Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159510

Friday, October 9, 2020

Mekah, I'm Coming! (2019) - Ulasan Filem



Isu penipuan agensi haji dan umrah di Indonesia malahan Malaysia sendiri adalah sebuah isu yang bukan perkara biasa. Setiap tahun akan ada berita tentang penipuan atau 'scam' yang melibatkan ribuan bakal haji tertipu dengan agensi-agensi ini. Filem Mekah, I'm Coming menggunakan isu ini dan memberikan nafas segar berserta komedi yang tidak kering gusi dari awal filem hingga kepengakhiran. Keseluruhan filem memberikan sebuah semangat segar dan sebagai penonton, perasaan 'feel good' itu muncul tiap kali babak-babak dipaparkan.

Di sebuah kampung di Jawa Tengah, setiap kali ada penduduk kampung yang menunaikan haji akan disambut dengan meriah dan penuh keterujaan. Eddy (Ricky Nazar) seorang anak muda kampung yang ada sahaja perkara tidak kena dengan setiap apa yang dia lakukan, bercinta dengan Eni (Michelle Ziudith), anak kepada Pak Soleh (Totos Rasiti), seorang yang baru sahaja bergelar Haji. Pak Soleh ingin menikahkan Eni dengan Pietoyo (Dwi Sasono) dan ini merunsingkan hati Eddy dan Eni.
Eddy kemudiannya bercadang untuk menunaikan Haji pada tahun itu juga dan niatnya diberkati ibunya (Ria Irawan). Tetapi untuk mendapatkan visa haji bukanlah mudah, Eddy kemudiannya berdaftar dengan agensi haji swasta. Malang sekali lagi menimpa Eddy bila beliau ditipu oleh agensi haji tersebut dan terkandas di sebuah pekan di Betawi bersama seorang lagi mangsa agensi, Fajrul (Ephy Pae). Eddy terpaksa menipu orang kampungnya dengan mengatakan beliau berada di Mekah tetapi sebaliknya yang berlaku.
Sangat seronok menonton filem ini. Segala komedi yang ditonjolkan begitu mesra dan positif. Semua pelakon berinteraksi dan berhubung dengan cukup santai. Sepanjang menonton filem ini, kita akan sentiasa tersenyum dengan setiap dialog dan babak yang dipaparkan. Ditambah pula dengan visual memukau yang memaparkan suasana di perkampungan Jawa Tengah.
Isu yang dipaparkan sebenarnya agak serius, tetapi filem ini menggunakan medium komedi dan secara bersahaja menjadikan ianya sebuah satira yang bijak. Selain Eddy dan Fajrul, ditunjukkan juga lebih ramai lagi yang tertipu oleh agensi haji. Siap boleh buat perkampungan mereka sendiri.
Lakonan bersahaja dari Ricky Nazar berjaya membawa watak Eddy dengan cukup selamba. Pujian juga wajar diberikan kepada Michelle Ziudith yang tidak membawa watak seorang gadis kampung yang tipikal. Watak Eni ditunjukkan sebagai seorang yang tegas dalam membuat keputusan dan tahu akan kehendak dirinya sendiri. Michelle juga berjaya mewujudkan sisi komikal dengan cemerlang.
Jalan ceritanya agak ringkas dan mudah. Tetapi banyak juga konflik yang ditunjukkan terutama pada watak Eddy yang sering ditimpa malang. Dengan membawakan isu yang serius, kita dibawa menyelusur keseluruh jalan cerita dengan penuh hiburan dan gelak tawa. Filem ini sangat sesuai ditonton seisi keluarga dan sekarang sedang ditayangkan di Viu.
"Daripada aku dinikahkan dengan orang yang tidak aku cintai, baik aku mati!"
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Related Posts:

0 opinions: