Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159504

Monday, December 3, 2012

Kepercayaan Terhadap Yang Karut. *sebuah review Life of Pi.


Menonton movie ini ibarat menonton imbasan movie-movie dari Forrest Gump, Titanic, Cast Away, Avatar dan Slumdog Millonaire. Tak boleh aku nak katakan movie ini terlalu bagus, tapi movie ini sememangnya mewujudkan satu semangat luar biasa di hati penonton. Kehadiran jalan cerita yang diadun dengan efek grafik khas yang sebati jarang kita dapat lihat dalam sesebuah movie. Tetapi dalam Life of Pi, efek khas yang ditonjolkan sangat bersesuaian dengan jalan ceritanya.

Life of Pi mengisahkan hidup seorang lelaki bernama Pi atau Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma/Irrfan Khan) yang penuh dengan kekeliruan tentang erti hidup yang mempunyai kepelbagaian agama. Pi dibesarkan secara liberal oleh ibu bapanya di sebuah zoo dan hidupnya penuh dengan pertanyaan tentang hukum alam. Plot mula mendebarkan apabila kapal yang sepatutnya membawa Pi dan keluarganya serta berpuluh binatang dari zoonya ke Kanada, dikaramkan oleh ribut di tengah laut. Pi terselamat, tetapi ditemani oleh seekor makhluk menakjubkan di atas bot keselamatan, iaitu seekor harimau bengal.

Aku sendiri pada mulanya tertanya-tanya di manakah plot utama movie ini. Adakah movie ini benar seaakan Avatar? Tetapi pada awalnya ianya seperti Forrest Gump. Pertengahannya pula seakan movie Cast Away. Ternyata movie ini mempunyai plot yang sangat kuat yang bukan sekadar bersandar pada survival Pi dengan harimau bengal itu. Life of Pi menyajikan lebih dari itu.

Jangan tersentak sekiranya movie ini menyentuh isu agama pada awal penceritaan. Mereka yang tidak kuat pastinya akan terkejut dengan kehidupan Pi yang menganuti tiga agama iaitu Hindu, Kristian dan Islam. Bagi aku orang Islam, tak salah jika menggunakan pemahaman Pi dalam mencari maksud kehidupan yang di lengkapi agama. Mungkin penterjemahannya lain dari sudut pandangan Pi, tetapi pada akhirnya, kita dapat lihat bagaimana jalan cerita Pi tidak masuk akal, dan disamakan pula dengan agama. Tapi cukuplah sekadar aku rumuskan sedikit sahaja tentang subjek agama dalam movie ini. Biarlah pemahaman ini aku sahaja yang tafsir kerana aku bukan lah bijak pandai agama yang boleh menterjemah setiap satu hukum dan hakam.

Movie ini juga menonjolkan nilai persahabatan dan kekuatan Pi menjadi seorang makhluk yang dominan ketika berduaan dengan harimau bengal yang bernama Richard Parker. Selama satu jam lebih ditonjolkan babak Pi dan Richard Parker berduaan di tengah lautan langsung tidak menerbitkan rasa bosan di hati aku. Malahan disinilah pengarahnya, Ang Lee, menggunakan efek khas sebaik mungkin dengan menonjolkan keindahan alam lautan yang sangat luar biasa.

Lakonan pelakon-pelakon dalam movie ini juga perlu dipuji. Irrfan Khan sangat luar biasa walaupun dia sekadar menjadi watak Pi ketika dewasa yang menceritakan kembali kisah hidupnya. Tetapi tonggak utama yang menggerakkan movie ini ternyata milik Suraj Sharma yang memainkan watak Pi. Jangan terkejut jikalau wataknya ini bakal diberi penghargaan yang tinggi dalam industri Hollywood.

Life of Pi adalah movie yang wajar ditonton oleh mereka yang mahu berfikir tentang kehidupan dan juga bagi mereka yang mencari movie yang kuat pada jalan ceritanya, malahan hebat pula dari segi teknikal dan grafik. Dan endingnya merupakan sebuah lagi ending epik dari movie berbentuk sebegini...

EFEK KHAS

SKOR MUZIK

LAKONAN

PLOT

RATING




Share:

Related Posts: