Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Wednesday, September 22, 2021

Rick and Morty Season 5 - Animation Series Review

RICK & MORTY - MUSIM KELIMA (2021)

TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 5
JUMLAH EPISOD: 10 Episod (Musim Kelima)
DICIPTA OLEH: Justin Roiland, Dan Harmon
PELAKON: Justin Roiland, Chris Parnell, Spencer Grammer, Sarah Chalke, Kari Wahlgren, Keith David, Dan Harmon, Alison Brie, Steve Buscemi, Jennifer Coolidge, Christina Ricci, Darren Criss, Timothy Olyphant
GENRE: Animasi, Fiksyen Sains
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 20+ minit setiap episod


Siri animasi Rick & Morty kembali lagi untuk musim kelima dengan jalan cerita yang lebih kelakar dan lebih gila. Pengembaraan Rick bersama Morty bersambung sambil diselitkan bersama keluarga mereka yang terdiri daripada ibu bapa Morty iaitu Beth dan Jerry serta Summer, kakak Morty.
Terdapat beberapa kesinambungan dari musim-musim sebelum ini seperti jalan cerita tentang rakan Rick iaitu Birdperson, kemudian ada juga cerita tentang Jessica, gadis pilihan hati Morty serta beberapa episod yang menunjukkan misi-misi Rick dan Morty yang penuh dengan kelucuan. Pada akhir musim juga kita dihidangkan dengan jalan cerita 'canon' yang memfokuskan pada Evil Morty di 'the Citadel' sekaligus memberikan penamat musim kelima yang penuh dengan impak.
Untuk musim kali ini boleh dikatakan kesemua episod mempunyai kekuatan tersendiri. Siri animasi ini masih lagi mengekalkan gaya penceritaan yang laju dan padu beserta dengan kepelbagaian konflik yang menarik. Watak The President juga kembali kali ini setelah beberapa kali ditunjukkan persaingan watak ini dengan Rick dalam musim sebelum ini. Jessica juga diberikan plotnya yang tersendiri dan mungkin bakal membuatkan kemunculan pada episod akan datang.
Bagi aku sendiri, episod paling aku suka adalah episod "Rickdependence Spray" (S05E04) di mana dalam episod ini kita akan menyaksikan Morty yang melakukan kesalahan besar sehingga terlahirnya 'Giant Incest Baby'. Tidak lupa juga episod 'homage' kepada Voltron iaitu episod "Gotron Jerrysis Rickvangelion" (S05E07) yang memberikan jalan cerita tentang Rick yang obses untuk mengumpul robot 'GoTron Ferrets' dan di hasut pula oleh Summer.
Episod terakhir siri ini tidak mengecewakan apabila ianya memberikan antara babak kredit pembukaan yang paling menyeronokkan dengan menggunakan tema pembukaan ala anime. Dalam episod ini juga ada ditunjukkan serba sedikit sejarah silam Rick dan kematian isterinya. Penamat yang tergantung ini mampu membuatkan penonton semakin tidak sabar untuk menunggu musim terbaharu nanti.
Musim keenam untuk siri ini sudah pun di dalam perancangan tetapi masih tiada tarikh rasmi.
Siri ini boleh ditonton di HBO GO.

"Now if you'll excuse me, I've got a quick solo adventure to go on - and this one will not be directed by Ron Howard."


Share:

0 opinions: