
Lagenda atau mitos Greek kini kembali lagi. Satu je perkara menarik tentang movie ini yang membuatkan aku turut tertambat untuk menonton, iaitu sejarah Greek, atau mitos Greek yang menceritakan tentang dua belas dewa olimpian. Dan dalam dua belas ini, movie ini lebih menumpukan kepada dewa bernama Poseidon, iaitu dewa laut.
Tetapi movie ini bukan lah keseluruhannya berkisar Poseidon, ianya lebih menumpukan kisah pengembaraan seorang remaja lelaki bernama Percy Jackson, iaitu anak kepada dewa Poseidon ini. Jika mereka yang fanatik dengan kisah-kisah mitologi Greek, pastinya mereka pernah mendengar gelaran di panggil demigod, iaitu makhluk separuh dewa dan separuh manusia. Seperti dalam movie ini, ianya mengisahkan himpunan demigod yang terdapat di dalam sebuah kem latihan yang diketuai oleh seorang (seekor?) sentora, bernama Chiron (lakonan Pierce Brosnan).
Nampaknya movie ini seolah-olah ingin mengganti francais Harry Potter yang hampir tamat. Lebih-lebih lagi movie ini merupakan adaptasi dari siri novel Percy Jackson yang terkenal. Namun bagi aku, movie ini kurang intipatinya berbanding movie fantasi adaptasi novel yang lain seperti Narnia, LOTR mahupun Harry Potter. Walaubagaimanapun, ianya tetap menjadi movie yang menarik untuk ditonton kerana satu perkara yang baru meletakkan mitos Greek sebagai subjek perjalanan cerita gaya moden Hollywood.
Apa yang kreatifnya movie ini, adalah pengolahan watak Greek yang dulunya sering diterjemah secara tradisional, kini di dalam movie ini, ianya di tonjolkan secara moden dan terkini. Setiap pengolahan watak Greek yang disampaikan secara moden ini seperti mempunyai satu perlambangan yang ingin disampaikan kepada penonton. Lihat sahaja watak dewa Hades (Steve Coogan), iaitu dewa kematian yang diolah menjadi imej seorang rock star. Pengolahan gaya moden ini amat menarik, walaupun mungkin ada beberapa orang kecewa dengan pengolahan ini yang seolah ingin melepaskan diri dari menggunakan kaedah tradisonal untuk pembentukkan imej Greek dewa-dewa ini. Medusa pula di imejkan seperti seorang wanita dengan pakaian high class. Begitu juga penggunaan babak 'the lotus eater' yang berlatar belakangkan Las Vegas.
Jika diperhati dengan teliti, gaya penceritaan Percy Jackson ini tidak ubah seperti kisah-kisah Greek yang lama seperti Jason and The Agronauts mahupun kisah Hercules. Cuma gaya penceritaannya sahaja yang diubah menjadi moden. Lihat sahaja babak 'the lotus eater', ianya antara babak yang pernah sahaja berlaku dalam beberapa kisah mitologi Greek, tetapi penggunaan Las Vegas sebagai latar belakang menunjukkan perlambangan bahawa Las Vegas itu adalah satu tempat berhibur yang boleh mengkhayalkan.
Dari segi penceritaan, ianya terlalu ringkas. Mungkin bagi penonton yang sudah biasa dengan kisah epik, gaya penceritaan sebegini sudah biasa dilihat. Tetapi terdapat juga perkara yang menyebabkan penonton diselubungi misteri sepanjang penceritaan movie ini, iaitu pencuri sebenar panah kilat milik dewa Zeus. Percy Jackson yang dituduh mencuri kerana Zeus seolah menyangka, Poseidon, iaitu adik kandungnya, ingin merampas takhtanya. Zeus tidak mungkin menuduh Hades, kerana Hades tidak mempunyai anak dalam kategori demigod. Zeus seolah yakin, demigod bernama Percy, disuruh oleh ayahnya Poseidon, untuk mencuri panah kilat hebat itu untuk tujuan kepentingan Poseidon sendiri. Padahal dia tidak sedar, ada ramai lagi demigod yang boleh mencuri panah kilat miliknya. Aku tak boleh lah nak spoil kan siapa yang mencuri panah kilat itu, tetapi bagi yang memang tahu sejarah dewa-dewa olimpian, tentu sahaja mereka tahu, bahawa dewa Hermes, adalah dewa perutusan dan pencuri. Jadi, sudah tentulah demigod dari benih Hermes yang mencurinya.
Ada kelebihannya juga kita tidak tahu tentang dewa-dewi olimpian mahupun sejarah mitologi Greek. Ini kerana movie ini seolah mengajar kita serba sedikit tentang mitologi tersebut. Kita dapat lihat demigod, anak dewi Athena, iaitu dewi kebijaksaan, anaknya bernama Annabeth, dan seorang (seekor?) Satyr, iaitu makhluk manusia berkaki kambing, Grover. Mereka berdua adalah rakan kepada Percy yang sedang dalam pengembaraan menyelamatkan ibunya dari genggaman Hades yang menginginkan panah kilat Zeus, kononnya disangka dicuri oleh Percy.
Dari sudut pandangan penonton, movie ini memang menarik untuk ditonton, dengan tema yang menarik, walaupun gaya penceritaannya adalah sama seperti movie corak fantasi yang lain. Dari segi lakonan pula, pengarah seolah ingin menyembunyikan kelemahan pelakon muda seperti Logan Lerman (Percy Jackson) dan Alexandra Daddario (Annabeth) dengan mengetengah kan pelakon-pelakon ternama seperti Pierce Brosnan, Steve Coogan, Sean Bean (Zeus) dan Uma Thurman (Medusa). Kehadiran pelakon-pelakon ternama ini seolah ingin memberi impak kepada penonton bahawa movie ini mungkin sesuatu yang menarik untuk ditonton. Namun aku lebih tertarik watak satyr bernama Grover yang dilakonkan oleh Brandon T. Jackson, kerana watak yang dibawanya cukup memberi kesan kepada penonton dan sering menimbulkan gelak ketawa.
Secara keseluruhannya, apa yang aku boleh katakan tentang movie ini adalah, kemodenan mitos Greek yang cukup misteri dan menarik.
1 opinions:
best2...ko tgk movie ni dgn saope dowe?
Post a Comment