"Yeah. About that. So, this is today. Today is yesterday. And tomorrow is also today. It’s one of those infinite time loop situations you might have heard about." - Nyles
Semua tengah sibuk review Peninsular kan, takpe aku review filem lain pulak dulu. Kalau korang suka layan filem macam Groundhog Day, Edge of Tomorrow, Happy Death Day, kemungkinan besar korang akan suka filem ni juga. Ya, filem Palm Springs ini membawa konsep 'time loop' yang semakin popular sekarang. Tapi apa bezanya filem 'time loop' ni dengan filem bergenre sama yang lain? Dalam filem ni ada Andy Samberg dan JK Simmons (teruja).
Palm Springs mengangkat kisah Nyles (Andy Samberg) yang entah sudah berapa kali hidup dalam hari yang sama, iaitu hari perkahwinan kawan kepada kekasihnya Misty (Meredith Hagner) iaitu Tala (Camila Mendes) dan Abe (Tyler Hoechlin). Secara tak sengaja, Nyles telah mengheret sama Sarah (Cristin Milioti) dalam dunia 'time loop' ini. Sarah cuba mencari jalan untuk keluar dari 'time loop' ini manakala Nyles yang dah lama berputus asa cuba mengisi masa dengan melakukan apa sahaja perkara yang boleh memuaskan hatinya.
Kehadiran Andy Samberg di dalam filem ini adalah satu tindakan yang bijak, kerana tiada siapa yang layak untuk menghidupkan watak yang sudah entah berapa ratus hari tinggal dalam 'time loop' hari yang sama, dan Samberg berjaya membawa genre sebegini dengan gayanya tersendiri. Ditambahkan pula dengan keserasiannya berlakon di samping Cristin Milioti (The Mother dalam HIMYM) terkadang membuat kita tersenyum melihat keletah mereka berdua.
Tetapi aku paling suka dinamik antara Samberg dan JK Simmons yang membawa watak Roy. Babak mereka berparti bersama cukup menghiburkan bagi aku kerana JK Simmons ni kita tahu lah dengan muka 'garang' dia, tetapi mampu berdamping dengan Samberg yang 'gila-gila'. Tapi ini bukan kali pertama mereka berganding bersama, sebelum ini dalam filem I Love You Man dan dalam siri Brooklyn Nine-Nine. Bagi aku JK Simmons ni antara pelakon otai yang paling versatil dan mampu membawa apa sahaja watak yang diberikan. Tak dinafikan beliau telah menjadi aktor kegemaran aku dan ramai lagi.
Penceritaan menggunakan konsep 'time loop' ini pula tidak terlalu tipikal kerana pada awal penceritaan lagi dah ditunjukkan watak Nyles seolah seorang yang sangat 'smooth' dan tahu akan apa yang perlu dilakukan dan apa yang akan terjadi pada hari itu. Penjelasan demi penjelasan yang ditunjukkan pun tidak terlalu telus dan hanya membekalkan babak yang membuatkan penonton mampu berfikir sendiri apa sebenarnya yang telah terjadi.
Filem ini walaupun membawa tema komedi, tetapi ianya bukanlah komedi yang boleh membuatkan kita ketawa sepanjang masa. Bagi aku ianya lebih kepada sebuah 'feel good movie' yang memberikan sisi lain terhadap genre 'time loop' ini. Ini adalah antara filem dari trio The Lonely Islands yang terbaik.
Rating Peribadi: 4/5
0 opinions:
Post a Comment