Betawi bersama seorang lagi mangsa agensi, Fajrul (Ephy Pae). Eddy terpaksa menipu orang kampungnya dengan mengatakan beliau berada di Mekah tetapi sebaliknya yang berlaku.
Sangat seronok menonton filem ini. Segala komedi yang ditonjolkan begitu mesra dan positif. Semua pelakon berinteraksi dan berhubung dengan cukup santai. Sepanjang menonton filem ini, kita akan sentiasa tersenyum dengan setiap dialog dan babak yang dipaparkan. Ditambah pula dengan visual memukau yang memaparkan suasana di perkampungan Jawa Tengah.
Isu yang dipaparkan sebenarnya agak serius, tetapi filem ini menggunakan medium komedi dan secara bersahaja menjadikan ianya sebuah satira yang bijak. Selain Eddy dan Fajrul, ditunjukkan juga lebih ramai lagi yang tertipu oleh agensi haji. Siap boleh buat perkampungan mereka sendiri.
Lakonan bersahaja dari Ricky Nazar berjaya membawa watak Eddy dengan cukup selamba. Pujian juga wajar diberikan kepada Michelle Ziudith yang tidak membawa watak seorang gadis kampung yang tipikal. Watak Eni ditunjukkan sebagai seorang yang tegas dalam membuat keputusan dan tahu akan kehendak dirinya sendiri. Michelle juga berjaya mewujudkan sisi komikal dengan cemerlang.
Jalan ceritanya agak ringkas dan mudah. Tetapi banyak juga konflik yang ditunjukkan terutama pada watak Eddy yang sering ditimpa malang. Dengan membawakan isu yang serius, kita dibawa menyelusur keseluruh jalan cerita dengan penuh hiburan dan gelak tawa. Filem ini sangat sesuai ditonton seisi keluarga dan sekarang sedang ditayangkan di Viu.
"Daripada aku dinikahkan dengan orang yang tidak aku cintai, baik aku mati!"
Rating Peribadi: 4/5
Share: