Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Tuesday, September 29, 2020

Confessions (2010) - Ulasan Filem




Filem bermula dengan pendedahan dari guru sekolah, Yuko Miroguchi (Takako Matsu) di dalam kelasnya tentang kematian anaknya Manami yang dibunuh oleh dua orang pelajar di dalam kelas tersebut, Shuya Watanabe (Yukito Nishii) dan Naoki Shimomura (Kaoru Fujiwara). Tetapi Miroguchi tidak mendedahkan secara langsung identiti mereka berdua, hanya menggunakan label nama 'Student A' dan 'Student B'. Miroguchi juga memberitahu kelasnya tentang undang-undang juvana di Jepun yang melindungi remaja bawah umur dihukum berat jika melakukan jenayah bunuh. Jadi dengan penuh teliti, Miroguchi merangka strategi untuk membalas dendam terhadap pembunuh anaknya itu.
Gaya penceritaan dalam filem ini menggunakan naratif yang dipaparkan dari sudut pandangan watak-watak berbeza dalam filem ini. Antaranya adalah dari sudut pandangan Miroguchi, Shuya, Naoki, Mizuki Kitahara (Ai Hashimoto) dan Yuko Shimomura (Yoshino Kimura) ibu kepada Naoki.
Pada awal filem, ianya seperti sebuah kisah pendek apabila Miroguchi menceritakan dan mendedahkan terus plot utama filem ini. Ini yang menariknya apabila pada babak awal lagi penonton telah disedut ke dalam filem untuk mengetahui perkara yang awal-awal lagi dah diberitahu. Tetapi dari 'pengakuan-pengakuan' watak-watak tadi tentang perkara sebenar yang berlaku secara perlahan meluaskan lagi konteks penceritaaan.
Dari 'pengakuan-pengakuan' ini diceritakan secara mendalam tentang setiap perkara yang berlaku. Hingga ke akhir filem, segala motif, asbab dan kesan yang terjadi mula dirungkai. Ianya sebuah filem tentang pembalasan dendam, tetapi olahan plotnya tidak terlalu fokus pada pembalasan dendam, tapi lebih kepada ingin menunjukkan bagaimana setiap watak itu terjerumus ke dalam tindakan yang mereka pilih sehingga mengakibatkan pembalasan dendam dari Miroguchi.
Satu lagi perkara yang menarik adalah penggunaan watak-watak remaja yang mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pembunuh. Ini menunjukkan bagaimana remaja pada usia yang sangat muda juga tidak terlindung dari perbuatan jahat walaupun sifat itu datangnya dari impak perbuatan orang dewasa. Filem ini menjentik kekhilafan undang-undang yang melindungi remaja-remaja ini dan menafikan hukuman yang berat hanya kerana mereka masih muda. Ini boleh dikaitkan juga dengan dunia realiti sekarang di mana gejala buli merebak di sekolah-sekolah dan dikalangan anak muda.
Audiens diberikan perspektif baru dalam melihat diri seorang pembunuh. Dari setiap babak ke babak adalah sebuah 'revelation' yang memaut erat emosi dan minda ke dalam filem ini. Tema yang digunakan juga merenggut pengalaman tontonan dengan sisi yang sangat gelap dan menyakitkan. Pengolahan cerita, emosi watak dan 'plot twist' yang dipertontonkan sangat cantik diterjemahkan.
Secara tak langsung, filem tentang pengakuan atau 'confessions' antara watak ini menjadi antara filem 'pembalasan dendam' yang terbaik pernah ditonton. Dan seperti yang diperkatakan tadi, ianya tidaklah menggunakan si pembalas dendam sebagai penggerak utama cerita. Tetapi sebagai seorang audiens, babak pembalasan dendam itu sangatlah puas ditonton!
Filem ini merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh Kanae Minato. Ianya sebuah filem yang wajib ditonton oleh penggemar filem, malahan semua manusia di muka bumi ini wajib menonton filem ini untuk mengubah sedikit perspektif kita tentang realiti.
"Nobody taught me that killing people was wrong. Where other kids got read picture books and fairy tales, my mom taught me Ohm's Law and Norton's theorum. She only ever talked about electronics."
Rating Peribadi: 4.5/5

#Confessions #HDABDHMD #HadyMovieReview 

Share:

Unhinged (2020) - Ulasan Filem


Di dalam dunia yang penuh pancaroba ini, setiap manusia mempunyai had limit dalam membabitkan emosi. Kalau dilihat sekarang ada sahaja kes keganasan yang berlaku sama ada di jalan raya, di rumah kediaman malahan dalam institusi kekeluargaan juga. Tom Cooper (Russel Crowe) adalah salah seorang yang terkesan dari ujian kehidupan yang memeritkan ini. Perkara ini menjadikan Tom seorang yang 'terganggu' dan cuba mencari alasan untuk melepaskan kemarahannya itu pada orang lain. Dan individu 'bertuah' itu adalah Rachel Hunter (Caren Pistorious), seorang ibu tunggal yang baru sahaja bercerai dan mengalami hari yang teruk, tetapi harinya itu tidak berakhir sebaik beliau 'berselisih' dengan Tom.
Filem bertemakan 'psychological thriller' ini memberikan satu pengalaman yang menarik walaupun bukanlah sebuah jalan cerita yang baru. Premisnya sangat ringkas dengan hanya menggunakan perjalanan plot satu hari antara watak Tom dan Rachel. Tema yang cuba dibawakan juga kesampaian dengan hanya berbekalkan situasi realistik yang berlaku pada setiap individu. Pada awal filem lagi kita didedahkan dengan pita-pita rakaman yang sebenar yang menunjukkan keganasan dunia zaman moden. Ini sekaligus merenggut perasaan penonton untuk merasai dunia realiti dalam filem ini.
Ditambahkan pula dengan lakonan Russel Crowe yang ganas, sadis dan 'realistik' menambahkan lagi sedikit keterujaan menonton filem ini. Russel Crowe mengubah dirinya secara menyeluruh dari segi fizikal dan mental untuk membawa watak Tom Cooper dengan cukup baik. Tetapi itu sahajalah yang aku boleh katakan tentang lakonan dalam filem ini kerana watak-watak yang lain bagi aku tidak cukup menunjukkan karakteristik dengan emosi yang tidak cukup berkesan.
Filem ini juga tidak dapat mengelak dari menggunakan dialog-dialog yang agak 'klise' dan penggunaan sekuens antara babak yang sudah biasa wujud dalam filem-filem thriller yang lain. Tiada apa yang betul-betul mampu mengujakan walaupun ada babak yang mampu serba sedikit membuatkan penonton sesak nafas. Apabila ianya memaparkan satu babak menggerunkan, ianya agak berjaya, tetapi secara keseluruhannya, sekuens tersebut sebenarnya menggunakan konsep penceritaan yang biasa sahaja. Tiada apa yang betul-betul menarik dari segi jalan penceritaan.
Satu-satunya perkara yang menarik perhatian dalam filem ini hanyalah Russel Crowe. Beliau menyelamatkan filem ini dari menjadi satu filem thriller yang tipikal dan membosankan. Ini membuatkan filem ini masih mampu ditonton dan memberikan sedikit hiburan dari sudut 'thriller-nya'.
"Here's your courtesy tap!"
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Enola Holmes (2020) - Ulasan Filem



Enola (Millie Bobby Brown) merupakan adik bongsu kepada Mycroft (Sam Claflin) dan Sherlock Holmes (Henry Cavill). Dari kecil Enola hidup bersama ibunya Eudoria (Helena Bonham Carter) dan berenggang dengan abang-abangnya. Ibunya mengajar Enola segala-galanya dari segi akademik hingga ke seni mempertahankan diri. Tetapi kehidupan Enola menuju ke konflik apabila satu hari ibunya menghilangkan diri dan memaksa Enola untuk meminta bantuan dari abang-abangnya.

Enola merupakan seorang gadis remaja yang esentrik, berazam kuat, berjiwa bebas dan optimis. Berbeza dengan Sherlock Holmes yang merupakan pakar deduksi dan kurang beremosi, Enola lebih pakar dalam bidang 'decyphering' dan mempunyai empati terhadap mereka yang dalam kesusahan.
Watak Enola dijayakan dengan cukup baik oleh pelakon muda berbakat besar, Millie Bobby Brown. Boleh dikatakan antara perkara paling positif dalam filem ini adalah lakonan dari beliau. Millie sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam membawa watak ini dengan cukup energetik dan esentrik. Hubungannya dengan audiens sangat dekat apabila membabitkan babak 'memecah tembok keempat'.
Tetapi sayangnya filem ini tidak berapa kuat dari segi jalan cerita. Pada awal filem, audiens akan tertarik dan melekat di depan tv apabila diperkenalkan dengan cerita dan misteri yang agak menarik. Masalah plot bermula apabila Enola mula menjalankan misinya tersendiri, dan plot dipertengahan filem ini terasa sedikit meleret dan kosong. Apabila pertengahannya sebegini, maka pengakhirannya juga akan sedikit kehilangan impak klimaks. Ini yang dirasai juga dalam filem Enola Holmes apabila misteri yang dirungkaikan tidak begitu terkesan hingga ke akhir filem.
Ambil kira peranan Henry Cavill pula sebagai Sherlock Holmes, beliau tidak menonjolkan sangat kredibiliti sebagai Sherlock, mungkin kerana ini bukan cerita pasal watak itu. Tetapi pada pengakhiran ada sedikit memaparkan karakteristik Sherlock itu daripada Henry. Boleh dikatakan beliau berjaya untuk tidak 'overshadow' watak utama. Ini filem Enola, bukan filem untuk beliau.
Filem ini merupakan adaptasi dari siri novel The Enola Holmes Mysteries oleh Nancy Springer. Walaupun kelihatan sedikit lompong sana sini dari segi plot penceritaan, tetapi secara keseluruhan, filem ini masih lagi sebuah filem yang seronok ditonton seisi keluarga. Ditambah pula dengan pelbagai filem-filem dari Netflix yang kelihatan agak kurang sesuai untuk tontonan umum sekarang ni.
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Thursday, September 17, 2020

The Devil All The Time (2020) - Ulasan Filem


Membawa konsep drama 'coming of age', filem ini mengangkat kisah dua keluarga iaitu keluarga Willard Russell (Bill Skaarsgard) bersama isterinya Charlotte (Haley Bennet) dan Arvin (Tom Holland) serta keluarga Roy Laferty (Harry Melling) bersama isterinya Helen (Mia Wasikowska) dan anak perempuan mereka Lenora (Eliza Scanlen). Pelbagai tragedi terjadi antara dua keluarga ini dan takdir menemukan Arvin dan Lenora hidup bersama nenek mereka. Kisah keluarga ini juga terkait dengan pasangan suami isteri Sandy (Riley Keough) dan Carl (Jason Clarke). Sandy mempunyai seorang abang yang merupakan Sherrif di Ohio iaitu Sherrif Lee Bodecker (Sebastian Stan).

Baiklah, satu perkara paling menarik yang membuatkan ramai ternanti-nanti untuk menonton filem ini dah tentu kerana barisan pelakon yang ternama. Lebih-lebih lagi melibatkan Tom Holland dan Robert Pattinson yang perlu membawa watak masing-masing dengan slanga 'negeri selatan Amerika Syarikat'. Dan ya, boleh aku katakan mereka membawa watak mereka dengan cukup baik. Begitu juga pelakon-pelakon lain yang berjaya menjayakan watak masing-masing sekaligus menghidupkan jalan cerita filem ini.
Sememangnya filem ini sebuah filem yang 'slow burn'. Tetapi setiap babak dalam filem ini tidak dibazirkan begitu sahaja. Jadi pergerakan perlahan untuk plot filem ini perlu untuk menyampaikan cerita yang membawa tiga zaman iaitu tahun 1950, 1957 dan 1965. Cara pengolahan plot yang melompat-lompat antara satu keluarga ke keluarga yang lain juga agak cantik diterjemahkan.
Penulis novel The Devil All The Time, Donald Ray Pollock membawa peranan sebagai seorang pencerita di dalam filem ini. Mungkin filem yang membawa konsep 'pencerita' begini agak klise, tetapi jika diperhatikan, sebelum sesuatu babak itu berlaku, pencerita telah pun memberi info tentang perkara tersebut. Jadi peranan pencerita juga sangat penting dalam filem ini serta membuatkan audiens sendiri pun perlu peka dengan apa yang diceritakan.
Agama Kristian menjadi subjek utama yang menghubungkan semua jalan cerita dan hubungan antara watak dalam filem ini. Ada pelbagai konsep 'penggunaan agama' digunakan dan di sini juga di paparkan watak Reverend Preston Teagardin lakonan Robert Pattinson yang menggunakan agama untuk nafsu serakah sendiri. Manakala dari segi watak pula, watak Arvin Russel menjadi penggerak utama cerita yang menghubungkannya dengan keseluruhan watak dalam filem ini. Ya, ada satu babak yang akan memaparkan Tom Holland dan Robert Pattinson bersama, dan ianya antara babak yang menarik dalam filem ini.
Konsep yang disampaikan dalam filem ini merupakan sebuah drama berat, tetapi cara penyampaian plot itu membuatkan audiens tertarik untuk menonton filem ini dari awal hingga ke akhir. Pujian harus diberi kepada pengarah Antonio Campos yang berjaya menterjemah plot ke layar dan bijak memanipulasi bakat yang terdapat dalam kesemua pelakon. Secara keseluruhannya, filem ini merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton dan dapat jugalah kita melihat Tom Holland berlakon serius dan menunjukkan 'beast mode'-nya.
Filem The Devil All theTime boleh ditonton di Netflix sekarang.
"There’s a lot of no good sons of bitches out there."
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Long Shot (2019) - Ulasan Filem



Charlotte Field (Charlize Theron) merupakan US Secretary of State yang berkaliber dan mempunyai kredibiliti cukup tinggi dalam bidang politik, kemudian memutuskan untuk bertanding sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Fred Flarsky (Seth Rogen) pula seorang wartawan yang mempunyai integriti tinggi, tetapi menghadapi dugaan selepas syarikat akhbar tempat kerjanya dibeli oleh syarikat media konglomerat, Wembley Media. Secara luaran, pasangan ini nampak sangat tidak sesuai, tetapi zahiriahnya, mereka saling melengkapi dan memahami antara satu sama lain.
Menonton filem ini mengingatkan aku tentang filem She's Out of My League, dan aku suka tonton filem tersebut. Begitu juga dengan filem ini, aku cukup terhibur dengan genre romantik komedi yang dipersembahkan. Ianya sebuah 'feels good movie' dengan penuh mesej-mesej positif dan watak-watak yang optimis serta keserasian yang ditunjuk oleh Charlize dan Seth sangat sampai.
Setiap kali ditunjukkan babak antara watak Charlotte dan Fred ini akan membuat audiens tersenyum. Hubungan yang watak-watak ini paparkan adalah sesuatu yang sangat baik dan watak Charlotte walaupun ditunjukkan sebagai seorang wanita yang mempunyai kuasa, tetapi tidak langsung memperlekehkan Fred. Konflik cuma timbul apabila wujud karakter seperti Wembley Parker lakonan Andy Serkis, ya, dengan 'mekap tebal'!
Watak Fred juga ditunjukkan dengan begitu menarik, bukanlah sekadar watak lelaki picisan yang berselindung atau cuba menandingi wanita yang berkuasa disisinya. Tetapi Fred membuktikan integriti di dalam dirinya tentang perkara yang dia percayai.
Walaupun jalan cerita filem sebegini sudah selalu dipertontonkan, tetapi dengan menyelitkan unsur politik dan konflik global, sedikit sebanyak memberikan kelainan yang segar. Keseluruhan filem berjalan dengan cukup lancar dan babak demi babak dihiasi dengan lakonan mantap dari Charlize Theron yang sememangnya tidak dinafikan lagi kebolehannya berlakon pelbagai watak. Di sini dapat dilihat pula sisi komedi yang cuba dibawa Charlize dan Seth Rogen juga mampu mengangkat dirinya ke tahap yang sama dengan Charlize.
Ianya sebuah filem yang cukup santai dan enak ditonton sewaktu kita dalam keadaan stress. Sebuah filem romantik komedi klasik dengan sentuhan moden dan sudah semestinya mempunyai pengakhiran bahagia.
Filem ini boleh ditonton di Netflix sekarang.
"Man, you know who you should date? Taylor Swift. Hell, yeah. I could see that."
Rating Peribadi: 4/5

#LongShot #HDABDHMD #HadyMovieReview 

Share:

Wish You Were Here (2012) - Ulasan Filem


Dave (Joel Edgerton) dan isterinya Alice (Felicity Price) bercuti ke Kemboja bersama adik Alice, Steph (Teressa Palmer) dan kekasihnya Jeremy (Antony Starr). Ketika mereka sedang seronok berparti di pantai, Jeremy telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Mereka bertiga pulang ke rumah mereka di Australia dan cuba merungkai misteri kehilangan Jeremy.

Filem ini sangat 'slowburn' penceritaan plotnya. Apa yang menarik, ianya tidak terus memberitahu apa yang berlaku. Tetapi memberi klu-klu tentang untuk setiap misteri. Secara luarannya, filem ini tidak menunjukkan sangat sisi misteri itu, ianya nampak seolah sebuah filem drama. Tetapi semakin plot bergerak, semakin terungkai sedikit demi sedikit perkara yang terjadi.
Misteri kehilangan Jeremy walaupun satu plot tunjang untuk filem ini, tapi sub-plot tentang kisah rumah tangga Dave dan Alice yang mewarnai keseluruhan filem. Di sini kita dipersembahkan dengan watak Dave yang merupakan satu watak yang negatif. Watak Alice pula ditunjukkan sebagai seorang yang positif. Dan bagaimana mereka cuba menyelesaikan konflik rumah tangga mereka disamping cuba merungkaikan misteri kehilangan Jeremy.
Jujur cakap, aku sedikit rasa bosan ketika menonton filem ini kerana jalan ceritanya yang sangat perlahan. Pergerakan plot juga agak sukar difahami dengan penggunaan babak imbas kembali yang bersimpul dengan 'present time' dalam filem. Walaupun ianya sebuah filem 'mimpi ngeri di negeri orang', tapi ianya ditunjukkan dengan sangat 'vanilla flavor'. Tiada apa yang 'disturbing' walaupun kehilangan Jeremy itu sebenarnya sesuatu yang menggerunkan.
Kesemua pelakon dalam filem ini memberikan persembahan yang cukup bagus. Antony Starr sendiri walaupun hanya muncul dalam babak-babak imbas kembali, tetapi kehadiran wataknya memberi kesan juga kepada jalan cerita. Joel Edgerton juga tidak boleh dinafikan lagi lakonannya serta Felicity Price yang membawakan watak dengan cukup baik.
"I'd have to think about it. You can go anywhere you want. You can have anything your heart desires. But you can never leave. You're gonna have to stay there forever."
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Alive (2020) - Ulasan Filem


Joon-woo adalah seorang lelaki Korea tipikal yang sedang bermain video game di rumah tidak sedar dunia luar sedang mengalami zombi apokalips yang merebak dengan sangat cepat. Selepas menyedari pandemik zombi itu, Joon-woo tekad mengurungkan dirinya sendiri dalam rumah dan menunggu pasukan penyelamat.
Cerita ni sebenarnya sangat ringkas premisnya. Ianya bermain dengan satu watak dan bagaimana watak itu cuba menjalani kehidupan seharian dan terus bertahan dalam dunia yang kacau bilau dengan zombi apokalips. Tapi sayangnya, terlalu ringkas dan mudah sahaja jalan ceritanya dan konflik-konflik yang ditunjukkan juga tidaklah terlalu kompleks. Atau mungkin penterjemahan konflik dalam filem ini tidak terlalu kuat.
Jika diambil kira tema zombi yang dipaparkan, filem ini tidak mencetuskan sangat perasaan mendebarkan, perasaan takut dan hubungan perasaan antara audiens dengan watak itu sendiri. Apa yang ingin dipaparkan itu sebenarnya dahsyat, tapi cara penyampaiannya itu tidak begitu memberi impak.
Mungkin apa yang ingin dipaparkan dalam filem ini adalah tentang watak yang biasa-biasa, yang sememangnya wujud dalam dunia realiti, dan bagaimana realiti sebenar sekiranya perkara tersebut berlaku pada diri kita. Kadang-kadang sebuah filem akan 'exaggerate' dengan lebih untuk memaparkan kesan dramatik dan aksi yang tinggi. Tapi filem ini seolah terlalu ingin mencapai realiti hingga menimbulkan sedikit perasaan bosan ketika menonton.
Hingga ke akhir filem, tiada apa yang betul-betul menarik berlaku. Ada juga diletakkan sedikit plot twist atau konflik tentang sikap manusia dalam filem ini, tetapi semuanya seolah ditunjuk dengan tidak sepenuh hati. Nasib baik efek dan make-up watak-watak zombi tu boleh tahan mengerikan juga, tipikal zombi Korea.
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Overlord (2018) - Ulasan Filem


Berlatarbelakang Perang Dunia Kedua, tentera Pihak Bersekutu telah membongkar rahsia tentera Nazi yang sedang bereksperimen untuk menghasilkan 'immortal army' yang terdiri dari manusia-manusia yang menjadi zombi.

Tema 'zombi Nazi' ni memang kedengaran sedap, tetapi apa yang dipaparkan tidaklah semegah yang difikirkan. Suasana zombi itu sendiri pun tidaklah dirasai, tetapi bila ditonjolkan 'mayat-mayat hidup' ini, memang terasa keseronokan bila menonton.
Terutamanya babak Private Boyce (Jovan Adepo) di makmal Nazi, terasa jugalah seram yang dipaparkan pada manusia-manusia yang dijadikan bahan eksperimen. Ini juga bukanlah filem perang yang banyak menunjukkan aksi perang, tetapi lebih bermain dengan situasi skuad tentera Pihak Bersekutu dalam menjalankan misi sulit.
Ada sedikit 'semangat video game' bila menonton filem ini. Kita diperlihatkan watak utama dan watak-watak sampingan menjalankan misi mereka dan merungkai rahsia sebenar yang disimpan tentera Nazi.
Secara keseluruhannya, filem ini seronok ditonton, lebih-lebih lagi kalau membabitkan aksi zombi. Efek khas dan solekan yang digunakan untuk zombi-zombi ini juga sangat menarik. Terutama sekali pada watak Captain Wafner lakonan Pilou Asbæk. Cuma jalan ceritanya tidak mempunyai konflik dan plot yang terlalu kuat. Ianya hanyalah filem yang ingin menunjukkan betapa kejam dan dahsyatnya pihak Nazi.
Overlord boleh ditonton di Netflix sekarang.
"A thousand year Reich needs thousand year soldiers..."
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Lovecraft Country (2020) - Episode 1-4 - Ulasan Siri TV


Inginkan sebuah siri yang mempunyai genre 'fantasy, monster, horror, dan adventure'? Yup, tak syak lagi ini lah sirinya. Tapi banyak je kan siri lain yang guna genre-genre macam ni. Sebenarnya berbeza sikit sebab siri ini tak menggunakan semua genre ini dalam satu episod yang sama, boleh dikatakan untuk setiap episod, semuanya berlainan genre.

Pada episod pertama, genre 'monster' diketengahkan, pada episod kedua, genre 'fantasy' pula, siap ada unsur-unsur magis. Pada episod ketiga ditonjolkan pula konsep seram, siap ada hantu. Dan akhirnya episod terbaru, episod keempat dipaparkan pula konsep 'adventure' atau 'treasure hunting' ala Tomb Rider dan Indiana Jones. Itulah antara benda paling menarik aku tengok dalam siri tv Lovecraft Country ini.
Siri ini merupakan adaptasi dari novel dengan nama yang sama yang diedarkan pada tahun 2016, karya penulis novel Matt Ruff. Ianya melopori isu perkauman di Amerika Syarikat dan menyelit elemen 'weird & horror fiction' H.P. Lovecraft, yang merupakan penulis novel popular dan pencipta 'Lovecraftian horror'. Plot filem ini terletak pada perjalanan watak Atticus Freeman (Jonathan Majors) dan Letitia Lewis (Jurnee Smollett) dalam merungkai asal-usul keturunannya yang penuh dengan misteri dan sejarah hitam.
Sebenarnya aku mempunyai sedikit masalah untuk menjelaskan siri ini tentang apa. Dari sinopsis yang diberi, sebenarnya hanyalah 'tip of iceberg' dari cerita yang lebih besar lagi. Walaupun genre yang ditunjukkan dalam setiap episod berlainan, tetapi satu isu utama yang menjadi titik utama siri tv ini adalah isu perkauman. Turut juga dipaparkan dalam siri ini tentang sejarah hitam penjajahan bangsa kulit putih di Amerika.
Dari episod ke episod juga, walaupun merupakan kesinambungan antara satu sama lain, tetapi masih dirasai kelainan seakan ianya bukan bersambung dari episod-episod lain. Setiap episod cuba membawakan cerita atau sub-plot yang berbeza, tetapi masih bertunjangkan plot utama.
Agak menarik juga bila isu perkauman yang sering diangkat Hollywood sekarang diguna pakai dalam filem ini dan diadunkan pula dengan genre 'Lovecraftian horror'. Nampak seperti tidak kena gabungan ini, tapi bila menontonnya, perjalanan cerita dan hubungkait plot serta watak bergerak dengan cukup lancar. Ini mengingatkan aku pada siri tv Watchmen yang juga mengangkat isu perkauman, tapi menggunakan genre superhero. Nampaknya HBO memang benar-benar ingin mengangkat genre perkauman sebegini.
Siri tv Lovecraft Country yang dibangunkan oleh Misha Green dan JJ Abrams serta Jordan Peele selaku produser eksetutif kini ditayangkan setiap minggu di HBO Max.
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Thursday, September 10, 2020

Sebelum Iblis Menjemput Ayat 2 (2020) - Ulasan Filem


Filem yang pertama mempunyai jalan cerita yang agak menarik, tetapi sayangnya tidak berapa seram dan sedikit bosan untuk ditonton. Tetapi berbeza pula dengan filem sequel ini, jalan ceritanya langsung tidak menarik, tetapi seramnya pula yang berlebih-lebihan.

Filem sekuel ini seolah sebuah filem spin-off yang ingin menunjukkan 'side mission' watak Alfie (Chelsea Islan) dari filem pertama. Plot yang tidak terlalu kuat dan terus memaparkan babak-babak seram seperti tiada hala tuju.
Cumanya kalau kita ingin menonton filem seram yang banyak bergantung pada aspek seram sahaja, ya inilah filemnya. Kalau korang pergi tonton filem ni, korang akan dapat hiburan dari segi keseraman itu. Hinggakan segala aspek seram dari sudut mistik, ngeri, zombie, magis, apa sajalah yang filem-filem seram lain pernah tunjuk, ada dalam filem ni.
Sampai satu tahap, kita boleh bertepuk, bergelak juga menonton seramnya filem ni yang terlalu mengarut. Rasanya memang itulah kot pengarah Timo Tjahjanto cuba sampaikan, dia cuma ingin kita merasai keseraman dan menakut-nakutkan audiens. Persetanlah jalan cerita! Dari bayar belas-belas ringgit masuk rumah hantu, baik bayar belas-belas ringgit tonton filem ni. Begitulah agaknya yang difikirkannya.
Dan ya, ianya sebuah filem yang mengangkat 'iblis' atau 'setan' atau 'demon' sebagai subjek utama. Dan 'demon' ini mempunyai nama. Dan filem ini memang antara filem tidak takut-takut untuk menggunakan elemen setan itu. Tiada unsur-unsur keagamaan yang ditonjolkan, kerana semua yang dipaparkan adalah setan-setan belaka.
Jadi seperti aku cakap tadi, kalau nak filem seram, ingin ditakut-takutkan dengan sosok tubuh setan-setan, inilah filemnya. Dan jalan cerita pula, persetankan sajalah.
"Gue tahu perasaan bangun dari mimpi buruk, tapi sedar kenyataan itu lebih parah..." - Alfie
Tonton video review: https://youtu.be/BMPtozEoGbI
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Tuesday, September 8, 2020

Raised By Wolves (2020) - Ulasan Siri TV



Dua 'orang' android, Mother (Amanda Collins) dan Father (Abubakar Salim) ditugaskan ke planet Kepler-22B selepas Bumi musnah akibat peperangan yang dahsyat dari persilihan agama. Mereka ditugaskan untuk 'melahirkan' dan menjaga 6 orang kanak-kanak manusia di planet tersebut dan dalam waktu yang sama perlu melawan koloni manusia yang berpegang pada ajaran agama Mithraic.

Siri tv fiksyen sains ini dicipta oleh Aaron Guzikowski dan Ridley Scott (francais Aliens) merupakan produser eksekutif dan pengarah untuk episod pertama dan kedua. Sekalipun ianya sebuah fiksyen sains, apa yang menariknya tentang siri ini adalah berkaitan elemen agama dan atheism yang diselitkan. Ditunjukkan dalam filem ini bagaimana pengikut ajaran Mithraism dan mereka yang mengamalkam Atheism bertelingkah hingga mengakibatkan kemusnahan bumi.
Tetapi plot utama terletak pada android Mother yang sanggup melakukan apa sahaja dalam mempertahanankan satu-satunya 'anaknya' yang masih hidup, Campion. Aliran cerita untuk siri tv ini agak perlahan, tetapi sekuens menjadi menarik bila Mother menggunakan 'senjatanya' ketika melawan puak Mithraic.
Setakat ini baru 3 episod yang ditayangkan di HBO Max dari 10 episod keseluruhan. Masih banyak perkara yang tidak terungkai dan setiap misteri serta 'backstory' diceritakan secara perlahan. Setiap episod didedahkan dengan kisah-kisah yang sebenarnya berlaku sebelum kehidupan di Kepler-22B.
Bagi aku jalan cerita yang agak perlahan serta sekuens babak yang suram dan muram sedikit merencatkan pengalaman menonton siri ini. Aura francais Aliens dari Ridley Scott pula memang sangat dirasai, lebih-lebih lagi perkara yang membabikan teknologi dan robot android. Namun ianya masih lagi sebuah siri tv yang 'ambitious' dan membuatkan kita tertanya-tanya dengan misteri disebalik cerita. Watak Mother pula sememangnya MVP dalam siri ini, bila dia 'transform' tu memang melekat mata menonton.
Siri tv Raised By Wolves ditayangkan di HBO Max.
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Blog Archive