
Kehadiran prequel untuk saga X-Men ini sangat perlu dan apabila aku menonton movie ini, akhirnya perasaan kecewa aku terhadap movie-movie yang tak memuaskan telah terubat. Memang aku sangat menyarankan movie ini kepada mereka yang ingin menonton wayang. Kerana bagi aku setakat ini, movie ini adalah yang terbaik setakat ini pada tahun 2011. Dengan mewujudkan satu latar belakang cerita yang baru dengan mewujudkan plot permulaan kisah mutan X-Men, movie yang ala klasik ini sangat memukau hati aku.
Sebenarnya dari beberapa tahun yang sudah lagi, aku asyik tertarik dengan trailer-trailer movie tentang superhero. Tetapi setelah menonton movie-movie tersebut, ketidakpuasan sangat terasa di hati aku. Mula-mula tu takut jugaklah nak tengok movie ni, takut juga indah khabar dari rupa seperti movie-movie sebelum ini, tetapi ternyata buah tangan Mathew Vaughn ini sangat menarik. Kalau korang nak tahu, Vaughn juga merupakan pengarah movie Kick-Ass, ya, movie ini juga antara movie kegemaran aku. Jadi, keputusan produksi untuk memilih Vaughn tersangatlah tepat.
Untuk movie ini, hampir kesemua aspek aku boleh puji. Dari segi pelakon, jalan cerita, babak aksi, emosi, tahap keterujaan malah kehadiran setiap watak juga. Kebijaksanaan movie ini boleh kita lihat melalui jalan ceritanya yang berlatarkan tahun 60-an. Bijaknya penulis skrip meletakkan intipati cerita kewujudan X-Men di tengah-tengah punca pergolakan kuasa nuklear antara Amerika Syarikat dan Rusia ketika itu. Penyelitan unsur sejarah yang sebenar sedikit sebanyak mampu menipu kita bahawa mutan-mutan ini benar-benar wujud pada zaman tersebut. Walhal ianya hanyalah watak fiksyen! Kita boleh bandingkan jalan cerita movie ini dengan movie-movie X-Men sebelum ini iaitu pada movie pertama, ceritanya mengenai Magneto yang ingin menjadikan semua manusia sebagai mutan, movie kedua adalah tentang kerjasama antara Magneto dan Professor X menghalang Agen Stryker dari menangkap semua mutan, manakala movie ketiga pula adalah tentang kewujudan penyembuh yang mampu menyembuh semua mutan. Di sini kita boleh nampak bukan di mana bezanya movie X-Men : First Class ini berbanding yang sebelumnya.
Jujur aku katakan, minat aku untuk menonton movie ini makin bertambah apabila mengetahui James McAvoy (salah seorang aktor berbakat favorite aku) akan melakonkan watak Charles Xavier (Prof. X). Tetapi sebaik menonton movie ini, aku lebih tertarik untuk bercerita tentang Michael Fassbender yang membawa watak Erik Lensherr (Magneto). Kehadiran Fassbender dalam movie ini telah menyamatarakan wataknya dengan watak yang dibawa McAvoy. Maksudnya kedua-dua watak ini tiada lebih atau kurangnya. Memang lah kalau nak diikutkan watak Erik Lensherr lebih membangun dek kerana cabaran dan seksaan yang perlu dia tempuh untuk menjadi Magneto yang hebat. Tetapi bagi watak Prof. X juga, buat pertama kali aku kagum dengan kelebihan kuasa yang ada padanya. Cara pengarah dan penulis skrip menonjolkan kuasa-kuasa mutan dalam movie ini sangat menarik.
Begitu juga dengan watak-watak yang lain, seperti Banshee, Mystique, Beast, Azazel, Darwin dan Havok, kesemua ini ditonjolkan dengan kuasa yang hebat sekaligus kita akan berasa leka melihat kuasa-kuasa mereka ini. Dari sudut pelakon pula, kesemua pelakon yang ditonjolkan sangat hebat. Termasuklah watak Sebastian Shaw yang dibawa Kevin Bacon, beliau telah menunjukkan bahawa beliau adalah pelakon yang sangat hebat. Selain dari itu, siapa sangka watak Mystique yang kita selalu tengok ganas dan sangat dingin, rupa-rupanya pada awal kewujudannya, dia adalah seorang yang baik dan penyayang. Malahan Mystique juga merupakan kawan baik atau adik angkat kepada Prof. X ketika kecil.
Semua penceritaan prequel ini sangat penting bagi mereka yang ingin mengetahui sejarah tentang X-Men. Movie ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada mereka yang sebelum ini meminati movie-movie X-Men sebelum ini. Dan sekali lagi aku tegaskan, movie X-Men kali ini sangatlah jauh beza dan ternyata jauh lebih bagus dari movie X-Men sebelum ini. Dan satu lagi perkara yang membuatkan aku tertarik dengan movie ini adalah kostumnya. Buat pertama kali aku berasa sangat puas dengan kehadiran kostum ala klasik yang sangat bertepatan dengan kostum di dalam komik contohnya seperti kostum dari Emma Frost, Banshee dan Magneto sendiri. Solekan wajah beast juga jauh berbeza dari movie yang sebelumnya kerana Beast yang kali ini kelihatan lebih bengis dan sangat berkarisma.
Untuk mereka yang rindukan movie-movie yang mampu menghiburkan, saranan aku adalah movie ini. Sekarang kita susah nak dapat movie yang betul-betul bagus selepas kehadiran movie Source Code dan Thor. Takkanlah kita nak harapkan pada animation sahaja. Kewujudan movie ini akan mampu membuatkan korang yang minat movie tentang superhero, kembali percaya dengan movie adaptasi komik. Dan sekali lagi aku ucap syabas kepada pengarahnya.
p/s : Scene cameo watak Wolverine ketika Charles dan Erik ingin merekrutnya menjadi salah seorang dari ahli X-Men sangat membuatkan aku tergelak...hahaha
0 opinions:
Post a Comment