Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Friday, January 29, 2021

FATE: A WINX SAGA - MUSIM PERTAMA (2021)



TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 6 Episod
CIPTAAN: Brian Young
PELAKON: Abigail Cowen, Hannah van der Westhuysen, Precious Mustapha, Eliot Salt, Elisha Applebaum, Danny Griffin, Sadie Soverall, Freddie Thorp
GENRE: Drama Remaja, Fantasi
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 47 - 53 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Bloom (Abigail Cowen) merupakan seorang pari-pari api, mendaftarkan diri ke Alfea College For Fairies, sebuah sekolah khas untuk pari-pari mempelajari dan mengembangkan kuasa mereka. Di situ, Bloom berkawan dengan Aisha (Precious Mustapha) pari-pari air, Musa (Elisha Applebaum) pari-pari minda, Terra (Eliot Salt) pari-pari tanah dan Stella (Hannah van der Westhuysen) pari-pari cahaya. Bloom juga ingin membongkar rahsia sejarah asal-usulnya yang cuba diselindungi oleh pengetua sekolah tersebut, Farah Dowling (Eve Best). Mereka juga bersama-sama cuba untuk menghadapi ancaman dari The Burned One yang disangkakan telah pupus sewaktu Bloom dilahirkan.
Siri TV ini merupakan adaptasi 'live action' animasi Winx Club yang terkenal. Adaptasi animasi kanak-kanak ke siri 'live action' remaja yang lebih gelap dan serius ini seakan sama seperti apa yang dilakukan Riverdale dan The Chilling Adventures of Sabrina. Mungkin ianya sebuah trend baru, walaupun ada juga beberapa rungutan dari peminat setia animasi ini.
Perkara paling ketara sekali perbezaan antara siri TV dan animasi Winx Club adalah kekurangan elemen 'magis' yang disampaikan. Keseluruhan tema dan konsep dalam siri TV ini terlalu 'generic' dan tiada bezanya dengan cerita cinta remaja yang sering dipaparkan. Dan pada episod awal juga lagi dah ada penjelasan kenapa pari-pari ini semua tiada sayap, tidak seperti animasi. Ini kononnya untuk terus memberitahu peminat, tak payah lah berharap siri tv ni akan sama macam animasi yang menjadi kenangan kanak-kanak kita.
Watak utama siri ini, Bloom juga disampaikan tidak berapa kuat dengan cerita yang dipaparkan. Ada ketikanya hubungan watak utama dengan watak-watak sampingan tidak kelihatan berhubung, tetapi tidak semena-mena mereka menjadi akrab pula. Naik turun hubungan antara mereka ini sedikit sebanyak menjenjaskan penceritaan. Tetapi konflik untuk menunjukkan siapa watak jahat dan siapa watak baik memberikan perasaan berbolak balik pada penonton untuk meneka objektif sebenar plot siri ini.
Tidak dilupa juga plot twist yang bertubi-tubi dihidangkan pada episod-episod terakhir, tetapi twist sebegini lebih kepada menjadi sebuah mekanism untuk menjadikan siri ini lebih menarik dan untuk mengelakkan penonton berasa bosan dengan kisah drama remaja yang telah banyak kali disuapkan kepada kita. Sekalipun begitu, siri ini tetap mampu menghiburkan penonton dan seperti yang diperkatakan tadi, sekurang-kurangnya plot twist yang dipaparkan itu mampu memberi fokus sebenar pada jalan cerita.
"So presumptuous. You must be a fairy."
RATING: 3.5/5
Share:

Tuesday, January 26, 2021

THE WHITE TIGER (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Ramin Bahrani
LAKON LAYAR: Ramin Bahrani
PELAKON: Adarsh Gourav, Rajkummar Rao, Priyanka Chopra
GENRE: Drama
BAHASA: Inggeris, Hindi
DURASI: 125 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Kemiskinan, penghambaan moden dan korupsi merupakan antara isu paling kritikal di dunia, dan negara mana lagi yang lebih sinonim dengan permasalahan ini dan sering diketengahkan dalam filem jika bukan negara India. Di dalam filem ini, kita dibawa menyelusuri kisah Balram Halwai (Adarsh Gourav), seorang pemuda miskin yang tinggal di Laxmangarh yang cuba untuk keluar dari 'reban ayam' yang memerangkap beliau sejak kecil.
Balram seorang yang celik akal, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk sambung belajar kerana terpaksa menyara keluarganya. Kemudian Balram mendapat peluang keemasan untuk menjadi pemandu tuan tanahnya, The Stork (Mahesh Manjrekar) dan anaknya Ashok (Rajkummar Rao). Satu insiden malang telah menyebabkan Balram tersentak dan sedar akan realiti sekalipun beliau sudah ke bandar dan mempunyai kerja yang stabil, tetapi beliau masih lagi berada dalam 'reban ayam' dan menunggu masa untuk 'disembelih'.
The White Tiger keluaran terbaru dari Netflix merupakan filem adaptasi dari novel karya Aravind Adiga dengan judul yang sama. Secara ringkasnya, filem ini lengkap dari sudut jalan cerita bagus, persembahan lakonan para teraju yang berbakat dan lakon layar yang menakjubkan. Untuk sebuah filem keluaran laman strim, ianya tidak disangkal lagi tetap mempunyai nilai sinematik yang tinggi.
Kita masuk perihal lakon layar, jika diikutkan ianya tiada beza dengan beberapa filem drama yang menggunakan konsep 'pencerita'. Tetapi konsep sebegini masih lagi berkesan kerana ianya mampu membawa penonton mengalami sendiri hikayat kisah Balram dari awal hingga akhir. Filem yang berdurasi dua jam ini melayari babak demi babak sehinggakan kita tidak tersedar masa sudah berlalu.
Tentang pelakon pula memang sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Lakonan Adarsh Gourav yang 'mentah' ini sangat sesuai melakonkan watak Balram Halwai, seorang pemuda yang sebenarnya bijak, tetapi terperangkap dalam mentaliti yang memerlukannya menyanjung tuan-tuannya seperti Tuhan. Watak ini jika diikutkan lebih nampak sisi realismnya, tetapi mungkin perubahan perwatakan pada bahagian akhir filem ini sedikit nampak terburu-buru. Gabungan Rajkummar Rao dan Priyanka Chopra juga menyerikan lagi jalan penceritaan filem. Kedua-dua pelakon ini mampu berhubung dengan watak Balram dengan baik.
Berbalik pula kepada isu yang cuba disampaikan, ianya lebih 'pahit' untuk ditelan oleh penonton. Contoh jika hendak dibandingkan dengan Slumdog Millionaire yang juga cuba menyampaikan isu yang sama, tetapi ianya lebih kepada bersifat eskapism dan fantasi permasalahan utama sahaja. The White Tiger juga sebenarnya menyajikan fantasi bagi golongan miskin di sana, tetapi kesan yang cuba dibawakan itu lebih mendalam lagi. Akhir sekali, jika ingin disentuh pula sedikit kekurangan dari filem ini, mungkin 'turning point' watak Balram itu sahaja agak lambat panas yang menyebabkan pengakhirannya terlalu cepat dan kurang memuaskan. Lain-lain, ianya sebuah filem original Netflix yang terbaik setakat ini.
"Rich men born with opportunity they can waste."
RATING: 4/5
Share:

WANDAVISION - MUSIM PERTAMA, EPISOD 3



TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
CIPTAAN: Jac Schaeffer
PENGARAH: Matt Shakman
PELAKON: Elizabeth Olsen, Paul Bettany, Debra Jo Rupp, Fred Melamed, Kathryn Hahn, Teyonah Parris, Randall Park, Kat Dennings
GENRE: Romantik Komedi, Misteri, Superhero, Sitkom
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 29 - 36 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Disney+
Episod kali ini walaupun bermula dengan dekad yang baru iaitu pada tahun 70an, tetapi cerita bersambung dari episod sebelumnya selepas Wanda mengandung. Kini kandungan Wanda membesar dengan begitu cepat dan membuatkan Vision berasa pelik. Mereka bersama-sama melakukan persiapan untuk menyambut kelahiran anak mereka. Geraldine muncul kembali dan menjadi bidan terjun dengan menyambut kelahiran anak kembar Wanda. Tetapi misteri semakin menyelubungi Westview apabila kehadiran Geraldine dipersoalkan.
WandaVision kini berada di dalam sitkom 70an yang bewarna-warni, dan kali ini ianya seolah mendapat inspirasi dari sitkom klasik, The Brady Bunch. Jika dilihat dari babak permulaan dan suasana prop di dalam siri ini ianya memang seakan sitkom tersebut. Di dalam episod kali ini juga masih lagi tidak menjawab persoalan-persoalan yang bermain sejak dua episod sebelum ini.
Namun begitu secara perlahan misteri ini semakin terungkai dan ianya memberikan perjalanan cerita yang semakin menggerunkan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan kuasa Wanda. Dapat dilihat peranan Wanda, Vision dan karakter-karakter sampingan dalam episod kali ini. Perkara menjadi semakin menarik apabila terdapat 'turning point' yang membuatkan Wanda kembali menjadi dirinya yang di luar sitkom.
Tiga episod pertama ini membuktikan bahawa ianya baru sebuah permulaan dengan pembangunan misteri yang mungkin akan dirungkaikan pada episod 4 dan ke atas. Di harapkan pada episod-episod mendatang beberapa misteri ini akan terungkai kerana dengan berbekalkan 25 minit durasi untuk satu episod, siri ini tidak sepatutnya mengheret plot menjadi sangat 'slow burn'.
" It's just kinda taken us by surprise. It's just kinda suddenly. Quite suddenly, wasn't it? I mean, practically."
RATING: 4/5
Share:

RABUN (2003)

 


TAHUN: 2003
PENGARAH: Yasmin Ahmad
SKRIP: Yasmin Ahmad
PELAKON: Kartina Aziz, M. Rajoli, Noor Khiriah, Irwan Iskandar, Rozie Rashid, Ho Yuhang.
GENRE: Drama
BAHASA: Malaysia, Inggeris.
DURASI: 90 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pak Atan (M. Rajoli) dan Mak Inom (Kartina Aziz), sepasang suami isteri warga emas yang berjiwa bebas, membuat keputusan untuk hidup di kampung setelah bersara dari bekerja di bandar. Mereka berjirankan saudara Mak Inom, Cik Nor (Rozie Rashid) dan anak tirinya Yem (Irwan Iskandar). Tetapi kehidupan mereka di kampung tidaklah seindah yang difikirkan. Sementara itu anak mereka, Orked (Noor Khiriah) tinggal di bandar dan sering dilawat oleh Pak Atan dan Mak Inom.
Rabun merupakan filem pertama arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang sebelum itu cukup terkenal mengarahkan iklan-iklan yang menarik. Terasa sedikit kerdil untuk membuat ulasan filem ini kerana ianya sebuah filem lama yang boleh dikategorikan sebagai filem klasik hebat. Dahulu pernah ditayangkan di televisyen, tetapi ingat-ingat lupa tentang jalan ceritanya, dan kini bila ditayangkan di Netflix, ternyata berjaya memberikan sebuah pengalaman menonton yang menyentuh hati.
Allahyarhamah Yasmin Ahmad bijak menjentik secara halus isu-isu yang sering terjadi di dalam masyarakat dan keluarga di Malaysia. Dalam filem ini sendiri terdapat beberapa kritikan sosial yang ingin membuka mata rakyat Malaysia tentang bagaimana masalah ini sebenarnya sebuah masalah yang normal, tetapi tidak boleh dianggap remeh. Lebih menarik lagi apabila Allahyarhamah cuba mengupas isu ini dengan seoptimis yang boleh tanpa menggunakan elemen-elemen negatif.
Nilai-nilai positif ini ditunjukkan pada pasangan Pak Atan dan Mak Inom bersama anak mereka, Orked yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang indah. Tetapi hubungan mereka yang tidak mengganggu orang lain itu sendiri juga telah menimbulkan perasaan iri hati pada individu lain. Perlu diingatkan, ini adalah kali pertama Allahyarhamah cuba untuk membawa watak Pak Atan, Mak Inom dan Orked ke layar kaca. Dan sudah semestinya keluarga ini menjadi contoh sebagai sebuah keluarga bahagia.
Menyentuh sedikit tentang isu teknikal, kebanyakkan shot yang diambil dalam filem ini adalah berbentuk statik dan 'one frame' yang disertakan dengan dialog antara watak. Ianya bukanlah sebuah shot yang tipikal terdapat pada drama-drama Melayu. Tetapi shot sebegini mampu memfokuskan penonton kepada penterjemahan babak yang ingin disampaikan.
Seperti filem-filem Allahyarhamah yang lain juga, pembukaan dan penutup filem mempunyai refleks antara satu sama lain. Allahyarham cuba memberitahu bahawa beliau ingin menghidangkan sebuah 'cerita' dan apabila tamat, beliau ingin menamatkannya seperti mana beliau memulakan 'cerita' itu. Sudah tentu filem ini menjadi antara filem lokal yang wajib ditonton oleh penonton di Malaysia ini dan ianya merupakan sebuah karya yang patut dinikmati bersama. Filem ini sedang ditayangkan di Netflix.
"Kata orang kampung semua baik-baik..."
RATING: 5/5
Share:

TRIBHANGA: TEDHI MEDHI CRAZY (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Renuka Shahane
SKRIP: Renuka Shahane
PELAKON: Kajol, Tanvi Azmi, Mithila Palkar
GENRE: Drama
BAHASA: Hindi
DURASI: 95 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Milan (Kunaal Roy Kapur) menemu bual penulis terkenal, Nayantara "Nayan" Apte (Tanvi Azmi) untuk menghasilkan buku biografi kisah kehidupannya. Milan menyelusur sejarah kehidupan Nayan bersama anaknya, Anuradha "Anu" Apte (Kajol) yang penuh dengan konflik kekeluargaan. Nayan dan Anu mempunyai hubungan ibu dan anak perempuan yang dingin setelah Nayan bercerai dengan suaminya dan berkahwin dengan orang lain. Anu mula teringat kembali kisah silamnya bersama ibunya selepas Nayan jatuh koma. Dalam waktu yang sama, tersingkap juga kisah rahsia anak Anu, Masha (Mithila Palkar) yang juga mempunyai konflik dengan keluarga mertuanya.
Kajol menjadi tunjang utama filem ini dengan wataknya sebagai seorang penari professional yang mempunyai kehidupan yang terbuka. Tetapi tumpuan filem ini terletak pada Nayan yang cuba menjadi seorang ibu dan dalam waktu yang sama, bergelut dengan kariernya sebagai seorang penulis yang terkenal. Filem ini menunjukkan sisi seseorang yang disanjung oleh orang ramai, tetapi secara zahiriahnya mempunyai sebuah keluarga yang berantakan.
Menariknya lagi apabila filem ini menunjukkan kisah tiga orang wanita dari zaman yang berbeza iaitu Nayan, Anu dan Masha. Dan tema utama yang menjadi tulang belakang filem ini adalah sisi drama tentang pilihan dalam hidup dan karma kehidupan. Setiap apa yang Nayan lakukan sewaktu menjadi isteri dan ibu, mempunyai refleks terhadap masa depan Anu, dan begitu juga dengan apa yang Anu lakukan mempunyai refleks pada Masha.
Ianya cuba mengajar kita bahawa setiap orang mempunyai pilihan di dalam hidup. Dan setiap apa sahaja keputusan yang mereka pilih, akan mempunyai karma dan kesannya pada diri sendiri atau orang yang disayangi pada masa akan datang. Menyentuh soal lakonan, Kajol memberikan sebuah watak yang luar dari kebiasaan watak selalu dibawanya. Di dalam ini Kajol kelihatan sangat 'terbuka' dan melontarkan lakonannya sebaik dan 'sekasar' yang mungkin kepada penonton.
Kajol menjadi penggerak utama filem ini dan jalan cerita ini menjadi bertambah rancak dengan wujudnya hubungan antara watak Kajol dan watak-watak lain dalam filem ini. Ianya sebuah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan memberikan satu perspektif baru terhadap drama kekeluargaan filem-filem dari India. Walaupun durasinya agak pendek dan ada sesetengah subplot kelihatan sangat cepat hendak dihabiskan, ianya masih lagi sebuah filem dari Netflix yang menghiburkan.
"Nobody imposed their choices on us."
RATING: 4/5
Share:

PSYCHOKINESIS (2018)

 


TAHUN: 2018
PENGARAH: Yeon Sang-ho
SKRIP: Yeon Sang-ho
PELAKON: Ryu Seung-ryong, Shim Eun-kyung, Park Jung-min, Kim Min-jae, Jung Yu-mi
GENRE: Aksi, Fiksyen Sains
BAHASA: Korea
DURASI: 101 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Shin Roo-mi (Shim Eun-kyung) dan ibunya terpaksa berhadapan dengan pemaju projek yang ingin mengambil tanah tempat mereka berniaga. Hal ini mengakibatkan kematian ibunya sehingga Roo-mi terpaksa menelefon ayahnya yang sudah lama dia tidak berjumpa untuk memberitahu berita sedih itu. Sementara itu ayah Roo-mi, Shin Seok-heon (Ryu Seung-ryong) yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, telah memperoleh kuasa luar biasa dari air gunung yang tercemar dari kesan radioaktif meteor. Seok-heon mempunyai kuasa telekinesis yang membolehkannya menggerakkan objek menggunakan minda. Seok-heon cuba memperbaiki hubungannya dengan Roo-mi dan dalam waktu yang sama menolong untuk menghalang pihak kapitalis dari menganiaya peniaga di kawasan Roo-mi bekerja.
Sekalipun filem bertemakan superhero sudah terlalu biasa dalam zaman kini, tetapi pengarah Yeon Sang-ho sebolehnya ingin membawakan tema ini ke sudut yang berbeza. Kali ini ianya memfokuskan pada watak seorang ayah yang dari luarannya tidak menampakkan sisi seorang hero. Ianya cuba disampaikan dengan begitu dekat terhadap realiti sekiranya kuasa luar biasa itu diberikan kepada orang yang...biasa.
Tetapi ianya masih lagi tidak dapat mengelakkan suasana komikal terutama pada beberapa watak. Isu yang dibawakan itu juga merupakan satu isu yang serius sekalipun telah banyak kali diterjemahkan ke layar perak. Dan isu yang serius ini diganggu pula dengan watak-watak komikal seperti watak President Min (Kim Min-jae) dan Jung Director Hong (Yu-mi). Ianya tidaklah terlalu teruk kerana seronok juga sebenarnya melihat kedua-dua watak komikal ini, lebih-lebih lagi mereka adalah watak antagonis. Tetapi kelihatan kedua-dua watak ini dikembangkan dengan separuh jalan sahaja dan mempunyai pengakhiran yang tidak memuaskan.
Perkara paling menarik dalam filem ini tentulah bila setiap kali Seok-heon menggunakan kuasa telekinesisnya. Adakala beliau terlalu slapstik dalam menggunakan kuasa ini dan terlalu mencuba untuk mewujudkan komedi yang akhirnya kelihatan seolah terpaksa. Sekalipun begitu lakonan Ryu Seong-ryong ini sangat menghiburkan. Sudah pasti filem sebegini memerlukan babak pertarungan yang menarik dan mendebarkan. Dan ya, ianya berjaya menyampaikan babak itu. Mungkin masalah utama filem ini pada permulaan dan pertengahannya sahaja, cuma bila sudah sampai ke pengakhiran, kuasa telekinesis Seok-heon hanya mampu membantu sedikit sahaja pada keseluruhan filem.
"If I give up, I will not do this from the beginning."
RATING: 3.5/5
Share:

Friday, January 22, 2021

TARUNG SARUNG (2020)



TAHUN: 2020
PENGARAH: Archie Hekagery
LAKON LAYAR: Archie Hekagery
PELAKON: Panji Zoni, Yayan Ruhian, Cemal Faruk, Maizura, Surya Saputra
GENRE: Drama, Aksi
BAHASA: Indonesia
DURASI: 115 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Deni Ruso (Panji Zoni) merupakan anak tunggal dari pemilik syarikat besar di Indonesia, Ruso Corp yang dikendalikan oleh ibunya, Dina Ruso (Imelda Therine) . Kehidupan serba mewah telah memanjakan Deni yang suka berfoya-foya sehingga tidak percaya kepada agama sendiri. Sehinggalah ibunya membuat keputusan untuk menghantar Deni ke Makassar untuk mengajarnya erti kesusahan. Di waktu yang sama, Deni juga mengendalikan projek Ruso Corp di situ. Di Makassar, Deni berkenalan dengan Tenri (Maizura) yang juga memperkenalkan Deni dengan sukan rakyat di situ, Tarung Sarung. Deni mendapat ancaman dari Sanrego (Cemal Faruk) yang mencintai Tenri dan merupakan juara Tarung Sarung. Deni meminta pertolongan dari Pak Khalid (Yayan Ruhian), seorang mahaguru Tarung Sarung, dan ternyata Pak Khalid telah mengajar Deni lebih dari sekadar seni mempertahankan diri.
Sekali imbas sahaja sudah dapat dilihat bahawa filem ini mendapat inspirasi yang banyak dari filem The Karate Kid (yang lama, bukan yang baru, seperti kata Tenri, masakan Kung Fu ada dalam filem Karate). Dari nama Deni Ruso itu sendiri yang seakan sama dengan Daniel LaRusso, teknik-teknik tarung sarung yang diajarkan Pak Khalid yang lebih kurang sama dengan apa Mr Miyagi ajar, pertandingan tarung sarung itu sendiri juga, semua elemen-elemen ini terinspirasi dari filem The Karate Kid.
Walaupun begitu, ianya masih lagi cuba untuk menyelitkan perbezaan terutama pada watak Deni dan motif penceritaan yang mempunyai konsep keagamaan. Boleh jugalah nak dikatakan ianya filem The Karate Kid bergabung dengan filem keagamaan, maka terhasil-lah Tarung Sarung! Fokus pada konsep keagamaan filem ini, ada momen-momen yang mampu menarik perhatian audiens, tetapi ianya hanya dicakar pada permukaannya sahaja. Filem ini cuba menjadi sebuah filem yang mempunyai maksud mendalam, tetapi sayangnya pembikin filem ini seolah-olah buntu dan terpaksa memasukkan cerita yang separuh jiwa sahaja.
Perjalanan cerita agak perlahan pada awalnya, sehinggakan perasaan bosan mula menyelubungi dan hampir saja untuk tidak meneruskan penontonan. Tiada dialog yang menarik dan babak-babak yang mampu melekatkan penonton untuk terus menyaksikan babak seterusnya. Tetapi apabila Yayan Ruhian mula munculkan diri, dan babak aksi pun mula disajikan, dari situ barulah terasa aura dalam filem ini.
Lawak jenaka dan plot tentang Ruso Corp yang ingin membina sebuah projek di Makassar juga tidak begitu meyakinkan. Penggunaan mesej tentang alam sekitar dan golongan kapitalis yang menindas tidak disampaikan dengan begitu baik. Sepatutnya filem ini memfokuskan pada satu plot, dan menggunakan subplot-subplot lain sebagai penghubung antara sekuens. Tetapi nasib baik kehadiran Yayan Ruhian memberikan sedikit perasaan berbaloi kerana beliau adalah 'Jackie Chan' Asia Tenggara dan kemunculannya memberikan satu kepuasan kepada penonton.
"Jadi adakah awak jadi orang yang lebih baik selepas tidak percayakan Tuhan?"
RATING: 3/5
Share:

THE GARDEN OF WORDS (2013)



TAHUN: 2013
PENGARAH: Makoto Shinkai
SKRIP: Makoto Shinkai
PELAKON: Miyu Irino, Kana Hanazawa, Fumi Hirano, Takeshi Maeda, Yuka Terasaki.
GENRE: Romantis, Drama, Anime
BAHASA: Jepun
DURASI: 46 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Di suatu hari yang dilimpahi dengan air hujan di taman Shinjuku Gyoen, Takao Akizuki, seorang pelajar sekolah menengah dan juga seorang yang mempunyai bakat sebagai tukang kasut, telah berjumpa dengan Yukari Yukino, seorang wanita yang lebih berusia darinya. Kedua-dua mereka kemudiannya kerap berjumpa di taman tersebut setiap kali hari hujan dan mula beramah mesra dan berborak. Akizuki memberitahu Yukino tentang dirinya, tetapi Yukino lebih gemar berahsia. Sehinggalah Akizuki menyatakan perasaan sayangnya kepada Yukino.
Anime ini mempunyai durasi yang pendek, tetapi jalan cerita yang disampaikan cukup dengan isi dan lengkap dengan babak permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Bertambah pula dengan gaya anime-nya yang cukup indah dan memukau membuatkan pengalaman menonton filem ini sebuah perkara yang manis untuk kita sebagai audiens lalui. Kesan hujan, pencahayaan malahan gerak gaya karakter dalam filem ini sekalipun berbentuk 'anime', tetapi sangat realistik.
Malahan cerita romantis antara dua watak yang jika dilihat sebenarnya agak canggung untuk dunia sebenar, tetapi perasaan itu tidak dirasai. Apa yang dirasai adalah perasaan menyayat hati dan juga rasa sayang kita terhadap hubungan watak Akizuki dan Yukino. Dengan menggunakan simbol seperti kasut, manisan dan puisi Jepun, menguatkan lagi cerita di dalam filem ini.
Jika kita inginkan sebuah filem yang bergerak perlahan tetapi dalam waktu yang sama mampu memberikan adrenalin berbeza pada perasaan kita, ini adalah filemnya. Jiwa kita seolah diserap masuk ke dalam dunia dua watak ini dan membuatkan masa yang berlalu walaupun pendek, tetapi seakan selamanya berada di dalam hati.
"I realize now, I was learning how to walk as well. I haven't mastered the steps, I fall too. But I'm on my path, MY path, and one day that path, will take me to her."
RATING: 4/5
Share:

Monday, January 18, 2021

WANDAVISION - MUSIM PERTAMA, EPISOD 1 & 2 (2021)




TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
CIPTAAN: Jac Schaeffer
PENGARAH: Matt Shakman
PELAKON: Elizabeth Olsen, Paul Bettany, Debra Jo Rupp, Fred Melamed, Kathryn Hahn, Teyonah Parris, Randall Park, Kat Dennings
GENRE: Romantik Komedi, Misteri, Superhero, Sitkom
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 29 - 36 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Disney+
EPISOD 1
Wanda (Elizabeth Olsen) dan Vision (Paul Bettany) yang baru sahaja berkahwin berpindah ke sebuah komuniti digelar Westview dan hidup bersama jiran mereka, Agnes (Kathryn Hahn). Kekeliruan timbul antara Wanda dan Vision apabila majikan Vision akan datang ke rumah untuk jamuan makan malam bersama, tetapi majlis itu disalah anggap oleh Wanda. Berlaku perkara lucu di dalam kekeliruan itu dan Wanda terpaksa meminta pertolongan Agnes untuk menyelamatkan makan malam tersebut. Keseluruhan jalan cerita ini disampaikan dalam bentuk sebuah sitkom tahun 50-an.
Dalam episod ini terus ditunjukkan watak Wanda dan Vision yang menjalani kehidupan sebagai seorang suami isteri tanpa apa-apa pengenalan atau rujukan dari filem-filem Marvel Cinematic Universe sebelum ini. Produk terbaru keluaran Marvel kali ini menyelongkar dunia sitkom yang belum pernah digunapakai sebelum ini. Apa yang menariknya, ianya masih lagi menyajikan tema superhero dan misteri yang bersesuaian dengan kuasa Wanda dan Vision.
Untuk episod ini ianya mengambil inspirasi dari rancangan sitkom klasik, The Dick Van Dyke Show. Bagaimana kisah Wanda dan Vision ini akan dikembangkan ke dunia superhero, masih lagi menjadi rahsia. Tetapi ada babak yang sedikit sebanyak menunjukkan sisi depresi pada diri Wanda. Dan yang menariknya lagi pada babak pengakhiran yang menimbulkan persoalan.
“My husband and his indestructible head.” – Wanda
RATING: 4/5
EPISOD 2
Sambungan dari episod sebelum ini masih lagi menggunakan konsep sitkom zaman hitam dan putih. Tetapi kali ini ianya lebih seakan tahun 60an. Mengisahkan Wanda dan Vision yang sedang mempersiapkan diri untuk sebuah majlis pertunjukan bakat untuk kanak-kanak yang dilakukan oleh komuniti dewasa di Westview. Wanda dan Vision akan melakukan acara silap mata dan timbul pelbagai konflik apabila Vision terpaksa berhadapan dengan sebuah rintangan.
Konsep sitkom kali ini lebih menjurus seperti sitkom Bewitched pada tahun 60an, babak kredit di awalnya pun seakan sama dengan sitkom tersebut. Sekali lagi kali ini ditunjukkan bagaimana Wanda dan Vision cuba untuk menyerasikan diri dengan komuniti di Westview. Tetapi perkara-perkara yang aneh telah menimbulkan sebuah misteri yang semakin mendalam.
Dalam episod ini juga ditunjukkan kuasa Wanda serba sedikit yang mampu menimbulkan kegerunan. Sedikit demi sedikit ditunjukkan tentang kecanggungan yang terdapat di dalam pekan Westview ini. Beberapa watak sampingan juga seolah mempunyai sebuah rahsia yang mungkin akan dibongkarkan tidak lama lagi.
Konsep sitkom 50an dan 60an pada kedua-dua episod WandaVision ini mungkin tidak berapa kena dengan selera penonton dari Malaysia. Malahan ada yang akan berasa bosan kerana siri TV superhero yang disajikan belum menunjukkan sisi superhero yang sepatutnya penuh dengan aksi. Tetapi serba sedikit kedua-dua episod ini telah menunjukkan sebuah plot penceritaan yang penuh misteri yang membuatkan siri ini bertambah menarik.
“Are you using your night vision, Vision?” – Wanda
RATING: 4/5
Share:

Blog Archive