Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159517

Tuesday, August 18, 2020

Following (1998) - Ulasan Filem

Kisah seorang 'stalker' yang kena stalk oleh orang yang dia stalk.

Following merupakan filem indie bergenre neo-noir dan merupakan filem penuh pertama dari Christopher Nolan. Filem ini hanya menelan bajet sebanyak USD6,000, dan akibat dari kos yang rendah ini, Nolan membuat persiapan seperti latihan lakonan untuk setiap babak supaya dapat mengurangkan kos dari menggunakan stok filem 16mm. Nolan juga terpaksa menggunakan 'lighting' sedia ada kerana kos untuk peralatan lighting yang mahal. Selain dari mengarah dan menjadi sinematografer, Nolan juga terlibat dalam suntingan dan kerja-kerja produksi yang lain.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang mempunyai sifat suka mengekori individu tidak dikenali di jalanan dan mengambil inspirasi dari individu-individu ini untuk novelnya. Sehinggalah pada suatu hari, dia telah terlalu fokus mengekori seorang lelaki yang berpakaian segak sehingga disedari oleh lelaki tersebut. Akhirnya mereka berdua mula berkenalan dan lelaki berpakaian segak itu memperkenalkan dirinya sebagai 'Cobb'.

Cobb kemudian mendedahkan identitinya sebagai seorang pemecah masuk rumah dan menjemput lelaki tersebut untuk menemaninya pecah masuk mangsa seterusnya. Di sini juga Cobb mendedahkan yang dia lebih gemar menyelongkar barang-barang peribadi mangsa pecah rumahnya dari sekadar mencuri. Lelaki itu mula rasa tertarik dengan gaya Cobb lalu mula mengikuti tingkah laku dan perbuatan Cobb. Tetapi lelaki itu tidak tahu akan agenda sebenar Cobb terhadap dirinya yang akhirnya mempersembahkan kita dengan 'plot twist' demi 'plot twist' hingga ke penghujung filem.

Dari filem ini sebenarnya kita sudah nampak jenis plot dan gaya pengarahan yang disampaikan oleh Nolan dan kemudiannya diterapkan dalam filem-filemnya sekarang. Sebelum wujudnya Inception, The Dark Knight,The Prestige dan Tenet, filem ini membawa kita ke perspektif Nolan yang baru ingin berjinak dalam dunia perfileman. Di mana dengan hanya berbekalkan bajet yang sedikit, perkara paling utama yang Nolan tekankan adalah plot dan sinematografi. Dan itu jugalah yang sering Nolan fokuskan pada filem-filemnya sekarang.
Share:

Related Posts:

0 opinions: