Selepas tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat, Presiden George W. Bush telah mengarahkan pihak Central Intelligence Agency (CIA) untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek pengganas. Pihak CIA telah merekruit pakar psikologi, Bruce Jensen dan James Elmer Mitchell dalam merangka dan menjalankan sejenis teknik soal siasat digelar Enhanced Interrogation Techniques (EIT) yang membabitkan penyeksaan terhadap tahanan CIA.
Daniel J. Jones (Adam Driver) dipilih oleh Senator Diane Feinstein (Annette Benning) untuk menjalankan penyiasatan tentang pemusnahan pita rakaman soal siasat CIA pada tahun 2005. Penyiasatan dan penyediaan laporan itu mengambil masa lima tahun dan membabitkan jutaan bahan dan dokumen rasmi dari CIA. Dari siasatan ini lah Dan Jones membongkar rahsia CIA yang telah menyeksa ratusan tahanan yang menjadi suspek pengganas.
Adam Driver menunjukkan kebolehannya sebagai seorang pelakon yang berkaliber dengan membawa watak Daniel Jones secara bersahaja. Lakonannya nampak sangat memberangsangkan setiap kali pelakon ini dipadankan dengan Annette Benning dalam satu babak dan dinamik antara pasangan ini membuatkan filem ini semakin menarik untuk ditonton.
Tetapi filem politikal drama ini tidak dapat mengelakkan sedikit rasa bosan kepada audiens yang menonton. Mungkin kerana ianya lebih cenderung ke arah tema dokudrama dan setiap fakta atau dialog yang dilemparkan dalam filem ini ibarat kita sedang membaca halaman wikipedia tentang CIA dan EIT.
Walaupun jalan ceritanya agak perlahan, tapi tak bermaksud ianya langsung tak bagus. Aku sendiri mempunyai sifat ingin tahu bila menonton dari babak ke babak tentang konspirasi dalam agensi terbesar dunia. Bagaimana agensi ini mencalarkan imej demokrasi dengan menggunakan langkah primitif dan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanannya dan apa yang lebih teruk, hasil teknik ini adalah tidak seberapa.
Mungkin filem ini tak mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap CIA atau AS dan mereka mungkin tetap menjalankan metod penyiasatan sebegitu sekarang. Tetapi sekurangnya filem ini memberi satu sinaran kepada kita tentang sisi gelap agensi ini dan bagaimana di AS masih ada individu yang cuba melakukan sesuatu perkara yang betul. Kontra antara personafikasi Dan Jones dan Edward Snowden adalah Dan Jones tetap mahu menyalurkan laporannya sebanyak 7,000 helai itu dengan cara yang betul dan sah, berbeza dengan Snowden. Cuma adakah dengan pengeluaran laporan itu mampu mengubah 'the system'?
Rating Peribadi: 3.5/5
0 opinions:
Post a Comment