Pada tahun 2067, dunia mengalami pelbagai kerosakan alam, banyak tumbuh-tumbuhan yang mati, ribut habuk pula berleluasa. Tanaman yang masih bertahan adalah jagung. Ramai penduduk di bumi menjadi petani untuk kelangsungan hidup. Begitu juga Joseph Cooper (Mattherw McConaughey) yang merupakan bekas juruterbang NASA yang terpaksa menjadi petani untuk meneruskan hidup bersama bapa mertuanya Donald (John Lithgow) dan dua orang anaknya, Tom dan Murphy. Sehinggalah Cooper diberikan peluang oleh Professor Brand (Michael Caine) dari NASA untuk misi penjelajahan angkasa lepas dalam mencari dunia baru untuk umat manusia.
Dari segi teknikal, filem ini cemerlang dalam semua aspek. Penataan seninya sangat menakjubkan, walaupun Christopher Nolan memaksimakan penggunaan efek praktikal, tetapi beliau cuba dengan sebolehnya menggunakan efek khas secara tepat bagi menghasilkan imej-imej seperti lubang hitam dan babak Cooper di dalam tesseract. Muzik latar belakang filem ini juga sangat mengagumkan hasil air tangan Hans Zimmer yang menambah rasa dalam perasaan kita ketika menonton. Begitu juga sinematografi filem ini, pergerakan kamera yang indah sekaligus menyajikan kita dengan dunia angkasa lepas yang penuh misteri.
Kita boleh lihat bagaimana Nolan cuba memperhalusi garisan antara fiksyen dan realiti sehalus yang mungkin dalam filem ini. Seperti filem-filem Nolan yang lain, walaupun ianya dekat dengan realiti, tetapi Nolan tetap menggunakan medium filem untuk menghidangkan suatu fantasi dan fiksyen yang menghiburkan. Jadi filem ini nampak seimbang dengan khayalan dan kenyataan, sekaligus mampu menjadi antara filem sains fiksyen yang paling hampir dengan dunia sebenar.
Barisan pelakon yang mantap seperti Anne Hathaway, Jessica Chastain, Matt Damon, Wes Bentley, Casey Affleck, Topher Grace menyinari keseluruhan jalan cerita Interstellar. Babak paling menarik dalam filem ini adalah ketika Cooper, Dr Brand dan Dr Doyle berada di Miller's Planet. Akibat dari daya tarikan gravity yang kuat dari lubang hitam Gargantua, peredaran masa di Miller's Planet bergerak dengan laju berbanding di Bumi. Akibat dari 'gravitational time dilation' ini, selepas Cooper kembali ke kapal Endurance, 23 tahun telah berlalu, Murphy ketika itu sudah mencapai usia dewasa.
Arus penceritaan tidak terlalu meleret dan audiens seolah berada dalam kelas fizik dan mempelajari pelbagai teori tentang ruang dan masa. Tetapi penjelasan itu sebenarnya dipaparkan dengan ringkas dan memberi satu kepuasan kepada audiens yang menonton. Ianya sebuah sains fiksyen yang penuh dengan teori dan fakta dan bukan sekadar sains fiksyen yang kosong. Mungkin itulah sebabnya Interstellar menjadi filem kegemaran ramai.
Rating Peribadi: 4.5/5
0 opinions:
Post a Comment