Filem bermula dengan pendedahan dari guru sekolah, Yuko Miroguchi (Takako Matsu) di dalam kelasnya tentang kematian anaknya Manami yang dibunuh oleh dua orang pelajar di dalam kelas tersebut, Shuya Watanabe (Yukito Nishii) dan Naoki Shimomura (Kaoru Fujiwara). Tetapi Miroguchi tidak mendedahkan secara langsung identiti mereka berdua, hanya menggunakan label nama 'Student A' dan 'Student B'. Miroguchi juga memberitahu kelasnya tentang undang-undang juvana di Jepun yang melindungi remaja bawah umur dihukum berat jika melakukan jenayah bunuh. Jadi dengan penuh teliti, Miroguchi merangka strategi untuk membalas dendam terhadap pembunuh anaknya itu.
Gaya penceritaan dalam filem ini menggunakan naratif yang dipaparkan dari sudut pandangan watak-watak berbeza dalam filem ini. Antaranya adalah dari sudut pandangan Miroguchi, Shuya, Naoki, Mizuki Kitahara (Ai Hashimoto) dan Yuko Shimomura (Yoshino Kimura) ibu kepada Naoki.
Pada awal filem, ianya seperti sebuah kisah pendek apabila Miroguchi menceritakan dan mendedahkan terus plot utama filem ini. Ini yang menariknya apabila pada babak awal lagi penonton telah disedut ke dalam filem untuk mengetahui perkara yang awal-awal lagi dah diberitahu. Tetapi dari 'pengakuan-pengakuan' watak-watak tadi tentang perkara sebenar yang berlaku secara perlahan meluaskan lagi konteks penceritaaan.
Dari 'pengakuan-pengakuan' ini diceritakan secara mendalam tentang setiap perkara yang berlaku. Hingga ke akhir filem, segala motif, asbab dan kesan yang terjadi mula dirungkai. Ianya sebuah filem tentang pembalasan dendam, tetapi olahan plotnya tidak terlalu fokus pada pembalasan dendam, tapi lebih kepada ingin menunjukkan bagaimana setiap watak itu terjerumus ke dalam tindakan yang mereka pilih sehingga mengakibatkan pembalasan dendam dari Miroguchi.
Satu lagi perkara yang menarik adalah penggunaan watak-watak remaja yang mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pembunuh. Ini menunjukkan bagaimana remaja pada usia yang sangat muda juga tidak terlindung dari perbuatan jahat walaupun sifat itu datangnya dari impak perbuatan orang dewasa. Filem ini menjentik kekhilafan undang-undang yang melindungi remaja-remaja ini dan menafikan hukuman yang berat hanya kerana mereka masih muda. Ini boleh dikaitkan juga dengan dunia realiti sekarang di mana gejala buli merebak di sekolah-sekolah dan dikalangan anak muda.
Audiens diberikan perspektif baru dalam melihat diri seorang pembunuh. Dari setiap babak ke babak adalah sebuah 'revelation' yang memaut erat emosi dan minda ke dalam filem ini. Tema yang digunakan juga merenggut pengalaman tontonan dengan sisi yang sangat gelap dan menyakitkan. Pengolahan cerita, emosi watak dan 'plot twist' yang dipertontonkan sangat cantik diterjemahkan.
Secara tak langsung, filem tentang pengakuan atau 'confessions' antara watak ini menjadi antara filem 'pembalasan dendam' yang terbaik pernah ditonton. Dan seperti yang diperkatakan tadi, ianya tidaklah menggunakan si pembalas dendam sebagai penggerak utama cerita. Tetapi sebagai seorang audiens, babak pembalasan dendam itu sangatlah puas ditonton!
Filem ini merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh Kanae Minato. Ianya sebuah filem yang wajib ditonton oleh penggemar filem, malahan semua manusia di muka bumi ini wajib menonton filem ini untuk mengubah sedikit perspektif kita tentang realiti.
"Nobody taught me that killing people was wrong. Where other kids got read picture books and fairy tales, my mom taught me Ohm's Law and Norton's theorum. She only ever talked about electronics."
Rating Peribadi: 4.5/5
0 opinions:
Post a Comment