Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Saturday, December 4, 2010

Sisi Depresi Dunia Potter.* sebuah reviu Harry Potter and the Deathly Hallows


Aku memang menantikan movie kegemaran aku ini untuk di reviu. Sememangnya aku adalah peminat legasi Potter sejak dari sekolah menengah lagi. Tapi tak bermakna aku minat dengan kesemua siri movie Harry Potter. Kalau bab buku, tak perlu lah diceritakan lagi, sekali dah masuk dalam alam magis Potter, memang terkial-kial nak keluar. Tak ada buku Harry Potter yang aku tidak minat. Berbeza pula dengan movie-movienya. Selepas Goblet of Fire, minat aku terhadap adaptasi Potter agak berkurangan. Bertambah lagi dengan kehadiran Half-Blood Prince yang langsung tidak memberi sebarang klu atau sebab mengapa movie ini penting. HAlf-Blood seolah teen movie versi Potter. Kemarahan aku tidak sekadar di lepaskan kepada dua movie Potter ini, iaitu Other of Phoenix dan Half-Blood, tetapi juga terkena kepada pengarahnya, David Yates. Hinggakan aku menggelar David Yates sebagai pengarah terburuk pernah mengarah siri Harry Potter. Tetapi, kehadiran The Deathly Hallows menenggelamkan kemarahan aku kepadanya.



Buat pertama kalinya aku rasa, movie The Deathly Hallows lebih dramatik dari bukunya. Aku tak pernah menjangka adegan-adegan yang difikirkan sebagai tragik yang biasa boleh diadaptasi dengan lebih dahsyat ke bentuk movie. David Yates berjaya menunjukkan sisi depresi dalam movie ini di mana masyarakat sihir sedang bergolak dengan perasaan takut dek kehadiran Lord Voldemort dan Death Eaters. Pada awal movie ini sahaja telah menunjukkan babak-babak yang sedih hingga kita sendiri merasai bahawa dunia Harry Potter yang kita kenal dulu ceria dan seronok kini bertukar menjadi kelam. Dunia Harry Potter yang sangat keanak-anakkan dahulu kini telah berubah menjadi satu dunia penuh epik setaraf dengan cerita epik Lord of The Rings dan Narnia.



Movie ini juga bukan sekadar menunjukkan sisi depresi, tetapi tetap kekal dengan jenaka parodi dan situasi yang melucukan di kalangan watak seperti Ron Weasley, kembar Weasley dan Harry Potter itu sendiri. Ianya agak seimbang dengan wujudnya perasaan sedih, gerun dan kelakar yang terdapat dalam movie ini. Kita dapat merasakan kegerunan watak dalam movie ini serta babak-babaknya seperti ketika Potter dan kawan-kawannya diserang secara mengejut ketika terbang ke rumah keluarga Weasley. Perasaan kelakar pula wujud ketika babak Ron yang sering membuatkan kita ketawa dengan dialog-dialognya. Serta tidak dilupa juga babak ketika di Kementerian Sihir. Di mana mana Harry, Ron dan Hermione menggunakan Polyjuice Potion untuk menyamar menjadi kakitangan Kementerian Sihir untuk mencari Horcrux Voldemort yang terdapat pada Umbridge. Babak ini telah menjadi satu babak yang akan diingati dan menjadi kegemaran ramai, di mana kita dapat melihat, David O'hara melakonkan watak Albert Runcorn yang berperlakuan seperti HArry. Ingin diceritakan pula tentang kesedihan yang terdapat dalam movie ini. Sudah tentunya terasa ketika Ron meninggalkan Harry dan Hermione kerana tertekan. Dan lebih menyedihkan lagi adalah babak Dobby, mati terkena tikaman bilah pisau lontaran Belatrix Lestrange.Kesedihan ini dapat dirasa tepat selepas kita dapat menyaksikan babak lucu ketika Dobby membantu Harry keluar dari rumah agam Malfoy dan bertarung dengan keluarga Malfoy.


Cukuplah dengan pujian yang diberikan kepada movie ini. Selain dari seronok menonton movie yang penuh perasaan ini, movie ini juga mempunyai plot yang agak lambat kerana pengembaraan Harry, Ron dan Hermione yang tiada arah tuju. Mereka diberikan tugas untuk mencari empat Horcrux Voldemort yang tinggal. Tetapi tidak mempunyai sebarang petunjuk di mana Horcrux-Horcrux ini berada. Tetapi di bahagian pertama movie ini, satu Horcrux telah berjaya dihancurkan oleh Harry dengan bantuan Ron, iaitu loket Salazar Slytherin. Kini tinggal tiga lagi Horcrux yang perlu dihapuskan iaitu cawan emas Helga Huplepuff, mahkota Rowena Ravenclaw dan ular kesayangan Voldemort, Nagini.


Selain dari misi mereka mencari Horcrux, movie ini juga menyelitkan misi Voldemort dalam mencari tongkat sakti iaitu Tongkat Elder yang kononnya salah satu dari Deathly Hallows untuk menumpaskan Harry Potter. Voldemort telah mengenalpasti bahawa tongkat sakti lamanya mempunya persamaan dengan tongkat Potter. Oleh itu dia menggunakan tongkat Lucius Malfoy untuk membunuh Harry ketika serangan mengejut di atas awan. Tetapi tetap tidak dapat mengalahkan tongkat sakti Harry. Di sini, Voldemort cuba menjejak tongkat lagenda Deathly Hallows yang pernah dimiliki oleh Gregorovitch, pembuat tongkat sakti Bulgaria dan Grindelwald, seteru dan sahabat lama Dumbledore. Yang akhirnya, dimiliki oleh Dumbledore sendiri. Movie ini ditamatkan dengan kejayaan Voldemort memperoleh tongkat sakti Dumbledore.

Sememangnya movie ini adalah sebuah movie yang perlu ditonton samaada oleh peminat Harry Potter mahupun mereka yang menginginkan sesuatu untuk merehatkan minda. Ini kerana movie ini tidak begitu memeningkan kepala yang menontonnya. Tentunya juga, movie ini memberi kenangan manis kepada mereka yang mengikuti perjalanan Harry sejak dari budak lelaki ini berumur 11 tahun.

Share:

Saturday, July 31, 2010

Secebis Reviu Seringkas Sinopsis* sebuah reviu Price of Persia, The Karate Kid, Toy Story 3, Kapoww, Inception, Resident Evil 4 dan The Last Airbender

Sepanjang bercuti ini, aku sempat lagi menonton 7 buah movie di pawagam, tetapi tidak sekerap dulu. Dan sekarang barulah sedikit terluang dan terberpeluang untuk menulis reviu movie-movie yang aku tonton. Harap lepas ni aku dapat kembali menonton movie sekerap dulu. :)


Mesin Masa Purbakala* sebuah reviu Prince of Persia : The Sand of Time

Agak menjadi satu kredit bagi aku yang menonton movie ini, adalah kerana aku belum mengetahui jalan ceritanya melalui video game. Sekaligus aku tidak terlalu terbawa-bawakan watak paranoid seorang peminat yang inginkan adaptasi movie ini menjadi begitu terperinci. Jadi, watak-watak adaptasi dalam movie ini dengan selapang dada aku menerima mereka walaupun aku tak tahu bagaimana watak-watak ini bermain di video gamenya.

Secara keseluruhan untuk movie ini, sememangnya seronok untuk ditonton. Ya, jalan ceritanya yang agak tipikal, penggunaan babak-babak perang dan perkenalan watak yang sangat klise, tapi tak mengapalah, sebab kita sudah lama tidak dihidangkan movie bergenre 1001 Arabian Nights ala Hollywood. Memang benar, movie ini adalah sebuah popcorn movie, yang ditonton untuk menghiburkan hati. Tapi bukankah itu tujuan asal sesebuah movie. Asalkan, movie ini tidak mengetengahkan unsur-unsur yang menjengkelkan. Movie ini sangat digarap dengan begitu cantik, bercampur pula dengan twist-twist yang menghiburkan hati.

Bapa Borek Anak Lebih Hebat* sebuah reviu The Karate Kid

Jaden Smith lebih hebat dari bapanya, Will Smith. Nak tau kenapa aku beritahu begitu. Yelah, sedangkan aku masa usia 12 tahu, nak berlari keliling padang pun termengah-mengah, tapi anak Will Smith ni, pada usia yang sama dah pandai berkung fu di samping berlakon dengan bersahaja dan mantap.

Movie ini bagi aku kekuatannya memang bergantung kepada kekuatan watak Jaden, iaitu Dre. Dan penggunaan watak-watak sampingan untuk movie ini juga banyak memberi bantuan berbanding movie lain yang menjadikan watak sampingan sebagan tempelan movie. Aku juga kagum dengan kredibiliti Jackie Chan yang akhirnya membuktikan beliau adalah seorang pelakon berwibawa dan bukan hanya bersandarkan komersial semata-mata. Jackie juga bijak meng-overshadowkan diri untuk keselesaan Jaden sebagai watak utama dan bukannya dia.

Tak lupa untuk movienya pula, ya, sebuah klasik yang moden. Menghiburkan, mendebarkan
dan memberi kita inspirasi. Itu yang penting, sebuah movie yang memberi inspirasi.

Zaman Silam Kanak-Kanak* sebuah reviu Toy Story 3

Sebuah lagi movie yang memberi inspirasi. Ditambah pula dengan unsur-unsur komedi, dramatik, strategik dan super duper kreativiti. Bagi aku movie yang bercirikan animasi ini lebih hebat dari movie-movie live action yang pelakon-pelakonnya sangat nampak ciri-ciri berlakon mereka. Hey, kartun pon pandai emosi okay. Sangat-sangat terasa babak sedih yang disampaikan. Sangat-sangat terbelahak melihat komedi yang dipamerkan. Dan juga, garapannya menjadi lebih menarik berbanding dua movie sebelumnya.

Mungkin keterujaan aku terserlah kerana sudah lebih 10 tahun menunggu movie ini ditayangkan. Kerinduan yang mendalam terhadap mainan-mainan Andy sangat mendalam, dan akhirnya, aku sendiri menjadi seperti kanak-kanak sebaik menonton mereka. Tiada lagi mainan yang tidak sedar diri dalam kelompok rakan-rakan, tiada lagi pergaduhan sesama rakan permainan, kecuali mainan luar yang berdendam dengan tuannya sendiri. Tapi pembalasan di akhir movie, sangat senang membuatkan kita tersenyum.
Adiwira Melayu Yang Me-Layu* Kapoww - Atoi Budak Ajaib
Sehingga lah pos ini di tulis, dikhabarkan Azizi Chunk Adnan telah tawar hati untuk membikin movie lagi. Sudah tiba masanya beliau sedar bahawa konsep penceritaan dan komedi yang dibawakan oleh beliau tidak boleh diterima oleh penonton. Perlu diingatkan, sekiranya movie kita yang dikatakan segar, berkonsep baru, mempunyai kelainan, tetapi tidak mendapat kutipan yang lumayan, jangan sesekali disalahkan penonton. Penonton yang memilih, sama ada kita ingin membuat movie pilihan penonton, atau movie baru untuk dicuba penonton, salah kita sendiri.
Tapi untuk movie Kapoww ini, aku masih lagi tabik dengan keupayaan produksi movie Malaysia menghasilkan efek yang hebat persis Hollywood dengan berbekalkan bajet yang ciput. Itu sahaja yang aku mampu puji untuk movie ini selain dari lakonan Zizan dan pelakon-pelakonnya yang lain. Cuma kesilapannya, pada jalan cerita dan konsep yang cuba abang Chunk bawakan.
Hidup Sebenarnya Mimpi* Inception
Hebat. Persetankan sahaja penonton-penonton lain yang mengatakan movie ini cukup membosankan. Apa salahnya sekali-sekala kita rasa enjoy dengan movie yang mengetengahkan jalan cerita dan ideologinya, berbanding dengan movie yang sibuk mengetengahkan efek khas, superhero dan komedi. Inception lah satu-satunya movie yang aku rasa seronok dan tidak bosan dengan jalan cerita yang meleret dan ideologi yang mencurah-curah.
Sememangnya ianya adalah movie yang kita tak boleh nak ulang tayang tengok lagi sekali, tetapi bukan kerana kita bosan atau tidak faham, tetapi kerana dengan hanya sekali tengok, sudah cukup memuaskan hati. Pengarahnya, Christopher Nolan memang benar-benar teliti dan teratur mempersembahkan movie ini tanpa cacat cela. Movie ini lah yang akan menyebabkan kita bertanya, mengapa perlu ada seks dalam movie? ; mengapa perlua ada komedi dalam movie? ; mengapa perlu ada heroin cantik dalam movie? ; mengapa perlu ada CGI dalam movie? ; dan akhirnya, Inception lah jawabnya.
Shiooo...Shiooo...3D Tuuu* Resident Evil - Afterlife 3D
Inilah movie adaptasi dari game yang sangat sejati. Kerana movienya saja dah macam kita saksikan sebuah permainan video game. Bertambah hebat, video game 3D. Dengan mengambil kira kesan movie-movie sekuelnya yang sebelum ini, movie Resident Evil kali ini sangat lah selamat gaya penceritaan dan plotnya. Tak perlu berfikir, tak perlu tertanya-tanya, tak perlu fikir lagi pasal movienya sebelum ini. Cuma pakai cermin mata 3D, duduk relax, makan popcorn, dan enjoy the movie.
Paling Buat Orang 'Angin'* The Last Aibender
Aku pun tak faham kenapa orang marah sangat dengan M. Night kerana menghasilkan movie adaptasi dari kartun famous ni. Biarlah dia hasilkannya dengan caranya tersendiri. Takkan nak kartunnya hebat, movienya pun hebat. Bagi aku M.Night memang sangat bijak kerana membuatkan peminat siri kartun Avatar : The Last Airbender tertunggu-tunggu movie sekuelnya. Pemilihan pelakon pun sangat aku setuju walaupun menampakkan kelainan berbanding siri kartunnya.
Bagi aku sendiri, kartunnya mempunyai style yang tersendiri, movienya pula, terdapat style tersendirinya juga. Cuba kita just enjoy dengan jalan cerita, efek khas, alam fantasi dan lakonan Dev PAtel dalam movie ini. Dan endingnya pula, wah!!! Memang berbaloi aku menuggu adaptasi cerita ini.
Share:

Sunday, May 16, 2010

Komedi berbulu. *sebuah review Furry Vengeance




Furry Vengeance! Sebuah lagi filem komedi lakonan Brendan Fraser dan diarahkan oleh Roger Kumble. Filem komedi ini pada pandangan saya kurang impak komedinya. Mungkin ada gelak ketawanya, tapi masih saya rasakan elemen komedi itu sekadar ketawa kosong dan tiada impak seperti yang saya rasakan semasa menonton filem DateNight atau pun KickAss. Barangkali percubaan pengarahnya mengarahkan filem komedi kurang berjaya apabila saya merasakan filem arahannya seperti Cruel Intentions lebih menarik perhatian saya. Roger Kumble juga pernah mengarahkan filem romantik komedi, The Sweetest Thing, dan filem itu juga sebenarnya kurang menarik perhatian saya (walaupun saya sangat suka cameron diaz!).

Furry Vengeance mempunyai hanya satu mesej yang jelas iaitu sayangilah alam sekitar kita dan isi dalamnya. Itu pada pandangan sayalah. Mesej tersirat selain itu biarlah menjadi persoalan yang ditafsirkan oleh individu yang menontonnya sendiri. Yelah, seperti hanya watak orang asia sahaja yang mahu memusnahkan alam dan meletakkan watak dari barat yang mahu menyelamatkannya. Ehem! ;)...

Jalan ceritanya juga hanya tertumpu pada kebijaksanaan si kaum berbulu ini (haiwan2 dalam hutan) mengenakan Dan Sanders (Brendan Fraser), seorang yang bertanggungjawab menjalankan projek membangunkan kawasan perumahan di sebuah hutan di mana habitat haiwan2 ini terancam. Memang hampir 70% daripada isi cerita ini hanya memaparkan kelucuan (cam lucu gaklah..) karakter2 haiwan berbulu ni mengenakan si Dan Sanders yang cuba meyakinkan keluarganya bahawa dia sebenarnya diserang oleh haiwan2 ini dan bukanlah sekadar imaginasinya sahaja. Terlalu banyak paparan ini sehingga satu tahap saya tertanya, bila nak habis cerita ni? Apa ending nya? Motif? Unsur meleret itu mulai terasa pada pertengahan cerita...

Lakonan Brandan Frasers tersangatlah biasa dan tak ada apa yang mencabarnya. Sekadar berlakon bersama dengan karakter haiwan, saya berpendapat beliau boleh lakukan yang lebih baik dalam The Mummy, Journey to the Center of Earth atau pun Inkheart. Kira, watak Dan Sanders ni cam suruh pejam mata pun boleh buat dah. Haha..tak ada karakter yang betul2 menarik perhatian saya. Tapi saya tertarik dengan karakter syerif yang sebolehnya mahu mengesyaki Mrs Sanders mempunyai niat untuk membunuh Mr Sanders dengan bertanyakan soalan yang berbaur psiko dan gaya yang sumpah poyo. Haha...selain dari itu, karakter Neal Lyman sebagai boss kepada Dan Sanders lakonan Ken Jeong bagi saya mungkin boleh jadi lebih menarik sekiranya karakter itu tidak terlalu “over” perwatakkannya. Ha, kalau nak tau apa yang saya maksudkan, pergilah tonton sendiri. Haha..

Secara keseluruhannya, mesej mengenai pertarungan nature menentang manusia daripada memusnahkan mereka adalah satu mesej yang baik sekiranya boleh dipaparkan dengan lebih menarik lagi dalam filem ini. Terlalu lama tentangan itu dipaparkan sehingga mesej yang cuba disampaikan menimbulkan rasa jemu untuk menonton pada akhir filem tersebut. Walaupun terhibur, tetapi ada juga rasa kurang lengkap menonton filem ini. Tidak menggalakkan, tapi kalau mahu pergi sekdar berhibur, pergilah menonton Furry Vengeance.

p/s: asyik tersilap sebut tajuknya Furry Revenge...haha!
Share:

Friday, May 7, 2010

Tipikal Aksi Komikal. *sebuah reviu The Losers

Kalau nak diikut, pengadaptasian gaya aksi dalam movie ini tak de beza sangat dengan movie-movie aksi yang lain kerana masih lagi diwujudkan untuk membuatkan penonton rasa teruja. Malah sebaik menonton movie ini, aku masih lagi melekat dengan kelainan aksi yang ditunjukkan dalam movie Wanted.

Tetapi movie ini telah diselamatkan dengan jalan cerita yang boleh dikatakan juga sebagai selamat. Mungkin sebab ianya adalah adaptasi dari komik, jadi jalan cerita yang dipertontonkan tidak boleh dipertikaikan lagi. Cuma apa yang menarik bagi aku untuk ketengahkan disini adalah tentang apresiasi watak yang cuba disampaikan.

Entah kenapa, aku melihat watak-watak dalam movie ini dihasilkan seakan parodi untuk menyindir watak-watak dalam movie aksi yang lain. Terutama pada watak antagonis, dalam sesebuah movie bercorak aksi atau superhero atau mercenary people, watak sebegini amat penting. Dan karakter untuk watak antagonis sudah semestinya yang palin kreatif ditonjolkan. Sama lah seperti movie ini juga.

Aku tidak nampak perwatakkan yang dominan pada watak-watak dalam movie ini. Seperti watak antagonisnya iaitu Max yang dilakon oleh Jason Patric, nampak seperti ia ingin meniru watak-watak antagonis movie aksi yang lain. Ingin menjadi seorang antagonis yang bersifat tenang dan sarkastik tetapi dalam pada waktu yang sama sangat kejam. Ah, sangat klise. Dan percubaan Robert untuk menonjolkan watak sebegini tidak menarik langsung.

Secara tak langsung, sebenarnya aku lebih menyukai watak Aisha oleh Zoe Saldana yang dilihat cukup cemerlang. Zoe yang pernah melakonkan watak makhluk Na'Vi, Neytiri dalam movie Avatar dilihat cukup menghayati watak untuk menjadi wanita yang cekal, ganas, sedih dan seksi. Semua ini dibawa dengan cukup rasa tanpa perlu menokok tambah emosi yang berlebihan. Malah aku dapat melihat Zoe seperti overshadow watak Clay yang dimainkan oleh Jeffrey Dean Morgan yang juga merupakan watak utama.

Dalam penghasilan sebuah movie aksi, kita dapat melihat elemen sama yang diterapkan, iaitu hero, penjahat, misi hero, misi penjahat, belot membelot kawan dan halangan dari sesuatu yang cukup besar. Sebagai sebuah movie aksi, movie The Losers ini boleh dikatakan berjaya kerana menerapkan kesemua elemen wajib ini. Dan ya, aku tertarik dengan senjata dari pihak musuh untuk menggugat keamanan dunia, iaitu The Snukes dimana senjata bom ini mampu menghancurkan sebuah pulau tanpa kesan kepada alam persekitaran.

Walaubagaimanapun, movie ini terhibur juga jika ditonton, kerana kita akan melihat sekelompok kawan, Clay, Roque (Idris Elba), Pooch (Columbus Short), Cougar (Oscar Jaenada) dan Jensen (Chris Evans). Dan kebolehan mereka dalam kombat juga lah yang menjadi nadi penggerak cerita, kerana mereka ini lah The Losers.
Share:

Wednesday, May 5, 2010

Segalanya Tentang Kung Fu. *sebuah reviu Ip Man 2


Movie sekuel ini tak ada bezanya dengan movie pertama dari segi jalan cerita. Semuanya tentang kehidupan seorang sifu kung fu. Cuma bezanya adalah latar zaman yang dipaparkan di mana untuk movie pertama, dapat dilihat era zaman Jepun, tatapi untuk movie kedua ini pula, diperlihatkan zaman pendudukkan British di Hong Kong selepas Ip Man berhijrah untuk meneruskan hidup.

Sebagai sebuah movie yang memaparkan aksi sepenuhnya, aku berani mengatakan movie ini sangat berjaya walaupun jalan ceritanya terlalu ringkas untuk dipaparkan. Tapi tak apa, hal ini tidak boleh diperbangkitkan lagi kerana aspek utama movie ini adalah aksi, manakala jalan cerita pula sekadar dijadikan elemen tambahan. Sudah tentu kita sendiri akan berasa pening dengan jalan cerita yang memerah otak bertambah pula dengan aksi yang melampau dahsyat. Bagi aku cukup sekadar aksinya yang menarik dan lain dari yang lain untuk menyelamatkan sesebuah movie. Hollywood sendiri kadang-kadang terlalu ingin menyeimbangkan jalan cerita dan aksi yang ingin dijadikan sesuatu yang hebat, tetapi akhirnya menjadi buah mulut penonton yang tidak memahami inti pati movie tersebut.

Untuk Ip Man 2, sejarah yang dipaparkan sendiri telah memberi kelebihan kepada movie ini untuk terus mendapat sokongan orang ramai. Movie ini juga turut mendapat bonus sambutan hangat dek kerana sikap ingin tahu penonton akan perkara yang berlaku selepas movie yang pertama. Walaupun aku mengatakan jalan ceritanya biasa sahaja, tetapi aku masih lagi tertarik dengan apa yang dipaparkan. Movie ini seolah himpunan movie-movie kung fu yang lain dan dipertontonkan babak-babak seni mempertahankan diri ini dengan jelas satu persatu dan diperbandingkan dengan seni kung fu yang dibawa Ip Man iaitu seni Wing Chun. Seni ini dipaparkan secara lembut dan sopan berbanding seni kung fu lain terutama dari pesaing Ip Man iaitu Master Hung (Sammo Hung).

Percayalah cakap aku, babak pertarungan antara Ip Man dan Hung Chun-Nam adalah merupakan yang paling menarik kerana aksi pertembungan dua seni kung fu iaitu Wing Chun dari Ip Man dan Hung Ga dari Master Hung ini dipertontonkan dengan penuh teliti. Ip Man memang sudah serasi dengan babak tumbukan seperti peluru dan ianya juga dipapar dalam movie ini. Terdapat juga perlambangan perbezaan yang ditunjukkan di antara kedua sifu kung fu ini seperti elemen Yin Yang iaitu pertembungan antara lembut dan kasar serta hitam dan putih.

Movie ini juga, sama seperti movie aksi drama yang lain, membangkit semangat penonton yang melihatnya. Ianya dibuktikan ketika babak pertarungan antara Master Hung dan Twister lakonan Darren Shahlavi dan pertarungan Twister dengan Ip Man. Pertarungan ini secara jujur aku katakan, membuatkan aku tidak bernafas seketika dan seperti ingin bersorak menjerit kegembiraan dan bersemangat untuk menonton.

Donnie Yen yang membawakan watak Ip Man sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau adalah pelakon kung fu terhebat bagi aku setakat ini. Wajahnya yang lembut jelas terpapar dengan penghayatan yang bagus. Emosi lembut dan sopan yang dipaparkan Donnie Yen bukan setakat ketika berlakon, malah juga ketika beraksi. Watak Ip Man yang dibawakan ini juga cukup penuh dengan nilai murni ketimuran yang dipaparkan dengan penuh tertib.

Bezanya karakter sifu kung fu Ip Man dengan sifu-sifu lain yang dipaparkan dalam movie kung fu yang lain adalah sikap merendah diri yang ditonjolkan. Aku sering berfikir dan menafsir di mana ketika babak anak murid Ip Man membuat hal, sudah pasti Ip Man akan mula mengamuk, fikir aku. Tetapi aku silap, penulis secara kontra menunjukkan Ip Man langsung tidak pernah menunjukkan reaksi marah yang berlebihan, malahan sikap marahnya pada Master Hung sendiri ditunjuk dengan penuh sopan. Itu lah yang menjadikan karakter Ip Man ini sebagai sesuatu yang menarik.

Inilah movie kung fu yang lain dari yang lain gaya aksi yang dipaparkan. Movie ini juga akan dijadikan koleksi movie kung fu yang paling aku gemari selepas movie kung fu lain dari Jackie Chan dan Chow Yun Fatt. Sebaik bermula babak kung fu, jantung akan mula terhenti, dan berdegup semua selepas babak aksi ini tamat. Tahniah kepada pengarahnya, Wilson Yip!

p/s : Dihujung cerita ini juga ditunjukkan watak Bruce Lee ketika kecil yang ingin belajar ilmu kung fu bersama Ip Man. Ini juga antara babak yang dinanti aku.
Share:

Tuesday, May 4, 2010

Superhero Besi Biasa. *sebuah reviu Iron Man 2


Menanti sebuah sekuel movie superhero adalah sesuatu perkara yang biasa untuk trend kita sebagai kaki movie zaman ini. Kita pernah juga menunggu sekuel movie Spiderman, Fantastic Four dan Batman. Bagi aku fenomena movie superhero ini hanyalah wujud bagi menimbulkan suasana teruja untuk semua peminat superhero. Tetapi apa yang menjadikan masalah, tahap keterujaan itu akan mati sebaik tamat menonton sekuel movie tersebut. Haha. Sama juga dengan Iron Man 2, cuma bezanya, nasib baik gaya perjalanan cerita movie ini berbeza dengan movie superhero yang lain.

Seperti movie superhero yang lain juga, apa yang menariknya untuk kita nantikan dalam movie sebegini, adalah adaptasi watak yang sering menjadi pujaan kita sejak kecil. Melihat watak komik yang diminati diadaptasikan ke layar perak adalah antara sebab movie sebegini ditonton. Dan dalam movie Iron Man 2 ini, watak War Machine dan Whiplash yang menjadi nsubjek keterujaan penonton. Yup, sama juga dengan sut baru Iron Man yang dinanti-nanti.

Tetapi bukan adaptasi watak sahaja yang dinanti, penceritaan dari komik ke movie juga sering dititikberatkan oleh peminat. Dalam movie ini, aku tak tahu lah sama ada ianya mengikut dasar cerita teras dari komik Iron Man yang sebenar kerana aku bukan lah seorang yang benar-benar mengikuti komik superhero ini. Tetapi, memang jalan cerita agak menarik, walaupun gaya pengakhiran movie ini agak kelihatan seperti tergesa-gesa. Pengakhiran sebuah movie superhero sering mencetuskan perasaan tidak puas hati dan movie ini juga tidak terkecuali.

Untuk keutuhan watak yang dibawa pelakon pula, watak Iron Man/Tony Stark yang dibawa Robert Downey Jr. sudah tak boleh nak pertikaikan lagi, cuma mungkin, penggunaan watak yang tidak dipergunakan dengan baik oleh penulis skrip menjadikan Iron Man seolah watak sampingan yang menjadi badut menghiburkan penonton. Pengarah juga cuba untuk memberi cerita tersendiri kepada setiap watak dalam movie ini, tetapi ianya seolah tak menjadi. Watak Ivan Vanko lakonan mantap Mickey Rourke sendiri seolah dimatikan secara tiba-tiba tanpa memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

Begitu juga watak ajen dari SHIELD, iaitu Nick Fury (Samuel L. Jackson) dan Black Widow/Natasha Romanoff (Scarlett Johannson) yang diwujudkan untuk memberi tahap keterujaan tinggi kepada peminat superhero, tetapi aku tak rasa keterujaan tersebut. Watak-watak ini didatangkan seperti ingin menghiasi latar cerita yang kononnya tidak menarik dan ingin diperhebatkan lagi daya tarikannya.

Walaupun teruk aku memberi reviu tentang movie ini, aku masih tetap menyukainya sebagai salah satu movie superhero yang pernah wujud ketika ini. Pedulikan hal-hal watak yang sekejap, cerita yang biasa, yang penting adalah efek khas! Semuanya tentang action untuk movie sebegini. Dan kadang-kadang, tidak puas hati adalah sesuatu yang bagus. Tahniah Jon Favreau!
Share:

Monday, April 19, 2010

Kisah Cinta Selamat! sebuah reviu Semerah Cinta Stilleto



Satu lagi filem terbitan Metrowealth yang membawa genre filem komedi romantik yang menggabungkan aktor Farid Kamil dan aktress Lisa Surihani. Pasangan yang kononnya dikatakan mempunyai “chemistry” dalam filem ini sekali lagi memegang watak sebagai pasangan kekasih dan barangkali MIG mengharapkan “chemistry” itulah yang akan membawa penonton ke pawagam untuk bersama menghayati kisah cinta Leto dan Stilla dalam filem Semerah Cinta Stilleto ini. Yup, saya akui, saya sedikit terpengaruh dengan “chemistry” itu semasa bersetuju untuk menonton filem ini di wayang. Satu lagi yang membuatkan saya tertarik adalah tajuknya sendiri. Seperti filem MIG yang lain, tajuk2nya memang agak menarik dan lain dari yang lain. Tapi, harapan untuk menonton sebuah filem lain dari yang lain bertepatan dengan tajuknya, agak kecundang sedikit.

Semerah Cinta Stilleto memaparkan kisah cinta dua insan berlainan darjat, Leto (Farid Kamil) dan Stila / Siti Laila (Lisa Surihani). Leto seorang jejaka yang hidup dalam keadaan sederhana serta menganggur (hero penganggur ok!) dan Stilla yang merupakan anak tunggal dalam sebuah keluarga yang hidup serba mewah dan sangat sporting katanya. Biasalah, bila sudah berlainan darjat, adalah tentangan dari pihak2 tertentu (of course mak bapak si Stilla). Jadi, nak tahu apa kisah selanjutnya, ha, bawa2 lah ke pawagam ye. Sila sokong industri perfileman Negara kita. ;)

Okie, jalan cerita, mungkin sedikit klise, tetapi sebenarnya saya tiada masalah dalam menonton jalan cerita yang sebegitu kalau kena dengan olahan pengarah itu sendiri. Nak harapkan originality dan synopsis “baru” memang sukar. Filem dah terlalu banyak, terlalu banyak idea dah dipaparkan, semuanya hampir serupa sampai ada yang dituduh menciplak idea orang. Ahaks!

Baik, berbalik pada tujuan asal, saya sebenarnya berpendapat jalan cerita filem ini agak menarik tetapi pengolahannya tidak begitu sampai dan dilihat seakan-akan pengarah seperti berhati-hati mengarahkan setiap babak sehinggakan saya merasakan babak-babak itu tersekat2 dan tidak lengkap. Perasan atau tidak, saya merasakan jalan cerita filem ni tidak ada naik turunnya. Sangat mendatar. Itulah yang mungkin akan terjadi jika terlalu “selamat” membuat filem. Unsur yang paling penting dalam mendekatkan audien lagi kepada jalan cerita iaitu “KLIMAKS” juga seperti tidak ada. Barangkali ada, mungkin saya yang tidak sedar. Atau pun mungkin elemen “klimaks” itu seperti tidak cukup kuat untuk menyedarkan saya. Haha..

Terdapat juga babak2 yang saya rasa tidak perlu terutama paparan lawak kurang bijak dari watak2 tambahan tetapi dijadikan seperti babak penting dan hasilnya meleret dan membosankan. ZzzzZzzzz…Tetapi ada juga elemen komedi yang mengejutkan saya dari terus mengantuk. (wahaha!) Filem ini juga menyaksikan lakonan dari Cat Farish yang berlakon sebagai rakan baik Leto. Wataknya masih seakan2 filem terdahulu, Cat Farish seperti sudah sinonim menjadi watak komedi untuk filem tempatan, seakan fungsi watak Peran dalam Mak Yong. ;p. tapi, watak peran ini lah yang menghidupkan cerita sebenarnya. Sekurang2nya, menghidupkan audien dengan gelak ketawa. Takut audien mati, hidup balik masa credit title. Ha!

Watak ibu bapa Leto dan Stilla juga saya lihat sebagai watak-watak yang penting dalam mewujudkan jalan cerita yang lebih mantap! Ha, tapi pengarah masih menggunakan teknik tersekat2 itu untuk memaparkan watak-watak mereka dalam filem ini. Entah kenapa, menonton filem ini asyik menimbulkan rasa kurang cukup dan tidak puas menonton setiap babak. Lakonan hebat dan bersahaja yang dipaparkan oleh Nanu Baharuddin, Shaharuddin Tamby, Maimon Mutalib, dan Jamali Shadat seperti tidak digunakan sebaik mungkin oleh pengarah dan hasilnya, lakonan mereka seperti tergendala.

Sedikit mengecewakan apabila saya merasakan “chemistry” yang dibawa oleh dua teraju utama berjaya dirasakan tetapi pengolahan ceritanya tidak begitu menarik. Puji dari segi lakonan, yup, Lisa Surihani membuktikan peningkatan beliau dari filem ke filem yang terbaru. Jauh beza lakonannya dalam filem ini dari filem pertama beliau I’m Not Single. Tetapi, tak jauh beza pun dari segi watak yang dipilih iaitu “gadis kaya”. Sinonim! Farid Kamil juga tak lari jauh karakternya sebagai Leto dengan karakternya dalam filem-filem lakonan beliau sebelum ini. Tapi lakonan masih “thumbs up”, tetapi sayang, ceritanya kurang menarik!

Apa-apa pun, tahniah kepada MIG kerana masih terus menghasilkan filem walaupun banyak juga yang kurang mendapat sambutan! Majulah industri perfileman tempatan.

p/s: David Teo target filem ni boleh dapat RM2 juta…hmmm…wonder why, wonder how…


MovieHolic Note : Credit to Aina Mastura, my <3 :)
Share:

Saturday, April 17, 2010

Parodi Superhero Ganas! sebuah reviu Kick-Ass


Anda inginkan movie yang terdapat seorang gadis berusia 11 tahun memakai baju sekolah dengan muka yang innocent + comel tetapi terdapat pistol di tangannya dan mempunyai kekuatan yang luar biasa serta ganas? Yup, ini lah movie nya. Sepatutnya movie ini diberi tajuk Hit-Girl! Oh, tak dapat aku nafikan betapa minatnya aku pada watak Hit-Girl/Mindy Macready lakonan Chloe Moretz yang walaupun tidak mempunyai super power, tetapi jiwa terhadap watak itu sendiri sudah membuat kan kita ter'whoa'!!!

Movie ini sememangnya telah meng'kick-ass'kan kita, bukan di awal dan pertengahan cerita, tetapi di penghujungnya. Bagi aku kekuatan movie ini bergantung kepada babak Hit-Girl sedang menyelamatkan Kick-Ass/Dave Lizewski (Aaron Johnson) dan Big Daddy/Damon Macready (Nicolas Cage). Memang penonton akan terpukau dengan seni yang dipaparkan pada babak ini. Dan keganasan yang di adaptasi secara cantik dan kemas.

Namun, bukan babak ini sahaja yang menjadi punca movie ini menarik, tetapi prinsip 'sempoi santai' yang dipaparkan juga amat berkesan untuk menjadikan movie ini sesuatu yang lain bagi sesebuah movie superhero. Pertama, superhero dalam movie ini langsung tiada super power. Kedua, pengarah langsung tak peduli nak buat babak-babak seksual untuk movie superhero ini yang sepatutnya tidak ada untuk tontonan kanak-kanak. Ketiga, tak timbul langsung isu kekesalan dan motivasi tentang dendam kesumat yang dipaparkan kepada penonton.

Long story short, movie ini dibantai buat secara rakus dengan tujuan untuk menghiburkan kita. Itu lah yang aku cari selama ini. Tak perlu air mata segala haram jadah hipokrasi dunia realiti yang perlu diterapkan, yang penting, kita terhibur. Dan tekaan aku tepat, penonton yang menonton sama dengan aku tersenyum gembira selepas menonton movie ini.

Memang, di awalan cerita, aku menyangka movie ini tak ubah sama seperti Superhero Movie, parodi! Tetapi tak, lain sikit. Parodi, campur ganas. Ganas sangat, itu lah yang aku maksudkan sebentar tadi. Tak wujud unsur sensitiviti tentang gadis comel 11 tahun seperti Hit-Girl secara terang-terangan membunuh penjahat tanpa sedikit rasa kesal. Begitu juga Big Daddy yang merupakan bapa kepada Hit-Girl, langsung tiada rasa bersalah mengajar anak perempuannya menjadi sangat ganas. Apa perlu semua tu? Persetankan, yang penting kita terhibur. Ah!

Kick-Ass pula, sebenarnya hanyalah sub-plot! Cerita ini patutnya lebih tertumpu kepada Big Daddy dan Hit-Girl yang menyimpan dendam dengan ketua samseng, Frank D'amico lakonan Mark Strong. Tetapi di situ lah wujudnya kreativiti. Sub-plot dijadikan plot utama, dan plot utama lebih dijadikan sebagai sub-plot. Dan bertepatan pula dengan kisah pemuda nerd hero wannabe yang menjadi perkara wajib dalam sesebuah movie superhero. Itu adalah tradisi, tak boleh tolak lagi.

Istimewanya lagi, terdapat watak yang menjadi talam dua muka, seperti di dunia realiti, iaitu Red Mist/Chris D'amico lakonan Christopher Mintz-Plasse yang merupakan anak kepada Frank. Kenapa wujudnya watak ini, adalah kerana ingin memberikan pesanan kepada penonton, bahawa movie ini tidak tamat begitu sahaja.

Untuk pemberian kredit kepada pelakon, sudah tidak dinafikan, secara tidak berlapis, aku memberi Chloe Moretz sebagai yang terhebat di kalangan pelakon-pelakon hebat yang lain. Bagi watak yang dilakonkan Mintz-Plasse pula, hurm, pelik, kenapa dia yang dipilih? Mungkin kerana ingin mengelakkan perwatakkan klise bagi seorang anak orang kaya. Boleh tahan jugak lah. Lakonan Aaron Johnson juga tidak boleh dipandang remeh. Manakala Cage dan Strong pula, memang sesuatu perkara yang mengejutkan, mereka berlakon dalam movie sebegini?!! Tak perlu disangkal lagi.

Umumnya disini, kepada yang menonton movie ini, jangan sesekali memandang movie ini adalah sesuatu yang bodoh. Kerana itu lah tujuannya. Dan jangan pula diperbodoh. Kerana itu juga tujuannya. Secara seriusnya pula aku kata kan, movie ini sesuatu yang sukar kita jangkakan. Hah!

p/s : Nak cari yang versi uncut punya lah! Aduhai LPF!
Share:

Friday, April 16, 2010

Kekusutan Yang Bijak! *sebuah reviu Belukar


Pada awal hingga ke pertengahan cerita untuk movie ini, aku tidak berapa suka akan situasi yang dipaparkan, tetapi apa yang penting, adalah ending untuk movie ini. Baru aku sedar, ini bukan satu movie dari Malaysia yang biasa.

Sebagai sebahagian dari industri per'movie'an Malaysia, aku amat berbangga apabila ketika sidang diskusi, salah seorang dari pelakon movie ini, Ahmad Tarmimi Siregar mengatakan keseluruhan penghasilan movie ini adalah dari Malaysia. Baik dari segi produksi dan pasca produksi, iaitu penghasilan skor muzik, efek khas dan lokasi semuanya dari sini. Itu yang boleh membuatkan aku bertambah bangga dan pasti juga ramai yang terkejut kerana Malaysia boleh menghasilkan movie sebegini.

Bukanlah Malaysia yang hendak saya puji, tetapi pengarahnya, Jason Chong yang juga penulis untuk skrip movie ini. Mungkin anda akan perasan, Jason Chong yang sebenarnya pelakon cina Malaysia yang terkenal ini boleh menjadi pengarah yang sangat berbakat. Dari segi shot, runut bunyi dan lakonan, boleh dikatakan ianya adalah movie Malaysia yang hebat.

Walaupun sedikt ke arah barat, tetapi persetankan hal itu, kerana perbezaan yang menjadi keutamaan industri kita sekarang. Jelak sangat dihidangkan oleh movie yang berkonsepkan kebodohan semata-mata, kita sudah sampai masa penonton negara ini berganjak untuk menyantap hidangan yang baru. Dan Belukar adalah suatu kelainan.

Siapa sangka, tanpa ke luar negara, kita boleh mendapat lokasi yang menarik untuk sesebuah movie. Itu lah yang dilakukan oleh pengarah, dengan mengambil Sabah sebagai latar tempat. Betul juga, kenapa kita terlupa akan Sabah, bukan kah itu juga Malaysia. Hah! Ada juga aku menonton movie Malaysia yang sebegini, maksud aku yang ke arah kebaratan, dan movie-movie sebegini sering mengelakkan istilah kebaratan ini dengan menapisnya menggunakan budaya-budaya melayu. Bukan kah kita sudah jemu dengan budaya yang ditonjolkan itu. Ini lah juga kelainan dalam movie ini, dengan menjadikan budaya Sabah selaku latar.

Berbalik kepada lakonan pula, wibawa Bront Palarae selaku pelakon utama sudah tidak boleh disangkal lagi. Sememangnya Bront telah menunjukkan taring lakonannya dalam movie-movie sebelum ini. Tetapi peranan utama yang dibawa dalam movie ini sudah cukup untuk memperhebatkan lagi kerjaya beliau sebagai pelakon yang superb. Begitu juga Daphne Iking, siapa kata beliau tidak pandai berlakon? Abaikan watak cina pelatnya dalam My Spy, kerana movie ini lebih mencabar kredibiliti beliau. Dan Daphne berjaya.

Untuk lakonan yang lain pula, mereka tidak langsung mengganggu jalan cerita, malah lebih menguatkannya. Terdapat movie yang tercacat kerana masalah lakonan yang lemah, tetapi untuk movie ini, kecacatan itu dapat dielakkan. Ianya menjadikan movie ini sesuatu yang cukup seimbang dalam semua elemen.

Setiap movie yang dipaparkan, pasti terdapat pengaruh dari persekitaran, mungkin movie ini juga begitu. Tetapi apa yang hebatnya, movie ini tidak seperti movie Hollywood yang lain di mana pengarah-pengarah dari sana dengan rakus hanya mengadaptasi movie mereka dari material-material yang lain. Untuk movie ini pula, keseluruhannya datang dari pengarah, dan mungkin produser. Itu yang menjadikan penggiat seni kita lebih hebat dari yang di sana.

Hingga sekarang aku masih tidak menyangka bahawa kita mampu menghasilkan movie berbentuk konspirasi sebegini. Setiap twist dan cilok-mencilok serta dendam kesumat yang dipaparkan wujud tanpa mempedulikan setiap logikal minda penonton kita. Pengarah seolah tidak peduli sama ada ianya bertentangan dengan budaya kita atau tidak. Kreativiti yang dipaparkan cukup berlainan dan ianya adalah sebuah movie yang sepatutnya ditonton oleh penonton kita.

Jangan bimbang, ianya bukan lah sebuah movie yang terlalu berat. Ya, kadang-kadang kita dapati konspirasi dalam movie ini sukar difahami, tetapi masih terdapat nilai-nilai komersil yang ditagih penonton kita. Masih wujud unsur humor yang mampu menenangkan kita yang menonton. Dan ianya serba sedikit mampu membuatkan penonton berasa wow. Terutama, di penghujung cerita, di mana setiap Belukar akan diredah!

p/s : Semasa aku tengok trailer movie ini, aku mengatakan "Wow, sebuah lagi movie panas Malaysia." Oh, tetapi aku silap, ianya langsung boleh diterima kita! Tontonlah.
:)
Share:

Saturday, April 10, 2010

Dua Komedian Beraksi!!! *sebuah reviu Date Night


Tak boleh nak di nafikan yang aku sangat adore dengan dua orang komedian ini. Steve Carrel dan Tina Fey. Malah, pertama kali aku terlihat poster movie ini di panggung wayang, secara terang-terangan aku teruja dan set mind nak pergi menonton movie ni bila keluar nanti. Itulah sebabnya, sehari selepas keluar movie ini, aku dah tak tangguh, terus je tonton. Siapa tak kenal dengan mereka berdua ni. Usaha menggabungkan mereka dalam satu movie, memang amat menarik dan kreatif!

Selepas sahaja menonton movie ini, fuh, lega. Bukan apa, dapat juga aku melepaskan tekanan dengan menonton movie ini, selepas beberapa kali otak aku ini dipukul bertubi-tubi dengan movie ala-ala dark dari Hollywood. Setelah sekian lama, baru lah otak aku ni rasa cukup lega selepas keluar dari panggung. Ianya memang satu movie yang cukup santai. Dan bagi sebuah movie yang santai, siapa peduli jalan cerita dan dialognya klise? 'Kamon' lah! Movie komedi memang seharusnya begitu. Yang penting, ianya hiburan.

Memang movie ini tak sehebat Yes Man, Get Smart dan Baby Mama (lakonan Tina Fey), tapi movie ini tidak lah seteruk mana. Walaupun masih terdapat babak-babak yang biasa, tapi tema penceritaan movie ini juga tidaklah sebiasa mana. Siapa boleh dapat bayangkan Steve Carrel yang sememangnya terkenal dengan muka tak beremosinya ketika berlawak, digandingkan menjadi suami kepada Tina Fey yang berwajah cantik tetapi mempunyai sisi humor yang sangat sempoi!

Hinggakan aku boleh ketepikan semua babak-babak yang bersalah, hanya kerana minat aku kepada lakonan mereka berdua ini. Bagi aku movie ini tidak akan menjadi menarik, sekiranya bukan mereka berdua yang berlakon. Yup, mungkin komedian dari Hollywood yang lain boleh menggantikan Carrel dan Fey, tapi adakah movie itu nanti akan menjadi sesempoi movie ini?

Berbalik kepada reviu untuk movie ini, aku rasa watak yang dimainkan oleh Carrel iaitu selaku Phil Foster) masih biasa. Carrel masih membawa karakternya yang sendiri. Memang ianya sesuatu yang biasa jika kita mengikut komedi yang dibawakan Carrel. Malah aku lebih suka lakonan yang dibawakan Carrel di dalam movie Get Smart. Tetapi siapa peduli. Itu memang Carrel yang sebenar. Malah tak semua babak komedi yang dibawakannya dalam movie ini terlalu biasa.

Tina Fey (Claire Foster) pula, ah, aku memang dah minat kat dia sejak tonton movie Mean Girls lagi. Malah siapa tak kenal dengan komedian ala-ala cover cun dari sitcom Saturday Night Live ini. Bagi aku komedi yang cuba dibawakan oleh Tina Fey mempunyai ke'selamba'an dan double meaning-nya yang tersendiri. Fey cuba membawakan satu karakter ibu dalam movie ini, dan dalam waktu yang sama, seorang partner kepada Carrel, dan tanpa kita sedar, sebenarnya dialah yang menggerakkan situasi dalam movie ini.

Walaupun aku lebih mengagumi Fey (juga Carrel sebenarnya,oh!) tetapi kedua-dua mereka tidak cuba membayangi antara satu sama lain. Maksud aku, untuk movie ini, lakonan mereka sebagai pasangan suami isteri yang mempunyai masalah, tetapi pada waktu yang sama mereka memahami antara satu sama lain dan saling bekerjasama, menjadi. Hinggakan sekiranya mereka berdua bergabung, tiada apa yang dapat menghalang mereka dari melakukan sesuatu di luar jangkaan. Padahal dalam movie ini, mereka adalah tipikal pasangan suami isteri yang membosankan.

Jalan cerita yang biasa, tetapi diselit dua orang pelakon yang berjaya menghidupkan suasana, ianya menjadi satu movie yang tetap menarik. Selain dua orang ini juga, tak bermakna aku tak tertarik dengan pelakon lain. Kredit juga perlu diberi kepada Mark Wahlberg (Holbrooke) yang membawakan watak bekas tentera US yang ala-ala macho. Tetapi aku lebih tertarik dengan watak yang dibawakan oleh James Franco dan Mila Kunis iaitu sebagai Taste dan Whippit.

Watak Taste dan Whippit yang dimainkan kedua-duanya oleh Franco dan Kunis adalah sangat unik. Walaupun kedua mereka ini muncul secara cameo, iaitu orang yang membawa masalah kepada pasangan Foster, bagi aku kedua watak ini seolah memberikan sesuatu kepada penonton dan mempunyai sejarah mereka yang tersendiri. Dan Mila Kunis, bagi aku Kunis mempunyai potensi besar untuk menjadi pelakon yang berjaya. Kerana jika nak dibandingkan watak Kunis dalam movie ini dan movie Book of Eli, sangat berbeza.

Secara umumnya, aku mengisytiharkan movie ini sebagai movie yang patut ditonton oleh mereka yang sangat dahagakan movie berbentuk hiburan. Kerana dalam movie ini juga anda akan tonton aksi-aksi yang jarang diketengahkan dalam movie berbentuk komedi. Lebih-lebih lagi aksi yang dipaparkan dua bintang komedian ini. Dan pada diri aku sendiri juga, aku rasa macam nak tengok lagi movie ni. Haha.

p/s : Carrel dan Fey membuatkan Carrey dan Deschanel tergugat. Hehehe, tapi mereka tetap hebat!
Share:

Friday, April 2, 2010

Mari Mari BerFrinjan!


Mari mari semua!!!
Khas Untuk Anda Warga Puncak Perdana!

7 April 2010
8 Malam
Studio Pancha Delima
Bangunan Akademik Fakulti Pengurusan Maklumat
UiTM Kampus Puncak Perdana
Shah Alam


MASUK PERCUMA!

*crossover Frinjan dan Kelab Skrin Filem
Share:

Makhluk Greek Hebat *sebuah reviu Clash of The Titans


Boleh dikatakan berbaloi membelanjakan RM10 untuk movie sebegini. Di akhir cerita, perkataan seronok boleh dijadikan perkataan yang tepat menonton movie ini. Dan apa yang menariknya tentang movie ini, adalah kerana ianya adaptasi dari mitos Greek. Hingga aku sering membandingkan movie ini dengan sebuah lagi movie ala Greek masa kini, iaitu movie Percy Jackson and The Lightning Thief. Dengan bersikap tidak adil, aku mengatakan movie ini lebih bagus dari Percy Jackson.

Dalam movie ini kita dapat melihat pelbagai makhluk ikon perfileman Hollywood seperti Medusa, Pegasus dan Kraken. Tetapi berani aku katakan, pengolahan watak serta adaptasi makhluk dalam movie ini adalah yang terhebat berbanding movie-movie lain. Medusa dalam movie ini nampak lebih dramatik dan devilish berbanding di dalam movie Percy Jackson, manakala Kraken dalam movie ini juga nampak lebih ganas berbanding di dalam movie Pirates of The Caribbean. Aku juga berani mengatakan watak dalam movie ini iaitu Perseus, Zeus, Hades dan semua dewa Olimpian membuatkan movie seperti Percy Jackson kelihatan kerdil.

Kreativiti tidak terbatas dapat dilihat dalam pengimejan watak untuk movie ini. Lihat sahajalah betapa gah dan berkarismanya Zeus, betapa jahat dan gelapnya watak Hades dan betapa gagahnya Perseus. Wal hal dalam movie Percy Jackson sendiri telah mengetengahkan watak-watak ini. Maaf aku katakan, tetapi ketika menonton movie ini, aku tidak dapat mengelak untuk membandingkan movie ini dengan Percy Jackson.

Namun jalan cerita ini masih lagi mengekalkan tradisi jalan cerita klasik pengembaraan ala Hollywood. Penggunaan setiap watak untuk movie ini masih nampak seolah dipergunakan untuk tujuan dramatik. Setiap peralihan babak boleh dijangka. Tetapi itu tidak bermakna movie ini tidak seronok ditonton. Memang aku tidak nafikan, movie yang di remake semula dari movie klasik dengan tajuk yang sama pada tahun 1981 ini mempunyai tema jalan cerita yang sama dengan movie-movie pengembaraan klasik lain. Tetapi pengarah bijak menggunakan elemen CGI untuk mengaburi pandangan penonton terhadap jalan cerita.

Makhluk-makhluk dalam movie ini memang nampak cukup hidup, seperti Scopinoch, Pegasus, Kraken dan banyak lagi. Efek khas yang ditonjolkan mampu membikin penonton sedikit terleka dengan jalan cerita yang membosankan. Kecuali buat watak Medusa, efek yang ditonjolkan tidak seberapa baik seperti efek untuk Scopinoch dan Djinn. Bagi aku, melihat watak Medusa seolah melihat karakter dalam game PC. Walaubagaimanapun, pengolahan watak Medusa yang lebih liar dan monstrous menutup kelemahan efek tersebut.

Untuk watak yang dimainkan pula, Perseus yang di jayakan oleh Sam Worthington seperti ada sedikit persaman dengan wataknya sebagai Marcus Wright dalam movie Terminator Salvation. Malah Sam lebih nampak berjaya untuk watak Jake Scully dalam Avatar. Tetapi itu tidak menganggu penceritaan dalam movie ini. Sam masih boleh di anggap berjaya sebagai pelakon mega movie era ini.

Dan untuk watak Zeus pula, pastinya ianya sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana Liam Neeson menjadi pendukung untuk watak ini. Begitu juga untuk watak Hades, yang didukung oleh super duper aktor, Ralph Fiennes. Siapa tak kenal dengan Liam Neeson yang pernah memegang watak Qui Gon jin dalam Star Wars Episode 1. Begitu juga Ralph Fiennes, yang sedang melonjak naik dengan watak sebagai Lord Voldemort dalam francais Harry Potter. Kehadiran kedua-dua pelakon hebat ini telah memberi kredit bonus kepada movie ini. Pujian aku lebih kepada Ralph Fiennes kerana watak Hades yang dibawaknya begitu berlainan dengan watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini. Walaupun watak ini adalah watak antagonis seperti watak Lord Voldemort yang pernah dibawanya, namun identiti jahat kedua-dua watak ini cukup berbeza. Hingga aku sendiri tidak sedar bahawa watak Hades itu didukung oleh Ralph Fiennes.

Untuk watak-watak lain pula, juga tidak mengecewakan kerana kehadiran watak-watak ini hanyalah sebagai pelengkap cerita. Seperti watak Draco (Mads Mikkelsen), Solon (Liam Cunningham), Ixas (Hans Matheson) dan Eusebios (Nicholos Hoult) yang wataknya diwujudkan hanya untuk dimatikan. Keempat-empat watak yang menjadi escort untuk Perseus mengetahui cara-cara membunuh Kraken, mati ketika berada di sarang Medusa. Tetapi berlainan pula untuk watak Io oleh Gemma Arterton yang menjadi pencerita. Mungkin disebalik ketegangan aksi dalam movie ini boleh ditenangkan dengan keindahan wajah Gemma Arterton ini.

Untuk pengakhirannya pula, walaupun mudah, dengan menggabungkan klimaks dan ending dalam waktu yang sama, tetapi unsur dramatik yang disampaikan cukup hebat. Aku mengatakan movie ini sama seperti movie pengembaraan yang lain, tetapi bagi aku juga, movie ini wajar diberikan tepukan sederhana gemuruh. Untuk beberapa babak juga telah membuatkan aku bersiut kagum kerana kehebatan efek yang disampaikan. Sebagai seorang penonton, ini lah movie yang boleh membuatkan kita lepas tension.
Share:

Madu Yang Pahit. *sebuah reviu 4 Madu.

Untuk reviu movie ini yang aku tonton ketika promosi filem di UiTM Shah Alam, aku rasa tak perlu aku membazir tenaga dan mengerah otak menulis reviu yang panjang lebar. Cukup sahaja lah aku mengatakan movie ini adalah seperti movie-movie komedi dari Prof Madya Razak yang terdahulu.

Jika aku sudah berkata begitu, jadi anda semua tahu lah untuk menilainya sendiri. Apa yang aku boleh ulas, watak Azlan dan Azrul yang dibawa oleh Saiful Apek kedua-duanya, sebagai adik beradik seiras tetapi berlainan ibu, tidak menimbulkan nilai positif. Begitu juga isu poligami yang disampaikan dari sudut negatif dan sambil lewa hingga mewujudkan banyak aspek-aspek eskapisme. Namun ada lah juga beberapa babak yang membuatkan aku sedikit tergelak.

Tapi itu sudah menjadi gaya Prof, mungkin itu merupakan trademark yang ingin ditunjukkannya kepada penonton. Tapi bagi aku, cukup-cukuplah dengan movie sedemikian rupa. Bukan bersikap menindas, cuma ingin memberikan pendapat.

Movie ini tentang dua orang adik beradik tiri berwajah seiras yang telah menerima wasiat dari bapa kandung mereka. Azlan bekerja di resort, manakala Azrul baru sahaja mengalami muflis. Dalam wasiat tersebut, mereka dikenakan beberapa ujian untuk memastikan harta milik arwah bapanya ditangan mereka. Antara ujian yang mereka jalani adalah dengan mengahwini seorang anak yatim, seorang perempuan buta, seorang janda dan seorang wanita biasa. Azlan mendapat nasib yang cukup baik berbanding Azrul. Tetapi di akhir cerita ini, tetap tidak menunjukkan keakraban Azlan dan Azrul sebagai adik beradik tiri.

Apa-apa pun, anda nilailah sendiri movie ini yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri kelak.

p/s : Cuma tertarik dengan keayuan gadis-gadis dalam movie ini sahaja.
Share:

Wednesday, March 31, 2010

Fantasi Pembunuhan Sadis! *sebuah reviu The Lovely Bones.


Hingga sekarang, perkataan 'menakjubkan' tidak tepat untuk menggambarkan movie yang hebat ini. Kalau lah dari awal aku mendapat tahu movie ini hasil sentuhan pengarah Peter Jackson dan produser Steven Spielberg, pasti sudah lama aku pergi menonton. Bukanlah bersikap buyers, tetapi cuma ianya adalah sedikit kredit bonus untuk sesebuah movie mendapat nama-nama hebat diatas.

Walaupun movie ini adalah sebuah lagi hasil adaptasi dari novel hasil karya Alice Sebold, tetapi ianya menjadi movie yang tidak mengecewakan aku selepas hampa melihat karya-karya movie dari Hollywood sebelum ini. Nampaknya Peter Jackson bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pengkarya terhebat abad ini.

Buat sekian lamanya juga, aku berani berkata bahawa movie ini telah lari jauh dari perkataan 'klise' yang sering aku sebut untuk reviu-reviu movie lain sebelum ini. Ya! Memang setiap babak dan pertalian antara babak lain merupakan sesuatu yang tidak akan kita jangka.

Bermula dengan watak dahulu, peranan Susie Salmon yang dilakonkan dengan jayanya oleh Saoirse Ronan merupakan tunjang utama penceritaan movie ini. Susie adalah watak di mana beliau telah dibunuh oleh George Harvey (Stanley Tucci) dan kemudian, roh beliau tersangkut di antara dunia bumi dan syurga, dunia ini dipanggil Inbetween. Buat pengetahuan semua, bakat dan potensi Saoirse Ronan memang sudah lama aku teliti terutama ketika beliau berlakon dalam movie City of Ember. Tapi untuk movie itu, aku agak janggal dengan lakonan beliau. Tetapi bagi movie ini, aku boleh berikan tepukan gemuruh kerana watak yang beliau jayakan begitu sampai dan dekat dengan penonton. Begitu juga Stanley Tucci, nama yang tidak asing lagi dalam arena perfileman Hollywood. Tengok sajalah wataknya dalam movie seperti Shall We Dance dan The Devil Wears Prada, pastinya kita akan berasa janggal melihat wataknya dalam movie The Lovely Bones ini sebagai pembunuh bersiri separuh umur. Namun kejanggalan yang aku rasa ini adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana lakonan beliau bagi aku adalah yang paling menjadi.

Dalam movie ini juga terbit emosi sedih yang mendalam ketika babak di mana Susie Salmon di dapati telah dibunuh. Untuk babak emosi ini aku ingin berikan kredit kepada Mark Wahlberg dan Rachel Weisz yang melakonkan watak sebagai ibu bapa kepada Susie iaitu Jack Salmon dan Abigail Salmon. Walaupun pernah kecewa dengan watak Mark Wahlberg dalam movie The Happening yang nampak sedikit kaku, tetapi untuk movie ini, tiada siapa sangka beliau berjaya membawa watak yang penuh dengan emosi. Secara keseluruhan, watak yang lain juga turut menjadi tulang belakan kepada movie ini iaitu seperti Susan Sarandon (Grandma Lynn), Michael Imperioli (Len Fenerman), Rose Mclver (Lindsey Salmon), Reece Ritchie (Ray Singh) dan Carolyn Dando (Ruth Connors).

Boleh dikatakan setiap watak dalam movie ini tidak dibazirkan begitu sahaja oleh pengarah/penulis. Masing-masing seolah mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam isu penceritaan movie ini. Sebagai contoh, watak Grandma Lynn sangat penting untuk menjaga rumahtangga keluarga Salmon selepas kematian Susie diketahui, Len Fenerman pula menjadi polis yang menyiasat kes kematian Susie selama beberapa tahun hingga akhirnya akrab dengan keluarga Salmon, Lindsey Salmon sebagai adik Susie pula merupakan orang yang bertanggungjawab membongkar rahsia George Harvey, manakala Ray Singh merupakan pemangkin semangat roh Susie untuk meneruskan hidup di dunia lain, dan Ruth Connors pula menjadi pengantara yang menghubungkan Susie dengan Ray Sing.

Itulah istimewanya movie ini bagi aku. Penceritaan yang kemas ditambah dengan peranan setiap watak yang semakin penting hingga ke hujung cerita. Penceritaan yang secara khususnya tentang isu pembunuhan bersiri yang melibatkan Susie Salmon selaku mangsa, akhirnya di pandang pula dalam sudut yang berbeza. Iaitu sudut di mana selepas kematian mangsa pembunuhan. Siapa sangka movie yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai dark thriller boleh bertukar menjadi fantasi yang indah. Intrepetasi yang di sampaikan cukup tersusun walaupun terdapat beberapa maksud yang ingin disampaikan oleh pengarah/penulis berdasarkan objek-objek artistik dalam movie ini.

Dari segi cerita yang saya maksudkan sebagai lari dari klise pula adalah dimana sebaik sahaja menonton movie ini, kita tidak akan menjangka perkara yang akan berlaku selepas itu adalah demikian rupa! Sebagai contoh adalah ketika misteri kehilangan atau keghaiban Susie selepas bertemu George Harvey, di mana tiba-tiba sahaja beliau berada di dunia fantasi yang di mana setiap objek dan panorama di dunia itu mempunyai kaitan dengan kehidupannya. Pasti kehadiran George Harvey itu sendiri menimbulkan syak sama ada dia adalah seorang manusia yang biasa atau luar biasa. Pengarah/penulis juga pandai dengan tidak terlebih menyuap penonton dengan pernyataan-pernyataan jelas akan sesuatu yang berlaku dalam movie itu. Mereka cukup sekadar memberikan gambaran dan menyerahkan keputusan untuk berfikir di tangan penonton.

Buat sekian lamanya juga aku tertarik dengan ending movie ini. Untuk movie-movie yang berkait dengan pembunuhan sadis, pastinya ending yang diketengahkan adalah si pembunuh akan menerima pembalasan seperti mati gantung di penjara, di bunuh oleh keluarga mangsa atau apa-apa saja lagilah kesudahan yang boleh menimbulkan rasa puas hati biasa kepada penonton, hinggakan ending itu di adakan semata untuk memuaskan hati penonton melihat si pembunuh dihukum dengan zalim. Berbeza dengan movie ini, selepas semua orang tahu bahawa George Harvey adalah pembunuh Susie Salmon, dia terlepas begitu sahaja. Sehingga berapa tahun dia terlepas dari tuduhan membunuh. Tercetus juga perasaan tidak puas hati melihat si pembunuh terlepas begitu sahaja. Rupanya dia mendapat pembalasan yang setimpal oleh tuhan. Pembunuh ini tidak mati di tangan orang lain, tetapi mati di tangan tuhan. Dan cara kematiannya, amat mudah. Terjatuh ke jurang bukit hingga patah tangan, leher dan segala-gala tulang di badan. Begitu mudah, namun masih memuaskan hati aku. Kerana itu lah mesej utama movie ini. Biarlah orang itu berlaku jahat, kerana seberapa lama dia hidup sekalipun, pasti akan di balas tuhan!

Aku sarankan movie ini ditonton oleh semua kaki movie yang inginkan kelainan dalam movie Hollywood. Tahniah Peter Jackson.

p/s : Banyak benar Insert Shot yang dipaparkan oleh Peter Jackson, satu trademark yang stylish!
Share:

Tuesday, March 23, 2010

Gunung Berapi Tak Gerun* sebuah reviu Under The Mountain.

Sam Neill lagi!!! Tapi kenapa lah dia suka sangat berlakon dalam movie sebegini tidak hebat. Nak berubah angin ke? Aku pun tak tau lah dengan arus perkembangan movie Hollywood sekarang. Semua berebut-rebut hendak mengadaptasikan cerita dari novel, tapi semuanya hampeh. Bagi aku movie-movie dari Hollywood sekarang pun tidak ubah seperti arus perfileman tanah air kita. Dalam berpuluh-puluh movie Hollywood, cuma ada beberapa belas sahaja yang mampu memuaskan hati aku, dan mungkin hati orang lain.

Sama juga seperti movie ini. Adaptasi dari novel karya Maurice Gee dan tak silap aku ianya adalah remake dari siri tv tahun 80an. Pedulikan lah sama ada ianya adalah movie remake atau movie adaptasi novel, bagi aku movie ini juga tidak kurang seperti movie Daybreakers yang mempunyai tema dan persoalan menarik, tetapi tiada intipati yang ditonjolkan. Semuanya dibuat-buat. Dan aku sendiri agak terkejut bila mendapat tahu CGI dalam movie ini adalah dari syarikat sama yang membuat CGI movie Lord Of The Rings dan King Kong. Kerana efek khas dalam movie ini terlalu animasi.

Lakonan juga tak perlu lah aku cerita dengan panjang lebar. Bagi aku cuma watak yang dilakonkan oleh Sam Neill sahaja, iaitu Mr. Jones yang benar-benar dijiwai dengan betul. Elemen api yang kononnya simbol penyelamat juga gagal di bawa dengan berkesan oleh kembar yang dilakonkan oleh Tom Cameron dan Sophie McBride. Tapi ianya satu percubaan bagus buat mereka yang berani melakonkan watak sedemikian.

Aku sebenarnya dah malas nak reviu panjang lebar. Kerana movie ini langsung tak menarik perhatian aku untuk menonton. Ada kuasa jahat, datang seorang saviour dari alam lain, train manusia lawan kuasa jahat, lepas tu, kuasa jahat tu pun kalah. Seringkas itu sahaja ceritanya. Tak de lah istimewa mane pon. Cuma pengarah sedikit kreatif untuk membangkitkan rasa seronok penonton apabila di previukan awal-awal karakter raksasa Gargantua di bawah gunung berapi di Australia.

Dan yang selebihnya, more to bebel dan membebel dan membebel. Walaupun efek khas pada makhluk Wilberforce nampak ala-ala kartun, tetapi aku tetap juga tertarik dengan efek pada api yang di lakukan pada watak kembar Theo dan Rachel. Tetapi terlampau sekejap. Unsur dramatik yang disampaikan juga tidak terlalu berlebihan dan selalu digunakan dalam movie-movie lain.

Secara keseluruhannya, aku agak rasa bersalah untuk mengatakan movie ini tidak best. Namun aku cuma boleh cakap, better tonton movie ini dari Daybreakers. Tapi tak bermakna movie ini best.

p/s : Kenapa lah aku tak pergi tengok The Lovely Bones je...adooi.
Share:

Matahari Menyelamatkan Vampire!!!* sebuah reviu Daybreakers



Nasib baik ada Sam Neill. Aku tak tau lah kenapa trend sekarang more to vampire. Adakah ini petanda memang ada vampire yang akan menakluki dunia. Aku rasa sebelum menakluki dunia, vampire-vampire ini telah terlebih dahulu menakluk minda remaja di dunia kini.

Macam-macam jenis vampire yang ditunjukkan, ada yang berkilau bila terkena cahaya matahari, ada yang boleh berkilas dengan lajunya, ada juga yang bertarung bermati-matian menggunakan senjata api.

Dan dalam movie ini pula, vampire yang boleh di ubati menjadi manusia semula dengan menggunakan cahaya matahari yang pada mulanya satu bentuk asid pemusnah kepada mereka. Dalam movie ini juga ditunjukkan kehidupan muka bumi pada tahun 2019 yang di huni oleh majoritinya adalah vampire, dan makanan harian mereka, adalah darah. Minum kopi dengan darah, makan daging dengan darah, minum wine dengan darah. Tapi rutin harian masih seperti manusia normal.

Temanya dah cukup menarik, tapi seperti biasa, gaya penceritaan dan pengadaptasian ke arah unsur dramatik tidak langsung memberi impak kepada aku. Ketika menonton movie ini, dalam otak aku hanya memikirkan bahawa movie ini seperti satu movie klasik Hollywood dengan unsur-unsur misteri surprise yang ingin ditonjolkan pada babak dan watak tertentu. Atau senang cerita, movie ini terlalu banyak konsep perlambangan yang terlalu formatif hingga terlampau mengikut keterperincian setiap penggunaan objek dan syot yang ingin menunjukkan maksud tertentu.

Yang paling aku tak tahan adalah watak Lionel Cormac atau Elvis, lakonan Willem Defoe. Watak yang pada mulanya serius akhirnya bertukar menjadi komedi hingga perkataan 'F' yang disebutnya nampak seolah di buat-buat bagi menunjukkan keterujaan pengarah menghasilkan movie ini. Kewujudan Lionel ala-ala saviour juga tidak memberi impak langsung kepada aku yang menonton movie ini penuh perasaan bosan. Bukan untuk karakter ini sahaja yang bagi aku teruk malah juga karakter lain seperti Edward Dalton (Ethan Hawke) dan Frankie Dalton (Michael Dorman). Aku sendiri tidak dapat membayangkan kenapalah aktor hebat seperti Sam Neill dan Willem Defoe boleh terfikir untuk berlakon dengan movie sebegini.

Dan oh ya, proses pengubatan vampire menjadi manusia juga cukup menarik, iaitu mereka perlu di bakar oleh sinar cahaya matahari kemudian disimbah dengan air, namun sayang penghasilan proses ini tidak disampaikan secara baik tanpa unsur-unsur munasabah saintifik. Ianya seperti merupakan satu bentuk eskapisme yang ingin dilakukan pencipta movie ini. Dan proses lain, siapa yang meminum darah orang yang sembuh dari menjadi vampire, juga akan menjadi manusia. Itulah yang kelakar nya movie ini ketika di penghujung. Seorang jadi manusia, vampire lain terus terkam sampai mati, then jadi manusia, terkam lagi, jadi, terkam, jadi, terkam...dan akhirnya, tinggal tiga empat orang sahaja manusia/vampire yang tinggal. Cukup kelakar.

Bagi aku movie ini tidak patut di nilai dari posternya yang nampak gah kononnya. Hingga tercetus rasa menyesal di hati aku menonton movie ini. Dan aku berharap sangat tiada lagi orang yang akan menyesal menonton movie ini nanti.

p/s : Bila Malaysia nak buat movie pasal pocong atau pontianak moden pulak? haha

Share:

Animasi 'Masa Lapang' Dreamworks* sebuah reviu How To Train Your Dragon.


Sebaik sahaja tamat menonton movie ini, aku dapat rasakan seolah-olah Dreamworks Animation(syarikat yang produce movie ni) menghasilkan animasi ini secara santai dan seolah-olah ingin mengisi masa rehat mereka selepas menghasilkan movie animasi seperti Shrek, Kung Fu Panda dan Madagascar. Ini kerana bagi aku, kekuatan jalan cerita movie ini tersangatlah ringan dan seperti tiada kewujudan legasi atau saga berbanding animasinya yang lain.

Aku tidaklah pulak mengatakan bahawa movie ini langsung tidak boleh ditonton, kerana aku tidak lah membenci movie ini. Bagi aku, movie ini boleh diklasifikasi kan sebagai yang 'tengah-tengah', anda boleh menontonnya atas dasar ingin merehat kan fikiran, atau anda boleh menontonnya atas dasar sebab dah tak de movie lain yang best. Movie ini juga aku klasifikasikan sedimikian kerana gaya penghasilan wataknya pasti diminati kanak-kanak, namun penceritaannya pula lebih tertarik ke arah golongan dewasa.

Bagi aku, watak yang paling menarik dalam movie ini adalah naga-naganya. Watak manusia sedikit pun tidak memberi kesan kepada aku walaupun si pencipta atau pengarah cuba menghasilkan satu karakteristik yang menarik hingga kadang kala sukar mengelakkan perkara yang klise.

Well, memang la berbariskan ramai pelakon (suara saja) yang terkenal di Hollywood seperti Gerard Butler, Jonah Hill, America Ferrera dan Jay Baruchel, tetapi, siapa nak tau suara siapa yang dimainkan oleh watak-watak dalam movie ini. Aku tak nafikan lah untuk movie ini aku tak buat researh dahulu sebelum pergi menonton, kalau dengar Gerard Butler berlakon suara pun dah tentu dalam otak aku set movie ini best. Tapi semasa menonton, aku tidak melihat karakter animasi tersebut sambil membayankan pelakon suaranya, itulah yang sedikit kurang jiwa ketika menonton movie ini. Kalau yang tidak kenal Jay Baruchel, yang melakonkan watak utama iaitu Hiccup, dia lah pelakon yang pernah melakonkan watak dalam movie Tropic Thunder dan akan datang, The Sorcerer's Aprentice. Kira dia ni upcoming star lah senang cerita.

Untuk movie ini, sekali lagi aku mengatakan bahawa ianya terlalu klise. Namun, tak bermakna tema dan nilainya tidak boleh diangkat. Ye lah, zaman sekarang ni pun susah nak cari idea baru. Semuanya terpaksa di cilok dan ubah serba sedikit mana yang mampu. Oh, lupa pulak nak bagi tahu yang movie ini adalah adaptasi dari novel menggunakan tajuk yang sama dari penulis, Cressida Cowell. Temanya memang menarik, tentang naga yang berlawan dengan viking.

Hurm, dalam ketidak seronokkan dengan watak manusia dalam movie ini, terselit juga perasaan tertarik dengan nilai yang ditonjolkan, kenapa bunuh kalau kita boleh latih. Begitu lah yang Hiccup lakukan selepas mengkaji dan menyelami karakteristik naga di negaranya. Kita boleh ibaratkan bahawa seseekor binatang itu akan menyerang kita sekiranya mereka berasa seperti terancam. Itu lah apa yang ingin disampaikan oleh movie ini. Tapi kecewanya, di akhir cerita di tunjukkan juga bahawa ada seekor lagi binatang yang menjadi antagonis untuk movie ini. Aku lebih berasa seronok sekiranya diletakkan manusia sebagai seorang antagonis terhadap manusia dan binatang lain. Tapi itulah pangkalnya yang ingin ditunjuk sebab dan musabab kenapa naga-naga menyerang manusia.

Movie ini tetap menjadi satu movie yang wajib disuruh ibu bapa membawa anak-anak mereka pergi menonton sempena cuti sekolah ini. Dan minta-minta lah si ibu bapa ini tidak bawa pergi menonton yang 3D punya, sebab tiada bezanya pun. Format 3D yang disampaikan tidak memberi kesan kepada aku yang menontonnya. Berseronoklah menonton pelbagai naga ala kartun ini. Hehe.

p/s : Comel betul tengok Nightfury, macam nak bela satu, kalau ada. Haha.
Share:

Friday, March 12, 2010

Alice Gaya Gothic *sebuah reviu Alice In Wonderland


Sekali lagi Tim Burton tidak mengecewakan kita dengan hasil karyanya yang terbaru ini. Tim Burton memang terkenal dengan movie cereka pelik-peliknya seperti Edward Scissorhand, Sweeney Todd, Corpse Bride dan Nightmare Before Christmas. Dan movie kali ini, sememangnya dinantikan oleh semua peminat movie-movie ala fantasi plus legendary.

Siapa yang tidak tahu kisah Alice In Wonderland yang pernah menjadi animasi Disney yang hits satu ketika dulu. Kisah ini juga pernah di 'live action' kan selama dua kali kalau tak silap aku. Ianya juga pernah di animasikan di Jepun dengan menggunakan judul yang sama.

Untuk sesebuah movie bercorak adaptasi, sebagai penonton dan peminat setia cerita asli, aku amat menitikberatkan originaliti watak dalam sesebuah adaptasi itu. Tetapi aku tidak kisah dengan tokok tambah cerita yang sedikit mengubah jalan cerita, namun itu lah perbezaannya jika di adaptasi. Apa yang penting, watak dalam cerita tersebut sama ada di kekal kan kredibilitinya atau di tambah baikkan lagi. Aku tidak boleh menerima pengubahan drastik sesetengah watak adaptasi yang sekaligus sedikit mengganggu penghayatan terhadap cerita tersebut.

Di dalam kisah Alice In Wonderland ini, aku tertarik untuk menyentuh watak Mad Hatter, yang dijayakan oleh, siapa lagi kalau bukan pelakon pilihan utama Tim Burton, Johnny Depp the great. Ah, maaf kalau aku bersikap sedikit buyers. Ini kerana aku antara pemerhati Depp yang mengharapkan lakonan mantap selepas sedikit kekecewaan dalam Public Enemy (tetapi hebat juga). Dalam movie ini, watak Mad Hatter sedikit berlainan dengan di dalam animasi, tetapi aku tidak tahu pula bagaimana wataknya dalam novel Alice In Wonderland dan Through The Looking Glass (novel relate dengan AIW). Mad Hatter dalam Alice In Wonderland versi Tim Burton kelihatan lebih hidup dengan ciri-ciri gothic dan separa normal seperti mempunyai dua identiti berbeza, iaitu gila-gila yang kelakar, dan betul-betul gila bila marah. Namun kegilaan Mad Hatter ini lah yang menjadi tunjang cerita untuk menumpaskan kezaliman Red Queen.

Red Queen lakonan isteri Tim Burton sendiri, Helena Bonham Carter (wah, hebat!) adalah kesinambungan dari watak Queen of Hearts seperti di dalam animasi. Bezanya di sini adalah Red Queen di dalam movie ini nampak sedikit komikal walaupun dia merupakan seorang yang zalim. Mungkin Tim Burton ingin menunjukkan bahawa ianya adalah sesuatu yang kelakar jika seorang wanita menjadi diktator yang zalim. Kerana bagi aku, kezaliman Red Queen tidak begitu menjengkelkan kecuali ketika dipaparkan masa silam Mad Hatter yang membabitkan kezaliman Red Queen. Itu pun kezalimannya dipaparkan melalui emosi Mad Hatter (cayalah Johnny Depp!).

Oh, kepada peminat Alice In Wonderland, movie ini sememangnya patut ditonton kerana jalan cerita yang dipaparkan sangat berbeza dengan versi animasi. Bagi pandangan aku juga, movie ini merupakan satu sambungan kepada Alice In Wonderland versi animasi di mana ketika itu Alice masih kecil. Movienya kali ini dipaparkan dengan lebih aksi dan bersesuaian dengan selera penonton sekarang. Dan endingnya, sudah tentulah tidak menyedihkan. Apa yang pasti, jalan ceritanya tetap menarik walaupun berbeza dengan yang dulu.

Dipaparkan juga di dalam movie ini adalah watak White Queen (Anne Hathaway) yang di sampaikan dengan penuh lemah gemalai bentuk badan dan gaya jalan ala-ala tarian balet dan teater muzikal. Tepukan juga kepada Anne Hathaway kerana menunjukkan satu sisi lakonan yang mengejutkan. Watak-watak pengikut White Queen juga mengingatkan aku kepada pelakon-pelakon tambahan di dalam video klip My Chemical Romance, di mana semuanya di tampilkan dalam bentuk putih seperti mayat dan wardrobe ala-ala gothic. Nampaknya Tim Burton seolah ingin mewujudkan unsur gothic dalam movie ini seperti juga movie-movienya yang sebelum ini. Tetapi eksperimennya berjaya. Aku amat tertarik dengan sinematografi di campur kostum untuk movie ini.

Tak lupa juga watak Stayne the Knave of Hearts yang dijayakan oleh Crispin Glover, seorang pelakon hebat yang berjaya membawakan watak seorang yang lidah bercabang. Begitu juga Alan Rickman dengan intonasi suaranya untuk watak Blue Caterpillar atau Absolem. Tak lupa watak White Rabbit yang di lakon suarakan oleh Michael Sheen dan watak Cheshire Cat oleh Stephen Fry. Senang cerita, Alice In Wonderland adalah antara movie yang menghimpunkan watak-watak yang bakal menjadi satu bentuk ikon kelak.

Secara keseluruhannya, movie ini bakal menjadi antara koleksi movie-movie terbaik pernah di hasilkan oleh Tim Burton. Movie ini juga bakal menjadi satu bentuk masterpiece dari sudut sinematografinya. Ianya satu movie yang mesti ditonton.

p/s : Oh Mia Wasikowska. Haha
Share:

Tuesday, March 9, 2010

Isu Selamatkan Bible! *The Book of Eli


Aku agak terlambat menonton movie ini, jadi sudah tentu ramai yang telah membaca reviu tentang movie ini di blog-blog movie yang lain. Tapi aku tetap jugak nak tulis reviu tentang movie ini, sebab blog ini untuk penonton, dan aku juga sebahagian dari penonton. Ini adalah pendapat aku tentang movie ini.

Disebabkan mungkin ramai dah tonton movie ni sebelum aku reviu, so ulasan kali ni aku tampilkan dengan lebih ringkas dan neat.

Secara keseluruhan jalan cerita The Book of Eli ini adalah seperti jalan cerita movie Hollywood yang biasa. Terlalu biasa walaupun movie ini mempunyai unsur agama kristian di dalamnya. Aku juga hairan, ketika-ketika ini lah banyak genre-genre ketuhanan disentuh dalam drama-drama Hollywood yang seperti satu ombak tsunami melanda sinema dunia.

Kalau dah konsepnya agak ketuhanan yang disampaikan secara drama radikal, sudah tentulah terdapat seorang saviour di dalamnya, iaitu Denzel Washington yang melakonkan watak Eli, dan jika ada saviour, mesti ada villain di dalamnya, wah, Gary Oldman lah, yang melakonkan watak Carnegie.

Apa yang membuatkan aku tertarik untuk menonton movie ini adalah salah satunya sebabkan kehadiran Gary Oldman di dalamnya. Ya, Gary Oldman yang pernah menjayakan watak Sirius Black dalam siri Harry Potter, dan watak Jim Gordon dalam The Dark Knight. Tapi sayangnya watak Canergie dalam movie ni tidak begitu mencabar beliau, tapi beliau tetap menjayakannya dengan penuh luar biasa.

Sekalipun jalan cerita movie ini adalah sepertia biasa, iaitu seorang saviour ingin menjalankan misi tetapi dihalang orang-orang rakus tertentu dan akhirnya, perfect twist ending, ini yang aku cukup-cukup berkenan! Aku pun pada mulanya tak sangka ianya akan berakhir sedemikian. Siapa sangka rupanya saviour itu adalah seorang yang buta, dan misi beliau adalah menghantar copy Bible versi King James ke barat, atau San Francisco. Namun selepas Bible itu dicuri Canergie, Eli yang dah sampai ke barat rupanya menghafal keseluruhan kitab Bible itu. Si Canergie pula, malang nasibnya, Bible yang dicuri adalah versi tulisan Braille. Haha, complete ending.

Dan bagi aku, untuk hujung cerita, tak perlu rasanya ditambah babak Solara (Mila Kunis) yang meneman Eli ke barat, akhirnya kembali kepada Canergie untuk menuntut bela ibunya. Cukuplah sekadar babak di mana kitab Bible yang diletakkan di rak bersebelahan dengan Kitab Al-Quran.

p/s : Bible sebelah Al-Quran? hurm, think +ve, think +ve. hehe
Share:

Thursday, February 18, 2010

Mitos Cara Moden.*sebuah reviu Percy Jackson and The Lightning Thief


Lagenda atau mitos Greek kini kembali lagi. Satu je perkara menarik tentang movie ini yang membuatkan aku turut tertambat untuk menonton, iaitu sejarah Greek, atau mitos Greek yang menceritakan tentang dua belas dewa olimpian. Dan dalam dua belas ini, movie ini lebih menumpukan kepada dewa bernama Poseidon, iaitu dewa laut.

Tetapi movie ini bukan lah keseluruhannya berkisar Poseidon, ianya lebih menumpukan kisah pengembaraan seorang remaja lelaki bernama Percy Jackson, iaitu anak kepada dewa Poseidon ini. Jika mereka yang fanatik dengan kisah-kisah mitologi Greek, pastinya mereka pernah mendengar gelaran di panggil demigod, iaitu makhluk separuh dewa dan separuh manusia. Seperti dalam movie ini, ianya mengisahkan himpunan demigod yang terdapat di dalam sebuah kem latihan yang diketuai oleh seorang (seekor?) sentora, bernama Chiron (lakonan Pierce Brosnan).

Nampaknya movie ini seolah-olah ingin mengganti francais Harry Potter yang hampir tamat. Lebih-lebih lagi movie ini merupakan adaptasi dari siri novel Percy Jackson yang terkenal. Namun bagi aku, movie ini kurang intipatinya berbanding movie fantasi adaptasi novel yang lain seperti Narnia, LOTR mahupun Harry Potter. Walaubagaimanapun, ianya tetap menjadi movie yang menarik untuk ditonton kerana satu perkara yang baru meletakkan mitos Greek sebagai subjek perjalanan cerita gaya moden Hollywood.

Apa yang kreatifnya movie ini, adalah pengolahan watak Greek yang dulunya sering diterjemah secara tradisional, kini di dalam movie ini, ianya di tonjolkan secara moden dan terkini. Setiap pengolahan watak Greek yang disampaikan secara moden ini seperti mempunyai satu perlambangan yang ingin disampaikan kepada penonton. Lihat sahaja watak dewa Hades (Steve Coogan), iaitu dewa kematian yang diolah menjadi imej seorang rock star. Pengolahan gaya moden ini amat menarik, walaupun mungkin ada beberapa orang kecewa dengan pengolahan ini yang seolah ingin melepaskan diri dari menggunakan kaedah tradisonal untuk pembentukkan imej Greek dewa-dewa ini. Medusa pula di imejkan seperti seorang wanita dengan pakaian high class. Begitu juga penggunaan babak 'the lotus eater' yang berlatar belakangkan Las Vegas.

Jika diperhati dengan teliti, gaya penceritaan Percy Jackson ini tidak ubah seperti kisah-kisah Greek yang lama seperti Jason and The Agronauts mahupun kisah Hercules. Cuma gaya penceritaannya sahaja yang diubah menjadi moden. Lihat sahaja babak 'the lotus eater', ianya antara babak yang pernah sahaja berlaku dalam beberapa kisah mitologi Greek, tetapi penggunaan Las Vegas sebagai latar belakang menunjukkan perlambangan bahawa Las Vegas itu adalah satu tempat berhibur yang boleh mengkhayalkan.

Dari segi penceritaan, ianya terlalu ringkas. Mungkin bagi penonton yang sudah biasa dengan kisah epik, gaya penceritaan sebegini sudah biasa dilihat. Tetapi terdapat juga perkara yang menyebabkan penonton diselubungi misteri sepanjang penceritaan movie ini, iaitu pencuri sebenar panah kilat milik dewa Zeus. Percy Jackson yang dituduh mencuri kerana Zeus seolah menyangka, Poseidon, iaitu adik kandungnya, ingin merampas takhtanya. Zeus tidak mungkin menuduh Hades, kerana Hades tidak mempunyai anak dalam kategori demigod. Zeus seolah yakin, demigod bernama Percy, disuruh oleh ayahnya Poseidon, untuk mencuri panah kilat hebat itu untuk tujuan kepentingan Poseidon sendiri. Padahal dia tidak sedar, ada ramai lagi demigod yang boleh mencuri panah kilat miliknya. Aku tak boleh lah nak spoil kan siapa yang mencuri panah kilat itu, tetapi bagi yang memang tahu sejarah dewa-dewa olimpian, tentu sahaja mereka tahu, bahawa dewa Hermes, adalah dewa perutusan dan pencuri. Jadi, sudah tentulah demigod dari benih Hermes yang mencurinya.

Ada kelebihannya juga kita tidak tahu tentang dewa-dewi olimpian mahupun sejarah mitologi Greek. Ini kerana movie ini seolah mengajar kita serba sedikit tentang mitologi tersebut. Kita dapat lihat demigod, anak dewi Athena, iaitu dewi kebijaksaan, anaknya bernama Annabeth, dan seorang (seekor?) Satyr, iaitu makhluk manusia berkaki kambing, Grover. Mereka berdua adalah rakan kepada Percy yang sedang dalam pengembaraan menyelamatkan ibunya dari genggaman Hades yang menginginkan panah kilat Zeus, kononnya disangka dicuri oleh Percy.

Dari sudut pandangan penonton, movie ini memang menarik untuk ditonton, dengan tema yang menarik, walaupun gaya penceritaannya adalah sama seperti movie corak fantasi yang lain. Dari segi lakonan pula, pengarah seolah ingin menyembunyikan kelemahan pelakon muda seperti Logan Lerman (Percy Jackson) dan Alexandra Daddario (Annabeth) dengan mengetengah kan pelakon-pelakon ternama seperti Pierce Brosnan, Steve Coogan, Sean Bean (Zeus) dan Uma Thurman (Medusa). Kehadiran pelakon-pelakon ternama ini seolah ingin memberi impak kepada penonton bahawa movie ini mungkin sesuatu yang menarik untuk ditonton. Namun aku lebih tertarik watak satyr bernama Grover yang dilakonkan oleh Brandon T. Jackson, kerana watak yang dibawanya cukup memberi kesan kepada penonton dan sering menimbulkan gelak ketawa.

Secara keseluruhannya, apa yang aku boleh katakan tentang movie ini adalah, kemodenan mitos Greek yang cukup misteri dan menarik.
Share:

Monday, February 8, 2010

Memang Untuk Ketawa! *sebuah reviu Adnan Sempit.


Memang menyenangkan hati yang tidak senang, menghiburkan hati yang tidak terhibur, melapangkan otak yang tidak lapang. Movie ini lah yang aku cari-cari selepas kecewa dengan semua movie-movie komedi yang hampeh. Dan kesudahannya, aku keluar dengan muka tersenyum sambil dipandang orang-orang sekeliling yang turut tersenyum mengenangkan babak-babak dan dialog-dialog dalam movie ini.

Setinggi-tinggi tahniah aku ucapkan kepada Ahmad Idham, dan lebih-lebih lagi kepada Shaheizy Sam. Tanpa mamat poyo ni (haha), aku tak yakin movie ini dapat menarik perhatian penonton. Ya, movie ini banyak bergantung kepada wataknya, iaitu Adnan Sempit yang dibawa oleh Shaheizy Sam. Dan Sam berjaya membawa watak ini dengan terbaik diselit dengan emosi, gaya percakapan dan perlakuan yang menarik. Babak dalam movie ini akan menjadi super kelakar dengan adanya Adnan. Bagi diri aku juga, aku hanya tergelak besar dengan babak yang membabitkan Adnan sahaja. Babak tanpa Adnan, agak kurang menarik walaupun tetap menguatkan cerita.

Movie ini disampaikan dengan cukup jelas tanpa berselindung disebalik mana-mana lambang yang akhirnya memeningkan kepala penonton sendiri. Namun, masih ada babak yang kabur atau kurang jelas, dan ianya seolah memberi gambaran bahawa terdapat mesej yang ingin disampaikan pengarah. Babak tersebut adalah babak dimana Bobby (Along Cham) dan Wawa (Yana) sedang menyanyi bersenda gurau sepasang kekasih, dan akhirnya, ditamatkan dengan jeritan kedua mereka yang terkejut apabila kepala peragut (yang pernah meragut beg tangan Wawa) jatuh dari atas pokok kelapa. Terdapat mesej yang ingin disampaikan dalam movie ini. Aku ni bukanlah pandai sangat mentafsir subjek perlambangan dan simbolik dalam movie. Namun setelah aku terbaca reviu blogger ini, barulah aku tahu babak yang bagi aku pada mulanya tiada faedah, mempunyai mesej yang kuat.

Untuk penceritaan pula, biasa-biasa saja, barulah aku faham apa yang sempit tentang movie ini, sempit untuk menceritakan plot yang lebih menarik. Tapi itu semua ditepis, walaupun ceritanya sempit, ianya disalut dengan komedi yang luas. Sekaligus membuatkan penonton mempersetankan penceritaan yang diberi.

Dari aspek lakonan, bukan Sam sahaja yang memberikan lakonan mantap, malah tiga lagi watak pembantu berjaya menarik perhatian aku iaitu Nadia (Intan Ladyana), Wawa dan Bobby. Antara tiga ini, aku paling gemar watak Wawa lakonan Yana. Kita boleh nampak perkembangan mutu lakonan Yana yang pernah mengarah movie Selamat Pagi Cinta. Yana memang berbakat dalam lakonan, dan tahniah juga kepada Ahmad Idham yang berjaya melentur Yana yang membawa watak cukup menggelikan hati penonton. Buat sekian kalinya juga, aku tabik dengan lakonan Intan Ladyana. Sebelum ini, aku amat mual dengan gaya lakonan Intan, tetapi watak Nadia yang matang berjaya menunjukkan bahawa Intan juga boleh menjadi seorang pelakon yang berwibawa. Along juga dilihat mempunyai potensi untuk pergi jauh, cuma dia perlu lari dari karakter dirinya sebenar supaya gaya lakonannya lebih pelbagai.

Dalam movie ini juga, ditonjolkan gaya penceritaan mengikut nyanyian lagu yang dibawa oleh seorang pak cik karaoke lakonan Angah Raja Lawak. Setiap babak yang mempunyai emosi dan cerita tertentu akan diselangi dengan nyanyian karaoke Angah yang membawakan lagu bertepatan dengan emosi tersebut. Nampaknya Ahmad Idham menunjukkan kelainan dalam movienya kali ini. Aku juga tertarik dengan watak spin-off dari movie Remp-it iaitu watak Macha dan Ika. Ingat lagi tak dihujung movie Remp-it terdapat teks memberitahu bahawa Macha berkahwin dengan Ika selepas kematian Madi. Dan dalam movie Adnan Sempit ini ditunjukkan watak Macha dan Ika yang telah menjadi suami isteri, serta Macha dijadikan sebagai pakcik Adnan. Cukup kreatif idea spin-off yang disampaikan Ahmad Idham.

Dalam banyak-banyak movie komedi yang dibikin Ahmad Idham, Adnan Sempit merupakan yang terbaik bagi aku. Mungkin kerana gaya penceritaannya yang jujur serta jelas disampaikan. Malah aku tak nafikan, bahawa movie ini mungkin akan merangkak tanpa kehadiran Shaheizy Sam. Kepada penonton Malaysia, ini lah movie komedi yang dapat menyenangkan hati anda. Ini lah movie yang menunjukkan kita wajib sokong movie tempatan. Tahniah.

p/s : Sedikit terganggu dengan kehadiran poster movie Dua Hati Satu Jiwa, nasib baik tak dipertontonkan trailernya. Tak nak tengok lagi! HaHa!!!
Share:

Blog Archive