Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Friday, October 9, 2020

Being John Malkovich (1999) - Ulasan Filem


Bayangkan jika kita mempunyai akses untuk memasuki ke dalam badan orang lain, dan lebih menakjubkan lagi bila kita mampu mengawal pergerakan, percakapan malah fikiran orang tersebut. Craig Schwartz (John Cusack) merupakan seorang 'puppeteer' yang tidak mempunyai pekerjaan dan hidup bersama isterinya Lotte (Cameron Diaz). Craig kemudiannya bekerja dengan syarikat Dr. Lester (Orson Bean) di bangunan Mertin-Flemmer. Di sini Craig bertemu dengan Maxine (Catherine Keener) dan mula jatuh hati dengannya. Perjalanan cerita menjadi lebih menarik apabila Craig terjumpa laluan kecil di dalam pejabatnya yang merupakan akses ke dalam minda pelakon John Malkovich dan membolehkannya melihat dan merasai dunia dari perspektif Malkovich.

Pujian tertinggi wajib diberikan penulis filem ini, Charlie Kaufman yang berjaya memberikan sebuah cerita yang mampu provok pemikiran audiens. Kaufman terkenal dengan cerita-cerita 'senggama minda' seperti Eternal Sunshine of the Spotless Mind dan yang terbaru filem I'm Thinking of Ending Things. Ditambah pula dengan sentuhan pengarah bervisi tinggi, Spike Jonze sekaligus menjadikan filem Being John Malkovich adalah antara filem yang wajib ditonton oleh para penggemar filem.
Filem ini membawakan konsep fantasi dengan simpulan-simpulan komedi gelap dan mengingatkan aku kepada episod-episod dari siri TV Black Mirror dan mempunyai konsep sama seperti filem Get Out di mana 'human subconscious' menjadi tunjang utama penceritaan. Dan apa yang menariknya lagi, pada awal filem mungkin ianya seakan sebuah filem drama psikologikal, kerana apa yang dipaparkan agak di luar norma dari dunia realiti. Tetapi rupanya ianya sebuah cerita yang 'surreal' dengan memberikan sesuatu yang diluar normal tetapi perkara itu berlaku secara realiti dalam filem dan bukanlah suatu khayalan semata-mata.
Kesemua watak dalam filem ini menghasilkan sebuah spektrum dinamik yang menjadikan perjalanan filem ini bertambah menarik. Ditambah pula dengan lakonan yang mantap dari John Malkovich sebagai sisi fiksyen dan satira dirinya sendiri. John Cusack juga melakukan satu tugas yang memberangsangkan dalam memainkan watak seorang yang tidak mempunyai harapan yang menagih cinta wanita esentrik iaitu Maxine. Cameron Diaz hampir tidak dikenali dari awal filem dengan lakonannya sebagai isteri Craig yang mencintai haiwan.
Kisah cinta pelik antara Craig-Maxine-Lotte dalam filem ini menimbulkan banyak persoalan dan bermain dengan emosi serta menunjukkan bagaimana perasaan itu mampu mengubah perspektif seseorang. Watak paling berevolusi dalam filem ini adalah Lotte, lebih-lebih lagi bila beliau memasuki minda Malkovich yang membuatkan beliau tersedar akan sesuatu naluri yang tidak dijangka. Manakala watak Craig sebagai seorang 'puppeteer' pula dalam menjadi tok dalang yang mengawal minda Malkovich, walhal sebenarnya beliau sendiri dikawal oleh Maxine.
Bolehlah jika dikatakan filem ini merupakan filem 'senggama minda' atau orang kata 'mind blowing', tetapi ianya lebih fokus pada konsep 'surreal' dan 'fantasi' yang dibawakan yang membuatkan penonton perlu berfikir dengan lebih mendalam. Tetapi filem ini tetap memberikan penjelasan secara ringkas dan telus tentang setiap konsep yang dibawakan. Ianya merupakan sesuatu yang bijak!
"Malkovich? Malkovich Malkovich Malkovich..."
Rating Peribadi: 4.5/5


Share:

0 opinions: