Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Wednesday, September 22, 2021

Cinderella (2021) - Movie Review

CINDERELLA

TAHUN: 2021
PENGARAH: Kay Cannon
LAKON LAYAR: Kay Cannon
PELAKON: Camila Cabello, Idina Menzel, Minnie Driver, Nicholas Galitzine, Billy Porter, Pierce Brosnan
GENRE: Muzikal, Komedi
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 113 minit


Adaptasi 'live-action' Cinderella kali ini mendapat nafas baharu dari Sony Pictures dan Amazon Studios dengan memfokuskan jalan cerita yang sedikit berbeza. Cinderella (Camilla Cabello) seorang wanita yang mempunyai impian untuk membuka butik pakaiannya tersendiri terpaksa mendapat rintangan dari ibu tirinya (Idina Menzel) yang mahukan Cinderella berkahwin. Prince Robert (Nicholas Galitzine), pewaris takhta kerajaan milik King Rowan (Pierce Brosnan) pula berkonflik kerana tidak berminat untuk mewarisi takhta. Takdir menemukan Cinderella dan Prince Robert sekaligus membuatkan Prince Robert nekad untuk bersama dengan Cinderella dan meminta ayahnya supaya diadakan upacara menari untuk mencari calon jodoh. Cinderella juga ingin menggunakan upacara menari itu untuk mempromosi busana rekaannya.
Ceritera Cinderella bukanlah satu kisah yang kita tidak biasa dengar. Ianya malahan adalah antara kisah dongeng yang popular lebih-lebih lagi melalui animasi yang dibikin oleh Disney dahulu. Tetapi Cinderella versi Amazon kali ini dipenuhi pula dengan agenda 'woke' sekaligus mengubah sedikit kisah Cinderella ini. Cinderella kini ditunjukkan sebagai seorang wanita yang mempunyai cita-cita untuk menjadi ahli perniagaan, ibu dan kakak tirinya juga tidak mempunyai hasad dengki yang mendalam seperti adaptasi sebelum ini.
Isu paling ketara yang cuba dibawakan dalam filem ini adalah tentang 'women empowerment' yang menyelubungi hampir semua watak wanita dalam filem ini. Tidak cukup dengan itu, di tambah pula satu watak baharu iaitu Princess Gwen (Tallulah Greive), adik kepada Prince Robert. Watak Princess Gwen ini sekadar muncul untuk menunjukkan wanita juga boleh menjadi seorang ketua negara dan menjadi pewaris takhta.
Sebenarnya aku tiada sebarang masalah untuk sebarang isu politikal diketengahkan. Tetapi bila agenda sebegini digunakan dalam naskhah lama dan dimomokkan secara melebih-lebih, ianya sedikit sebanyak mencacatkan jalan cerita. Tak cukup dengan itu, premis dan latar belakang yang diketengahkan dalam filem ini mengingatkan aku kepada filem Ella Enchanted (2004) yang banyak menggunakan elemen zaman moden di dalam zaman 'medieval' England. Bayangkan dalam bengkel menjahit Cinderella pun ada mesin jahit Singer yang klasik tu.
Nasib baik jugalah salah satu kelemahan aku untuk rasa terhibur dengan sesebuah filem itu adalah elemen muzikal yang disampaikan. Filem ini menggunakan banyak lagu-lagu zaman sekarang seperti lagu Somebody To Love, Material Girl, Perfect, Am I Wrong dan Let's Get Loud sebagai lagu penutup. Jadi sekurang-kurangnya, boleh jugalah rasa terhibur dengan lagu-lagu yang disampaikan dalam filem ini.
Dan jujur aku katakan ada juga beberapa babak komedi yang aku ketawa. Malahan Camilla Cabello juga membawa watak 'Cinderella with attitude' yang adakala nampak lucu. Tetapi selebihnya, filem ini hanyalah dijadikan sebagai satu contoh sekiranya karya klasik di tambahkan agenda 'woke' lalu cuba dipaksa-suap kepada penonton.
Filem ini boleh ditonton di Amazon Prime Video.

"Saying “love” and showing love are two very different things."

Share:

0 opinions: