Hans (Jimmy Kobogau) merupakan seorang pemuda dari Papua yang tersadai jauh dari kampung halamannya akibat kecederaan kaki yang menyebabkannya dipinggirkan dan dibuang dari pasukan bola sepaknya. Hidup di gelandangan, Hans di selamatkan Mak (Dewi Irawan), seorang pengusaha kedai makan nasi padang masakan minang. Hans cuba bangkit kembali dan dalam waktu yang sama mempelajari serba sedikit ilmu kulinari minang dari Mak. Tetapi kehadiran Hans tidak disenangi tukang masak yang juga kawan Mak, Permanto (Yayu A.W. Unru). Berlaku konflik antara Mak dan Permanto yang membabitkan Hans.
Monday, November 9, 2020
Tabula Rasa (2014) - Ulasan Filem
Filem ini bukan setakat menyajikan kita dengan jalan cerita yang ringkas, tetapi juga menyajikan kita dengan masakan-masakan minang yang mampu meliurkan kita yang menonton. Babak-babak membabitkan watak Mak dan Hans sedang memasak lauk minang sememangnya antara watak yang menarik perhatian. Bila Hans pertama kali merasa lauk Gulai Kari Kepala Ikan Kakap, kita juga akan terasa keenakkan makanan tersebut.
Tidak terlalu banyak konflik yang ingin dipaparkan dalam filem ini. Tetapi ianya banyak bermain dengan metafora kehidupan yang diaduni dengan simbolism-simbolism makanan. Watak Mak sering menimbulkan persoalan kemanusiaan setiap kali Permanto dan pembantu kedai makan, Natsir (Ozzol Ramdan) memberitahu Mak tidak boleh sesenang hati membantu orang yang dalam kesusahan seperti Hans.
Dari awal hingga hampir ke pengakhiran filem sekadar ingin menunjukkan bagaimana Hans yang putus harapan dalam kehidupan perlahan-lahan kembali yakin hasil dari bantuan Mak. Sehinggalah baru dirungkaikan tentang sejarah silam Mak sebelum beliau membuka kedai makan tersebut.
Pengarah Adriyanto Dewo berjaya membawa penonton menyelusur dan menjiwai sendiri pengalaman setiap babak yang dipaparkan. Penonton seolah diserap masuk untuk merasai sendiri keperitan hidup Hans dan dalam waktu sama merasai juga setiap hidangan yang disajikan dalam filem ini. Menonton filem ini dalam keadaan lapar bukanlah satu tindakan yang bijak.
Rating Peribadi: 4/5
0 opinions:
Post a Comment