Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Monday, June 22, 2020

The Purge (2013) - Ulasan Filem


Kisah fiksyen tentang masyarakat di Amerika Syarikat yang melalui 'norma baharu' dalam kehidupan apabila kerajaan yang ditadbir New Founding Fathers mengadakan acara tahunan 'The Purge' yang membawa maksud 'pembersihan' selama 12 jam, dan dalam tempoh ini segala jenayah dibenarkan. Konsep 'purging' ini telah memberikan kesan positif terhadap ekonomi di AS dan mendapat sokongan yang baik lebih-lebih lagi dikalangan golongan elit.

Walaupun secara kasarnya filem ini membawa genre thriller, tetapi secara dasarnya ianya membawa isu-isu seperti perkauman, sosiopolitikal dan hasad dengki. Dengan isu yang besar ini, skopnya dikecilkan dan difokuskan pada situasi yang terjadi terhadap keluarga Sandin. James Sandin (Ethan Hawke) dan Mary Sandin (Lena Headey) yang selama ini menyokong The Purge akhirnya menyedari akan keburukan upacara ini, kerana ianya melibatkan moraliti yang lebih mendalam sekaligus memberi kesan terhadap nilai jati diri masing-masing.

Dengan hanya membekalkan watak-watak manusia yang merasakan diri mereka lebih hebat dari orang lain, dan bermegah-megah dengan warna kulit mereka, membuktikan bahawa golongan sebegini yang sepatutnya 'dibersihkan'. Kita sendiri yang sekarang berada dalam 'kawalan pergerakkan' juga terasa dengan situasi keluarga Sandin yang mengurungkan diri di dalam rumah dan berharap segala kacau bilau yang berlaku di luar cepat berakhir.

The Purge ternyata menjadi filem kegemaran ramai dan menjadi batu loncatan untuk universe The Purge yang semakin meluas sekarang. Ada beberapa lagi filem antologi dalam siri The Purge ini kerana konsep yang digunakan itu mampu membuahkan beberapa cerita yang menarik. Blumhouse Production telah membuktikan mereka mampu memberikan filem thriller yang bukan sekadar mengerikan, tetapi mampu membuat masyarakat berfikir, adakah nilai kemanusiaan semakin menipis?
Akhir kata, berbuat baik lah dengan jiran kita, jika tidak sekalipun, bermuka-muka lah sedikit asalkan tak nampak sombong.
Rating Peribadi: 3.5/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive