Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, August 27, 2020

TENET (2020) - Ulasan Filem

Adakah ianya filem terbaik Christopher Nolan? Tidak.

Adakah ianya masih lagi filem yang bagus? Ya.

Adakah ianya susah difahami? Ya dan Tidak.


Secara kesimpulannya, aku merasakan filem ini adalah sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang linear tetapi menyamar sebagai sebuah filem non-linear. Ini kerana, dari awal hingga ke akhir filem, jalan cerita lebih fokus kepada perjalanan the Protagonist (John David Washington), tetapi perjalanan masa dan watak sekeliling the Protagosist ini yang bergerak secara abnormal.

Kalau nak cerita tentang perkara yang paling susah dihadam dalam filem ini dah tentulah terma-terma saintifik dan penjelasan fizik tentang abnormaliti yang berlaku. Kita akan dengar terma-terma seperti 'reversed entropy', 'temporal pincer movement', 'Grandfather paradox', sedangkan perkataan 'Tenet' tu sendiri pun dah buat aku garu kepala. Mulalah masa tu rasa menyesal masa tingkatan 4 dulu ganti subjek Fizik dengan Prinsip Akaun.

Tapi kalau 'letakkan ketepi' segala mumbo jumbo tu, filem ini akan jadi mudah difahami. Adakah ianya memerlukan tontonan kali kedua? Jika diikutkan, untuk betul-betul memahami filem ini, tontonan kali kedua itu perlu sekiranya kita ingin meletakkan diri kita dalam perspektif yang berbeza. Sudah tentu kali kedua menonton filem ini membuatkan perspektif kita buat filem ini lebih berbeza.

Baiklah, sentuh berkenaan perihal lain pula, jika diikutkan filem ini adalah sebuah filem yang sangat tipikal buat pengarah Christopher Nolan. Lahiriah dan zahiriah filem ini menjerit-jerit nama Nolan kerana semangatnya yang seakan sama seperti filem Inception, The Dark Knight dan Memento. Penggunaan 'practical effects', muzik latar yang bergegar-gegar, dialog dan lawak-lawak kering, memang sangat Nolan lah! Hinggakan ada sesetengah babak boleh diramal lebih awal kerana kita tahu plot macam mana sering diketengahkan beliau.

Dari segi lakonan pula, aku lebih puji lakonan Robert Pattinson sebagai Neil daripada JDW yang membawa watak utama. JDW membuatkan aku boleh serasi dengan wataknya selepas 1 jam pertama, tetapi lakonan Robert Pattinson membuatkan aku 'hooked' dari kemunculan awal lagi.

Sekiranya Nolan mencuba sesuatu yang luar dari norma pembikinan filemnya, mungkin akan lebih mengujakan aku. Walaubagaimanapun, babak ke babak yang sarat dengan plot membuatkan aku tidak terasa perjalanan filem selama dua jam setengah ini. Selepas dihidangkan dengan filem-filem 'mediocre' pada musim PKP ni, kehadiran filem TENET sedikit sebanyak menghilangkan rasa rindu pada Hollywood summer movie.

‘Don’t try to understand it. Feel it.’

Rating Peribadi: 4/5

#TENET #HDABDHMD #HadyMovieReview

Share:

Tuesday, August 18, 2020

Following (1998) - Ulasan Filem

Kisah seorang 'stalker' yang kena stalk oleh orang yang dia stalk.

Following merupakan filem indie bergenre neo-noir dan merupakan filem penuh pertama dari Christopher Nolan. Filem ini hanya menelan bajet sebanyak USD6,000, dan akibat dari kos yang rendah ini, Nolan membuat persiapan seperti latihan lakonan untuk setiap babak supaya dapat mengurangkan kos dari menggunakan stok filem 16mm. Nolan juga terpaksa menggunakan 'lighting' sedia ada kerana kos untuk peralatan lighting yang mahal. Selain dari mengarah dan menjadi sinematografer, Nolan juga terlibat dalam suntingan dan kerja-kerja produksi yang lain.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang mempunyai sifat suka mengekori individu tidak dikenali di jalanan dan mengambil inspirasi dari individu-individu ini untuk novelnya. Sehinggalah pada suatu hari, dia telah terlalu fokus mengekori seorang lelaki yang berpakaian segak sehingga disedari oleh lelaki tersebut. Akhirnya mereka berdua mula berkenalan dan lelaki berpakaian segak itu memperkenalkan dirinya sebagai 'Cobb'.

Cobb kemudian mendedahkan identitinya sebagai seorang pemecah masuk rumah dan menjemput lelaki tersebut untuk menemaninya pecah masuk mangsa seterusnya. Di sini juga Cobb mendedahkan yang dia lebih gemar menyelongkar barang-barang peribadi mangsa pecah rumahnya dari sekadar mencuri. Lelaki itu mula rasa tertarik dengan gaya Cobb lalu mula mengikuti tingkah laku dan perbuatan Cobb. Tetapi lelaki itu tidak tahu akan agenda sebenar Cobb terhadap dirinya yang akhirnya mempersembahkan kita dengan 'plot twist' demi 'plot twist' hingga ke penghujung filem.

Dari filem ini sebenarnya kita sudah nampak jenis plot dan gaya pengarahan yang disampaikan oleh Nolan dan kemudiannya diterapkan dalam filem-filemnya sekarang. Sebelum wujudnya Inception, The Dark Knight,The Prestige dan Tenet, filem ini membawa kita ke perspektif Nolan yang baru ingin berjinak dalam dunia perfileman. Di mana dengan hanya berbekalkan bajet yang sedikit, perkara paling utama yang Nolan tekankan adalah plot dan sinematografi. Dan itu jugalah yang sering Nolan fokuskan pada filem-filemnya sekarang.
Share:

Project Power (2020) // Netflix - Ulasan Filem

Filem-filem yang bermain dengan konsep 'superpower' selalunya ada banyak idea yang menarik diketengahkan. Tetapi banyak yang lemah dari segi pelaksanaan lebih-lebih lagi pada elemen penceritaan. Filem Project Power tidak terkecuali dari perkara ini.

Premis yang agak 'promising' tetapi sayangnya filem ini seolah tidak berani untuk memberikan sesuatu yang lebih dan tidak mampu memberikan kesan pada plot. Sesetengah babak aksi seolah menjaminkan hiburan yang maksima, tetapi terhenti tiba-tiba dengan jalan klimaks yang mudah.

Project Power hanya power dari segi idea, tetapi 'weak' dari segi penterjemahan.

Video review penuh: https://youtu.be/cT1v-L31Nwc

Rating Peribadi: 3/5

Share:

Tuesday, August 11, 2020

The Umbrella Academy Season 2 (2020) - Ulasan Siri TV

Musim kali ini lebih menyengat dari musim sebelumnya walaupun masih membawa tema 'apokalips' yang sama. Geng UA ni nampaknya tak boleh larikan diri dari memusnahkan dunia dan akhirnya kena bergantung pada Five bagi mencari jalan penyelesaian.

Latar belakang tahun 1960-an membuatkan jalan cerita musim kali ini lebih segar dan menarik bertambah pula dengan beberapa plot twist dan konflik yang bertubi-tubi.

Watak Vanya menjadi ikon GLBT dalam musim ini seperti mana juga pelakonnya Ellen Page. Klaus dan Ben sangat serasi dan kemunculan mereka dalam setiap babak amat menghiburkan. Isu rasism juga tidak dapat dielakkan dan seperti menjadi isu wajib untuk diketengahkan dalam hiburan masa kini.

Rating Peribadi: 4/5


Tonton video review yang tak berlesen ini: https://youtu.be/zmYKcVW5eNE


#HadyMovieReview #HadyAbdHamid #HDABDHMD #TheUmbrellaAcademy

Share:

Monday, August 10, 2020

Roh (2020) - Ulasan Filem

Visual yang sangat memukau adalah perkara pertama yang dirasai dari filem ini dan membuatkan kita melekat di skrin sinema menanti dan menyelusuri kisah yang dipaparkan.

Dengan kombinasi muzik latar dan lakonan mantap dari barisan pelakon yang berbakat seperti Farah Ahmad, Mhia Farhana, Haziq Harith, June Lojong, , Namron dan Puteri Qaseh menambahkan lagi keberkesanan filem ini sebagai antara filem seram lokal terbaik.

Skrip tersusun dengan kemas bersama dialog yang ringkas serta jalan cerita yang membuatkan kita berfikir di pengakhiran cerita. Ini sebuah filem yang sangat baik dan memberi harapan kepada pembikinan filem berkualiti dari segi visual tanpa menggunakan bajet yang besar.

Roh juga membuktikan bahawa filem ini sangat layak dialami dan diselami di panggung wayang.

Tonton video review: https://youtu.be/QAqZP5-fO2U

Rating Peribadi: 4/5

 


Share:

Friday, August 7, 2020

The Rental (2020) - Ulasan Filem


Jika dibuang elemen ganas melampau, dialog-dialog jengkel, darah yang melimpah ruah, babak-babak panas di dalam sebuah filem bertemakan ‘slasher’, maka kita akan dapat filem The Rental ini. Filem ini adalah filem arahan pertama pelakon Dave Franco, dan sebagai seorang pengarah filem ini, beliau telah menjalankan kerja yang sangat bagus.

Kekuatan filem ini bukan pada jalan ceritanya, kerana jika dilihat, ianya masih lagi mengekalkan konsep yang sudah digunapakai berpuluh tahun dahulu. Tetapi kekemasan jalan cerita dan dilengkapi pula dengan lakonan dan sinematografi yang indah membuatkan filem ini berada di tempatnya sendiri sebagai sebuah filem ‘thriller’.

Penceritaan dari awal memang agak perlahan, tetapi dengan dialog yang bersahaja dan sangat ‘natural’ dikalangan pelakon seperti Dan Stevens, Alison Brie, Sheila Vand, Jeremy Allen White dan Toby Huss membuatkan perjalanan masa dalam filem ini berlalu dengan konsisten.

Cuma mungkin jika kita meletakkan filem ini sebagai filem ‘thriller’ dan ‘slasher’, pasti akan sedikit kecewa dengan ‘plot twist’ yang cuba disampaikan dan boleh membuatkan penonton tercengang dan terpinga-pinga di penghujung filem. Tetapi itulah kelainan filem ini, ianya tidak terlalu mencuba, tetapi lebih kepada memberi sesuatu yang mudah.

Rating Peribadi: 3.5/5

#HadyMovieReview #HadyAbdHamid #HDABDHMD #TheRental

Share: