Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Saturday, December 4, 2010

Sisi Depresi Dunia Potter.* sebuah reviu Harry Potter and the Deathly Hallows


Aku memang menantikan movie kegemaran aku ini untuk di reviu. Sememangnya aku adalah peminat legasi Potter sejak dari sekolah menengah lagi. Tapi tak bermakna aku minat dengan kesemua siri movie Harry Potter. Kalau bab buku, tak perlu lah diceritakan lagi, sekali dah masuk dalam alam magis Potter, memang terkial-kial nak keluar. Tak ada buku Harry Potter yang aku tidak minat. Berbeza pula dengan movie-movienya. Selepas Goblet of Fire, minat aku terhadap adaptasi Potter agak berkurangan. Bertambah lagi dengan kehadiran Half-Blood Prince yang langsung tidak memberi sebarang klu atau sebab mengapa movie ini penting. HAlf-Blood seolah teen movie versi Potter. Kemarahan aku tidak sekadar di lepaskan kepada dua movie Potter ini, iaitu Other of Phoenix dan Half-Blood, tetapi juga terkena kepada pengarahnya, David Yates. Hinggakan aku menggelar David Yates sebagai pengarah terburuk pernah mengarah siri Harry Potter. Tetapi, kehadiran The Deathly Hallows menenggelamkan kemarahan aku kepadanya.



Buat pertama kalinya aku rasa, movie The Deathly Hallows lebih dramatik dari bukunya. Aku tak pernah menjangka adegan-adegan yang difikirkan sebagai tragik yang biasa boleh diadaptasi dengan lebih dahsyat ke bentuk movie. David Yates berjaya menunjukkan sisi depresi dalam movie ini di mana masyarakat sihir sedang bergolak dengan perasaan takut dek kehadiran Lord Voldemort dan Death Eaters. Pada awal movie ini sahaja telah menunjukkan babak-babak yang sedih hingga kita sendiri merasai bahawa dunia Harry Potter yang kita kenal dulu ceria dan seronok kini bertukar menjadi kelam. Dunia Harry Potter yang sangat keanak-anakkan dahulu kini telah berubah menjadi satu dunia penuh epik setaraf dengan cerita epik Lord of The Rings dan Narnia.



Movie ini juga bukan sekadar menunjukkan sisi depresi, tetapi tetap kekal dengan jenaka parodi dan situasi yang melucukan di kalangan watak seperti Ron Weasley, kembar Weasley dan Harry Potter itu sendiri. Ianya agak seimbang dengan wujudnya perasaan sedih, gerun dan kelakar yang terdapat dalam movie ini. Kita dapat merasakan kegerunan watak dalam movie ini serta babak-babaknya seperti ketika Potter dan kawan-kawannya diserang secara mengejut ketika terbang ke rumah keluarga Weasley. Perasaan kelakar pula wujud ketika babak Ron yang sering membuatkan kita ketawa dengan dialog-dialognya. Serta tidak dilupa juga babak ketika di Kementerian Sihir. Di mana mana Harry, Ron dan Hermione menggunakan Polyjuice Potion untuk menyamar menjadi kakitangan Kementerian Sihir untuk mencari Horcrux Voldemort yang terdapat pada Umbridge. Babak ini telah menjadi satu babak yang akan diingati dan menjadi kegemaran ramai, di mana kita dapat melihat, David O'hara melakonkan watak Albert Runcorn yang berperlakuan seperti HArry. Ingin diceritakan pula tentang kesedihan yang terdapat dalam movie ini. Sudah tentunya terasa ketika Ron meninggalkan Harry dan Hermione kerana tertekan. Dan lebih menyedihkan lagi adalah babak Dobby, mati terkena tikaman bilah pisau lontaran Belatrix Lestrange.Kesedihan ini dapat dirasa tepat selepas kita dapat menyaksikan babak lucu ketika Dobby membantu Harry keluar dari rumah agam Malfoy dan bertarung dengan keluarga Malfoy.


Cukuplah dengan pujian yang diberikan kepada movie ini. Selain dari seronok menonton movie yang penuh perasaan ini, movie ini juga mempunyai plot yang agak lambat kerana pengembaraan Harry, Ron dan Hermione yang tiada arah tuju. Mereka diberikan tugas untuk mencari empat Horcrux Voldemort yang tinggal. Tetapi tidak mempunyai sebarang petunjuk di mana Horcrux-Horcrux ini berada. Tetapi di bahagian pertama movie ini, satu Horcrux telah berjaya dihancurkan oleh Harry dengan bantuan Ron, iaitu loket Salazar Slytherin. Kini tinggal tiga lagi Horcrux yang perlu dihapuskan iaitu cawan emas Helga Huplepuff, mahkota Rowena Ravenclaw dan ular kesayangan Voldemort, Nagini.


Selain dari misi mereka mencari Horcrux, movie ini juga menyelitkan misi Voldemort dalam mencari tongkat sakti iaitu Tongkat Elder yang kononnya salah satu dari Deathly Hallows untuk menumpaskan Harry Potter. Voldemort telah mengenalpasti bahawa tongkat sakti lamanya mempunya persamaan dengan tongkat Potter. Oleh itu dia menggunakan tongkat Lucius Malfoy untuk membunuh Harry ketika serangan mengejut di atas awan. Tetapi tetap tidak dapat mengalahkan tongkat sakti Harry. Di sini, Voldemort cuba menjejak tongkat lagenda Deathly Hallows yang pernah dimiliki oleh Gregorovitch, pembuat tongkat sakti Bulgaria dan Grindelwald, seteru dan sahabat lama Dumbledore. Yang akhirnya, dimiliki oleh Dumbledore sendiri. Movie ini ditamatkan dengan kejayaan Voldemort memperoleh tongkat sakti Dumbledore.

Sememangnya movie ini adalah sebuah movie yang perlu ditonton samaada oleh peminat Harry Potter mahupun mereka yang menginginkan sesuatu untuk merehatkan minda. Ini kerana movie ini tidak begitu memeningkan kepala yang menontonnya. Tentunya juga, movie ini memberi kenangan manis kepada mereka yang mengikuti perjalanan Harry sejak dari budak lelaki ini berumur 11 tahun.

Share: