Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Wednesday, September 22, 2021

Cruella (2021) - Movie Review

CRUELLA
TAHUN: 2021
PENGARAH: Craig Gillespie
LAKON LAYAR: Dana Fox, Tony McNamara
PELAKON: Emma Stone, Emma Thompson, Joel Fry, Paul Walter Hauser, Emily Beecham, Kirby Howell-Baptiste, Mark Strong, John McCrea
GENRE: Komedi, Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 134 minit


Estella Miller (Emma Stone) adalah seorang yang berbakat dalam bidang fesyen tetapi mempunyai satu perangai yang mudah memberontak. Ibunya, Catherine (Emily Beecham) sampai terpaksa membawa Estella keluar dari sekolah tersebut dan ingin berpindah ke London. Dalam perjalanan, Catherine bertemu dengan seorang wanita kaya untuk meminta bantuan kewangan. Tetapi malapetaka berlaku apabila Catherine ditolak hingga jatuh ke gaung oleh anjing-anjing 'dalmation' milik wanita kaya tersebut. Estella membesar tanpa ibu bapa di London bersama dua orang kawan baiknya, Jasper (Joel Fry) dan Horace (Paul Walter Hauser). Minat Estella terhadap bidang fesyen tidak pernah malap sehingga dia berjumpa dengan ikon fesyen dunia, seorang wanita kaya bergelar Baroness von Hellman (Emma Thompson). Sebaik Estella mendapat tahu Baroness ini adalah individu yang berkait dengan kematian ibunya, Estella mula menggunakan nama Cruella untuk menggugat kedudukan Baroness sebagai ikon fesyen di London.
Filem dari Walt Disney Studios ini merupakan adaptasi atau berdasarkan filem dan animasi 101 Dalmations yang merupakan antara jenama popular dari Disney. Ianya sama seakan filem Malificent sebelum ini yang mengambil watak jahat dari filem animasi Sleeping Beauty. Kali ini Disney menggunakan pula watak Cruella yang ditonjolkan sebagai 'villain' dalam 101 Dalmations, tapi memberikan 'origin story' dalam filem ini sekaligus mengubah sedikit watak Cruella ini dari menjadi watak jahat semata-mata.
Kalau dilihat dari luaran dan konsep utama filem ini, ianya ada sedikit semangat ala filem Devil Wears Prada seperti yang ditunjukkan dalam watak Baroness. Kita diperlihatkan dengan dunia fesyen terutama di dalam rumah fesyen terkemuka milik Baroness ini dan bagaimana Cruella cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai pereka fesyen yang muda dan meningkat naik. Cara filem ini menunjukkan perang fesyen antara Baroness dan Cruella sangat unik, terutama setiap kali Cruella cuba untuk sailang populariti Baroness dengan rekaan-rekaannya yang radikal dan kreatif.
Kita juga dapat menyelusuri perkembangan watak Cruella yang pada mulanya hanyalah seorang gadis yang hanya ingin mencari kebenaran tentang kematian ibunya, tetapi secara perlahan berubah juga menjadi seorang yang narsisis. Emma Stone benar-benar menjiwai watak sebagai Estella/Cruella ini dengan mengimbangi emosi serta motif watak sekaligus bersesuaian dengan jalan cerita yang disampaikan. Dinamik antara Emma Stone dan Emma Thompson juga merupakan elemen yang paling menarik sekali dalam filem ini kerana kedua-dua Emma ini telah memberikan persembahan yang sangat cemerlang.
Terdapat banyak babak-babak yang menarik dalam filem ini dan jujur kata ianya sedikit sebanyak kurang menampakkan filem ini sebagai sebuah filem Disney. Mungkin kalau nak dikeluhkan tentang filem ini adalah perubahan watak Cruella yang kita kenali sebagai watak jahat sebelum ini. Tapi itu pun kita tak dapat nak keluhkan sangat kerana jalan cerita dan watak Cruella yang baharu ini merupakan sesuatu yang segar dan tak boleh dianggap lagi sebagai Cruella yang lama. Disney juga yakin dengan watak ini sehingga filem sekuelnya sudah pun di dalam perancangan. Jadi memang satu pilihan yang bagus kerana mereka memilih Emma Stone untuk membawa watak ikonik ini.
Filem Cruella boleh ditonton secara strim di Disney+ Hotstar.

"I guess they were always scared that I’d be… a psycho."

Share:

0 opinions: