
Movie sekuel ini tak ada bezanya dengan movie pertama dari segi jalan cerita. Semuanya tentang kehidupan seorang sifu kung fu. Cuma bezanya adalah latar zaman yang dipaparkan di mana untuk movie pertama, dapat dilihat era zaman Jepun, tatapi untuk movie kedua ini pula, diperlihatkan zaman pendudukkan British di Hong Kong selepas Ip Man berhijrah untuk meneruskan hidup.
Sebagai sebuah movie yang memaparkan aksi sepenuhnya, aku berani mengatakan movie ini sangat berjaya walaupun jalan ceritanya terlalu ringkas untuk dipaparkan. Tapi tak apa, hal ini tidak boleh diperbangkitkan lagi kerana aspek utama movie ini adalah aksi, manakala jalan cerita pula sekadar dijadikan elemen tambahan. Sudah tentu kita sendiri akan berasa pening dengan jalan cerita yang memerah otak bertambah pula dengan aksi yang melampau dahsyat. Bagi aku cukup sekadar aksinya yang menarik dan lain dari yang lain untuk menyelamatkan sesebuah movie. Hollywood sendiri kadang-kadang terlalu ingin menyeimbangkan jalan cerita dan aksi yang ingin dijadikan sesuatu yang hebat, tetapi akhirnya menjadi buah mulut penonton yang tidak memahami inti pati movie tersebut.
Untuk Ip Man 2, sejarah yang dipaparkan sendiri telah memberi kelebihan kepada movie ini untuk terus mendapat sokongan orang ramai. Movie ini juga turut mendapat bonus sambutan hangat dek kerana sikap ingin tahu penonton akan perkara yang berlaku selepas movie yang pertama. Walaupun aku mengatakan jalan ceritanya biasa sahaja, tetapi aku masih lagi tertarik dengan apa yang dipaparkan. Movie ini seolah himpunan movie-movie kung fu yang lain dan dipertontonkan babak-babak seni mempertahankan diri ini dengan jelas satu persatu dan diperbandingkan dengan seni kung fu yang dibawa Ip Man iaitu seni Wing Chun. Seni ini dipaparkan secara lembut dan sopan berbanding seni kung fu lain terutama dari pesaing Ip Man iaitu Master Hung (Sammo Hung).
Percayalah cakap aku, babak pertarungan antara Ip Man dan Hung Chun-Nam adalah merupakan yang paling menarik kerana aksi pertembungan dua seni kung fu iaitu Wing Chun dari Ip Man dan Hung Ga dari Master Hung ini dipertontonkan dengan penuh teliti. Ip Man memang sudah serasi dengan babak tumbukan seperti peluru dan ianya juga dipapar dalam movie ini. Terdapat juga perlambangan perbezaan yang ditunjukkan di antara kedua sifu kung fu ini seperti elemen Yin Yang iaitu pertembungan antara lembut dan kasar serta hitam dan putih.
Movie ini juga, sama seperti movie aksi drama yang lain, membangkit semangat penonton yang melihatnya. Ianya dibuktikan ketika babak pertarungan antara Master Hung dan Twister lakonan Darren Shahlavi dan pertarungan Twister dengan Ip Man. Pertarungan ini secara jujur aku katakan, membuatkan aku tidak bernafas seketika dan seperti ingin bersorak menjerit kegembiraan dan bersemangat untuk menonton.
Donnie Yen yang membawakan watak Ip Man sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau adalah pelakon kung fu terhebat bagi aku setakat ini. Wajahnya yang lembut jelas terpapar dengan penghayatan yang bagus. Emosi lembut dan sopan yang dipaparkan Donnie Yen bukan setakat ketika berlakon, malah juga ketika beraksi. Watak Ip Man yang dibawakan ini juga cukup penuh dengan nilai murni ketimuran yang dipaparkan dengan penuh tertib.
Bezanya karakter sifu kung fu Ip Man dengan sifu-sifu lain yang dipaparkan dalam movie kung fu yang lain adalah sikap merendah diri yang ditonjolkan. Aku sering berfikir dan menafsir di mana ketika babak anak murid Ip Man membuat hal, sudah pasti Ip Man akan mula mengamuk, fikir aku. Tetapi aku silap, penulis secara kontra menunjukkan Ip Man langsung tidak pernah menunjukkan reaksi marah yang berlebihan, malahan sikap marahnya pada Master Hung sendiri ditunjuk dengan penuh sopan. Itu lah yang menjadikan karakter Ip Man ini sebagai sesuatu yang menarik.
Inilah movie kung fu yang lain dari yang lain gaya aksi yang dipaparkan. Movie ini juga akan dijadikan koleksi movie kung fu yang paling aku gemari selepas movie kung fu lain dari Jackie Chan dan Chow Yun Fatt. Sebaik bermula babak kung fu, jantung akan mula terhenti, dan berdegup semua selepas babak aksi ini tamat. Tahniah kepada pengarahnya, Wilson Yip!
p/s : Dihujung cerita ini juga ditunjukkan watak Bruce Lee ketika kecil yang ingin belajar ilmu kung fu bersama Ip Man. Ini juga antara babak yang dinanti aku.
0 opinions:
Post a Comment