Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Wednesday, September 22, 2021

Squid Game 2021 - Netflix Series KDrama Review

SQUID GAME - MUSIM PERTAMA (2021)

TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
PENGARAH: Hwang Dong-hyuk
LAKON LAYAR: Hwang Dong-hyuk
PELAKON: Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-joon, Jung Ho-yeon, Heo Sung-tae, Kim Joo-ryoung, Tripathi Anupam, Yoo Sung-joo, Lee Yoo-mi.
GENRE: Thriller, Drama
BAHASA: Korea (Korea Selatan)
DURASI: 32-63 minit setiap episod


Seong Gi-hun (Lee Jung-jae), seorang yang kuat berjudi dan mempunyai hutang yang banyak telah ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia untuk bermain sebuah permainan dengan tawaran sejumlah wang lumayan. Tetapi tanpa disedari Gi-hun, permainan tersebut merupakan permainan 'survival' yang disertai oleh 456 orang peserta lain. Mereka dikehendaki bermain permainan tradisional Korea dan nyawa mereka menjadi pertaruhan demi hadiah wang sebanyak 4.6 billion won.
Jika ada satu perkara yang boleh dipuji tentang siri ini, sudah tentulah penataan seninya dengan latarbelakang premis dan busana dari watak-watak yang penuh dengan bewarna-warni serta mempunyai konsep minimalis. Malahan elemen serta gaya yang ditunjukkan merupakan daya penarik utama untuk siri ini. Siri ini berjaya memberikan permainan-permainan tradisional yang nampak ringkas, tetapi dihiasi dengan set yang sangat gah.
Mesej yang cuba disampaikan dari siri ini tentang kelangsungan hidup sangat jelas apabila memberikan kontra antara dunia luar dan dunia di dalam permainan. Di sini ianya menggunakan watak-watak yang mempunyai masalah kewangan seperti Gi-hun, seorang yang cuba melarikan diri dari masalah dunia luar. Tapi motif sebegini juga ditemui dalam hampir kesemua watak tetapi diselaputi dengan matlamat yang berbeza. Contohnya watak Cho Sang-woo (Park Hae-soo) yang mempunyai perwatakan luaran yang berbeza dari Gi-hun, iaitu seperti seorang yang berjaya, tetapi tetap ada masalah yang sama dengan Gi-hun. Siri ini menggunakan psikologi untuk setiap watak pemain supaya melihat perbezaan antara dunia realiti dengan dunia permainan.
Ceritanya juga tidak hanya bergantung kepada permainan sahaja, malahan dengan hanya enam permainan yang diketengahkan, ianya hanya menjadi elemen sampingan yang menghiasi siri ini. Siri ini tidak dapat lari dari mengetengahkan emosi sekaligus meleretkan jalan cerita menjadi panjang demi untuk memfokuskan cerita pada setiap watak. Bagi aku perkara ini tiada masalah kerana sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit nafas baru kepada cerita berkonsepkan 'permainan maut' sebegini. Kita dapat melihat pelbagai perspektif dan tidak hanya pada watak pemain sahaja.
Cuma mungkin satu kelemahan yang menjadi kekuatan siri ini adalah kebarangkalian serta aspek kebetulan yang diwujudkan dalam siri ini hanya untuk menunjukkan sisi ironi sekaligus menimbulkan babak-babak penuh emosi dan mengejutkan. Ya, sudah tentu cerita sebegini akan dibekalkan dengan 'plot twist' untuk menambah selera penonton, tetapi ini bukan kekuatan siri ini. Bagi aku kekuatannya adalah pada 20 minit terakhir setiap episod yang mampu menimbulkan perasaan berdebar-debar di hati penonton.
Jika ingin dilihat pada aspek keganasan dalam siri ini, rasanya terdapat siri atau filem lain yang lebih ganas dan menggerunkan. Siri ini masih menunjukkan babak pembunuhan beramai-ramai, tetapi cara pembunuhan itu tidaklah sekreatif atau seganas mana pun. Berbalik pada apa yang aku katakan tadi, fokusnya bukan pada itu, tetapi pada pembangunan karakter serta kewujudan babak saspens setiap episod.
Perlu aku sebutkan juga disini bahawa pelakon Jung Ho-yeon yang membawakan watak wanita dari Korea Utara bernama Kang Sae-byeok merupakan antara watak yang aku gemari dalam siri ini. Siri ini merupakan debut untuk beliau dan persembahan yang diberikan sangat memberangsangkan. Sudah tentu nama Ho-yeon ini akan sentiasa diperhatikan untuk melihat projek akan datang darinya. Secara keseluruhannya, mungkin ramai yang akan berkata ada banyak lagi siri dan filem yang lebih bagus dari siri ini. Namun sebagai seorang penonton drama Korea yang tidak kasual seperti aku ini, dapat menghabiskan siri ini dalam masa satu hari telah membuktikan ianya sebuah siri yang menarik buat aku.
Link untuk menonton siri ini: https://www.netflix.com/title/81040344
Share:

0 opinions: