Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, September 23, 2021

Mencari Rahmat (2021) - Movie Review

MENCARI RAHMAT

TAHUN: 2017
PENGARAH: Al Jafree Md Yusop
LAKON LAYAR: Al Jafree Md Yusop
PELAKON: Nam Ron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Eric Fuzi
GENRE: Komedi, Drama
BAHASA: Bahasa Melayu (Malaysia)
DURASI: 101 minit


Razak (Nam Ron) yang merupakan seorang usahawan berjaya dari Pulau Pinang, menggunakan nama Rahmat di Kuala Lumpur dan cuba untuk memikat hati Rose (Nadia Aqilah) yang merupakan sepupu kepada Azman (Amerul Affendi) dan anak kepada Datin Azizah (Adibah Noor). Azman pula dibesarkan oleh Datin Azizah dan cuba untuk memikat Ratna (Sharifah Amani) yang merupakan anak saudara dibawah jagaan Razak. Razak memberitahu Ratna bahawa dia mempunyai adik bernama Rahmat di Kuala Lumpur, lalu Azman menggunakan peluang itu untuk menyamar sebagai Rahmat ketika ingin memikat Ratna di Pulau Pinang.
Filem ini merupakan sebuah adaptasi dari sebuah pementasan yang ditulis oleh Oscar Wilde berjudul 'The Importance of Being Earnest'. Sebuah filem yang diadaptasikan dari karya luar, lalu diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan diberikan suntikan nafas kemelayuan itu oleh pengarah Al Jafree Md Yusop, kemudian dihembuskan pula dengan semangat-semangat tipikaliti drama lokal, maka terhasil lah filem Mencari Rahmat ini.
Dengan berbekalkan sebuah penulisan skrip dan dialog yang cukup jitu besertakan barisan pelakon yang hebat, filem ini berfungsi sebagai sebuah medium untuk menyampaikan sebuah plot tentang keghairahan watak-watak yang mendambakan 'cinta' dan 'perhatian' melalui sebuah pembohongan. Premisnya mudah sahaja dengan memfokuskan pada watak Razak dan Azman serta satu lagi karakter bernama Rahmat yang menjadi titik punca segala permasalahan yang berlaku sehingga memberikan penamat yang 'haram jadah'.
Mungkin boleh aku katakan pada babak pertama filem ini mampu menimbulkan perasaan bosan kepada penonton yang menonton, kerana ianya dipersembahkan lebih dekat sebagai satu pementasan teater dan menjadi titik utama permulaan kisah penipuan yang dibikin oleh Razak dan Azman. Tetapi tempo penceritaan mula bergerak dengan laju apabila sampai ke babak pertengahan hinggalah ke pengakhiran. Seperti aku katakan tadi, ianya diterjemahkan dari sebuah pementasan, lalu filem ini juga mempunyai semangat seperti sebuah pementasan, cuma pada penghujung filem ini akan ada satu tipikaliti yang sering kita dapati dalam drama-drama lokal atau paling dekat seperti yang kita boleh dapat dari filem Keluarga 69.
Terdapat pertembungan antara dialog kaku dan dialog bersahaja dalam filem ini, bukti ianya sebuah penterjemahan dari teks berbahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Ianya akan nampak sedikit janggal pada mulanya, namun kejanggalan itu beransur hilang kerana keberkesanan para pelakon dalam memberikan persembahan menakjubkan. Perkara berkaitan lakonan ini tidak boleh disangkal lagi kerana umum mengetahui bahawa Nam Ron, Amerul Affendi, Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Fauziah Nawi dan Azman Hassan sudah termaktub sebagai pelakon-pelakon yang handal. Cuma jika aku diberi pilihan untuk memilih pelakon kegemaran dalam filem ini, aku akan pilih Adibah Noor kerana beliau menjayakan watak Datin Azizah dengan sangat hidup serta auranya setiap kali berada dalam setiap babak merancakkan lagi perjalanan cerita.
Jujur aku katakan filem ini bukan untuk semua orang. Ianya tidak mempunyai kebiasaan yang sering ditunjukkan dalam filem-filem lokal yang lain. Tetapi satu perkara yang filem ini dapat menangkap perhatian penonton dari awal, sudah tentu sinematografi dan visualnya. Jadi dengan jalan cerita dan skrip yang luar dari normal, pengarah filem ini bijak dengan mengeksploitasi pandangan penonton supaya tertarik dengan visualnya terdahulu. Ini satu pujian buat pengarah sinematografi, Madnor Kassim yang bijak menggunakan sudut-sudut dan pergerakkan kamera untuk menjadikan cerita yang seakan pementasan ini ke bentuk sebuah filem yang indah untuk ditonton.
Ada filem yang terlalu memfokuskan pada visual dan sinematografi tetapi lupa untuk menitikberatkan jalan cerita serta skrip. Ada juga yang terlalu menyelami jalan cerita serta skrip tetapi lupa untuk meneliti aspek teknikal. Mencari Rahmat berjaya mengimbangi kedua-dua faktor teknikal dan skrip menjadikannya antara filem lokal yang bagus. Sekalipun begitu, kritikan sosial serta sindiran yang disampaikan melalui watak-watak dalam filem ini mungkin menjadi satu kesukaran untuk penonton fahami. Atau yang sukar difahami itu lah lebih seronok untuk diselami.
Filem ini boleh ditonton secara strim di MUBI Malaysia.

"Jika nama aku bukan Rahmat adakah kau masih lagi mencintai aku?"


Share:

0 opinions: