
Pada awal hingga ke pertengahan cerita untuk movie ini, aku tidak berapa suka akan situasi yang dipaparkan, tetapi apa yang penting, adalah ending untuk movie ini. Baru aku sedar, ini bukan satu movie dari Malaysia yang biasa.
Sebagai sebahagian dari industri per'movie'an Malaysia, aku amat berbangga apabila ketika sidang diskusi, salah seorang dari pelakon movie ini, Ahmad Tarmimi Siregar mengatakan keseluruhan penghasilan movie ini adalah dari Malaysia. Baik dari segi produksi dan pasca produksi, iaitu penghasilan skor muzik, efek khas dan lokasi semuanya dari sini. Itu yang boleh membuatkan aku bertambah bangga dan pasti juga ramai yang terkejut kerana Malaysia boleh menghasilkan movie sebegini.
Bukanlah Malaysia yang hendak saya puji, tetapi pengarahnya, Jason Chong yang juga penulis untuk skrip movie ini. Mungkin anda akan perasan, Jason Chong yang sebenarnya pelakon cina Malaysia yang terkenal ini boleh menjadi pengarah yang sangat berbakat. Dari segi shot, runut bunyi dan lakonan, boleh dikatakan ianya adalah movie Malaysia yang hebat.
Walaupun sedikt ke arah barat, tetapi persetankan hal itu, kerana perbezaan yang menjadi keutamaan industri kita sekarang. Jelak sangat dihidangkan oleh movie yang berkonsepkan kebodohan semata-mata, kita sudah sampai masa penonton negara ini berganjak untuk menyantap hidangan yang baru. Dan Belukar adalah suatu kelainan.
Siapa sangka, tanpa ke luar negara, kita boleh mendapat lokasi yang menarik untuk sesebuah movie. Itu lah yang dilakukan oleh pengarah, dengan mengambil Sabah sebagai latar tempat. Betul juga, kenapa kita terlupa akan Sabah, bukan kah itu juga Malaysia. Hah! Ada juga aku menonton movie Malaysia yang sebegini, maksud aku yang ke arah kebaratan, dan movie-movie sebegini sering mengelakkan istilah kebaratan ini dengan menapisnya menggunakan budaya-budaya melayu. Bukan kah kita sudah jemu dengan budaya yang ditonjolkan itu. Ini lah juga kelainan dalam movie ini, dengan menjadikan budaya Sabah selaku latar.
Berbalik kepada lakonan pula, wibawa Bront Palarae selaku pelakon utama sudah tidak boleh disangkal lagi. Sememangnya Bront telah menunjukkan taring lakonannya dalam movie-movie sebelum ini. Tetapi peranan utama yang dibawa dalam movie ini sudah cukup untuk memperhebatkan lagi kerjaya beliau sebagai pelakon yang superb. Begitu juga Daphne Iking, siapa kata beliau tidak pandai berlakon? Abaikan watak cina pelatnya dalam My Spy, kerana movie ini lebih mencabar kredibiliti beliau. Dan Daphne berjaya.
Untuk lakonan yang lain pula, mereka tidak langsung mengganggu jalan cerita, malah lebih menguatkannya. Terdapat movie yang tercacat kerana masalah lakonan yang lemah, tetapi untuk movie ini, kecacatan itu dapat dielakkan. Ianya menjadikan movie ini sesuatu yang cukup seimbang dalam semua elemen.
Setiap movie yang dipaparkan, pasti terdapat pengaruh dari persekitaran, mungkin movie ini juga begitu. Tetapi apa yang hebatnya, movie ini tidak seperti movie Hollywood yang lain di mana pengarah-pengarah dari sana dengan rakus hanya mengadaptasi movie mereka dari material-material yang lain. Untuk movie ini pula, keseluruhannya datang dari pengarah, dan mungkin produser. Itu yang menjadikan penggiat seni kita lebih hebat dari yang di sana.
Hingga sekarang aku masih tidak menyangka bahawa kita mampu menghasilkan movie berbentuk konspirasi sebegini. Setiap twist dan cilok-mencilok serta dendam kesumat yang dipaparkan wujud tanpa mempedulikan setiap logikal minda penonton kita. Pengarah seolah tidak peduli sama ada ianya bertentangan dengan budaya kita atau tidak. Kreativiti yang dipaparkan cukup berlainan dan ianya adalah sebuah movie yang sepatutnya ditonton oleh penonton kita.
Jangan bimbang, ianya bukan lah sebuah movie yang terlalu berat. Ya, kadang-kadang kita dapati konspirasi dalam movie ini sukar difahami, tetapi masih terdapat nilai-nilai komersil yang ditagih penonton kita. Masih wujud unsur humor yang mampu menenangkan kita yang menonton. Dan ianya serba sedikit mampu membuatkan penonton berasa wow. Terutama, di penghujung cerita, di mana setiap Belukar akan diredah!
p/s : Semasa aku tengok trailer movie ini, aku mengatakan "Wow, sebuah lagi movie panas Malaysia." Oh, tetapi aku silap, ianya langsung boleh diterima kita! Tontonlah. :)
0 opinions:
Post a Comment