Syahmi Sazli merupakan seorang 'content creator' Youtube yang terkenal dengan video-video drama spontannya yang diwarnai dengan jenaka-jenaka dari kawan-kawannya seperti Yoe dan Asif. Kini Syahmi mengorak langkah lebih jauh dengan menghasilkan filem sendiri dan ditayangkan secara berbayar di Astro First, iaitu filem Mael Totey The Movie.
Mael lakonan Syahmi Sazli merupakan seorang yang lurus, ingin memikat hati Yaya (Aween Ismail) yang baru sahaja putus dengan teman lelakinya Raheem (Daler Yusof). Erm...Yaya Toure dan Raheem Sterling? Tetapi Yaya memberi syarat supaya Mael mempelajari bahasa Inggeris jika ingin menjadi kekasih Yaya. Mael kemudiannya mempelajari bahasa Inggeris dengan Teacher Siti (Emaleen Minhad) yang dalam senyap menyukai Mael. Dari sini berlakunya konflik percintaan antara Mael, Siti dan Yaya. Oh ya, Yoe, Asif, Bedul dan Yatin juga membuat kemunculan dalam filem ini ketika babak-babak seakan drama spontan yang sering dibikin Syahmi dalam Youtube.
Sejujurnya aku memuji Syahmi sebagai seorang pengarah muda yang berjaya menghasilkan filem dengan kualiti visual dan penataan seni yang berkelas tinggi. Di sini produksi Syahmi memberikan sebuah lagi tamparan kepada industri perfileman tanah air dengan hanya berbekalkan bajet sebanyak RM400,000 mampu menghasilkan visual dan sudut teknikaliti yang mantap. Sinematografi dan pergerakan kameranya juga wajar dipuji.
Tetapi sayangnya filem ini sangat lemah dari segi jalan cerita. Ianya mengambil masa yang agak lama untuk menghubungkan antara watak dan setiap sekuens babak tidak berapa teratur yang membuatkan penontonan agak terencat. Babak demi babak yang ditunjukkan ibarat disunting secara semberono tanpa memikirkan 'continuity' sekaligus menimbulkan kesulitan dalam memahami jalan cerita. Hinggalah bila hampir ke pengakhiran, barulah timbul konflik yang menyebabkan filem ini berubah genre dari komedi ke tragedi. Tapi transisi perubahan watak yang cuba disampaikan itu tidak berapa lancar.
Aku yakin komedi yang dibawakan mempunyai peminatnya tersendiri. Malahan ada juga babak-babak yang menimbulkan gelak tawa sedikit. Cuma kebanyakkan komedi itu tidak begitu kesampaian dan seakan komedi tempelan semata-mata untuk menghiburkan peminat yang sudah sedia ada. Mungkin kalau misi Syahmi untuk menghadiahkan filem ini kepada peminatnya berjaya, tetapi Syahmi perlu fikir juga untuk menarik minat penonton kasual yang tidak biasa dengan video-videonya. Di sini aku lihat Syahmi gagal untuk laksanakan. Diharapkan supaya projek terbaru Syahmi akan datang akan lebih matang dan mampu menarik minat orang ramai, bukan sekadar peminatnya sahaja.
"Selagi ada Allah dalam diri, hidup kita pasti berjaya."
Rating Peribadi: 3/5
Tonton video review: https://youtu.be/MF6Vh67a5_o
0 opinions:
Post a Comment