Seorang kanak-kanak lelaki, Hero Boy (Jahzir Kadeem Bruno) hidup bersama neneknya (Octavia Spencer) selepas kematian ibu bapanya. Pada satu hari, Hero telah bertemu dengan seorang wanita misteri, dan neneknya mendedahkan bahawa wanita itu adalah seorang ahli sihir yang jahat. Neneknya kemudian memberitahu kisah tentang organisasi ahli sihir yang diketuai Grand High Witch (Anne Hathaway) dan bagaimana neneknya sebelum ini adalah seorang pemburu ahli sihir. Cerita bermula selepas mereka berdua bertembung dengan organisasi ahli sihir ini ketika menginap di sebuah hotel. Lantas Hero dan neneknya merangka pelan untuk melawan ahli sihir-ahli sihir ini.
Monday, November 9, 2020
The Witches (2020) - Ulasan Filem
Dari sinopsis kelihatan filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik, tetapi ianya hanya indah khabar dari rupa. Implementasi plot ke layar untuk filem ini sangat lemah sehingga aku merasakan filem ini memang sepatutnya ditayangkan di laman strim berbanding panggung wayang. Ianya seolah sebuah filem masa lapang Robert Zemeckis yang tiada projek lain beliau nak bikin.
Tetapi lakonan Anne Hathaway sebagai Grand High Witch dan Octavia Spencer menyelamatkan filem ini dari menjadi sebuah tontonan yang tidak menghiburkan. Anne berjaya menghidupkan watak ketua ahli sihir ini tetapi itu pun dibazirkan dengan jalan cerita yang mendatar. Lakonan Octavia tidak perlu disangkal lagi kerana beliau sememangnya seorang pelakon yang hebat.
The Witches merupakan adaptasi novel hasil karya penulis buku kanak-kanak terkenal, Roald Dahl. Tak tahulah di mana silapnya, sebelum ini Steven Spielberg telah mengadaptasi The BFG, juga tidak berapa bagus, kini giliran Robert Zemeckis pula memberikan sebuah adaptasi yang tidak memuaskan. Ditambah lagi dengan nama-nama besar seperti Guillermo Del Toro dan Alfonso Cuaron sebagai produser, masih tidak menjaminkan kehebatan filem ini. Malahan filem ini juga di 'narrate' kan oleh Chris Rock! Masih lagi tidak mampu memberikan kepuasan tontonan.
Apapun ianya masih lagi sebuah filem yang sesuai ditonton seisi keluarga, dan mungkin anak-anak kecil akan lebih terhibur menonton filem ini. Jika kita melihatnya sebagai sebuah filem untuk kanak-kanak, barangkali persepsi terhadap filem ini berlainan. Tetapi ekspektasi terhadap filem ini pada awalnya agak tinggi kerana kelibat nama-nama besar yang membikin filem ini. Aku akan cari peluang untuk menonton filem The Witches pada tahun 1990 pula nanti, mesti lagi bagus dari yang ini.
“Witches. They’re real. And they hate children.”
Rating Peribadi: 3/5
0 opinions:
Post a Comment