
Hingga sekarang, perkataan 'menakjubkan' tidak tepat untuk menggambarkan movie yang hebat ini. Kalau lah dari awal aku mendapat tahu movie ini hasil sentuhan pengarah Peter Jackson dan produser Steven Spielberg, pasti sudah lama aku pergi menonton. Bukanlah bersikap buyers, tetapi cuma ianya adalah sedikit kredit bonus untuk sesebuah movie mendapat nama-nama hebat diatas.
Walaupun movie ini adalah sebuah lagi hasil adaptasi dari novel hasil karya Alice Sebold, tetapi ianya menjadi movie yang tidak mengecewakan aku selepas hampa melihat karya-karya movie dari Hollywood sebelum ini. Nampaknya Peter Jackson bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pengkarya terhebat abad ini.
Buat sekian lamanya juga, aku berani berkata bahawa movie ini telah lari jauh dari perkataan 'klise' yang sering aku sebut untuk reviu-reviu movie lain sebelum ini. Ya! Memang setiap babak dan pertalian antara babak lain merupakan sesuatu yang tidak akan kita jangka.
Bermula dengan watak dahulu, peranan Susie Salmon yang dilakonkan dengan jayanya oleh Saoirse Ronan merupakan tunjang utama penceritaan movie ini. Susie adalah watak di mana beliau telah dibunuh oleh George Harvey (Stanley Tucci) dan kemudian, roh beliau tersangkut di antara dunia bumi dan syurga, dunia ini dipanggil Inbetween. Buat pengetahuan semua, bakat dan potensi Saoirse Ronan memang sudah lama aku teliti terutama ketika beliau berlakon dalam movie City of Ember. Tapi untuk movie itu, aku agak janggal dengan lakonan beliau. Tetapi bagi movie ini, aku boleh berikan tepukan gemuruh kerana watak yang beliau jayakan begitu sampai dan dekat dengan penonton. Begitu juga Stanley Tucci, nama yang tidak asing lagi dalam arena perfileman Hollywood. Tengok sajalah wataknya dalam movie seperti Shall We Dance dan The Devil Wears Prada, pastinya kita akan berasa janggal melihat wataknya dalam movie The Lovely Bones ini sebagai pembunuh bersiri separuh umur. Namun kejanggalan yang aku rasa ini adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana lakonan beliau bagi aku adalah yang paling menjadi.
Dalam movie ini juga terbit emosi sedih yang mendalam ketika babak di mana Susie Salmon di dapati telah dibunuh. Untuk babak emosi ini aku ingin berikan kredit kepada Mark Wahlberg dan Rachel Weisz yang melakonkan watak sebagai ibu bapa kepada Susie iaitu Jack Salmon dan Abigail Salmon. Walaupun pernah kecewa dengan watak Mark Wahlberg dalam movie The Happening yang nampak sedikit kaku, tetapi untuk movie ini, tiada siapa sangka beliau berjaya membawa watak yang penuh dengan emosi. Secara keseluruhan, watak yang lain juga turut menjadi tulang belakan kepada movie ini iaitu seperti Susan Sarandon (Grandma Lynn), Michael Imperioli (Len Fenerman), Rose Mclver (Lindsey Salmon), Reece Ritchie (Ray Singh) dan Carolyn Dando (Ruth Connors).
Boleh dikatakan setiap watak dalam movie ini tidak dibazirkan begitu sahaja oleh pengarah/penulis. Masing-masing seolah mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam isu penceritaan movie ini. Sebagai contoh, watak Grandma Lynn sangat penting untuk menjaga rumahtangga keluarga Salmon selepas kematian Susie diketahui, Len Fenerman pula menjadi polis yang menyiasat kes kematian Susie selama beberapa tahun hingga akhirnya akrab dengan keluarga Salmon, Lindsey Salmon sebagai adik Susie pula merupakan orang yang bertanggungjawab membongkar rahsia George Harvey, manakala Ray Singh merupakan pemangkin semangat roh Susie untuk meneruskan hidup di dunia lain, dan Ruth Connors pula menjadi pengantara yang menghubungkan Susie dengan Ray Sing.
Itulah istimewanya movie ini bagi aku. Penceritaan yang kemas ditambah dengan peranan setiap watak yang semakin penting hingga ke hujung cerita. Penceritaan yang secara khususnya tentang isu pembunuhan bersiri yang melibatkan Susie Salmon selaku mangsa, akhirnya di pandang pula dalam sudut yang berbeza. Iaitu sudut di mana selepas kematian mangsa pembunuhan. Siapa sangka movie yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai dark thriller boleh bertukar menjadi fantasi yang indah. Intrepetasi yang di sampaikan cukup tersusun walaupun terdapat beberapa maksud yang ingin disampaikan oleh pengarah/penulis berdasarkan objek-objek artistik dalam movie ini.
Dari segi cerita yang saya maksudkan sebagai lari dari klise pula adalah dimana sebaik sahaja menonton movie ini, kita tidak akan menjangka perkara yang akan berlaku selepas itu adalah demikian rupa! Sebagai contoh adalah ketika misteri kehilangan atau keghaiban Susie selepas bertemu George Harvey, di mana tiba-tiba sahaja beliau berada di dunia fantasi yang di mana setiap objek dan panorama di dunia itu mempunyai kaitan dengan kehidupannya. Pasti kehadiran George Harvey itu sendiri menimbulkan syak sama ada dia adalah seorang manusia yang biasa atau luar biasa. Pengarah/penulis juga pandai dengan tidak terlebih menyuap penonton dengan pernyataan-pernyataan jelas akan sesuatu yang berlaku dalam movie itu. Mereka cukup sekadar memberikan gambaran dan menyerahkan keputusan untuk berfikir di tangan penonton.
Buat sekian lamanya juga aku tertarik dengan ending movie ini. Untuk movie-movie yang berkait dengan pembunuhan sadis, pastinya ending yang diketengahkan adalah si pembunuh akan menerima pembalasan seperti mati gantung di penjara, di bunuh oleh keluarga mangsa atau apa-apa saja lagilah kesudahan yang boleh menimbulkan rasa puas hati biasa kepada penonton, hinggakan ending itu di adakan semata untuk memuaskan hati penonton melihat si pembunuh dihukum dengan zalim. Berbeza dengan movie ini, selepas semua orang tahu bahawa George Harvey adalah pembunuh Susie Salmon, dia terlepas begitu sahaja. Sehingga berapa tahun dia terlepas dari tuduhan membunuh. Tercetus juga perasaan tidak puas hati melihat si pembunuh terlepas begitu sahaja. Rupanya dia mendapat pembalasan yang setimpal oleh tuhan. Pembunuh ini tidak mati di tangan orang lain, tetapi mati di tangan tuhan. Dan cara kematiannya, amat mudah. Terjatuh ke jurang bukit hingga patah tangan, leher dan segala-gala tulang di badan. Begitu mudah, namun masih memuaskan hati aku. Kerana itu lah mesej utama movie ini. Biarlah orang itu berlaku jahat, kerana seberapa lama dia hidup sekalipun, pasti akan di balas tuhan!
Aku sarankan movie ini ditonton oleh semua kaki movie yang inginkan kelainan dalam movie Hollywood. Tahniah Peter Jackson.
p/s : Banyak benar Insert Shot yang dipaparkan oleh Peter Jackson, satu trademark yang stylish!
2 opinions:
tak klise = setuju!
fantasy thriller = setuju!
good acting for the actors = setuju!
adaption with the director style = setuju!
serious movie ni sangat best!
Post a Comment