Adakah ianya filem terbaik Christopher Nolan? Tidak.
Adakah ianya masih lagi filem yang bagus? Ya.
Adakah ianya susah difahami? Ya dan Tidak.
Secara kesimpulannya, aku merasakan filem ini adalah sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang linear tetapi menyamar sebagai sebuah filem non-linear. Ini kerana, dari awal hingga ke akhir filem, jalan cerita lebih fokus kepada perjalanan the Protagonist (John David Washington), tetapi perjalanan masa dan watak sekeliling the Protagosist ini yang bergerak secara abnormal.
Kalau nak cerita tentang perkara yang paling susah dihadam dalam filem ini dah tentulah terma-terma saintifik dan penjelasan fizik tentang abnormaliti yang berlaku. Kita akan dengar terma-terma seperti 'reversed entropy', 'temporal pincer movement', 'Grandfather paradox', sedangkan perkataan 'Tenet' tu sendiri pun dah buat aku garu kepala. Mulalah masa tu rasa menyesal masa tingkatan 4 dulu ganti subjek Fizik dengan Prinsip Akaun.
Tapi kalau 'letakkan ketepi' segala mumbo jumbo tu, filem ini akan jadi mudah difahami. Adakah ianya memerlukan tontonan kali kedua? Jika diikutkan, untuk betul-betul memahami filem ini, tontonan kali kedua itu perlu sekiranya kita ingin meletakkan diri kita dalam perspektif yang berbeza. Sudah tentu kali kedua menonton filem ini membuatkan perspektif kita buat filem ini lebih berbeza.
Baiklah, sentuh berkenaan perihal lain pula, jika diikutkan filem ini adalah sebuah filem yang sangat tipikal buat pengarah Christopher Nolan. Lahiriah dan zahiriah filem ini menjerit-jerit nama Nolan kerana semangatnya yang seakan sama seperti filem Inception, The Dark Knight dan Memento. Penggunaan 'practical effects', muzik latar yang bergegar-gegar, dialog dan lawak-lawak kering, memang sangat Nolan lah! Hinggakan ada sesetengah babak boleh diramal lebih awal kerana kita tahu plot macam mana sering diketengahkan beliau.
Dari segi lakonan pula, aku lebih puji lakonan Robert Pattinson sebagai Neil daripada JDW yang membawa watak utama. JDW membuatkan aku boleh serasi dengan wataknya selepas 1 jam pertama, tetapi lakonan Robert Pattinson membuatkan aku 'hooked' dari kemunculan awal lagi.
Sekiranya Nolan mencuba sesuatu yang luar dari norma pembikinan filemnya, mungkin akan lebih mengujakan aku. Walaubagaimanapun, babak ke babak yang sarat dengan plot membuatkan aku tidak terasa perjalanan filem selama dua jam setengah ini. Selepas dihidangkan dengan filem-filem 'mediocre' pada musim PKP ni, kehadiran filem TENET sedikit sebanyak menghilangkan rasa rindu pada Hollywood summer movie.
‘Don’t try to understand it. Feel it.’
Rating Peribadi: 4/5
0 opinions:
Post a Comment