Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Tuesday, April 26, 2011

Komik Era Perfileman

Ya, memang tak aku nafikan, aku merupakan penggemar filem-filem sci-fi, dan kalau nak spesifikasikan dengan lebih terperinci, aku peminta filem bertemakan superhero. Hampir semua filem superhero yang pernah dihasilkan aku dah tonton, tak kisah lah datang dari Hollywood ke, Thailand ke, India ke, atau dari Malaysia sendiri, memang aku dah terapkan dalam jiwa bahawa filem bertemakan superhero mampu memberi hiburan kepada diri aku. Filem superhero merupakan genre filem yang sangat digemari penonton seperti aku kerana filem sebegini memberi satu hiburan yang luar biasa kepada penonton, tetapi jangan terjejut, kadang-kadang filem sebegini juga lah yang mematikan nafsu kepuasan kepada diri aku pada akhir penceritaannya.

Iron Man 2, Spiderman 3, Superman Returns, dan Fantastic Four merupakan filem yang sangat aku nanti-nanti kan pada awalnya, tetapi sedikit kecewa pada pengakhiran ceritanya. The Dark Knight, Kick Ass, The Incredible Hulk, Watchmen, The Green Hornet dan tak lupa juga The League of Extraordinary Gentleman (ya, aku klasifikasikan filem ini sebagai filem superhero juga), pula merupakan filem-filem superhero yang mampu mengukir senyuman di mukaku selepas aku keluar dari panggung. Tapi kalau nak tengok filem superhero yang paling aku respect, sudah tentu lah filem The Dark Knight dan Batman Begins dari Chritopher Nolan. Bagi aku Nolan sangat bijak bermain dengan filem Batman yang serba baru ini sekaligus menjadikan filem-filem Batman sebelum ini yang diterbit oleh Tim Burton menjadi sangat 'kartun'. Nolan berjaya mengubah persepsi superhero selaku fiksyen semata-mata menjadikan Batman sebagai satu realiti dalam kehidupan kita.

Tapi setiap filem superhero sudah tentu lah ada ciri-ciri istimewa masing-masing. Di sinilah wujudnya variasi yang membuatkan kita tidak bosan dengan filem yang tipikal. Mungkin ada penonton yang suka menonton filem seperti The Dark Knight yang tidak bergantung kepada superpower sahaja, dan mungkin juga ada penonton yang suka menonton filem seperti Iron Man dan Spiderman di mana adaptasi ke filemnya sahaja sudah menunjukkan situasi sesebuah komik dengan humor yang menghiburkan. Tapi apa salahnya, kalau sesebuah filem superhero itu diselitkan satu mesej atau sesebuah isu yang berat dengan jalan penceritaan yang mendebarkan, di samping mengetengahkan superpower dan efek khas.

Disini aku paparkan filem-filem superhero akan datang yang turut menjadi pennatian aku.


THOR (28 APRIL 2011)
KALAU IKUTKAN AKU TAK BERAPA NAK MENANTI SANGAT WATAK SUPERHERO NI DI FILEMKAN. TAPI LEPAS DAH DI WAR-WARKAN DAN DITUNJUKKAN CLIP-CLIP DARI FILEM INI, TAK DI NAFIKAN WUJUD JUGA UNSUR-UNSUR MINAT DALAM DIRI AKU TERHADAP FILEM NI. TAPI AKU TAK LETAK APA-APA EXPECTATION DALAM FILEM INI, KERANA IANYA DARI MARVEL STUDIOS, FAHAM-FAHAM SAJALAJ JALAN PENCERITAANNYA. APA YANG AKU NANTIKAN, ADALAH HASIL DARI ANTHONY HOPKINS, DAN JUGA KEWIBAWAAN KENNETH BRANAGH SEBAGAI PENGARAH.


CAPTAIN AMERICA (21 JULAI 2011)
AKU PUN TERTANYA-TANYA JUGA, KENAPA MARVEL STUDIOS LAMBAT NAK MENGHIDUPKAN WATAK CAPTAIN AMERICA DALAM FILEM. KERANA SUPERHERO NI MERUPAKAN IKON YANG TERKENAL DALAM LEGASI MARVIEL. AH, CUMA YANG KECEWANYA, KENAPA CHRIS EVANS LAGI YANG JADI WATAK CAPTAIN AMERICA? BUKAN KE DIA DAH JADI THE HUMAN TORCH DALAM FANTASTIC FOUR. TAKPE LAH, KITA TENGOK JE LAH KEBERKESANANNYA DALAM FILEM NI. OH YA, HUGO WEAVING LAH...RED SKULL...UUUUU....



X-MEN : FIRST CLASS (2 JUN 2011)
WAAAHHH...NI LAH FILEM SUPERHERO YANG PALING AKU NANTI TAHUN NI, SETIAP KALI AKU TONTON TRAILER FILEM NI, MESTI AKU AKAN TONTON BERULANG KALI. APA YANG MENARIK AKU UNTUK MENONTON FILEM INI, DAH TENTU LAH SEBAB JAMES MCAVOY, YANG MEMBAWAKAN WATAK PROFESSOR X. WOW, MACAM MANALAH AGAKNYA PENANGAN FILEM NI NANTI. OH YA, FILEM NI DI ARAH OLEH PENGARAH FILEM KICK-ASS. NICE.



THE GREEN LANTERN (16 JUN 2011)
KALAU NAK IKUTKAN WATAK SUPERHERO DARI DC UNIVERSE YANG AKU MINAT CUMA SUPERMAN DAN BATMAN. TAPI BILA DIORANG DAH LETAK RYAN REYNOLDS JADI GREEN LANTERN, TAK PASAL-PASAL AKU JADI TAK KERUAN NAK MENUNGGU FILEM NI. RYAN REYNOLDS NI PUN SAMA MACAM CHRIS EVANS GAK, DIA DAH PERNAH BAWAK WATAK DEADPOOL DALAM FILEM WOLVERINE DULU, SEKARANG NAK TRY PULAK BAKAT BAWAK WATAK SUPERHERO HIJAU NI. YAAA...MARK STRONG SEBAGAI SINESTRO, BANYAK BETUL PELAKON YANG AKU MINAT.



THE AMAZING SPIDER-MAN (3 JULAI 2012)
MULA-MULA AKU AGAK KECEWA JUGAK KENAPA FILEM SPIDERMAN TAK DISAMBUNG SAHAJA DARI EPISOD YANG LEPAS-LEPAS, KENAPA PERLU DI REBOOT. TAPI BILA AKU DAPAT TAU MARK WEBB (500 DAYS OF SUMMER) YANG AKAN MENGARAH, DAN ANDREW GARFIELD SEBAGAI PETER PARKER SERTA EMMA STONE SEBAGAI GWEN STACY, GILA LAH! NAMPAKNYA FILEM SPIDERMAN KALI INI SANGAT REMAJA, TAK SABAR NAK TENGOK SPIDERMAN VERSI BUDAK SEKOLAH. OH, SIAPA VILLAINNYA? THE LIZZARD DAN PROTO GOBLIN!




SUPERMAN : MAN OF STEEL (12 DISEMBER 2012)
KECEWA DENGAN DENGAN SUPERMAN RETURNS, AKU INGATKAN DAH TAK DE LAGI FILEM SUPERMAN AKAN DIHASILKAN. TAPI TIBA-TIBA, DIUMUMKAN ZACK SNYDER (300, WATCHMEN, SUCKER PUNCH) YANG AKAN ARAHKAN FILEM SUPERMAN SETERUSNYA. FUH! CUBA BAYANGKAN, GAYA PENGARAHAN ZACK SNYDER YANG SANGAT CGI, SANGAT DIGITAL, DITERAPKAN DALAM FILEM SUPERMAN! MEMANG KITA DAPAT TENGOK SUPERMAN YANG LAIN DARI YANG LAIN. VILLAINNYA KALI NI, GENERAL ZOD!



THE DARK KNIGHT RISES (19 JULAI 2012)
HURM...TAK TAU NAK CAKAP APA LAH. ANNE HATHAWAY SEBAGAI CATWOMAN. JOSEPH GORDON-LEVITT PUN ADA. KALAU AKU TAK TENGOK FILEM NI, MEMANG ADA LAH SESUATU YANG DAH BERLAKU. HAHAHA...



THE AVENGERS ( 4 MEI 2012)
WALAUPUN FILEM NI TAK DIKETAHUI LAGI PERKEMBANGANNYA. TAPI MEMANG DAH CONFIRM FILEM NI AKAN DITAYANGKAN TAK LAMA LAGI. BAGITAHU KAT AKU SIAPA TAK NAK TENGOK SUPERHERO KEGEMARAN KORANG BERGABUNG DALAM SATU FILEM. CAPTAIN AMERICA, THOR, IRON MAN, HULK DAN SHIELD BERGABUNG. FUH!

Share:

Wanita Dalam Filem Seorang Professor.

Kalau kita sebut je tajuk-tajuk movie seperti Mami Jarum, Lady Boss, Anak Mami, tentu saja kita tahu sapa pembikin filem-filem ini bukan, dah tentu lah pengarah tersohor negara kita, Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Dan kalau kita tengok karakter-karakter dalam filem-filem yang Prof Razak ni arahkan, dah tentu lah fokusnya lebih kepada karakter wanita selain dari karakter Saiful Apek yang sering digunakan sebagai pelaris filem Malaysia. Tapi aku bukan lah nak mengutuk filem-filem yang di hasilkannya, cuma lebih kepada kritikan umum saja.

Tak tau lah kenapa, sejak filem terakhirnya ditayangkan iaitu filem Ratu The Movie, aku baru perasan, yang kebanyakkan filem-filemnya menonjolkan watak wanita yang entah apa-apa. Maksud aku entah apa-apa adalah watak-watak itu seolah menunjukkan bahawa wanita di negara kita ni adalah sedemikian rupa. Seolah-olah menjatuhkan maruah wanita melayu. Memang lah tujuannya untuk menghiburkan hati penonton, tapi kalau dah hampir setiap filemnya menonjolkan watak wanita yang berperwatakan negatif, bukankah ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Aku tak tahu lah kalau dia nak kata wanita melayu ni memang macam tu, atau dia memang dah kekeringan idea untuk mengetengahkan watak yang lain dari kebiasaan.

Kalau ada yang tak setuju dengan pendapat aku ni, cuba kita imbas kembali, dalam filem Mami Jarum, tajuknya saja dah menunjukkan yang wanita adalah seorang yang bermulut becok, kaki fitnah, suka riak dan tak tahu malu. Lady Boss, watak utama wanita dalam filem ini ditunjukkan sebagai seorang yang bongkak, tidak sedar diri, sangat bossy dan tak boleh terima kesalahan diri sendiri. Bujang Senang, banyak betul watak-watak wanita yang menjadi calon isteri si Bujang, semuanya terdiri daripada yang gedik, jiwa tak betul, mata duitan dan miang. Anak Mami Kembali, yaaaa...sekali lagi kita dapat tengok wanita yang digelar sebagai ibu, tetapi bermulut becok, suka mengata orang, tidak sedar diri dan kuat menyindir. Banyak lagi lah filem-filemnya yang lain, seperti 4 Madu, Otai, Jutawan Fakir dan yang paling latest, Ratu The Movie pun menonjolkan karakter-karakter wanita yang boleh menjatuhkan martabat wanita di Malaysia ini.

Bagi aku tak salah pun kalau kita nak ketengahkan suatu watak itu bagi memberi pengajaran kepada penonton. Tetapi, kalau dah orang tergelak melihat karakter yang boleh memberi kesan negatif kepada sesetengah pihak, adakah pengajaran itu penting bagi sesetengah penonton. Jujur aku katakan, penonton pergi menonton filem tidak pernah berniat untuk mengambil pengajaran. Mereka datang untuk berhibur tanpa mempedulikan karakter-karakter dalam filem tersebut. Tetapi pengajaran dalam sesebuah filem itu datang secara sendirinya. Atau lebih tepat aku katakan, orang lebih berminat untuk menjadi diri orang lain, dari mereka berminat untuk tidak menjadi seperti orang itu. Maksud aku, kalau kita letak watak heroin yang lemah lembut, sopan santun, penonton sendiri akan terdorong untuk menjadi seperti watak tersebut. Tetapi kalau kita letak watak antagonis, kebarangkalian untuk penonton peduli akan karakter itu sangat tipis. Mereka akan berasa tidak kisah, dan menonton watak itu sebagai satu hiburan semata-mata. Di mana pengajarannya? Kalau betullah setiap filem yang di hasilkan di dunia ini mampu memberi pengajaran kepada masyarakat dunia, aku rasa sekarang ni dah tak ada perkataan perang, hasad dengki, tamak haloba dan semua lah perkara-perkara yang negatif.

Pokok pangkalnya, kepada Prof Razak, perlu lagi ke kita meletak watak wanita yang langsung tidak memberi pengajaran kepada penonton? Rasanya pembikin filem kita boleh cuba tutup buku lama, habiskan elemen lama dalam filem-filem anda, dan cuba, cubalah cari idea segar untuk menghasilkan filem yang boleh buat penonton kita berfikir, dan berpendapat, bahawa filem kita hebat di mata kita. Filem kita wajah kita, bukan wajah indon, wajah hindustan, wajah pan asia. Dan apa saja watak yang kita letak dalam filem kita, itu lah bangsa kita. Tak kira baik atau buruk, semuanya hanya boleh di nilai penonton yang menjadi saksi. Peace : )
Share:

Tuesday, April 19, 2011

Salah penonton ke?

Seringkali kalau aku baca di akhbar-akhbar tempatan, sekiranya sesebuah filem anak Malaysia tidak mendapat sambutan yang menghangatkan, pasti saja si produser mahupun si pengarah menuding-nuding jari kepada pelakon, pihak panggung wayang dan persatuan filem yang kononnya penyebab filem mereka hambar. Ada juga yang tidak terlepas menuding jari kepada penonton, sudah tentu aku sendiri selaku penonton filem dan penggemar filem terasa dengan lontaran pedas dari mereka yang lancang menyalahkan penonton.

Inilah kesilapan yang besar dilakukan oleh pembikin filem, tak kira lah sama ada di dalam atau di luar negara. Mereka berebut-rebut cuba menyuntik elemen seni, humor, ganas, mencari sesuatu yang baru, berbelanja besar menghasilkan efek khas yang belum pernah dicuba, tetapi mereka sering lupa akan satu elemen yang paling penting dalam menjayakan sesebuah filem, iaitu penonton. Kalau ada yang menghibur, pasti ada yang terhibur, kalau ada yang menjual, pasti ada yang membeli. Sama juga seperti filem, berjayakah sesuatu filem itu jika tidak menang di hati penonton? Ya, secara peribadinya, filem itu telah berjaya, tetapi di hati pembikinnya. Ya, secara teknikal, filem itu telah berjaya, jikalau trofi anugerah menjadi ukuran. Tapi bagaimana dengan orang-orang yang melenting sudahlah filemnya tidak ditonton, sebarang anugerah pun tidak dibolot, patutkah mereka menuding jari ke arah penonton?

Bagi aku tak kisah lah kita buat filem macam mana pun. Tak salah kalau kita buat filem yang bukan mengikut arus selera penonton. Tapi sebelum kita buat filem sedemikian, hendaklah kita jujur dengan mengatakan filem itu sudah cukup bagus dan telah menghiburkan hati si pembikin secara peribadi, tak kisah lah orang nak tengok atau tak, yang penting kita puas dengan apa yang kita lakukan. Memang, jika diikutkan, filem yang mengikut trend lebih berjaya berbanding filem yang cuba memecah tradisi. Pada zaman 90an pun, penonton kita lapar untuk menonton filem-filem seram, asyik sangat ditayangkan cerita komedi dan cinta. Tapi sekarang, sudah terlalu banyak pula filem seram ditayangkan. Tidak ke muak penonton kita disogokkan dengan filem seram semata? Kalau seseorang pengarah menghasilkan dua tiga cerita seram, tak apa juga, ini tidak, setelah melihat keberkesanan filem seram yang dihasilkan, rakus pula dia menghasilkan filem seram secara bertubi-tubi. Sampai orang jelak dengan watak hantu yang tersangatlah stereotaip. Di mana kreativiti pembikin filem kita. Sekarang penonton kita lapar...lapar dengan filem-filem yang lebih bervariasi.

Aku juga tertarik dengan seorang produser yang menyalahkan Finas, hanya kerana meluluskan tayangan filem Melayu sekali seminggu, filemnya terpaksa menanggung kesan kerugian yang banyak. Sedangkan si produser ni dah bertungkus lumus mempromosi filemnya ini, denga hal kontroversi lagi, tak cukup syarat kalau setiap hari tak keluar tentang berita filemnya ini. Tetapi hasil yang dia dapat, tak pulang modal pun, eh, Finas pulak yang dipersalahkan. Nak buat macam mana kalau sekarang ni memang pembikin filem sedang gigih buat filem. Bukankah itu satu perkembangan yang bagus. Sekurang-kurangnya ada jugak filem Melayu baru yang kita boleh tonton selain filem Hollywood. Generasi sekarang memang dah menjadikan menonton filem itu sebagai satu budaya pop. Jadi, kalau si pembikin filem ni nak filemnya laris, cuba lah buat filem yang bagus sikit. Penonton kita dah bijak menilai, kalau setakat visual guna kamera yang advance, tapi dialog masih lagi zaman 80an, macam mana nak tarik minat penonton.

Apa yang aku cuba nak katakan, jangan lah kita sibuk salah kan penonton kerana tak tonton filem yang kita penat hasilkan. Sebaliknya baik kita cuba renungkan, dan cari ilham, macam mana nak tarik penonton supaya menonton filem kita. Yelah, tugas buat filem ni pun macam kihidmat pelanggan jugak, mestilah beri yang terbaik kepada pelanggan kita. Dan kalau kita tak nak buat ikut selera penonton, pun boleh, tapi tujukan filem itu lebih kepada diri sendiri, jangan pulak sibuk target paksa penonton tengok. Jangan sibuk fikir macam mana nak masuk kan elemen ini, elemen itu, cuba jadi sejujur mungkin dalam menghasilkan filem, walaupun tak ramai orang tonton, tapi sebenarnya, filem yang jujur menang di hati orang yang kita sayang...: )

p/s : In memory of the true filmmakers. Peace be upon you.
Share:

Cinta Itu Bukan Sekadar Perkataan.*sebuah reviu filem pendek AD




Menonton filem pendek ini hingga selesai seperti tidak puas, bukan kerana pengakirannya, bukan kerana plotnya, bukan juga kerana watak-wataknya. Tetapi kerana ianya seperti menyeksa diri kita yang menonton supaya meminta lebih dan lebih lagi. Dan ianya sesuatu yang bagus. Walaupun aku merasakan ingin menonton dengan lebih panjang lagi, tetapi dengan durasi lebih 10 minit, filem ini mampu memberi pengajaran dan mempunyai maksud yang mendalam bersamaan dengan filem cereka berdurasi 90 minit.

Memang pada awal penceritaan aku nampak kejanggalan di antara watak-watak, tetapi setiap perlakuan, ucapan mahupun dari segi teknikal filem ini, mempunyai sebab musababnya yang sendiri supaya penonton boleh berfikir mengapa ianya begitu, kenapa ianya begini, dan persoalan tersebut akan terjawab selepas aku menonton filem ini hingga ke akhir. Itu lah yang aku maksud kan di mana filem ini boleh digali untuk mencari maksud-maksud simbolik yang tersembunyi di celah-celah perkataan, di sudut-sudut shot, di sebalik pakaian watak dan di balik kejanggalan watak.

Atas sebab kematian Ad, Katty iaitu 'orang paling rapat' dengan Ad, bersama bantuan adik Ad iaitu Nita, menunaikan hajat Ad untuk memberi puisi-puisi yang dikarangnya sendiri kepada insan-insan yang ditujui iaitu seperti pensyarah Ad, bekas kekasihnya, kawan baiknya dan beberapa lagi insan lain yang dirasai Ad amat penting dalam hidupnya termasuk adiknya sendiri iaitu Nita. Hinggalah hajat Ad itu menimbulkan perasaan terguris di hati Katty yang disangkanya orang paling rapat, tetapi tiada satu puisi pun dituju kepadanya.

Pada awal babak, memang sengaja dipaparkan kepada penonton akan perlahannya pergerakan cerita ini tanpa iringan muzik beserta percakapan watak seolah nampak kaku. Perkara ini juga dapat dilihat pada babak puisi pertama diberi kepada pensyarah Ad, Encik Aiman. Tapi apabila ditunjukkan pula flashback Ad dengan pensyarahnya itu, hilang pula memek muka dan perlakuan kaku En. Aiman. Bila diteliti, bukankah itu perwatakan pensyarah kita? Hanya berasa selesa dengan student favorite mereka. Haha.

Tetapi setelah puisi-puisi tersebut diberi pula kepada kawan baik Ad dan bekas kekasih Ad, di sini timbulnya suasana lucu yang tidak membuat kita ketawa terbahak-bahak, tetapi cukup dengan senyuman yang sangat menggelikan hati kita. Jujur kata, filem ini tidak menonjolkan keadaan lucu yang dipaksa atau yang terlalu berat. Simple is better. Barulah perkara yang simple ini, bertukar suasana menjadi ceria dengan babak montaj Katty dan Nita memberi puisi-puisi Ad kepada orang tertentu dan kali ini, latar muzik menjadi sangat menghiburkan kita.

Untuk puisi-puisi yang ditulis Ad kepada En. Aiman, kawan baiknya Izat, bekas kekasihnya Maya, dan adiknya Nita, harus diberi pujian kerana setiap bait-bait puisi ditonjolkan dengan sebaik mungkin mengikut perwatakkan yang ditujukannya. Sama juga dengan perwatakan Katty, aku sendiri tertanya-tanya kenapa Katty berperwatakkan seperti itu. Perlakuannya ditonjolkan seperti karakter kucing dengan marahnya, sedihnya, dan terasa hatinya. Dan diakhir cerita ini lah baru diberitahu tentang misteri ketiadaan puisi untuk Katty, dan kenapa Katty seperti itu. Kerana Ad ketandusan, kebuntuan, dan tidak sampai hati untuk menggambarkan perasaannya kepada Katty melalui baris-baris ayat. Aku sendiri tidak tahu apa hubungan mereka berdua, adakah hanya teman yang sangat rapat? Tetapi semuanya terjawab setelah Katty yang terasa hati melihat lukisan dirinya sendiri berdiri disebelah kucing yang dilukis oleh Ad.

Di sini, Ad ingin memberitahu kepada Katty, bahawa rapatnya dirinya kepada Katty, dalamnya perasaan cintanya kepada Katty, dan betapa kasihnya dia kepada Katty, tidak dapat dia nyatakan dalam bentuk perkataan. Cukup hanya dengan sekeping lukisan, telah menceritakan seribu satu perasaan. Dan pada babak flashback keakraban Ad dan Katty, amat mustahil untuk penonton tidak berasa sebak, mahupun bergenang air mata. Kerana kita bukan setakat merasai perasaan Ad terhadap Katty, tetapi kita juga dapat merasai, betapa jujur filem ini dihasilkan tanpa menghiraukan cakap-cakap orang. Itulah yang aku suka tentang filem pendek berjudul Ad ini.

p/s : Watak kegemaran aku adalah si kucing. Hahaha.
Share: