Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Friday, May 24, 2013

Tak Sekental Mana...*sebuah review Bikers Kental.



Ini lah yang ditunggu-tunggu dari bikers-bikers kental seluruh Malaysia, iaitu sebuah movie tentang bikers! Akhirnya impian mereka itu terjawab dengan hadirnya buah tangan pertama dari saudara Helmi Yusof, yang asalnya adalah pengarah fotografi terkenal yang telah menghasilkan beberapa karya dengan pengarah-pengarah ternama. Kini muncul movie Bikers Kental, lakonan Zizan dan Awie, memang menderum-derum panggilan mereka memanggit bikers-bikers serta awek-awek untuk menyaksikan kekentalan mereka membawa motor berkuasa besar. Takkan nak tengok Awie bawak motor dalam cerita Sembilu je kot, rindu dah rasanya ni. Apa lagi dengan Zizan pulak, boleh ke brader ni menonjolkan imej sebagai seorang biker? Dan apa yang menarik, movie ini membawa kita perjalanan ke Krabi, Thailand. Mungkin ini satu kelainan yang cuba ditonjol oleh saudara pengarah. Tapi bagi OtakMovie, movie ini tidaklah sehebat yang disangka. Slow sikit 'rem' dia tu kata kan...

EFEK KHAS/AKSI



Agak amatur. Tu je yang boleh OtakMovie katakan tentang efek dalam movie ini. Dan ini juga menyentuh dari sudut editing untuk movie ini. Serius OtakMovie katakan, mendengar nama Helmi Yusof sebagai pengarah, OtakMovie agak teruja nak tonton sekuens dalam movie ini. Yelah kalau tak mana nak nya OtakMovie tonton movie Melayu. Tapi selepas menonton movie ini, sangat sedih. Sebab sekuens antara babak ke babak dan bab-bab editing dalam movie ini sangat lemah. OtakMovie kekadang sampai terbingung dengan apa yang cuba disampaikan. Satu lagi, jangan sesekali tertipu dengan poster Bikers Kental ini yang nampak seolah gah dengan aksi. Walhal sebenarnya hanya seciput saja babak aksi yang ditonjolkan. Nasib baiklah babak aksi yang satu-satunya ini boleh OtakMovie puji sebab ada babak Awie bawak motor sambil ngejor kerete....haha

SKOR MUZIK



Pun biasa-biasa jugak. Tak boleh nak bangga mana pun. Tapi kira ok lah jugak skor muzik dalam movie ni. Contohnya pada babak kita disajikan dengan perjalanan bikers-bikers ni ke Thailand, dihiaskan dengan lagu-lagu Thailand. Maksudnya mood yang cuba disampaikan agak menjadi. Cuma sedikit masalah, iaitu pengulangan lagu yang sama membuatkan movie ini sedikit bosan. Dengan jalan ceritanya yang slow, menambahkan lagi kebosanan untuk ditonton. Nasib baik ada muka Zizan, terdengar pulak suara gadis-gadis dalam panggung dok tergelak-gelak tanpa reason. Ok lah tu...

LAKONAN



Zizan masih lagi dengan karakternya yang biasa. Tak payah buat dialog lebih-lebih, tengok mukanya saja memang dah boleh buat kita tergelak. Tambah pula dengan ekspresi muka yang dibuat oleh Awie, rasanya dalam movie ni Awie lebih menjadi seperti dirinya sendiri. Tapi jangan terkejut kalau tiba-tiba terjumpa Husin dari Hantu Kak Limah muncul dalam movie ni. Zulkifli Ariffin juga boleh dipuji dengan watak seorang biker yang kononnya kerek dan selalu nak cantas si Zizan. Dalam movie ini juga kita dihiaskan dengan dua orang pelakon wanita dari Thailand. Boleh lah dijadikan penyejuk mata selepas beberapa minit menyaksikan babak bikers-bikers konvoi kat highway.

JALAN CERITA



OtakMovie tak rasa pun movie ni seolah ada jalan cerita. Sebab bagi OtakMovie, movie ni lebih kepada seperti sebuah dokumentari tentang bikers yang berkonvoi dari Malaysia ke Thailand. Dekat berapa belas minit jugaklah OtakMovie rasa mengantuk menonton babak mereka berkonvoi. Malah pada pertengahan cerita juga lemah. Sepatutnya pada awal cerita ini lah digunakan untuk memperkenalkan watak utama dan menguatkan lagi watak-watak tersebut, tetapi semua itu dibazirkan. Konflik yang ditunjuk adalah pada babak watak Zizan iaitu Bidin Al-Zaifa terjumpa mayat lelaki dalam kereta yang kena tembak, dan dia ternampak ada satu beg penuh duit, dan dia merembat beg tersebut untuk kepentingan diri sendiri. Tapi ini kah ciri hero yang nak ditonjol dalam movie sebegini. Awal-awal lagi dah tunjuk watak Bidin ni memang takde moraliti.Dan dengan duit itu, dibelinya pula motor yang diidamkan. Hingga pada akhir penceritaan, tak dinyatakan pun apa kena mengena mamat yang mati tu dengan duit tu? Apa sebenarnya yang lelaki-lelaki Thailand tu rancangkan terhadap lelaki itu dan kenapa mereka tak tembak saja Bidin seperti mereka tembak lelaki tersebut? Apa cerita di sebalik konspirasi lelaki yang mati itu dengan lelaki-lelaki Thailand itu? Banyak sangat persoalan yang timbul tetapi tak terjawab pun di akhir cerita. Semua ini sekaligus menjadikan movie ini satu movie yang lemah.

KESIMPULAN



Adoi, rasa membazir beli tiket tengok movie ni. Rasa macam kalau tunggu kat Astro First lagi bagus. OtakMovie cuba bagi peluang untuk movie Melayu menarik hati penonton Malaysia. Tapi hati OtakMovie ni tak tertarik langsung. Rasa macam lepas ni lagi takut nak tonton movie Melayu, takut dikecewakan lagi. Tapi mungkin penonton lain suka dengan movie ni. Maklumlah, di dalamnya saja ada beberapa hero kegemaran Malaya. Itu saja lah kekuatan movie ini. Tetapi secara keseluruhannya, OtakMovie seolah macam nak berdepan dengan Helmi Yusof dan kata...LU APEHAL BRADER?
Share:

Monday, May 20, 2013

The Ten Pick : Most Best Star Trek Movies!

Sekarang ni tengah musim demam movie Star Trek. Walaupun dikhabarkan sambutan untuk movie Star Trek Into Darkness sedikit slow, tapi masih terlalu awal nak kata movie ni tak laku. Kerana seperti yang OtakMovie katakan dalam review movie ini, Star Trek Into Darkness adalah antara movie terbaik dari francais Star Trek. Jadi untuk menghangatkan lagi demam Star Trek yang di alami oleh Trekkies ataupun fandom-fandom sci-fi, OtakMovie telah meletakkan di dalam The Ten Pick ini sepuluh senarai movie ter'best' dalam francais Star Trek. Jom layan!


#1. Star Trek (2009)


(Dir : J.J. Abrams)
Pengolahan semula dari francais Star Trek Original Series ini telah membawa peminat Star Trek ke satu perpektif yang baru. Movie ini juga lari dari dunia asal Star Trek dengan menjadikan tema pengembaraan masa depan sebagai alasan untuk jalan cerita alternate dan alternate universe.

#2. Star Trek II : Wrath of Khan (1982) 

(Dir :  Nicholas Meyer)
Musuh lama kembali, Khan Noonien Singh dengan senjata ultimatenya iaitu Genesis Device telah mengganggu gugat seluruh pelusuk galaksi. Admiral Kirk dengan dibantu krew Enterprise perlu segera menghalang musuh nombor satu ini.

#3. Star Trek : First Contact (1996) 

(Dir : Jonathan Frakes)
Captain Picard perlu menghalang Borg yang telah kembali ke masa lampau dari mengelakkan first contact manusia dengan alien dari terus berlaku.

#4. Star Trek : Motion Picture (1979) 

(Dir : Robert Wise)
Sejenis makhluk dari angkasa lepas telah mencabar kehebatan krew Enterprise dan dengan pimpinan dari Admiral Kirk, mereka perlu menghalang dan menghentikan entiti tersebut dari terus mencetus huru hara.


#5. Star Trek IV : The Voyage Home (1986) 

(Dir : Leonard Nimoy)
Sejenis objek asing di kesan berlegar di angkasa lepas dan melepaskan sejenis isyarat yang telah menyebabkan matapetaka. Ini terjadi sehingga menyebabkan krew Enterprise menjelajah ke masa lalu untuk mengesan maksud isyarat tersebut yang ada kena mengena dengan ikan paus yang telah pupus.


#.6 Star Trek VI : The Undiscovered Country (1991) 

(Dir : Nicholas Meyer)
Kehancuran bulan Praxis telah mendorong empayar Klingon untuk memeterai keamanan dengan musuh utama mereka iaitu Federation dan perkara ini perlu dilaksanakan dari konspirasi militari berbahaya. 


#7. Star Trek III : The Search for Spock (1984) 

(Dir : Leonard Nimoy)
Selepas kematian Spock, Kirk akhirnya menyedari bahawa semangat Spock atau katra telah terlekat di minda Dr. McCoy. Kirk dan krewnya mencuri kapal Enterprise dengan tujuan untuk membawa kembali mayat Spock ke planet asalnya dan cuba untuk menyelamatkan semangat Spock.


#8. Star Trek : Generations (1994)

(Dir : David Carson)
Captain Picard bekerjasama dengan Captain Kirk untuk menentang musuh yang mencuba untuk mewujudkan kemusnahan besar dengan niat untuk memasuki space matrix.


#9. Star Trek : Insurrection (1998) 

(Dir : Jonathan Frakes)
Setelah krew Enterprise membongkar agenda Federation untuk menentang habitat di sebuah planet unik, Kapten Picard telah melancarkan pemberontakan.


#10. Star Trek : Nemesis (2002)

(Dir : Stuart Baird)
Selepas krew Enterprise di hantar ke planet makhluk Romulan iaitu Romulus, dengan tujuan untuk memeterai keamanan sesama pihak, Federation akhirnya mendapat tahu Romulan sebenarnya merancang untuk menyerang bumi.
Share:

Saturday, May 18, 2013

Siapa Mamat John Harrison Ni? *sebuah review Star Trek Into Darkness



Siapa John Harrison ni sebenarnya? Hampir berbulan yang lepas, semua peminat-peminat tegar Star Trek atau yang menggelarkan diri mereka Trekkies telah mencuba untuk crack secret dari pengarah movie ini iaitu J.J. Abrams tentang siapa watak yang dibawa oleh aktor berkaliber Benedict Cumberbatch? J.J. Abrams sangat terkenal dengan sifatnya yang suka merahsiakan sesuatu perkara tentang movie-movienya...ingat dulu dia pernah rahsiakan rupa sebenar makhluk asing dalam movie Super 8, malahan dia sendiri pernah menafikan bahawa beliau akan mengarahkan movie Star Wars Episode VII yang akhirnya memang akan di arah olehnya kelak. Dan kini muncul pula buah tangan terbaru dari beliau dan OtakMovie tak nafikan, movie ini memang superb! Jangan baca kalau tak nak spoiler...

EFEK KHAS/AKSI


Memang kesan khas dalam movie ini telah meninggalkan kesan yang sangat khas dalam diri penonton. Di tambah lagi dengan paparan visual 2D yang OtakMovie tonton, semuanya kelihatan sangat high-definition. Sukar mencari cacat cela efek khas dalam movie ini. Malahan editing dan kesinambungan movie ini juga hampir sempurna. Pengarah tidak meletakkan sesuatu perkara dan objek dalam movie ini tanpa mempunyai sebab yang munasabah. Bermaksud kalau anda tonton movie ini, kesan khasnya bukan sekadar menghiasi sekuens-sekuens babak dalam movie ini, dan bukan sekadar kesan khas yang picisan, tetapi setiap satu kesan khas itu mempunyai intipatinya yang tersendiri. Ini lah yang dinamakan berkarya dengan teknologi tinggi. Aksi yang ditonjolkan dalam movie agak okay lah jugak walaupun tak sehebat mana. Tapi sekalipun aksi itu sekadar biasa sahaja, kalau ianya membabitkan Komander Spock, siapa yang tak nak tonton! Movie ini berjaya menjadikan aksi perlawanan ketika di Planet Kronos dengan makhluk Klingon dan babak pertempuran antara Spock dan John Harrison adalah suatu pertarungan epik.

SKOR MUZIK


J.J. Abrams juga amat menitik beratkan nilai muzik dalam movie-movienya. Seperti dalam movie ini, setiap babak pasti diiringi dengan muzik yang sekata dengan situasi yang sedang berlaku. Seperti babak di mana seorang ahli Starfleet yang kemurungan dengan isterinya kerana keadaan anak mereka yang sedang tenat. Dalam babak ini tidak diperlukan banyak dialog, dengan hanya iringan skor muzik dari Michael Giacchino yang seiringan dengan emosi watak telah memberi kita gambaran betapa pilunya hati kedua insan itu terhadap orang yang mereka sayang. Dengan adanya skor muzik ini sekaligus menambahkan rencah bagi menjadikan movie ini lebih baik dari movie lain.

LAKONAN


Anda mungkin sudah kenal James Kirk (Chris Pine), Spock (Zachary Quinto), Nyota Uhura (Zoe Saldana), Scotty (Simon Pegg), Dr. McKoy (Karl Urban), Hikaru Sulu (John Cho) dan Chekov (Anton Yelchin)...tapi  watak yang di bawa oleh Benedict Cumberbatch sangat lah teristimewa. Dalam dunia perfileman sekarang, watak villain sangat utama. Dengan kehadiran satu kesedaran akan kepentingan watak sebegini untuk menarik penonton mewujudkan satu ikon yang hebat dalam dunia pop culture, penggiat movie akhirnya bersungguh-sungguh untuk mencipta satu watak villain yang se'ikonik' watak The Joker oleh Heath Ledger, Darth Vader dan Lord Voldemort. Tapi tak semua yang berjaya. Tetapi bagi Benedict Cumberbatch, beliau telah berusaha seratus peratus untuk membawa satu lagi watak villain ikonik iaitu John Harrison, yang nama sebenarnya adalah Khan Noonien Singh. Ya, ramalan tentang siapa watak sebenar yang di bawa oleh Benedict akhirnya terjawab dalam movie ini. OtakMovie tak pernah tonton movie Star Trek : Wrath of Khan (1982), tetapi dengan kehadiran Khan versi baru ini telah memberi satu persepsi baru akan sisi seorang villain. Beliau ini bukan lah villain yang tipikal, satu kelainan Khan dalam movie ini, tak kira beliau sejahat mana, tapi beliau amat menitik beratkan keselamatan krew beliau. Karisma watak Khan yang dibawa Benedict ini juga menimbulkan perasaan gerun dan respek dalam fikiran penonton. Benedict Cumberbatch sememangnya telah mencuri setiap babak yang terdapat beliau di dalamnya.

PLOT


Di awal movie ini saja OtakMovie dah boleh lihat kekuatan jalan cerita untuk movie ini. Penonton tak diberi kesempatan untuk bernafas kerana awal-awal lagi dah dihidangkan babak yang mendebarkan. Apa yang menarik, babak ini juga memberi kesinambungan yang berkesan untuk babak-babak seterusnya. Seperti yang OtakMovie katakan tadi, tidak di letak satu babak dalam movie ini tanpa memberi kesinambungan yang munasabah untuk babak-babak yang lain. Antara satu sama lainnya saling berhubung rapat dengan satu konklusi yang mantap. Begitu juga dengan kisah si ibu bapa yang inginkan anaknya sihat, kisah itu juga digunakan dengan memasukkan peranan Khan yang sebenarnya mempunyai agenda yang lebih dahsyat. Boleh dikatakan pada satu jam pertama movie ini, penonton dicelarukan minda dengan kehadiran plot cerita yang membuatkan kita kabur akan yang mana betul dan tidak. Kewujudan sisi antagonis watak Admiral Markus pada pertengahan penceritaan mewujudkan perasaan curiga dalam diri penonton tentang misteri diri Khan. Kita mula terasa bahawa Khan adalah seorang yang baik. Tetapi perasaan itu terus berubah apabila Spock dari era prima memberitahu Spock pada masa kini bahawa Khan sememangnya seorang villain yang tersangatlah ganas dan dahsyat. Ini yang menariknya dalam movie ini di mana J.J. Abrams dan penulis untuk movie ini iaitu Roberto Orci, Alex Kurtzman dan Damen Lindelof telah berjaya menggunakan watak-watak klasik dari saga Star Trek menjadi satu watak dalam sebuah cerita alternate generasi baru.

KESIMPULAN

Sukar untuk OtakMovie mencari kelemahan dalam movie ini. Tetapi walaubagaimanapun, tetap ada sedikit calar dalam penceritaan yang pada mata kasarnya nampak licin. Pengakhiran pada movie ini bagi OtakMovie agak sedikit tak berapa mantap. Mungkin pengarah cuba menonjolkan sisi kuat Spock yang mampu mengalahkan Khan sedangkan beliau tersangat kuat. Apa pun, kelancaran jalan penceritaan ini tidak sedikit tercemar dengan kehadiran pengakhiran yang lemah ini. Penonton tetap juga cemas dengan babak-babak akhir ini terutama ketika Kirk telah mati. Dan setiap hero yang mati dalam sesebuah movie pasti akan menimbulkan tanda tanya tentang motif babak itu di adakan. Movie ini memang bagus untuk ditonton setelah lama tidak disajikan dengan movie yang bagus.

RATING

Share:

Wednesday, May 15, 2013

Kejutan Dari Baju Zirah. *sebuah review Iron Man 3



Sebenarnya OtakMovie dah lama tonton movie Iron Man 3 ni, tapi baru sekarang ada kesempatan nak buat review. Maklum lah, sejak kebelakangan ni agak busy, di tambah pula dengan perasaan malas yang membuak-buak. Berbalik pada movie ini, secara kesimpulannya yang boleh OtakMovie rangkumkan adalah ianya mengandungi banyak unsur kejutan bagi penggemar komik mahupun yang bukan. Rasanya semua orang pun dah tahu apa kejutannya kan. Movie ini juga bukanlah antara movie adaptasi komik yang terbaik, tetapi ianya adalah yang terbaik dari movie Iron Man dan Iron Man 2 sebelum ini.

Cepat betul rasanya OtakMovie nak buat kesimpulan tentang movie ini. Macam mana pula dengan isi, efek dan intipati dalam movie ini. Kali ni OtakMovie nak lakukan sesuatu yang baru. OtakMovie akan hasilkan sebuah review yang terbahagi kepada 4 kategori utama iaitu Efek Khas/Aksi, Skor Muzik, Lakonan dan Plot. Rasanya dengan cara ni lagi mudah untuk anda menilai sesebuah movie yang direview di sini.

EFEK KHAS/AKSI


Secara keseluruhannya tak boleh dipertikaikan lagi efek dan kesan khas dalam movie ini. Segala yang efek yang dihasilkan hampir sempurna dan ditambah pula dengan aksi yang mendebarkan. Ya, walaupun sekarang efek khas bukan lah lagi sesuatu yang mustahil, tetapi movie ini tetap membuatkan kita terpegun berlebih lagi dengan kehadiran bermacam-macam armor besi ciptaan Tony Stark. Walaubagaimanapun, kehadiran unsur aksi dalam movie ini tidak lah seperti yang dikhabarkan dalam trailer-trailer movie ini yang gempak. Ini kerana movie ini lebih berkisar journey atau drama yang dialami oleh Tony Stark sendiri. Jika anda telah menonton trailer movie ini dan melihat aksi dalam trailer tersebut, mungkin itu saja lah aksi yang sebenar ditayang dalam movie. Expectation yang di letak terlalu tinggi hingga menyebabkan OtakMovie agak sedikit kecewa dengan babak aksi dalam movie ini.

SKOR MUZIK
Tak banyak yang boleh OtakMovie boleh sentuh tentang skor muzik dalam movie ini kerana ianya lebih kurang sama dengan skor-skor muzik dalam movie Iron Man sebelum ini. Penggunaan lagu bertemakan Rock dan Pop sudah sebati dengan hero besi ini. Tetapi original muzik yang di bawakan oleh Brian Tyler tetap mampu meninggalkan kesan dramatik dan berdebar dalam movie ini. Walaupun penuh dengan aksi, kehadiran muzik dalam movie ini terkesan juga untuk membuat kita teringat akan sesetengah babak.

LAKONAN
Tidak boleh dipertikaikan lagi lakonan yang ditonjolkan dalam movie ini. Robert Downey Jr. adalah Tony Stark/Iron Man dan akan terus diingati sampai bila-bila. OtakMovie masih tak boleh nak bayangkan siapa lagi mampu membawa watak ikonik ini. Tetapi bezanya watak Tony Stark sekarang adalah beliau merupakan Tony selepas kejadian New York dalam movie The Avengers. Dalam movie ini juga ada ditonjolkan sedikit babak tentang watak Tony ketika sebelum beliau dijadikan tahanan di Afghanistan. Jadi Robert amat berkaliber dengan mampu membawa kesemua watak dan perwatakan Tony ini tanpa sedikit tinggal kesan ragu-ragu di hati penonton. Begitu juga dengan Gwyneth Paltrow (Pepper Potts), Don Cheadle (Rhodey) dan Jon Favreau (Happy Hogan) yang nampaknya masing-masing telah selesa dengan watak mereka. Tetapi apa yang menarik perhatian OtakMovie adalah watak yang dibawa oleh Guy Pearce dan Ben Kingsley yang membawa watak Aldrich Killian dan The Mandarin. Guy Pearce sememangnya seorang pelakon yang cukup berkebolehan tinggi. Kewujudan watak Aldrich yang dibawa beliau sekali gus menambah senarai antara watak hebat yang pernah beliau bawa. Begitu juga Ben Kingsley yang telah mewujudkan satu dimensi baru dengan membawa watak Mandarin yang belum pernah kita lihat.


PLOT
Susah untuk OtakMovie labelkan keseluruhan jalan cerita untuk movie ini. Pada sudut tertentu, OtakMovie merasakan movie ini sangat bagus dengan mesej yang penuh dan mantap. Pada sudut yang lain pula, timbul perasaan kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian. Mungkin apa yang bagus untuk movie ini adalah twist yang cuba ditonjolkan lebih-lebih lagi yang membabitkan watak Aldrich dan The Mandarin dan begitu juga dengan kehidupan Tony Stark pada masa depan. Kewujudan watak kanak-kanak Ty Simpkins sebagai Harley Keener juga berjaya menghasilkan situasi lucu dan segar dalam kehidupan bongkak dan gelap Tony Stark. Elemen-elemen ini menyebabkan movie ini sangat lain berbanding movie-movie sebelum ini. Mungkin juga Shane Black ingin mengelakkan persamaan gaya arahannya berbanding Jon Favreau sebelum ini. Tetapi, apa yang tak bestnya, tentulah bagi penggemar komik-komik Iron Man di mana watak The Mandarin ditonjolkan tidak seperti yang diharapkan. Kewujudan banyak sangat babak-babak yang sedikit slow juga membuatkan movie ini sedikit bosan.

KESIMPULAN

Sekalipun timbul beberapa kelemahan dalam movie ini, tetapi bagi aku movie Iron Man 3 ini masih lagi terbaik. Dalam kebanyakan trilogi movie, movie ini telah dengan berhati-hati tidak mengikut jejak langkah movie Spiderman yang dulu. Kalau dalam trilogi Spiderman, movie Spiderman 3 adalah yang paling teruk kerana pengarah dan penulis terlalu mencuba untuk memasukkan pelbagai plot dalam movie ini. Berbeza dengan Iron Man 3, pengarah dan penulis telah menghasilkan sebuah jalan cerita baru yang sangat berlainan dengan jalan cerita dari komik asal. Mungkin untuk memberikan satu elemen kejutan dan ianya menjadi. Iron Man 3 juga tidak melupakan antara watak lain yang sangat sinonim dengan dunia Marvel seperti Eric Savin yang sebenarnya adalah super villain bernama Coldblood dan Iron Patriot yang pada asalnya adalah alter ego Norman Osborn. Tetapi pengarah dan penulis bijak menghidupkan semula watak-watak ini dengan satu nafas yang baru dan segar. Ini OtakMovie puji.

RATING
Share: