Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159508

Monday, November 9, 2020

Aruna Dan Lidahnya (2018) - Ulasan Filem


Filem ini menggabungkan kembali Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, tetapi kali ini bukan sebagai pasangan kekasih, tetapi sebagai kawan baik. Aruna (Dian) merupakan seorang epidemiologis dan 'kaki makan', ditugaskan untuk menyiasat sejenis wabak yang dikatakan seakan wabak selsema burung bersama agensi kerajaan, PWP2. Bermula dengan penyiasatannya ke Surabaya, Aruna turut membawa kawan baiknya Bono (Nicholas) yang merupakan seorang chef profesional yang ingin mengkaji makanan tradisi Indonesia. Mereka juga ditemani Nadezhda (Hannah Al Rashid), seorang pengkritik kulinari yang ingin menulis buku tentang makanan Indonesia.

Di Surabaya, Aruna bertemu dengan bekas rakan sekerjanya, Farish (Oka Antara) yang kini bekerja dengan PWP2. Sepanjang penyiasatan dan aktiviti 'jalan-jalan cari makan', Aruna merungkai serba sedikit misteri di sebalik penularan wabak tersebut. Manakala Bono dan Nadezhda menikmati juadah-juadah di sepanjang perjalanan dan konflik percintaan mula wujud antara mereka berempat.
Sepanjang filem ini kita akan dihidangkan dengan pelbagai juadah dari Indonesia yang mampu membuatkan kita terliur. Menonton filem ini ibarat menonton sebuah dokumentari tentang kulinari Indonesia yang kaya dengan makanan-makanan yang menyelerakan. Jadi kalau boleh janganlah ditonton ketika kita sedang kelaparan.
Bercerita sedikit berkenaan plot filem ini, secara keseluruhannya ianya berjalan dengan cukup lancar dan cukup santai. Subjek tentang wabak dan panik jarang-jarang disentuh dan sangat unik apabila subjek ini diulitkan pula dengan tema kulinari yang disampaikan. Dan hubungan antara Farish dan Aruna yang pada awalnya kelihatan sangat tidak serasi antara satu sama lain, dileraikan dengan perkembangan watak dari pertengahan filem hingga kepengakhiran.
Keseluruhan pelakon-pelakon menjayakan watak mereka dengan cukup bersahaja. Komedi yang dibawakan juga kesampaian walaupun tidaklah keterlaluan. Ada juga diselitkan dengan beberapa simbolism dari watak Aruna yang memberi bayangan tentang plot penceritaan. Disertakan pula dengan visual-visual yang memukau menjadikan filem ini sebuah filem yang berkualiti tinggi untuk tontonan umum. Senang cerita, menonton filem ini seakan bukan menonton, tapi merasai sendiri pengalaman dari empat orang watak ini. Sebuah filem yang menyelerakan dan cukup rasa. Filem ini boleh ditonton di Netflix.
“Hidup itu kayak makanan, dalam satu piring ini ni, lo bisa ngerasain yang pahit sepahit-pahitnya, apa asin seasin-asinnya, kalo lo makannya sendiri-sendiri”
Rating Peribadi: 4/5
Share:

Related Posts:

0 opinions: