Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159508

Thursday, January 14, 2021

Wonder Woman 1984 (2020) - Ulasan Filem


Diana Prince (Gal Gadot) kembali pada tahun 1984 setelah berdekad meninggalkan Perang Dunia Pertama dari filem pertamanya. Kali ini pada zaman 80-an yang penuh dengan 'pop culture' yang menggamit kenangan. Tetapi kali ini Diana bertemu dengan konflik baharu yang menyelebungi sejenis batu 'Dreamstone' yang mampu menunaikan apa sahaja hajat manusia. Steve Trevor (Chris Pine), kekasih Diana yang mati ketika Perang Dunia Pertama, hidup kembali hasil dari hajat hati Diana. Manakala rakannya, Barbara Minnerva (Kristen Wiig) menjadi seorang yang berkuasa dan menawan seperti Diana. Konflik juga muncul apabila seorang ahli niaga, Maxwell Lord (Pedro Pascal), ingin menggunakan Dreamstone atas tujuan jahat.

Perkara paling utama yang boleh dipuji untuk filem Wonder Woman kali ini adalah bagaimana pengarah dan penulis lakon layar, Patty Jenkins menggunakan sebaik mungkin medium filem buku komik dan elemen-elemen komik dalam filem ini. Audiens tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang tidak logik kerana filem ini sebolehnya menggunakan elemen fantasi diadaptasi ke dunia moden 80-an. Elemen fantasi dan komikal ini juga memberikan satu mesej yang cukup jelas terutama lagi dengan dunia realiti sekarang.
Ada banyak elemen-elemen komik yang dipaparkan mampu menarik perhatian audiens, lebih-lebih lagi yang membabitkan kuasa Wonder Woman. Filem ini tidak takut untuk memanipulasi kuasa Diana ini ke layar perak dan apa yang menariknya, tema 80-an itu sangat sesuai dengan elemen sebegini. Mungkin ada yang kata ianya 'corny' dan 'cheezy', tetapi elemen sebegitu kadang-kadang memberikan satu kepuasan dalam filem buku komik sebegini.
Pedro Pascal sekali lagi menunjukkan kebolehannya sebagai seorang pelakon yang sangat berkaliber. Sekalipun begitu, watak ini terlalu kecil untuk dimainkan oleh pelakon berbakat besar ini. Perkembangan watak yang ditunjukkan dari awal filem bertemu pengakhiran yang agak suam-suam kuku. Perihal sama juga terhadap watak Barbara Minnerva lakonan Kristen Wiig. Tidak boleh disangkal lagi kebolehan Kristen dalam menjayakan watak 'supervillain' Cheetah ini, tapi sayangnya ianya dibazirkan begitu sahaja, malahan evolusi Barbara kepada Cheetah juga tidak diperhalusi dengan baik.
Pujian juga harus diberikan kepada Gal Gadot yang mempunyai lakonan yang jauh lebih bagus dari filem-filemnya sebelum ini. Kali ini Gal mampu menunjukkan emosi-emosi yang lebih mendalam untuk diselami penonton. Hubungannya dengan Steve Trevor semakin dapat dirasai berbanding filem yang pertama. Tidak dinafikan Gal adalah tulang belakang filem ini, dan ternyata telah menjadi sebuah ikon yang mampu diminati ramai.
Antara perkara yang sedikit mengecewakan dalam filem ini adalah aksi dan babak pengakhirannya. Jika diikutkan, sebuah jalan cerita yang komikal sememangnya tidak logik, tetapi kita tidak boleh mengelak dari timbulnya persoalan demi persoalan sepanjang penontonan. Aksi yang dipaparkan pula ada yang cukup menarik, tetapi sebaliknya pada babak pertarungan akhir antara Wonder Woman dan Cheetah. Tak tahu lah kenapa DC dan WB suka benar dengan tona gelap pada babak perlawanan akhir menyukarkan sedikit untuk mendapat pengalaman penontonan yang memuaskan. Apa pun, filem ini masih lagi sebuah filem yang seronok untuk ditonton seisi keluarga kerana mesej yang ingin disampaikan itu sangat jelas.
"I need to find a way to touch them all at the same time!" - Maxwell Lord
Sumber tontonan: Panggung Wayang
Rating Hady: 3.5/5
Share:

Related Posts:

0 opinions: