Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Tuesday, June 30, 2020

Eurovision Song Contest: The Story of Fire Saga (2020) - Ulasan Filem


Lars Erickssong (Will Ferrel) dan Sigrit Ericksdottir (Rachel McAddams) yang berasal dari Iceland mempunyai sebuah band bernama Fire Saga dan berhasrat untuk bertanding di Eurovision Song Contest, sebuah pertandingan nyanyian antara negara-negara eropah yang sangat berprestij. Walaupun sering dipandang rendah oleh orang kampung mereka sendiri di Husavik, tetapi tidak mematahkan semangat mereka untuk membawa lagu mereka ke pentas antarabangsa.
Jalan cerita filem ini sebenarnya agak padat dan kusut dengan jalan cerita yang tidak begitu disusun dengan baik. Pelbagai watak yang tidak dikembangkan dengan sebaiknya dan dibazirkan begitu sahaja hingga ke penghujung. Tetapi aku pasti ramai yang jatuh cinta dengan lakonan dan kelibat Rachel McAddams. Rachel kini menjadi antara pelakon wanita filem komedi kegemaran aku lebih-lebih lagi dengan persembahan komedi menakjubkan dari filem Game Night.
Mungkin jalan cerita serta komedi dalam filem ini masih boleh dipersoalkan, tetapi tidak pada muzik dan lagu. Lagu-lagu dalam filem ini banyak yang menarik lebih-lebih lagu lagu Volcano Man dan Double Trouble dengan genre 'Icelandic Pop' yang rancak sekaligus mampu menjadi antara lagu kegemaran mereka yang menonton. Begitu juga lagu Husavik yang dinyanyikan oleh My Marianne (lipsync oleh Rachel dalam filem) yang sangat indah. Will Ferrel juga menyumbangkan suaranya sendiri untuk soundtrack filem ini dan ya, suaranya boleh tahan merdu juga , Will memang dah banyak buktikan beliau seorang penyanyi yang bagus.
Ironinya, Eurovision Song Contest 2020 yang sebenar tidak dapat berlangsung kerana pandemik coronavirus yag melanda dunia. Filem ini tidak dapat lah nak isi kekosongan tersebut, tapi bolehlah tonton untuk mendapatkan hiburan secara santai.
Rating Peribadi: 3/5
Share:

Friday, June 26, 2020

Interstellar (2014) - Ulasan Filem

Pada tahun 2067, dunia mengalami pelbagai kerosakan alam, banyak tumbuh-tumbuhan yang mati, ribut habuk pula berleluasa. Tanaman yang masih bertahan adalah jagung. Ramai penduduk di bumi menjadi petani untuk kelangsungan hidup. Begitu juga Joseph Cooper (Mattherw McConaughey) yang merupakan bekas juruterbang NASA yang terpaksa menjadi petani untuk meneruskan hidup bersama bapa mertuanya Donald (John Lithgow) dan dua orang anaknya, Tom dan Murphy. Sehinggalah Cooper diberikan peluang oleh Professor Brand (Michael Caine) dari NASA untuk misi penjelajahan angkasa lepas dalam mencari dunia baru untuk umat manusia.
Dari segi teknikal, filem ini cemerlang dalam semua aspek. Penataan seninya sangat menakjubkan, walaupun Christopher Nolan memaksimakan penggunaan efek praktikal, tetapi beliau cuba dengan sebolehnya menggunakan efek khas secara tepat bagi menghasilkan imej-imej seperti lubang hitam dan babak Cooper di dalam tesseract. Muzik latar belakang filem ini juga sangat mengagumkan hasil air tangan Hans Zimmer yang menambah rasa dalam perasaan kita ketika menonton. Begitu juga sinematografi filem ini, pergerakan kamera yang indah sekaligus menyajikan kita dengan dunia angkasa lepas yang penuh misteri.
Kita boleh lihat bagaimana Nolan cuba memperhalusi garisan antara fiksyen dan realiti sehalus yang mungkin dalam filem ini. Seperti filem-filem Nolan yang lain, walaupun ianya dekat dengan realiti, tetapi Nolan tetap menggunakan medium filem untuk menghidangkan suatu fantasi dan fiksyen yang menghiburkan. Jadi filem ini nampak seimbang dengan khayalan dan kenyataan, sekaligus mampu menjadi antara filem sains fiksyen yang paling hampir dengan dunia sebenar.
Barisan pelakon yang mantap seperti Anne Hathaway, Jessica Chastain, Matt Damon, Wes Bentley, Casey Affleck, Topher Grace menyinari keseluruhan jalan cerita Interstellar. Babak paling menarik dalam filem ini adalah ketika Cooper, Dr Brand dan Dr Doyle berada di Miller's Planet. Akibat dari daya tarikan gravity yang kuat dari lubang hitam Gargantua, peredaran masa di Miller's Planet bergerak dengan laju berbanding di Bumi. Akibat dari 'gravitational time dilation' ini, selepas Cooper kembali ke kapal Endurance, 23 tahun telah berlalu, Murphy ketika itu sudah mencapai usia dewasa.
Arus penceritaan tidak terlalu meleret dan audiens seolah berada dalam kelas fizik dan mempelajari pelbagai teori tentang ruang dan masa. Tetapi penjelasan itu sebenarnya dipaparkan dengan ringkas dan memberi satu kepuasan kepada audiens yang menonton. Ianya sebuah sains fiksyen yang penuh dengan teori dan fakta dan bukan sekadar sains fiksyen yang kosong. Mungkin itulah sebabnya Interstellar menjadi filem kegemaran ramai.
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Thursday, June 25, 2020

I Saw The Devil (2010) - Ulasan Filem

Ini merupakan antara filem yang bertemakan 'pembalasan dendam klasik' pada era moden yang terbaik pernah aku tonton. Cerita mengambil tempat apabila Jang Kyung-chul (Choi Min-sik) membunuh tunang kepada ejen Perkhidmatan Perisikan Rahsia Korea Selatan, Kim Soo-hyun (Lee Byung-hun) secara kejam dengan mengerat-ngerat badan dan di campakkan ke merata tempat. Soo-hyun yang berasa sangat marah nekad untuk mencari pembunuh tunangnya dan mendapatkan pembalasan yang setimpal.
Filem ini bergerak sangat pantas pada awalnya, hinggakan pada 40 minit pertama, seolah macam filem ni sudah hampir ke pengakhiran. Rupanya untuk jam berikutnya, kita disajikan lagi dengan penceritaan yang lebih mendalam tentang pembalasan dendam Soo-hyun terhadap Kyung-Chul. Sinematografi dan gaya penceritaan filem ini memainkan peranan penting dalam melayani perasaan kita semasa menonton. Banyak babak-babak ngeri dan memualkan, tetapi disajikan secara 'biasa' dan 'selamba' tanpa terlalu menggunakan muzik latar atau pergerakan kamera yang dramatik.
Intipati filem ini adalah memfokuskan pada isu pembalasan dendam yang ditunjukkan sebagai sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana manusia. Personifikasi 'syaitan' yang ditunjukkan adalah melalui pelbagai bentuk, baik pada diri Kyung-chul yang sememangnya seorang yang kejam dan rakus, dan juga pada diri Soo-hyun kerana ingin membalas dendam, beliau sendiri melepaskan 'syaitan' yang berada dalam diri dan menghukum Kyung-chul sepuas hati.
Apa yang menariknya filem ini agak seimbang dalam memberikan kepuasan dan turut sama menyakitkan hati audiens yang menonton. Ada masanya kita melihat kemenangan terletak pada Soo-hyun yang berjaya sedikit demi sedikit membalas dendam, tetapi hingga ke penghujung kita dihidangkan pula dengan kerakusan Kyung-chul yang sangat dahsyat kerana ingin membalas kembali perbuatan Soo-hyun terhadapnya. Jika kita inginkan filem yang mempunyai pengakhiran bahagia, ini bukan filemnya. Filem ini memberi sedikit rasa 'realiti' sebenar yang berlaku dalam kehidupan sekiranya kita membiarkan 'syaitan'menguasai diri.
Pujian yang tinggi aku berikan pada Lee Byung-hun yang kita tahu memang seorang pelakon yang hebat. Byung-hun tahu berapa banyak emosi yang perlu ditunjukkan dalam setiap babak, dan kebanyakkan lakonannya ditunjukkan melalui matanya. Begitu juga Choi Min-sik yang memang terkenal dengan aura menggerunkan sekaligus memberikan lakonan yang tak tertanding.
Mengambil petikan kata-kata dari Confucius,
"Before you embark on a journey of revenge, dig two graves."
Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Wednesday, June 24, 2020

Billu Barber (2009) - Ulasan Filem





Kisah filem in bermula apabila pelakon Bollywood terkenal, Sahir Khan (lakonan SRK) membuat keputusan untuk melangsungkan pengambaran filem terbarunya di kampung terpencil, Budbuda. Di situ, tinggal seorang tukang gunting rambut, Billu (lakonan Irrfan Khan) dan keluarganya. Billu pernah memberitahu keluarganya yang dia dan Sahir Khan adalah kawan sepermainan sewaktu kecil. Anak-anaknya yang teruja telah memberitahu tentan perkara itu dan khabar angin itu pun tersebar dengan luas di kampungnya.




Seronok bila menonton filem ini kerana kita dapat melihat sikap sesebuah masyarakat dalam menilai seorang individu. Hal ini ditunjukkan oleh penduduk kampung Budbuda, yang selalu melayan Billu dengan teruk kerana dia adalah seorang yang miskin. Tetapi sikap mereka terhadap Billu berubah bila mendapat tahun Billu merupakan kawan kepada seorang yang ternama. Jika di India, selebriti Bollywood memang diagung-agungkan seperti Tuhan. Itu sebabnya mengapa Billu di anggap sangat istimewa oleh penduduk kampung.




Filem ini memainkan isu hipokritikal dalam masyarakat terhadap status seseorang. Ini sebenarnya sesuatu yang lumrah dan memang terjadi didalam dunia realiti. Jika seseorang itu mempunyai status yang tinggi, maka merekalah yang akan disanjung dan diberikan layanan yang cukup istimewa.




Billu terpaksa melayan kerenah orang kampung dan juga keluarganya. Walhal Billu sendiri pun tidak yakin jika Sahir ingat akan dia atau tidak. Apa yang lebih menarik, filem ini menunjukkan 'misteri' tentang benarkah Billu dan Sahir ini berkawan dari kecil? Aku puji lakonan Irrfan Khan sebagai Billu yang dibawa dengan cukup selamba. Begitu juga lakonan SRK sebagai Sahir yang aku lihat agak kontra dengan lakonannya sebagai Om Kapoor dalam Om Shanti Om yang juga seorang pelakon Bollywood, tapi kedua-dua watak Om dan Sahir ini sangat berbeza.




Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Tuesday, June 23, 2020

Citizen Dog (2004) - Ulasan Filem



"We cannot always find the things we looking for, but sometimes when we stop looking, those things come looking for us."
Bila bercerita tentang filem non-Hollywood kegemaran, aku cuba mencari filem yang paling pelik dan 'rare' pernah aku tengok, mungkin 'kegemaran' itu bukan lah terma yang tepat kerana aku tak lah sampai berulang-upang kali tengok filem ni. Filem ni aku tonton mungkin sekitar tahun 2007-2009,tak ingat, tetapi lepas tengok filem ni, hingga ke sekarang setiap babak-babak filem ni terngiang dalam kepala. Hingga lah bila aku putuskan untuk buat review filem ini, aku cari lagi sekali filem ni untuk ditonton, dan ya, tak dinafikan inilah filem non-Hollywood paling aku ingati dan tertarik.

Tema filem ini lebih menjurus ke arah 'eksperimental' dan 'surreal'. Penataan seni, pewarnaan dan props dalam filem ini sangat bewarna-warni dan diluar norma realiti sebenar dalam dunia. Sesiapa yang tonton filem ni mesti akan timbul banyak persoalan apakah metafora dan simbolism yang cuba dipaparkan filem ini?

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan Pod yang berhijrah ke bandar Bangkok, kemudian pelbagai perkara terjadi sehinggalah Pod jatuh hati pada gadis bernama Jin. Nampak premisnya cukup mudah, tetapi seperti aku katakan tadi, setiap babak, cerita dan lakonan dalam filem ini adalah surreal.

Contoh perkara pelik yang ada dalam filem ini, nenek Pod memberi amaran Pod akan tumbuh ekor jika berpindah ke bandar, seorang penunggang motosikal menceritakan kematiannya akibat dari hujan helmet, budak perempuan bersikap seperti orang dewasa lalu kahwin dengan teddy bear-nya, Jin menyertai demo alam sekitar dan mula mengumpul botol plastik sehingga menimbun menjadi gunung, Pod berjumpa dengan lelaki yang suka menjilat semua benda, dan banyak lagi babak-babak dalam filem ini yang menimbulkan pertanyaan tetapi dalam masa yang sama, menghiburkan.

Filem ini adalah sebuah filem yang kelakar dan menarik bila ditonton. Walaupun penuh babak pelik, tetapi sepanjang perjalanan cerita, aku terleka dengan sekuens-sekuens yang menggeletek hati. Sehingga kini, aku masih boleh tonton filem ini dengan puas hati.
Share:

Kim's Convenience (2016-Kini) - Ulasan Siri TV


Salah satu sitcom menarik sedang ditayangkan di Netflix. Dah ada 4 season, satu season 13 episod, satu episod setengah jam sahaja. 

Sitcom yang menceritakan tentang keluarga Kim yang berbangsa Korean-Canadian yang mempunyai kedai runcit di Canada. Sitcom ni agak dekat dihati kerana permasalahan kekeluargaan dalam sitcom ini agak related juga dengan kehidupan kita. 

Watak-watak yang berbilang kaum juga ditunjukkan membuatkan sitcom ini sangat unik. Apa yang penting, memang cukup terhibur menonton sitcom ini dan menyaksikan telatah watak-watak dalam sitcom ini.

Tonton Hady TV Review Kim's Convenience di Youtube:
Share:

Money Heist (2017-Kini) - Ulasan Siri TV



Akhirnya selesai menonton siri TV Money Heist di Netflix.

Ada 4 Season semuanya, season pertama memang terasa lama untuk dihabiskan, tetapi disebabkan kelicikkan El Professor dan team-nya dalam rompakan terbesar didunia, tersangkut jugak menonton siri ini hingga habis.

Cerita yang banyak konflik antara karakter, heist yang licik tapi tak sempurna, dan paling best bila melihat pihak berkuasa diayam-ayamkan oleh El Professor dan team-nya.

Tonton review Money Heist: https://youtu.be/edd2X6LZPys
Share:

Bloodride (2020) - Ulasan Siri TV


Bloodride adalah sebuah siri antologi Norwegian yang memaparkan kisah pendek seram berlainan cerita setiap episod. Jalan cerita sangat simple dan santai. 

Tidak berapa ganas walaupun vibe horror yang cuba disampaikan. Ala2 Twilight Zone versi jinak.

Tonton review penuh Bloodride: https://youtu.be/cxy_JC9UltM
Share:

Avengers Endgame (2019) - Mengimbau Kembali




Avengers Endgame ditayangkan setahun yang lalu menjadi fenomena seluruh dunia. Rata-ratanya hampir semua orang berborak tentang filem ini baik yang follow MCU mahupun tidak.

Sehingga kini bila tonton filem ini masih terasa lagi keseronokkannya lebih-lebih lagi pada babak final battle dan portals scene.

Saksikan video apresiasi sempena ulangtahun pertama tayangan Avengers Endgame dan reaction terhadap Portals scene yang memorable.

Share:

Ozark (2017-Kini) Ulasan Siri TV



Siri TV yang agak dark berkenaan dunia money laundering untuk drug cartel.

Setiap episod bermacam konflik dan masalah muncul. Marty Byrde terpaksa heret keluarga dia bersama dalam dunia gelap ini. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, Marty perlu melakukan apa sahaja demi menyelamatkan keluarganya.

Review siri tv Ozark: https://youtu.be/cNNq0e63818
Share:

Extraction (2020) - Ulasan Filem



Filem Extraction memaparkan aksi yang padat terutama babak one-shot selama 11 minit yang hebat.

Chris Hemsworth yang baru2 ini selalu membawa watak komedi cuba pula membawa watak serius dengan pendedahan emosi yang minima. Filem menarik untuk ditonton oleh peminat filem-filem aksi.

Review filem Extraction: https://youtu.be/2nCAg3Z7_xs
Share:

Monday, June 22, 2020

The Revenant (2015) - Ulasan Filem


Filem ini berjaya menobatkan Leonardo DiCaprio sebagai Pelakon Terbaik di Academy Awards. Mengisahkan tentang dendam seorang ayah yang menyaksikan sendiri pembunuhan anaknya.

Leo berlakon sebagai Hugh Glass, dan dalam filem ini ada satu babak yang sering disebut-sebut iaitu babak Hugh Glass diserang beruang grizzly. Babak ni dibikin dengan cukup sempurna dan kita sendiri terasa kesakitan dan ketakutan yang dihadapi watak utama ketika itu.

Tom Hardy pula berlakon sebagai John Fitzgerald, seorang yang sepatutnya membantu Hugh yang sedang nazak, tetapi akibat dendamnya terhadap puak Pawnee membuatkan John melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan Hugh.

Filem ni memang banyak menonjolkan sisi Leonardo sebagai seorang pelakon yang berkaliber. Leonardo seolah melakukan apa sahaja demi menjayakan watak ini dan sekaligus menghidupkan keseluruhan jalan cerita.

Rating Peribadi: 4/5
Share:

Lady Bird (2017) - Ulasan Filem


Mengisahkan kehidupan remaja bernama Christine 'Lady Bird' McPherson (Saoirse Ronan), pelajar tahun akhir di sekolah Katolik yang menghadapi permasalahan remaja dan sering bersikap 'rebel'.

Keseluruhan filem ini menunjukkan bagaimana Lady Bird membesar dengan naik turun kehidupan yang kebiasaannya dihadapi oleh remaja zaman sekarang. Lady Bird juga mempunyai hubungan 'love-hate' dengan ibunya yang dilihat dari matanya seolah seorang yang asyik memberikan pandangan negatif pada dirinya.

Lakonan Saoirse Ronan dalam filem ini memang sangat hebat, setakat ini pelakon ni memang betul2 seorang yang sangat berbakat dalam membawa apa sahaja watak. Kekuatan filem ini adalah pada pelakon ini yang berjaya mengangkat filem ini dan memberikan impak pada jalan cerita. Pujian juga pada pengarah Greta Gerwig yang menghasilkan filem yang cukup cantik ini.

Rating Peribadi: 4/5
Share:

Manap Karaoke (2020) - Ulasan Filem



Manap Karaoke merupakan sebuah naskhah terbaru dari Mamat Khalid yang mengangkat kisah Manap dalam usaha menjayakan cita-citanya membuka pusat karaoke bergerak bersama kawannya Wahab B.

Bermacam perkara lucu dilalui Manap dan rintangan terpaksa dihadapi, dari campur tangan pihak berkuasa tempatan sehinggalah dengan manusia-manusia yang penuh hasad dengki.

Sekali lagi Mamat Khalid cuba menerapkan tema dan template yang sama seperti filem-filemnya sebelum ini dengan memaparkan watak-watak orang kampung, lawak-lawak yang selamba tetapi tetap menekankan kritikan sosial kepada masyarakat sekarang.

Rating Peribadi: 2/5

Tonton review Manap Karaoke: https://youtu.be/sRbDuUqevhw
Share:

The Farewell (2019) - Ulasan Filem




Billi (Awkwafina) mendapat tahu neneknya telah di diagnos dengan kanser paru-paru dan mempunyai tempoh untuk hidup selama tiga bulan. Tetapi yang membuatkan Billi lebih celaru bila keluarganya membuat keputusan untuk tidak memberitahu perkara tersebut kepada neneknya. Keluarga Billi menggunakan alasan majlis perkahwinan sepupunya untuk meluangkan masa bersama neneknya di China.

Rupanya ianya sudah menjadi satu kebiasaan atau satu tradisi untuk keluarga di China supaya tidak memberi tahu orang tua mereka jika mereka mempunyai sebarang penyakit yang kronik. Billi meluangkan masa bersama neneknya walaupun bergelut dengan fahamannya yang sudah lama diterap ketika duduk di Amerika dengan fahaman berbeza di China.

Rating Peribadi: 4/5
Share:

The Godfather Trilogy - Ulasan Filem


Saga Corleone yang sangat memberi kesan terhadap lanskap perfileman Hollywood, dengan penceritaan tentang dunia Mafia Itali-Amerika yang cukup indah. Aku pernah menonton Part 1 dan Part 2, tetapi Part 3 aku baru saja tonton haritu. Walaupun ramai yang tak suka dengan Part 3, tetapi filem itu telah melengkapkan kisah Michael Corleone.

Aku paling suka Part 1, dengan karisma seorang Godfather yang ditunjukkan oleh Vito Corleone lakonan Marlon Brando dan bagaimana anak lelakinya Michael cuba mengambil tampuk sebagai ketua keluarga Corleone. Aku paling suka babak bila Michael menunjukkan taringnya bila pertama kali dia terjebak dengan dunia mafia keluarga Corleone. Kredibiliti Al Pacino tidak boleh disangkal lagi ketika membawa watak ini. Boleh dikatakan babak Michael bagi plan dia pada Sonny dan Tom adalah babak paling stylo dalam banyak2 filem pernah aku tonton.

Part 2 adalah filem kegemaran ramai dan menjadi salah satu filem sequel yang berjaya setaraf dengan filem sequel terhebat sepanjang zaman iaitu Empire Strikes Back. Tapi aku lebih suka Part 1 berbanding Part 2. Cumanya, Part 2 menyelami dunia ketika Vito Corleone membina empayarnya yang megah. Dan lakonan Robert De Niro sebagai Vito yang muda sangatlah memukau. Al Pacino sekali lagi mencuri perhatian dengan membawa watak Michael yang nampak tenang, tetapi tetapi ganas.

Part 3 seolah filem yang hanya diwujudkan untuk menamatkan watak Michael. Filem ini tetap hebat juga tetapi dengan menggunakan templat babak ketiga yang hampir sama dengan filem2 sebelumnya sedikit menimbulkan rasa yang kurang mengujakan. Tetapi dalam filem ini lah ditunjukkan kesan yang dihadapi Michael terhadap kelakuan dan keputusannya sebelum ini.

Rating Peribadi
Part 1: 5/5
Part 2: 4.5/5
Part 3: 4/5
Share:

Tenacious D in The Pick of Destiny (2006) - Ulasan Filem



Filem musikal rock ni aku boleh tonton berulang kali, sebab genre musikal dia tu memang menghiburkan. Dari keseluruhan jalan cerita, hampir 90% elemen yang menghidupkan filem ini adalah muzik rock dari band Tenacious D yang dianggotai Jack Black dan Kyle Gass.

Mengisahkan tentang perjalanan band Tenacious D untuk menjadi band rock terhebat, dan dalam melaksanakan misi ini, mereka perlu mencari pick gitar yang digelar Pick of Destiny, kononnya berasal dari gigi taring Satan. Bagi aku jalan cerita biasa-biasa je, tiada apa yang menarik, tapi memang lagu-lagu dan lawak jenaka dari Jack Black dan Kyle Gass tu sendiri yang buat filem ni menarik.

Ada ramai cameo dalam filem ni seperti Ben Stiller, Dave Grohl, Amy Adams, Tim Robbins, Collin Hanks dan Dio. Filem santai-santai untuk hiburkan diri dan paling best sekali time diorang buat final showdown dengan Satan.

"...Satan's not in a guitar pick, he's inside all of us. In here [taps their chests] in your hearts. He's what makes us not want to go to work, or exercise, or tell the truth. He's what makes us want to party and have sex with each other all night long. He's that little voice in your mind that says "F*** you" to the people you hate..."

Rating Peribadi: 4/5
Share:

Slaughterhouse Rulez (2018) - Ulasan Filem


Filem ni bagi aku agak mengarut sedikit lebih-lebih lagi dengan penyampaian jalan cerita yang sedikit kelam kabut. Tetapi ianya masih lagi sebuah filem yang seronok untuk ditonton, yelah, mana-mana filem yang ada duo Simon Pegg dan Nick Frost ni seronok ditonton. Filem ini juga dibarisi beberapa pelakon terkenal lain seperti Michael Sheen, Asa Butterfield dan Margot Robbie.

Bermula selepas Don Wallace (Finn Cole) diterima masuk ke sebuah sekolah asrama penuh British yang megah, Slaughterhouse, yang terletak dikawasan sangat terpencil. Tanpa disedari ramai pelajar disitu, sekolah ini menyimpan sejarah dan rahsia yang bakal menghancurkan sekolah itu sendiri.

Bagi aku filem ni agak kelakar lah jugak, walaupun cara penceritaannya tu agak laju. Ini bukan filem 'boarding school' biasa, ianya diselitkan juga dengan elemen kaiju yang bagi aku agak menarik, tetapi tak mencukupi dan tak mendatangkan kesan sangat. Ok lah kalau nak buat tontonan waktu santai je.

Rating Peribadi: 3/5
Share:

Phone Booth (2002) - Ulasan Filem


Stu Shepherd (Collin Farrel) merupakan seorang 'publicist' yang sentiasa menggunakan penipuan untuk kepentingan diri sendiri. Stu juga berniat untuk berlaku curang dengan isterinya Kelly (Radha Mitchell) bersama Pam (Katie Holmes), salah seorang mangsa penipuan Stu. Tetapi perbuatan Stu itu menarik perhatian seseorang yang akan mengubah hidupnya.

Filem yang hanya fokus satu lokasi sebagai premis utama menjadi antara konsep filem yang diminati ramai sebenarnya. Salah satu contoh filem sebegini adalah filem Buried (2010) dan Devil (2010). Untuk filem ini, sebuah pondok telefon menjadi subjek dan perwatakkan Stu lakonan Collin Farrel ini bergantung pada perbualan telefonnya dengan 'The Caller', yang dijayakan pelakon berkaliber Kiefer Sutherland.

Plotnya tidak kompleks, berjaya juga membuatkan aku melekat di skrin untuk menyaksikan apa yang bakal berlaku, tetapi kepuasan yang tercapai terhadap sekuens tidak berapa kesampaian. Mungkin aku menjangkakan sesuatu yang lebih dahsyat berlaku dan membuatkan diri ini tersentak, tapi mungkin untuk filem ini, terlalu PG13 pula babak yang dipertontonkan.

Seperti yang aku katakan tadi, filem konsep sebegini mempunyai pengikutnya sendiri, malahan aku sendiri juga gemar dengan filem sebegini. Tetapi filem sebegini jarang memberikan kepuasan maksima pada babak penghujungnya. Jika sesuatu yang lebih 'jiwa kacau' diberikan, mungkin mampu mengubah perspektif aku. Waubagaimanapun, menonton filem psychothriller awal tahun 2000-an sebegini, sedikit sebanyak menghiburkan juga.

Rating Peribadi: 3/5
Share:

The Purge (2013) - Ulasan Filem


Kisah fiksyen tentang masyarakat di Amerika Syarikat yang melalui 'norma baharu' dalam kehidupan apabila kerajaan yang ditadbir New Founding Fathers mengadakan acara tahunan 'The Purge' yang membawa maksud 'pembersihan' selama 12 jam, dan dalam tempoh ini segala jenayah dibenarkan. Konsep 'purging' ini telah memberikan kesan positif terhadap ekonomi di AS dan mendapat sokongan yang baik lebih-lebih lagi dikalangan golongan elit.

Walaupun secara kasarnya filem ini membawa genre thriller, tetapi secara dasarnya ianya membawa isu-isu seperti perkauman, sosiopolitikal dan hasad dengki. Dengan isu yang besar ini, skopnya dikecilkan dan difokuskan pada situasi yang terjadi terhadap keluarga Sandin. James Sandin (Ethan Hawke) dan Mary Sandin (Lena Headey) yang selama ini menyokong The Purge akhirnya menyedari akan keburukan upacara ini, kerana ianya melibatkan moraliti yang lebih mendalam sekaligus memberi kesan terhadap nilai jati diri masing-masing.

Dengan hanya membekalkan watak-watak manusia yang merasakan diri mereka lebih hebat dari orang lain, dan bermegah-megah dengan warna kulit mereka, membuktikan bahawa golongan sebegini yang sepatutnya 'dibersihkan'. Kita sendiri yang sekarang berada dalam 'kawalan pergerakkan' juga terasa dengan situasi keluarga Sandin yang mengurungkan diri di dalam rumah dan berharap segala kacau bilau yang berlaku di luar cepat berakhir.

The Purge ternyata menjadi filem kegemaran ramai dan menjadi batu loncatan untuk universe The Purge yang semakin meluas sekarang. Ada beberapa lagi filem antologi dalam siri The Purge ini kerana konsep yang digunakan itu mampu membuahkan beberapa cerita yang menarik. Blumhouse Production telah membuktikan mereka mampu memberikan filem thriller yang bukan sekadar mengerikan, tetapi mampu membuat masyarakat berfikir, adakah nilai kemanusiaan semakin menipis?
Akhir kata, berbuat baik lah dengan jiran kita, jika tidak sekalipun, bermuka-muka lah sedikit asalkan tak nampak sombong.
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

U-571 (2000) - Ulasan Filem



Filem ini merupakan filem taktikal kapal selam yang berlatarbelakangkan 'Battle of the Atlantic' pada Perang Dunia Kedua yang fokus tentang tentera laut Amerika Syarikat dalam misi untuk merampas Enigma machine dari kapal 'U-Boat' Jerman iaitu kapal selam U-571.

Dari awal filem lagi kita disajikan dengan suasana di dalam kapal selam dan sepanjang filem ini pelbagai terma dan taktikal tentang kapal selam dipaparkan. 30 minit selepas filem berlangsung, terus kita dihidangkan dengan permainan perang antara Amerika Syarikat dan Jerman serta merasai 'tekanan' yang dipaparkan babak demi babak. Konflik berlaku selepas tentera AS perlu menggunakan kapal selam Jerman itu untuk menyerang tentera Jerman sekaligus menyelamatkan diri dan menyelesaikan misi.

Beban misi terletak pada bahu Liutenant Andrew Tyler (Matthew McConaughey) yang perlu melaksanakan keputusan-keputusan sukar bagi menjayakan misi. Jujur kata, filem ini tak lain tak bukan fokusnya lebih kepada sudut taktikal dan strategi protagonis dalam permainan perang. Menonton filem ini seolah kita sedang bermain game 'Battleship' yang disajikan dengan konflik bertalu-talu.

Walaupun tidak dihiburkan dengan babak letupan dan peperangan seperti filem perang yang lain, tetapi sinematografi filem ini harus dipuji. Suasana di dalam kapal selam dan persekitaran yang luas dengan lautan membawa kita masuk kedalam dunia tentera laut. Mungkin filem ini lebih kepada genre sejarah, walaupun dikatakan sejarahnya tidak lah berapa tepat, dan bukanlah filem perang. Apa sekalipun, ianya tetap sebuah filem yang menarik untuk penggemar filem taktikal perang.

Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

Artemis Fowl (2020) - Ulasan Filem



Kalau sebelum ni aku selalu beritahu berkenaan filem dengan jalan cerita yang meleret atau 'dragging'. Tetapi untuk filem ini, jalan ceritanya terlalu laju pula. Laju sangat sampai nak tangkap jalan cerita pun dah macam nak tangkap 'pari-pari'.
Baiklah, aku perlu jelaskan yang aku tak pernah baca buku Artemis Fowl ni, aku juga tak baca sangat sinopsis filem ini. Aku cuma mendapat sekelumit idea tentang filem ini melalui trailer-nya yang hanya ditonton sekali sahaja pada tahun lepas. Melihat trailer filem ini, memang agak mengujakan kerana ianya membawa tema fantasi bercampur zaman moden yang menjadi antara tema kegemaran aku. Tetapi sebaik menonton filem ini, tiada perasaan lain yang boleh aku gambarkan kecuali kekecewaan yang terlampau.
Ada tiga elemen lemah yang aku boleh tekankan dalam filem ini iaitu penulisan, penataan seni dan watak. Untuk penulisan, perkataan yang paling sesuai untuk digambarkan adalah 'cringe-worthy'. Banyak dialog dalam filem ini yang lemah dan agak menjengkelkan. Manakala penataan seni dari segi kostum terutamanya, seolah pereka busana filem ini di datangkan dari zaman awal 2000. Semua latar belakang dan penataan seni dalam filem ini kelihatan murah jika dibandingkan dengan bajet sebanyak USD125 Juta! Untuk watak dan perwatakan pula, tiada perkembangan dan hubungan antara watak. Dari awal filem hingga ke pengakhiran, kita tidak merasai hubungan dengan watak-watak dalam filem ini. Hinggakan babak yang sepatutnya sedih tetapi tidak wujud perasaan empati dalam diri ni.
Memang sepatutnya filem ini tidak ditayangkan di panggung wayang kerana dengan hasil sebegini, seolah dibikin untuk Filem TV Disney Channel sahaja. Mungkin untuk kanak-kanak ianya bersesuaian atau mungkin juga filem ini tidak mendapat tempat di hati mereka kerana ada filem kanak-kanak yang lebih bagus dari filem ini. Sayangnya, Kenneth Branagh merupakan pengarah untuk filem ini tidak menampakkan kreativitinya sekaligus mewujudkan filem 'fantasi' yang tiada 'magik'.
Artemis Fowl atau Artemis Foul?
Rating Peribadi: 1.5/5
Share:

Back to the Future Part II (1989) - Filem Hari Kelahiranku


Back To The Future Part II dikeluarkan tiga hari sebelum hari kelahiran aku. Rasanya tak perlu aku perkenalkan lagi tentang sinopsis atau jalan cerita filem ini kerana aku tahu hampir 83% dalam group ini yang dah sinonim dengannya. Apa yang aku boleh katakan adalah filem ini merupakan filem klasik bertemakan rentasan masa atau 'time travel' yang menjadi kegemaran kita semua.

Filem ini merupakan sekuel dari filem pertamanya yang berakhir secara tergantung yang keluar pada tahun 1985. Latar belakang masa untuk filem ini juga adalah tahun 1985, dan di dalam filem ini, watak Marty McFly (Michael J Fox) dan Dr Emmet Brown (Christopher Lloyd) terpaksa ke masa hadapan iaitu pada tahun 2015 untuk selamatkan anak Marty. Jadi apa yang menariknya adalah segala teknologi dan penterjemahan 'masa depan' ketika itu di layar perak adalah sangat menarik. Antara teknologi dan kejadian tentang masa depan yang dipaparkan dalam filem ini adalah:

- Hoverboard
- Kereta terbang
- Kasut Nike boleh ikat sendiri
- Jaket yang boleh selaras saiz ikut badan,
- Filem Jaws 19 in 3D arahan Max Spielberg (anak Steven Spielberg)
- Fast food yang sangat sangat 'fast'

Banyak lagi teknologi dan kejadian tentang 'tahun 2015' yang ditunjuk dalam filem ini, ada yang mengena, dan ada pula banyak yang langsung jauh dari angan-angan. Contohnya kereta terbang, yang terbang sekarang ni duit dan nyawa je.

Tapi secara keseluruhannya, filem ni memang menjadi sebuah filem 'pop-culture' dan sentiasa menjadi rujukan dalam filem-filem lain pada masa sekarang. Tema rentasan masa dalam filem ini pula sering menjadi pendebatan, baik dari peminat filem mahupun ahli akademik.

Kemudian wujud pula satu lagi konsep iaitu 'alternate reality', sebaik sahaja Marty kembali semula ke masa silam. Hasil dari satu perbuatan Marty di tahun 2015, dan campur tangan yang menganggu 'time space continuum' menyebabkan garisan masa Marty terganggu.

Itu lah sebabnya mengapa filem ini menjadi antara filem sains fiksyen yang hebat. Dengan sentuhan pengarah berwawasan iaitu Robert Zemeckis dan lakonan dari pelakon-pelakon yang hebat, membuatkan kita sendiri tak pernah bosan menonton filem ini.

"Oh, this is heavy, Doc. I mean, it's like I was just here yesterday."
Share:

3 Idiots (2009) - Ulasan Filem



Mengangkat kisah tiga orang pelajar kejuruteraan di India, Rancho, Farhan dan Raju dalam mencapai cita-cita masing-masing serta mempelajari erti sebenar kehidupan. Perjalanan cerita lebih fokus pada perspektif Farhan dan Raju, di mana kehidupan mereka banyak dipengaruhi Rancho, seorang yang penuh visi dan memandang kehidupan dari sisi berbeza dari orang lain. Rancho cuba menepis pemikiran skeptikal pensyarahnya Viru Sahastrabuddhe (Virus), tentang kehidupan bukanlah semata-mata sebuah perlumbaan. Tetapi ikutlah kehendak hati dan pasti impian serta kebahagian dapat dicapai.

Filem ini membawa tema yang sangat popular iaitu ibarat sebuah filem motivasi yang memberi inspirasi kepada mereka yang cuba mencari erti kehidupan. Latar belakangnya juga sangat bersesuaian dengan meletakkan kehidupan pelajar kejuruteraan di India sebagai fokus utama filem. Ramai antara kita juga tahu betapa payahnya kursus kejuruteraan ini dan betapa ramai pelajar yang tertekan dan bersusah payah dalam subjek ini. Jadi banyak apa yang watak Rancho lakonan Aamir Khan ini sedikit membuka matakita tentang apa yang sepatutnya kita lakukan dalam kehidupan.

Perjalanan cerita 3 Idiots sangat menghiburkan dari awal hingga ke akhir. Di tambah pula dengan keserasian antara watak beserta lakonan dari pelakon-pelakon seperti R. Madhavan dan Sharman Joshi. Aku sangat suka dengan watak Farhan lakonan Madhavan yang kelihatan sangat positif dan suka tergelak setiap kali bergandingan dengan watak Rancho. Pujian juga aku berikan pada Kareena Kapoor yang membawa watak sebagai Pia yang lain dari yang selalu kita lihat dari pelakon jelita ini. Begitu juga Bomani Irani sebagai Virus dan Omi Vaidya sebagai Chatur 'Silencer' Ramalingam yang masing-masing membawa watak dengan cukup cemerlang.

Gaya penceritaan filem ini juga sangat segar dan kemudiannya menjadi ikutan filem-filem hindustan yang menyusul. Dan sudah tentu kalau sebut pasal filem hindustan, dah tentu ada lagu, dan lagu-lagu yang dipaparkan dalam filem ini memang berlainan dari filem-filem hindustan yang lain. Dengan terhasilnya filem ini, kita didedahkan tentang kehidupan yang bukan lah sebuah perlumbaan dalam menumpaskan pesaing semata-mata. Kehidupan lebih luas jika kita membuka jendela dan memberi peluang untuk datang kepada kita.

Utthamum dadhdadaath paadam (A loud fart is respectable)...
Madhyam paadam thuchuk chuk (A medium fart is tolerable)...
Ghanisthah thud thudi paadam (A slight fart is fearful)...
Surr surri praan gatakam (A silent fart is deadly and unbearable)...

Rating Peribadi: 4.5/5
Share:

Ray Ferrier (War of the Worlds) - Imej Bapa Yang Tak Didendang


Asalnya, filem War of the Wolrds adalah tentang kisah dunia dalam melawani serangan makhluk asing, tetapi dalam versi arahan Stephen Spielberg ini mengangkat watak bapa, Ray Ferrier lakonan Tom Cruise dalam misi mempertahankan keselamatan dua orang anaknya, Rachel (Dakota Fanning) dan Robbie (Justin Chatwin).

Ray yang pada awal filem ditunjukkan sebagai seorang bapa yang leka dan tidak bertanggungjawab, akhirnya menunjukkan sisi sebenarnya dan memberi kita satu pengajaran tentang naluri seorang bapa yang akan 'terjaga' dan 'terus menjadi pelindung' sekiranya anak-anak dalam bahaya.

Mungkin ini juga perkara yang selalu terjadi dalam dunia realiti, sosok seorang bapa yang dari luaran nampak seperti tidak peduli hal anak, tetapi hakikatnya dalam hati mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk anak mereka. Ray terpaksa menjadi hero kepada anak perempuannya. Ray perlu melepaskan anak lelakinya yang mencapai usia dewasa. Ray terpaksa melakukan sesuatu yang tak terjangka untuk anak perempuannya. Ray terpaksa memperjudikan nyawanya sendiri untuk anak perempuannya.

Ray adalah imej khas untuk bapa-bapa yang tak didendang.
Share:

A Whisker Away (2020) - Ulasan Filem



Jika dilihat pada tajuk anime ni, nampak comel je kan. Ianya macam 'Spirited Away' tapi versi kucing. Miyo atau sering dipanggil Muge oleh kawan-kawannya mendapat peluang untuk sekali sekala menjadi kucing sebaik menerima topeng kucing dari 'Penjual Topeng', yang merupakan sejenis kucing yang menjual topeng kucing kepada manusia yang ingin menjadi kucing dan juga topeng manusia kepada kucing yang ingin menjadi manusia.

Miyo menggunakan peluang ini untuk mendekati budak lelaki yang dicintainya dari sekolah, Hinode (takda kena mengena dengan Hinode Shop satu barang RM5). Miyo merupakan seorang gadis sekolah yang ceria, riang dan sentiasa kelihatan positif. Tetapi jauh dalam sudut hati Miyo mempunyai perasaan yang kelam terhadap keluarga dan keadaan sekelilingnya.

Anime ini boleh tahan menghiburkan, lebih-lebih lagi pada watak Miyo yang berjaya mengangkat keseluruhan jalan cerita anime ini. Cuma mungkin pengakhiran filem ini agak sedikit mengecewakan dengan memberikan sesuatu yang terlalu tipikal bagi sebuah filem romantis 'cinta remaja'. Tetapi masih banyak nilai-nilai yang boleh diambil selain dari 'kisah cinta remaja' yang dipaparkan. Rasanya jika diperhalusi lagi jalan cerita dan fokus utama plot, mungkin anime ini boleh menjadi lebih bagus.

Rating Peribadi: 3/5
Share:

Blog Archive