Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, June 25, 2020

I Saw The Devil (2010) - Ulasan Filem

Ini merupakan antara filem yang bertemakan 'pembalasan dendam klasik' pada era moden yang terbaik pernah aku tonton. Cerita mengambil tempat apabila Jang Kyung-chul (Choi Min-sik) membunuh tunang kepada ejen Perkhidmatan Perisikan Rahsia Korea Selatan, Kim Soo-hyun (Lee Byung-hun) secara kejam dengan mengerat-ngerat badan dan di campakkan ke merata tempat. Soo-hyun yang berasa sangat marah nekad untuk mencari pembunuh tunangnya dan mendapatkan pembalasan yang setimpal.
Filem ini bergerak sangat pantas pada awalnya, hinggakan pada 40 minit pertama, seolah macam filem ni sudah hampir ke pengakhiran. Rupanya untuk jam berikutnya, kita disajikan lagi dengan penceritaan yang lebih mendalam tentang pembalasan dendam Soo-hyun terhadap Kyung-Chul. Sinematografi dan gaya penceritaan filem ini memainkan peranan penting dalam melayani perasaan kita semasa menonton. Banyak babak-babak ngeri dan memualkan, tetapi disajikan secara 'biasa' dan 'selamba' tanpa terlalu menggunakan muzik latar atau pergerakan kamera yang dramatik.
Intipati filem ini adalah memfokuskan pada isu pembalasan dendam yang ditunjukkan sebagai sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana manusia. Personifikasi 'syaitan' yang ditunjukkan adalah melalui pelbagai bentuk, baik pada diri Kyung-chul yang sememangnya seorang yang kejam dan rakus, dan juga pada diri Soo-hyun kerana ingin membalas dendam, beliau sendiri melepaskan 'syaitan' yang berada dalam diri dan menghukum Kyung-chul sepuas hati.
Apa yang menariknya filem ini agak seimbang dalam memberikan kepuasan dan turut sama menyakitkan hati audiens yang menonton. Ada masanya kita melihat kemenangan terletak pada Soo-hyun yang berjaya sedikit demi sedikit membalas dendam, tetapi hingga ke penghujung kita dihidangkan pula dengan kerakusan Kyung-chul yang sangat dahsyat kerana ingin membalas kembali perbuatan Soo-hyun terhadapnya. Jika kita inginkan filem yang mempunyai pengakhiran bahagia, ini bukan filemnya. Filem ini memberi sedikit rasa 'realiti' sebenar yang berlaku dalam kehidupan sekiranya kita membiarkan 'syaitan'menguasai diri.
Pujian yang tinggi aku berikan pada Lee Byung-hun yang kita tahu memang seorang pelakon yang hebat. Byung-hun tahu berapa banyak emosi yang perlu ditunjukkan dalam setiap babak, dan kebanyakkan lakonannya ditunjukkan melalui matanya. Begitu juga Choi Min-sik yang memang terkenal dengan aura menggerunkan sekaligus memberikan lakonan yang tak tertanding.
Mengambil petikan kata-kata dari Confucius,
"Before you embark on a journey of revenge, dig two graves."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive