Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159510

Tuesday, April 19, 2011

Salah penonton ke?

Seringkali kalau aku baca di akhbar-akhbar tempatan, sekiranya sesebuah filem anak Malaysia tidak mendapat sambutan yang menghangatkan, pasti saja si produser mahupun si pengarah menuding-nuding jari kepada pelakon, pihak panggung wayang dan persatuan filem yang kononnya penyebab filem mereka hambar. Ada juga yang tidak terlepas menuding jari kepada penonton, sudah tentu aku sendiri selaku penonton filem dan penggemar filem terasa dengan lontaran pedas dari mereka yang lancang menyalahkan penonton.

Inilah kesilapan yang besar dilakukan oleh pembikin filem, tak kira lah sama ada di dalam atau di luar negara. Mereka berebut-rebut cuba menyuntik elemen seni, humor, ganas, mencari sesuatu yang baru, berbelanja besar menghasilkan efek khas yang belum pernah dicuba, tetapi mereka sering lupa akan satu elemen yang paling penting dalam menjayakan sesebuah filem, iaitu penonton. Kalau ada yang menghibur, pasti ada yang terhibur, kalau ada yang menjual, pasti ada yang membeli. Sama juga seperti filem, berjayakah sesuatu filem itu jika tidak menang di hati penonton? Ya, secara peribadinya, filem itu telah berjaya, tetapi di hati pembikinnya. Ya, secara teknikal, filem itu telah berjaya, jikalau trofi anugerah menjadi ukuran. Tapi bagaimana dengan orang-orang yang melenting sudahlah filemnya tidak ditonton, sebarang anugerah pun tidak dibolot, patutkah mereka menuding jari ke arah penonton?

Bagi aku tak kisah lah kita buat filem macam mana pun. Tak salah kalau kita buat filem yang bukan mengikut arus selera penonton. Tapi sebelum kita buat filem sedemikian, hendaklah kita jujur dengan mengatakan filem itu sudah cukup bagus dan telah menghiburkan hati si pembikin secara peribadi, tak kisah lah orang nak tengok atau tak, yang penting kita puas dengan apa yang kita lakukan. Memang, jika diikutkan, filem yang mengikut trend lebih berjaya berbanding filem yang cuba memecah tradisi. Pada zaman 90an pun, penonton kita lapar untuk menonton filem-filem seram, asyik sangat ditayangkan cerita komedi dan cinta. Tapi sekarang, sudah terlalu banyak pula filem seram ditayangkan. Tidak ke muak penonton kita disogokkan dengan filem seram semata? Kalau seseorang pengarah menghasilkan dua tiga cerita seram, tak apa juga, ini tidak, setelah melihat keberkesanan filem seram yang dihasilkan, rakus pula dia menghasilkan filem seram secara bertubi-tubi. Sampai orang jelak dengan watak hantu yang tersangatlah stereotaip. Di mana kreativiti pembikin filem kita. Sekarang penonton kita lapar...lapar dengan filem-filem yang lebih bervariasi.

Aku juga tertarik dengan seorang produser yang menyalahkan Finas, hanya kerana meluluskan tayangan filem Melayu sekali seminggu, filemnya terpaksa menanggung kesan kerugian yang banyak. Sedangkan si produser ni dah bertungkus lumus mempromosi filemnya ini, denga hal kontroversi lagi, tak cukup syarat kalau setiap hari tak keluar tentang berita filemnya ini. Tetapi hasil yang dia dapat, tak pulang modal pun, eh, Finas pulak yang dipersalahkan. Nak buat macam mana kalau sekarang ni memang pembikin filem sedang gigih buat filem. Bukankah itu satu perkembangan yang bagus. Sekurang-kurangnya ada jugak filem Melayu baru yang kita boleh tonton selain filem Hollywood. Generasi sekarang memang dah menjadikan menonton filem itu sebagai satu budaya pop. Jadi, kalau si pembikin filem ni nak filemnya laris, cuba lah buat filem yang bagus sikit. Penonton kita dah bijak menilai, kalau setakat visual guna kamera yang advance, tapi dialog masih lagi zaman 80an, macam mana nak tarik minat penonton.

Apa yang aku cuba nak katakan, jangan lah kita sibuk salah kan penonton kerana tak tonton filem yang kita penat hasilkan. Sebaliknya baik kita cuba renungkan, dan cari ilham, macam mana nak tarik penonton supaya menonton filem kita. Yelah, tugas buat filem ni pun macam kihidmat pelanggan jugak, mestilah beri yang terbaik kepada pelanggan kita. Dan kalau kita tak nak buat ikut selera penonton, pun boleh, tapi tujukan filem itu lebih kepada diri sendiri, jangan pulak sibuk target paksa penonton tengok. Jangan sibuk fikir macam mana nak masuk kan elemen ini, elemen itu, cuba jadi sejujur mungkin dalam menghasilkan filem, walaupun tak ramai orang tonton, tapi sebenarnya, filem yang jujur menang di hati orang yang kita sayang...: )

p/s : In memory of the true filmmakers. Peace be upon you.
Share:

Related Posts:

1 opinions:

Mensh said...

Pembikin filem kena ada jalan cerita yang kreatif sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk filem. Tak kiralah kisah hantu, cinta, action, komedi, struktur cerita yang berkesan, sangat penting untuk membuatkan filem tu berjaya. Tapi aku tak boleh lah nak jamin yg penonton secara amnya kan berpusu-pusu ke panggung pergi tengok. Cuma pembikin itu at least berjaya buat filem yg ada jalan cerita yg hidup.