Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, December 24, 2009

Pembelot atau Pembela? *sebuah reviu Avatar


Akhirnya dapat juga aku menonton movie ini selepas beberapa hari tangguh kerana masalah-masalah teknikal (yeke??haha). Aku menjangka tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada movie ini kerana mengantuk ditambah pula dengan menontonnya dibarisan paling hadapan (mendongak tengoknya!) !!! haha...tetapi jangkaan aku meleset.

Baiklah, pada awal promosi movie ini, aku langsung tidak berasa tertarik kerana pemerhatian aku terhadap movie-movie berbentuk CGI amat kurang. Aku lebih mementingkan ketulenan dalam sesebuah movie seperti yang ditunjukkan dalam movie Lord of The Rings.

Selepas movie ini mendapat reviu yang membanggakan dari akhbar-akhbar dan orang ramai, barulah aku berasa patut menonton movie ini apatah lagi aku seorang kaki movie yang tidak bersikap diskriminasi. Sememangnya James Cameron telah meneroka satu bentuk dimensi baru dalam teknologi perfileman dan ianya merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Walaupun movie ini mengambil 70 peratus CGI iaitu berlatarbelakangkan paranoma muka bumi Pandora (planet kediaman makhluk Na'vi) tetapi masih ada yang tulen ditonjolkan. Sudah tentu ketulenan tersebut dapat dilihat dalam lakonan Sam Worthington (Terminator Salvation) dan Sigourney Weaver (Aliens). Aku tabik pada watak yang dijayakan Sigourney kerana lakonannya sudah tidak boleh dinafikan lagi. Begitu juga lakonan Sam yang nampak bersahaja walaupun menjadi makhluk Na'vi dengan wataknya sebagai Jake Sully. Tetapi jangan lupa pada lakonan Zoe Saldana yang melakonkan watak Neytiri (makhluk Na'vi juga). Walaupun tidak nampak ekspresi sebenar Zoe, namun pergerakan emosi dalam diri Neytiri turut meninggalkan kesan.

Sesuatu lagi yang menarik dalam movie ini adalah sinematografinya yang sememangnya dibuat-buat. Tetapi apa yang dibuat-buat itu nampak itu nampak begitu benar dan indah. Namun aku masih tak berpuas hati kerana bagi aku, James kurang daya kreativiti dalam mencipta dunia Pandora. Terdapat binatang seperti kuda, badak, monyet, serigala dan helang yang hanya diubah suai sedikit rupa mereka lantas terjadilah fauna Pandora ciptaan James! Kenapa tidak dicipta sejenis makhluk yang memang langsung tidak mempunyai ciri-ciri makhluk Bumi.

Jalan ceritanya juga seperti biasa, seorang mabnusia ditukarkan menjadi Na'vi bagi mengenali gaya hidup makhluk tersebut dan memberi maklumat kepada pasukan tentera supaya senang mereka menawan planet Pandora. Manusia menjadi alien di planet Pandora kerana ingin mendapatkan sejenis mineral iaitu Unobtoniom yang sangat bernilai. Jake Sully yang ditugaskan menjalankan misi tersebut akhirnya berpaling arah dengan menyokong Na'vi kerana telah jatuh cinta kepada Neytiri (dah agak dah pun!)...

Secara keseluruhannya jalan cerita movie ini nampak terlalu biasa kita dengar. Tetapi perlu diingat kembali, James telah menulis skrip movie ini pada 15 tahun yang lepas dan mungkin pada zaman itu cerita sebegini masih nampak baru. Apa yang lainnya movie ini adalah cara pengadaptasian manusia sebagai makhluk yang kejam dan akhirnya menimpa kekalahan.

Untuk kredit tambahan, aku turut bertepuk tangan selepas movie ini tamat. Haha. Ini kerana cara pengolahan aksi dan ceritanya amat menarik ditambah pula dengan sinematografi yang boom!!! Nasihat aku kepada sesiapa yang mahu menonton movie ini, jangan beli popcorn, kerana anda tidak akan sentuh langsung popcorn anda selepas menonton movie Avatar ini.

p/s : Berbaloi lah jugak duduk depan, nasib baik tiket harga RM 8...haha
Share:

Wednesday, December 23, 2009

Demokrasi atau Kuku Besi? *sebuah reviu Bodyguards and Assassins


Revolusi di China bermula dengan wujudnya perkataan 'demokrasi' yang mula digembar-gemburkan. Tetapi empayar China mula terasa tercabar kerana telah berabad lamanya China diperintah di bawah maharaja dan dinasti-dinasti, akhirnya akan dimusnahkan. Rakyat China dalam kesusahan dibawah pemerintahan Dinasti Qing pada tahun 1907. Akhirnya wujud seorang lelaki bernama Sun yang akan menwujudkan reformasi demokrasi yang semuanya bermula di Hong Kong, yang ketika itu dibawah jajahan British. Dari sini, bermulalah kisah The Bodyguards and The Assassins.

Dibarisi pelaon ternama dari Hong Kong seperti Donnie Yen (Ip Man), Nicholas Tse (Storm Warriors) dan Tony Leung Ka-Fai (I Corrupt All Cops), movie ini semestinya movie yang menarik ditonton oleh peminat movie-movie Hong Kong dan Kung Fu.

Apa yang menariknya movie ini adalah period timenya yang berplot masa kedatangan Mr. SUn ke Hong Kong. Tetapi kedatangannya itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana kerajaan China akan menghantar pembunuh upahan yang terdiri dari askar-askar setianya untuk menumbangkan mana-mana pakar revolusi dari membebaskan negara China dari pemerintahan empayar maharaja.

Kedatangan Mr. Sun juga telah mewujudkan 'pengawal peribadi'nya yang tersendiri terdiri dari anak-anak muda berjiwa bebas dalam memikir soal negara. Mr. Chen (Tony Leung) atau The Revolutionary adalah orang yang bertanggungjawab dalam kedatangan Mr. Sun untuk mengadakan mesyuarat untuk mengadakan pemberontakan di beberapa wilayah negara China.

Secara keseluruhannya, movie ini memang menarik untuk ditonton kerana melihatkan dua sisi pandang, iaitu bodyguards, orang yang ingin revolusi dijalankan, serta assassins, orang yang taat setia kepada kerajaan sedia ada. Timbul isu bagaimana ingin menyelamatkan orang yang akan menyelamatkan negara China.

Kerajaan China ketia ini dianggap sebagai kerajaan yang penuh dengan kejahatan dan kerana membunuh semua pakar reformasi dan revolusi serta mencampak mereka eluar negara China bagi memastikan negara China kekal dibawah Dinasti Qing.

Movie ini mengkut fakta sejarah yang sebenar hingga ianya terlalu benar sekaligus menghilangkan situasi rekaan dalam movie-movie sejarah yang lain. Muingkin ketelitian fakta membuatkan movie ini kehilangan nilai suspens dan terlalu jujur dipertontonkan.

Namun begitu, aku tertarik dengan sub-plot dari watak-watak sampingan yang saling berkaitan dengan satu sejarah ini. Aksi kung fu yang ditonjolkan juga menarik serta membuatkan ramai orang percaya akan babak kung fu tersebut.

Babak menarik dalam movie ini sudah tentu disaat ketibaan Mr. Sun yang dilindungi oleh orang-orang yang inginkan revolusi. Saat Tuan Muda Liu berkung fu juga antara babak yang menarik perhatian aku.

Penulis skrip movie ini juga bijak mewujudkan elemen dramatik yang diselitkan dengan tujuan fakta sejarah ini ditonton tanpa rasa bosan. Lakonan Nicholas Tse sebagai A-si atau penarik beca harus diberi pujian kerana karakter yang dibawakannya amat terasa.

Movie ini sememangnya harus ditonton.

p/s : aku rasa scene establish hong kong, yang diulang tayang sebanyak tiga kali dalam movie ini, adalah scene yang sama...haha
Share:

Wednesday, December 9, 2009

Tezuka Cara Barat. *sebuah reviu Astroboy




Filem ini memang aku dah lama tunggu semenjak reviunya aku baca di majalah Gempak* pada tahun 2007 lagi. Akhirnya dapat juga aku menontonnya.

Aku memang kenal manga-ka Astro Boy iaitu Ozamu Tezuka (sensei) yang telah banyak mencipta beberapa lagi manga terkenal dan salah satu darinya adalah Cyborg 009 dan ada beberapa lagi yang aku tak ingat (hehe)...

Tetapi aku tak berapa mengikuti manga-manga nya itu. Malah Astro Boy sendiri banyak aku kenal dari majalah Gempak sedangkan aku rasa aku tidak pernah membaca atau menonton Astro Boy ketika kecil. Mungkin ini satu kredit untuk aku menonton movie ini tanpa ada harapan sebagai peminat setia.

Berbalik pula kepada movie Astro Boy ini, gaya penceritaannya biasa sahaja tetapi dapat menarik kanak-kanak malah orang dewasa juga ke panggung wayang. Teknik CGI yang digunakan tidaklah terlalu nampak 'real' dan ini merupakan sesuatu yang menarik kerana unsur-unsur animasi itu lah yang membuatkan movie ini bernilai.

Satu usaha yang mantap dari krew produksi Imagi Studios (selepas menghasilkan Teenage Mutant Ninja Turtle) yang berjaya menerapkan unsur animasi tersebut. Movie ini juga seolah-olah dihasilkan dari episod-episod kecil anime Astro Boy masa kini yang sebenarnya tidak wujud.

Dalam konteks dialog pula, komedi yang cuba disampaikan menarik tetapi ada sesetengah audiens tidak dapat menerimanya. Mungkin kerana adaptasi komedi dari Jepun ke Barat kelihatan agak janggal.

Tetapi, apa yang menarik perhatian aku adalah watak Astro Boy itu sendiri (yang dilakonsuarakan oleh Freddie Highmore dari movie Spiderwick Chronicles) yang kelihatan ikhlas serta jujur dalam setiap perkara. Ianya merupakan moral yang paling bernilai kepada kanak-kanak yang menonton.

Agak kecewa juga, watak Hamegg yang kelihatan baik pada mulanya (sangat baik!!!) di 'twist' menjadi antagonis kecil yang menggunakan robot sebagai bahan hiburan semata.

Endingnya pula seolah terlalu mengikut ending filem superhero lain yang akhirnya nampak seperti tidak kena. Muncul raksasa lain selepas beberapa minit Astro Boy memusnahkan monster Peacekeeper...dan tiba-tiba, Cora bertemu dengan ibu bapanya di Metro City selepas tersadai di Surface (Metro City adalah bandar terapung dan bumi ketika itu di gelar Surface yang di huni oleh orang-orang miskin) dan ini membuatkan ianya menjadi tanda tanya. (???)

Maaf, aku tidak berapa berkenan untuk menceritakan sinopsisnya, cukuplah anda menontonnya sendiri di panggung wayang, dan bagi aku, movie ini amat sesuai ditonton oleh kanak-kanak serta orang dewasa yang ingin 'melapangkan fikiran'.

p/s : perhatikan ada satu karakter seiras dengan manga-ka sensei Osamu Tezuka...:)
Share:

Apa Yang Di 'Spy'???*sebuah reviu My Spy



Aku merupakan antara penonton setia filem arahan AfdlinShauki.

Ini kerana beliau sering memaparkan filem yang berlainan dan walaupun ada filemnya yang klise, tetapi pengolahan watak dan ceritanya tetap berlainan.

Antara filem arahannya yang baru aku tonton adalah Papadom dan My Spy. Bagi aku, Papadom lebih bagus berbanding My Spy.

My Spy merupakan filem berbentuk penyiasatan komedi yang dilakonkan oleh AC Mizal (AJ) dan Harun Salim Bachik (Salleh) serta dibantu oleh beberapa pelakon ternama lain sepeti Redzuan Hashim, Hannah Tan, Daphne Iking, Carmen Soo dan Adlin Aman Ramlie.

Bagi aku, untuk diterima sebgai filem komedi memang boleh, tetapi untuk menerimanya sebagai filem komedi terbaik tahun ini, agak payah. Ini kerana, filem ini seolah-olah filem 'santai' Afdlin Shauki.

Afdlin seolah-olah membikin filem ini bagi mengisi masa lapangnya. Mungkin juga kerana filem ini satu-satunya yang tidak ditulis oleh Afdlin skripnya. Adalah juga beberapa scene yang aku tergelak tetapi tidak terbahak-bahak.

Kepuasan sukar di kecapi selepas menonton filem ini. Apa yang aku kagum adalah lakonan Harun Salim Bachik yang dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Abang HArun tetap selamba dengan lakonannya sebagai seorang penyiasat persendirian yang mampu mencipta pelbagai alat canggih. Manakala lakonan AC pula sudah terlalu biasa walaupun yang biasa itu masih diterima oleh semua orang.

Kisahnya adalah tentang AJ dan Salleh, penyiasat persendirian yang bermusuh akhirnya bekerjasama untuk menyelesaikan kes curang Datuk O (Redzuan Hashim) tetapi akhirnya ditarik pula ke dalam kes rompakan lukisan 'terung dalam mangkuk' bernilai USD40 juta (???) tetapi kes itu melibatkan mereka secara tidak langsung hingga ke akhir cerita.

Apa yang tidak menariknya, AJ dan Salleh memang tidak mengetahui tentang kes gambar terung tersebut dan tidak dijelaskan kepada mereka hingga menjadikan ending filem ini seperti tidak lengkap. Mungkin itulah kelainan yang cuba disampaikan oleh penulis skrip filem ini.

Klise juga apabila Maria (Hannah Tan) yang bekerja dengan Datuk O rupa-rupanya adalah seorang anggota Interpol (memang sudah diagak dari awal lagi) yang mmenyiasat kes tersebut.

Watak Adlin juga agak menarik sebagai Supt. Adnan yang nampak lucu dengan misai yang sesuai dengan karakternya.

Keseluruhannya, aku tidak berapa menggemari filem ini namun ianya masih boleh ditonton oleh masyarakat di luar. Namun kepuasan tidak juga aku dapat. Haha...

*kelibat-kelibat label sponsor dalam filem ini juga turut mengerutkan muka aku ketika menonton...hehe
Share:

Mula Menagih Movie.


Selamat datang ke laman rasmi blog MovieHolic.

Blog ini dijana oleh blogger 'Penggit Kuku' (hadybrainblast.blogspot.com) dan disebabkan minat yang mendalam terhadap filem atau lebih selesa disebut sebagai movie...maka lahirlah blog ini.

Mengakui kewujudan blog-blog reviu filem yang lain, kehadiran blog ini juga menambah jumlah blog reviu filem yang sedia ada.

Perbezaaannya blog ini berbanding blog filem yang lain adalah cara penulisannya yang secara santai dan ringkas tanpa mengguna bahasa-bahasa filem bagi memudahkan kefahaman orang ramai.

Reviu dalam blog ini juga disampaikan dari sudut seorang penonton kepada penonton dengan sedikit nilai kritikan dan cadangan tanpa sifat prejudis mahupun diskriminasi.

Di harap semua dapat menerima blog ini dan menikmati setiap tulisan yang dipaparkan.

Segala pendapat amat di alu-alu kan serta pendapat yang berbeza amat dihormati MovieHolic.

Apa yang diharap, agar sesama blogger tidak berbalah tanpa profesionalisme dalam blog ini.

Terima kasih and enjoy the MOVIE.
Share: