Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Friday, October 9, 2020

Pasal Kau (2020) - Ulasan Filem



Gabungan pengarah Adrian Teh dan pelakon Hairul Azreen kembali lagi selepas menambat hati penonton melalui filem mereka sebelum ini, PASKAL dan Wira. Kini mereka beralih ke genre komedi pula dengan membawa kisah Aiman (Hairul Azreen), seorang lelaki lurus yang bekerja di sebuah hotel diuruskan oleh Encik Maznan (Namron). Di sini Aiman berkawan dengan Jane (Janna Nick) yang merupakan seorang chef dan dalam diam menyimpan perasaan terhadap Aiman. Filem yang pada awalnya sebuah genre romantik komedi bertukar kepada aksi komedi apabila salah seorang tetamu VIP hotel tersebut diculik oleh sekumpulan 'pengganas'.
Filem ini merupakan idea asal dari Hairul Azreen sendiri, dan ternyata idea yang diberikan bukanlah sebuah idea yang original. Dari segi jalan cerita memang tiada apa yang menarik atau baharu. Ianya sama seperti filem romantik / aksi / komedi yang pernah dipertontonkan kepada kita sebelum ini. Jadi untuk menilai filem ini sebagai sebuah karya hebat dari Adrian Teh, sangatlah tidak boleh. Filem ini ibarat filem mengisi masa lapang mereka dan memang nampaklah kenapa filem ini sepatutnya ditayangkan di Netflix sahaja, bukan untuk tontonan layar perak.
Tetapi masih ada juga sisi positif dalam filem ini, terutamanya dari segi komedi dan pelakon. Komedi yang cuba diketengahkan dalam filem ini walaupun dah terlalu biasa, tetapi formula yang digunapakai masih mampu memberikan gelak tawa pada penonton. Aku paling teruja pada babak komedi membabitkan watak Dain Said, walaupun beliau hanya muncul sekejap sahaja dalam filem ini. Begitu juga pada pelakon-pelakon seperti Hairul sendiri, Namron, Janna dan Amerul Affendi. Masing-masing membawa karakteristik komikal yang berbeza dan komedi yang mereka bawakan memang kesampaian.
Dengan watak Amerul sebagai Parjo yang bersahaja melontarkan dialog serta memek muka yang semulajadi, Janna pula dengan sisi 'tomboyish-nya' tetapi masih mengekalkan ciri-ciri comel, hinggalah kepada Namron yang membawakan watak lelaki lembut. Sedangkan pelakon-pelakon tambahan lain juga berjaya mengetengahkan lakonan komedi yang boleh tahan. Kecuali watak dari Sophia Barakbah, Anna Jobling dan Sugeeta Chandran. Maaf jika dikatakan mereka hanya menjadi 'eye candy' semata-mata dalam filem ini dan lakonan mereka lebih kayu dari Hairul Azreen.
Permasalahan paling utama untuk filem ini apabila jalan cerita berubah menjadi aksi komedi. Di sini dirasakan seperti sebuah jalan cerita yang tangkap muat semata-mata. Adrian Teh seolah tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan jalan cerita serta lakon layar yang bagus. Bermula sahaja dipertengahan filem hinggalah ke pengakhiran, plot penceritaan semakin menjunam jatuh sehingga tidak dapat diselamatkan lagi. Ditambah pula dengan babak aksi akhir yang menggunakan sejenis bentuk 'eskapisme' selamat dari pengarah mungkin kerana tidak puas dengan arahan sekuens aksi sendiri.
Filem Pasal Kau kini sedang ditayangkan di Netflix. Ianya sebuah filem yang sesuai ditonton seisi keluarga. Jadi bolehlah nak tengok kalau nak mengisi masa lapang dengan hiburan kosong. Oh ya, Yayan Ruhian pun ada membuat kemunculan istimewa dalam filem ini, tapi janganlah berharap apa-apa sangat.
"Aku suka kau lah bodoh!"
Rating Peribadi: 3/5


Share:

0 opinions: