Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159509

Friday, October 9, 2020

Thanks For Sharing (2012) - Ulasan Filem


Ketagihan seksual menjadi isu utama dalam filem ini dan skopnya dikecilkan pada kisah tiga orang penagih seks. Adam (Mark Ruffalo) seorang penagih seks yang berjaya mengawal ketagihannya selama lima tahun. Neil (Josh Gad) pula seorang yang kerap beronani dan sentiasa berkelakuan sumbang terhadap perempuan. Manakala Mike (Tim Robbins) pula seorang penagih seks yang kian sembuh serta menjadi ketua dalam menyuarat ketagihan seksual.

Dalam filem ini ditunjukkan kisah berbeza yang dialami oleh watak-watak ini dan bagaimana kesan ketagihan seksual itu mampu mempengaruhi kehidupan mereka. Kemudian muncul pula watak Phoebe (Gwyneth Paltrow) yang menjadi cinta pertama Adam selepas sedaya upaya mengawal ketagihannya itu. Mike pula yang sering menjadi pembakar semangat mereka yang bermasalah terpaksa berdepan dengan masalah di dalam keluarganya. Neil berkawan rapat dengan Dede (Alecia Moore/Pink) yang juga seorang penagih seks, dan mereka saling membantu satu sama lain dalam menangani ketagihan mereka.
Filem ini memaparkan sebuah kisah ketagihan yang bagus dan kesampaian pada penonton walaupun isu ini sedikit tabu pada kebanyakkan orang. Bila perkara membabitkan seks ini sering dikaitkan dengan nafsu, dan sentiasa disebut sebagai sifat semula jadi setiap manusia. Tetapi dalam filem ini ditunjukkan seks itu bukan sekadar nafsu lagi, malahan menjadi penyakit kepada penagih-penagih seks ini. Perkara paling utama dalam ketagihan ini apabila hilangnya kawalan akal fikiran. Seperti yang Adam katakan kepada Phoebe, orang akan bersimpati jika kau menghidapi kanser, tetapi akan pandang serong jika kau menghidap ketagihan seksual.
Mark Ruffalo membawa watak seorang penagih seks yang bergelut dengan 'syaitan dalam hati' dan beliau membawa watak ini dengan cukup baik. Kisah Neil pula walaupun tidak menjadi titik utama filem ini, tetapi apa yang berlaku pada Neil sangat relevan dan dekat dengan realiti. Neil tidaklah ditunjukkan sebagai seorang yang kuat seks, tetapi nalurinya yang sering terdorong untuk melakukan sesuatu perkara sumbang terhadap wanita membuatkan penonton melihat sudut pandangan seorang 'pervert' dari perskpektif mereka sendiri. Kisah kekeluargaan Mike yang mempunyai krisis dengan anak lelakinya juga antara cerita yang menarik dipertontonkan. Ada babak meruntun perasaan yang membabitkan Mike dan anaknya ini membuatkan kita tersedar dalam mencari salah orang lain, kita terlupa salah yang telah kita lakukan pada orang lain.
Satu permasalahan dalam filem ini adalah pada penghujung filem yang kelihatan terlalu mudah disimpulkan. Sepanjang perjalanan filem ditunjukkan betapa kisah-kisah mereka ini sangat dekat dengan dunia realiti. Tetapi pengakhirannya sangat selamat seperti seseorang melakukan seks dengan memakai perlindungan. Dan seperti kebanyakan aktiviti seksual juga, filem ini mempunyai 'happy ending'.
Share:

Related Posts:

0 opinions: